Perawi Syiah dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim?

1. Semalam saya ada bertanya di dalam ‘posting’ facebook, “mgapa syiah ekstrem ada dlm senarai perawi alsyaikhan”. Jawapan kepada persoalan ini penting untuk diketahui awam kerana isu ini sering dimuat naik oleh pengikut atau simpatisan Syiah dalam media sosial.

2. Soal mereka, “Kenapa kita tidak terima Syiah sedangkan ulama hadith sunni menerima mereka sebagai perawi yang dipercayai.” Soal mereka lagi, “Kenapa anda anti Syiah dan ada yang kata sesat, sedangkan al-Bukhari (m.256) dan Muslim (m.261) pun riwayat hadith daripada orang Syiah!?”

3. Ini bagi mereka kontradiksi dengan ulama Ahli Sunnah wa Jamaah yang sepakat menyatakan Sahih al-Bukhari dan Muslim adalah kitab paling sahih selepas al-Qur’an (al-Minhaj, 1/14). Lantas, ini menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat awam lebih-lebih lagi globalisasi membawa arus maklumat tanpa kawalan.

4. Saya tidak berhasrat untuk menjawabnya kerana perkara ini sudah selesai disentuh oleh ulama silam dan ditambah huraiannya oleh ulama hadith kontemporari. Justeru, di sini saya titipkan kata-kata ulama silam yang secara langsung menjawab persoalan di atas.

5. Ibn Hajar al-`Asqalani (m.852) dalam muqaddimah syarah Sahih al-Bukhari turut memuatkan nama-nama perawi yang dikatakan Syiah dalam karya tersebut. Penjelasan beliau kemudian memberi pencerahan bahawa *istilah Syiah yang difahami dan diterima perawinya dalam karya hadith berbeza dengan istilah Syiah yang kita fahami dalam dunia moden.*

6. Beliau menjelaskan, *“Tashayyu’ (التشيع) adalah mencintai ‘Ali dan mengutamakannya lebih daripada para sahabat. Sesiapa yang mengutamakannya lebih daripada Abu Bakar dan Umar, maka ia adalah Syiah Ekstrem (غال في تشيعه), juga disebut sebagai Rafidhi (رافضي). Jika tidak (mengutamakannya lebih daripada mereka) ia adalah Syiah (شيعي). Jika melakukannya dengan mencaci (para Sahabat) dan secara jelas kebenciannya, maka ia adalah Rafidhi Ekstrem (غال فيالرفض) (Fath al-Bari, 1/459).*

7. Ibn Hajar ketika menjelaskan biodata perawi hadith Syiah bernama Aban bin Taghlib al-Kufi menyebutkan lagi, *“Tashayyu’ (التشيع) seperti pemahaman generasi awal (المتقدمين) adalah percaya ‘Ali lebih utama berbanding Uthman, ‘Ali adalah benar dalam pertelingkahan terhadapnya dan menyanggahinya adalah suatu kesilapan. Namun (mereka) tetap mendahulukan dan mengutamakan al-Syaykhayn (Abu Bakar RA dan Umar RA sebagai khalifah). Walaupun begitu sesetengah dalam kalangan mereka percaya ‘Ali lebih layak sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW. Jika kepercayaan tersebut atas sikap wara’, beragama, amanah dan mujtahid, maka riwayat mereka tidak ditolak selama mana (mereka) tidak mengajak kepada (kepercayaan tersebut). Tashayyu’ (التشيع) seperti pemahaman generasi terkemudian (المتأخرين) adalah golongan khusus ditolak (Rafidh), (yang mana) riwayat Rafidhi Ekstrem tidak diterima dan tiada kemuliaan.” (Al-Tahzib, 1/94).*

8. Al-Dhahabi (m.748) pula menjelaskan lebih lanjut perbezaan Syiah Ekstrem pada zaman awal Islam dan zaman beliau, *“Syiah Ekstrem (الشيعي الغالى) pada zaman salaf, mereka (salaf) kenali sebagai mereka yang mengkritik Uthman, Zubair, Talhah, Mu’awiyah dan mereka mengecam golongan yang bertelingkah dengan ‘Ali. Syiah Ekstrem pada zaman kita, kita kenali (mereka) sebagai yang mengkafirkan semua yang mulia (Sahabat) tersebut serta menolak (kekhilafahan) al-Syaykhayn (Abu Bakar RA dan Umar RA), (mereka) inilah golongan yang sesat yang menyedihkan (Mizan al I’tidal, 1/6).*

9. Sebagai contoh perawi Syiah, Aban bin Taghlib al-Kufi terdapat dalam Sahih Muslim dan keempat-empat Ashab al-Sunan. Perawi ini dijelaskan biodatanya oleh al-Dhahabi, “Aban bin Taghlib al-Kufi, kuat Syiah, namun  amanah (saduq), maka kejujurannya (diterima) bagi kami dan (wujud) bid’ah baginya. Beliau dinilai thiqah oleh Ahmad bin Hanbal, Ibn Ma’in dan Abu Hatim.” (Mizan al I’tidal, 1/5). Kemudian al-Dhahabi menambah, “Aban bin Taghlib tidak mengecam Abu Bakar dan ‘Umar RA, tetapi dia percaya ‘Ali lebih utama (sebagai khalifah) daripada mereka berdua.” (Mizan al I’tidal, 1/6).

10. Al-Dhahabi menjelaskan lebih lanjut, “Jika ada yang berkata, ‘Bagaimana boleh mempercayai pelaku bid’ah dengan penyataan (sebagai) thiqah, ‘adil (kredibiliti) dan berintegriti? Bagaimana seorang ahli bid’ah boleh dinyatakan ‘adil?” Maka jawapannya, “Sesungguhnya bid’ah ada dua bahagian: (i) Bid’ah kecil, seperti Syiah Ekstrem atau Syiah tidak Ekstrem serta tidak menyimpang. Jenis ini ramai dalam kalangan Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in namun (mereka) bersifat beragama, wara’ dan amanah.. (ii) Bidah besar, seperti Rafidhi yang sebenar dan bersikap ekstrem. (Mereka) menolak (kekhilafahan) Abu Bakar dan ‘Umar dan mengajak orang lain berbuat demikian. Jenis ini tidak boleh dijadikan hujah dan (diberi) kemuliaan.”

11. Daripada keterangan di atas, diringkaskan kategori Syiah:

(i) *Syiah Tashayyu’ – mencintai ‘Ali RA dan mengutamakannya lebih daripada para sahabat lain.*

(ii) *Syiah Ekstrem – mencintai ‘Ali RA dan mengutamakannya lebih daripada Abu Bakar RA dan Umar RA (sebagai khalifah) serta mengkritik Sahabat yang lain, tetapi tidak sampai mencaci mereka.*

(iii) *Rafidhi Ekstrem atau Syiah Rafidhah – mencintai ‘Ali RA, namun mencaci Abu Bakar RA, Umar RA serta sebilangan Sahabat yang lain, bahkan mengkafirkan mereka.*

12. Justeru, perawi yang terdapat dalam karya-karya hadith adalah daripada kategori (i) dan (ii) selain mereka turut mempunyai sikap kredibiliti dan integriti (‘adil dan amanah) serta memori hafalan yang baik (dabit) seperti perawi-perawi lain.

13. Perawi bagi kategori (iii) yang sesat lagi menyeleweng hingga mengkafirkan para Sahabat tidak diterima riwayat mereka dan sama sekali tidak wujud dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Inilah golongan Rafidhah yang dinyatakan oleh Ahmad bin Hanbal (m. 241) seperti diriwayatkan oleh anaknya, ‘Abdullah, “Aku bertanya bapaku: Siapa Rafidhah? (beliau berkata): Mereka yang mencela dan mencaci Abu Bakar dan ‘Umar.” (al-Sunnah, 1273).

14. *Syiah yang dimaksudkan para ulama hadith dan Sunni pada zaman awal Islam tetap menghormati dan membesarkan Abu Bakar RA, Umar RA dan semua Sahabat walaupun mereka mencintai ‘Ali RA.*

15. *Kebanyakan Syiah pada zaman kita lebih merujuk kepada kategori (iii) iaitu istilah Syiah Rafidhah yang ekstrem hingga membenci dan mencaci sebilangan besar para Sahabat, khususnya tiga khalifah awal dalam karya-karya mereka, mengagungkan ‘Ali RA secara keterlaluan serta turut berfahaman menyeleweng yang lain seperti imamiyah, taqiyyah, nikah mut’ah dan sebagainya.*

p/s: Tugasan: Boleh anda cari kenyataan Ibn Taimiyah (m.728) dalam Minhaj tentang ulama hadith al-Hakim, al-Nasa’I dan Ibn Abd al-Barr? J

Dr. Najahudin Lateh

21 Ramadhan 1441

ITCS, ACIS UiTM