Hadith 10. Perang adalah Strategi

الحَرْبُ خَدْعَةٌ

“Perang (adalah strategi) muslihat.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 3030 dan Muslim no. 1739 & no. 1740 daripada Jabir bin ‘Abdullah RA dan Abu Hurayrah RA. Istilah (خَدْعَةٌ) atau (خُدَعَةٌ) mempunyai pelbagai maksud dalam Bahasa Arab antaranya ‘tipudaya ahli perang’ dan ‘ahli perang adalah penipudaya’. Al-Tabari berpandangan hadith ini digunakan dengan maksud kiasan dan bukan ‘tipudaya’ sebenar. Al-Waqidi dalam al-Maghazi (2/487) menyebut Rasulullah SAW bersabda teks di atas semasa Perang Uhud dan Khandaq (Ahzab). Semasa perang Ahzab, Nu’aim bin Mas’ud yang telah masuk Islam secara senyap-senyap memainkan peranan memecahkan kesatuan pihak Quraisy, Yahudi Bani Quraizah dan suku beliau, Ghatfan. Secara umum helah, muslihat atau tipudaya dalam peperangan menentang kuffar adalah harus, kecuali melibatkan hukum-hakam dalam perang dan bukan melibatkan sesama Muslim. Menurut al-Nawawi, ulama bersepakat mengharuskannya melainkan tipudaya yang boleh mengkhianati perjanjian dan (jaminan) keamanan. Hadith ini juga merupakan peringatan kepada umat Islam supaya berwaspada dengan tipu helah musuh dalam peperangan (al-Minhaj, 12/45; Fath Bari, 6/158).

2. Zaman langit terbuka kini kita berhadapan dengan serangan perang pemikiran (ghazwatul fikr), iaitu penjajahan tidak berlaku melalui penguasaan tanahair tetapi penguasaan musuh melalui minda dan pemikiran umat Islam. Gejala liberalisme, pluralisme beragama dan LBGT adalah contoh-contoh kecil proses memperdaya umat Islam yang perlu dihadapi. Strategi dan helah muslihat terbaik adalah dengan mempunyai perancangan untuk menghadapi peperangan mental ini. Kekuatan yang utama tentulah iman dan akidah yang sahih, disulami dengan ilmu dan pemahaman Islam yang sebenar. Anak-anak perlu dididik dan dibajai dengan acuan Islam sejak kecil supaya ibu bapa tidak ‘terlalu letih’ bila mereka sudah dewasa. Kita tidak tahu bagaimana rupa dunia 50 atau 100 tahun ke hadapan. Justeru, bersedialah dengan segala ‘senjata’ peperangan.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

10 Ramadhan 1441

Hadith 9. Bagimu Seperti Diharapkan

إِنَّ لَكَ مَا احْتَسَبْتَ

“Sesungguhnya bagimu apa yang engkau harapkan.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 663 daripada Ubay bin Ka’ab RA yang menceritakan tentang seorang lelaki Ansar yang tidak pernah tertinggal solat jamaah di Masjid Nabawi sedangkan lokasi rumahnya paling jauh. Para Sahabat merasa kasihan lalu mencadangkan beliau membeli kenderaan kaldai namun ditolaknya kerana inginkan setiap langkah pergi balik ke masjid mendapat pahala. Apabila diketahui, Baginda SAW menyebutkan teks hadith di atas. Dalam riwayat lain dinyatakan keinginan lelaki tersebut untuk mendapat pahala telah dimakbulkan oleh Allah SAW. Perkara ini disokong dalam hadith lain – Rasulullah SAW bersabda kepada penduduk Bani Salimah bahawa pahala dicatat dan darjat diangkat berdasarkan langkah kaki mereka dari rumah ke masjid (al-Bukhari, 1887 & Muslim, 665).

2. Hadith ini menjelaskan setiap amalan diberi pahala dan dibalas atas niat serta keazaman yang dilakukan. Jika berusaha mendapatkan kebaikan, maka pahala kebaikan akan diberi kepadanya. Jika berusaha mengelakkan kejahatan, maka dosa kejahatan akan terhindar. Setiap amalan pasti akan diberi ganjaran seperti yang diniatkan. Puasa Ramadhan contohnya, jika dilakukan atas dasar iman dan niat mengharap (احْتِسَابًا) keampunan-Nya, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu (al-Bukhari, 2014 & Muslim, 760). Sesungguhnya kita akan mendapat apa yang kita niat dan harapkan kerana Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Pemberi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

9 Ramadhan 1441

Hadith 8. Sabar Awal Musibah

الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى

“Sabar (adalah) ketika kejutan (musibah) mula-mula (menimpa).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1302 dan Muslim no. 926 daripada Anas bin Malik RA. Teks ini muncul apabila Rasulullah SAW melewati seorang perempuan yang sedang menangis di kubur, lalu menasihatinya bertakwa (tinggalkan tangisan kecewa) dan bersabar. Beliau yang tidak mengenali Baginda SAW minta beliau dibiarkan kerana musibah tersebut tidak menimpa orang lain seperti menimpa dirinya. Apabila diberitahu yang menasihatinya adalah Rasulullah SAW, beliau datang menemui Baginda SAW yang kemudian bersabda seperti dalam teks hadith. Hadith ini menjelaskan sifat sabar yang dituntut dan sempurna pahalanya. Ibn Hajar al-Asqalani menyebut maksud hadith ini, ‘Apabila ada thabat diri (tetap terima) ketika mula-mula berlaku sesuatu yang menikam hati serta mengandungi rasa kecewa, itulah kesabaran yang sempurna yang memberinya pahala (besar)’ (Fath al-Bari, 3/149).

2. Musibah kematian, kehilangan, kesusahan, banjir, kebakaran dan sebagainya adalah fitrah serta ujian ke atas kenikmatan insan di dunia. Oleh itu, sifat sabar ditagih pada setiap saat tersebut. Namun, sabar yang sebenar adalah kesabaran seseorang saat pertama kali ditimpa sesuatu musibah. Ia serta-merta meredhai segala musibah yang berlaku serta menerima qada qadar Allah SWT tanpa persoalan, keluhan atau kekesalan. Ini kerana saat mula-mula ditimpa musibah boleh membuatkan seseorang hilang akal pertimbangan, malah melupai Tuhan kerana terkejut, dalam kesusahan atau tidak menerima ketentuan apa yang berlaku. Kesabaran menjadi biasa jika musibah ditabahi dan diterima kemudian kerana hati telah terpujuk setelah berlalu beberapa hari.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

8 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share