Berjihad Memperkasa Ekonomi Ummah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 8 Disember 2011: Termidologi jihad biasanya dikaitkan dengan perang. Hakikatnya, ia bukan begitu. Ia lebih luas meliputi jihad dalam dakwah, pendidikan, politik, medan perang dan antara yang agak penting adalah jihad dalam harta, perniagaan atau pembangunan ekonomi ummah.

Malah, intelektual Islam Dr. Said Hawwa meletakkan jihad bil mal (jihad dengan harta) sebagai tunjang kepada pembahagian jihad lain dan yang terpenting untuk menjana serta sebagai bantuan logistik dalam gerakan dakwah, mendirikan pusat pengajian dan membeli alatan persenjataan.

Kepentingan memperkasa perniagaan dan ekonomi ummah juga terbukti melalui penglibatan batang tubuh Baginda SAW sendiri dalam bidang ini. Sejarah Islam menyaksikan aktiviti perniagaan bukan sesuatu yang janggal dalam Islam. Selain Rasulullah SAW, isteri Baginda Siti Khadijah dan para sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain juga peniaga unggul pada zaman mereka.

Rasulullah SAW sendiri turut bergantung kepada harta mereka pada awal penyebaran Islam. Malah, Baginda SAW dan para sahabat adalah golongan peniaga yang aktif walaupun sibuk dengan urusan dakwah, pemerintahan negara dan sebagainya.

Oleh kerana usaha ini suatu jihad, sudah tentu prosesnya mestilah menepati tuntutan Islam supaya harta yang diperolehi berkat dan mendapat ganjaran Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebutkan majoriti ulamak menetapkan semua perkara yang diperlukan dalam urusan kehidupan oleh umat Islam yang tidak menyalahi syarak adalah fardhu kifayah walaupun tiada nas khusus tentang demikian.

Justeru, mesti ada di kalangan umat Islam yang terlibat dengan perniagaan bagi mengelakkan bidang yang menguntungkan ini dimonopoli oleh orang lain. Penglibatan dalam perniagaan dengan ikhlas juga suatu ibadah. Justeru, perniagaan yang memenuhi piawai syariah adalah suatu kegiatan yang dianjurkan dalam Islam dan mendapat limpah kurnia-Nya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya. (al-Faathir: 29-30)

Penilaian kesahan sesuatu perniagaan menurut Islam adalah berpandukan persoalan sama ada ia memenuhi piawai syarak atau tidak. Jika terdapat eleman yang terbukti ketidakakuran terhadap hukum syarak dan muamalat, perniagaan itu adalah dianggap haram.

Oleh itu, sebarang transaksi hendaklah menggunakan kontrak yang betul dan hendaklah bebas daripada sebarang unsur yang diharamkan dalam syarak. Yusuf al-Qaradawi menyenaraikan unsur-unsur larangan dalam urusniaga seperti berikut :

  • Membantu kepada perbuatan maksiat;
  • Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan;
  • Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan; dan
  • Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang berkontrak.

Selain keuntungan kepada peniagaan yang berusaha bersungguh-sungguh, mereka yang terlibat juga akan dijanjikan rahmat jika perniagaan dilakukan dengan kebajikan dan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda : Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan. (riwayat al-Bukhari).

Ini kerana perniagaan itu sendiri adalah untuk memenuhi fitrah manusia yang mencari harta serta inginkan keuntungan dan kekayaan. Walaupun ia adalah satu bidang yang sarat dengan risiko dan cabaran kemungkinan untung dan rugi, namun naluri manusia masih cenderung kepada keuntungan daripada perniagaan itu. Malah, kalau boleh, jiwa manusia mengidamkan keuntungan yang berlipat ganda.

Keadaan ini menyebabkan terdapat sebahagian manusia yang sanggup meraih keuntungan berlipat ganda dengan menghalalkan segala macam demi mencapai matlamat tersebut. Inilah perniagaan secara batil yang dilarang dalam Islam dalam firman-Nya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu (rasuah) kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)

Perniagaan secara batil yang diharamkan ini termasuklah melalui rompakan, kecurian, makan riba, rasuah, perjudian, makan harta anak yatim dan sebagainya. Dalam soal lain, perniagaan secara batil juga boleh merangkumi paksaan, penipuan dalam timbangan, monopoli dalam perniagaan, menyorok barang dengan tujuan menunggu harga tinggi, memanipulasi pasaran dengan menaikkan harga barang keperluan hinggalah menerima dan memberi rasuah.

Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu. (al-Nisa’: 29).

Ayat ini menjelaskan prinsip asas yang menjadikan sesuatu kontrak itu mengikut syariah adalah saling reda-meredai antara dua pihak yang berakad. Saling reda-meredhai ini bermaksud satu pihak berpuas hati dengan satu pihak lagi. Sebagai contohnya, seorang pembeli berpuas hati barang atau produk yang diterimanya dan rasa tidak tertipu sementara penjual pula menjualnya secara bebas, tiada riba, tidak dipaksa dan reda dengan harga jualannya.

Perniagaan sebenarnya bukan diperlukan oleh individu semata-mata, malah oleh masyarakat, negara dan umat. Ini kerana kemampuan dan tenaga manusia adalah terhad sedangkan keperluan mereka dalam kehidupan adalah pelbagai. Melalui perniagaan, keperluan mereka ini dapat dilunaskan.

Ringkasnya, perniagaan adalah penting dalam Islam dan mesti diceburi dan diperkasakan. Namun, perlulah diinsafi bahawa keuntungannya menurut perspektif al-Quran dan hadith bukan terbatas dalam perkara yang bersifat material dan duniawi saja, malah ia turut merentasi urusan rohaniah dan ukhrawi yang akan disoal semula akhirat kelak.

Justeru, pemahaman tentang jihad memperkasakan ekonomi ummah yang selari dengan kehendak syariah hendaklah difahami sebaik-baiknya. Sebagai perkongsian maklumat, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menjalin kerjasama dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. untuk merealisasikan hasrat ini dengan menganjurkan Seminar Jihad Bisnes pada 13 dan 14 Disember 2011 nanti.

Program yang akan diadakan di UiTM Shah Alam itu akan menampilkan tokoh-tokoh ekonomi ummah seperti Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Haji Hashim, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Hajjah Rohani Datuk Mohd Shahir. Pembaca yang ingin menyertai seminar tersebut bolehlah menghubungi talian 03-92856577 atau 03-55442664.

Oleh: Najahudin Lateh

Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui email najahudin@salam.uitm.edu.my

Awasi Riba dalam Pembelian Emas

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 19 Mei 2011: Akhir-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam dalam negara kita untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya. Situasi ini menyebabkan kadang-kadang wujud di kalangan mereka yang lupa batas-batas syariah berkaitan pembeliannya, terutama terjebak dengan amalan riba yang diharam dan dikutuk dalam Islam.

Malah Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman : “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Baqarah’ : 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam transaksi sesuatu barangan riba atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

(more…)

Awas transaksi haram di internet

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 13 Oktober 2011: Dunia teknologi internet begitu pantas berkembang. Arusnya cukup laju dan kuat hingga boleh merubah bentuk serta sistem kehidupan manusia. Penggunaannya kini bukan setakat sebagai perpustakan terbesar di dunia, malah sudah menjadi pasaraya mega. Fungsinya bukan setakat mengantikan surat dan pejabat pos, tetapi sudah menjadi bank transaksi perniagaan dan tempat mencari kekayaan secara maya.

Realiti ini menyebabkan terlalu ramai di kalangan masyarakat kita yang begitu teruja untuk kaya hingga tidak memikirkan bala bahaya yang mungkin menimpa. Perangkap untuk menipu dan memanipulasi wang sentiasa wujud tanpa disedari, terutama melalui program dan pelaburan-pelaburan berbentuk mesin duit di internet.

Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu melalui perniagaan internet, melalui program internet dan melalui pelaburan internet. Dari aspek hukum syariah, ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Ia bergantung kepada akad kontrak dan elemen yang wujud dalam transaksi tersebut.

(more…)

Hayati madrasah tarbiah Ramadan

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 9 Ogos 2011: RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

(more…)

Tiga sumber pastikan sahih hadis

Najahudin Lateh, Berita Harian, 24 Ogos 2011: KITA sering mendengar dan membaca teks hadis Rasulullah SAW sama ada di surau, masjid serta media massa. Penyampaian itu sama ada secara teks asal atau terjemahan sangat baik dan digalakkan.

Namun, suatu perkara yang selalu diambil ringan dalam proses penyampaian sesuatu hadis adalah berkaitan sumber dan kesahihannya daripada Nabi SAW. Oleh itu, sewajarnya penceramah, penulis atau pengkhutbah Islam berhati-hati dalam memilih dan menyebarkan hadis Rasulullah SAW.

Usaha menjadikan hadis sebagai sumber sandaran hujah amat dialu-alukan tetapi ada beberapa disiplin ilmu hadis diabaikan oleh mereka yang menggunakan hadis. Antaranya memastikan hukum hadis itu sahih atau tidak.

(more…)

Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad

Najahudin Lateh, Berita Harian, 23 November 2009: DAKWAH adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam. Begitu juga Islam sebagai agama yang fleksibel tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

Dakwah talian terus online adalah kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan mad’u. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit. Dakwah kaedah ini tidak mensyaratkan seorang pendakwah itu mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam banyak. Malah, sesiapa saja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah online adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya.

(more…)

Pelaburan internet dibenarkan selagi patuhi syarak

Najahudin Lateh, Berita Harian, 27 Julai 2009: Ramai di kalangan kita teruja dengan pelbagai promosi dan bisnes dalam internet. Semua mahu kaya lebih-lebih lagi dengan cara mudah. Lebih cepat kaya, lebih ramai peminatnya. ‘Klik dapat duit’, ‘Jana pendapatan’, ‘Letak duit dan terima ‘durian runtuh’ beribu-ribu dalam akaun’ dan pelbagai slogan lagi begitu mengasyikkan pelayar internet. Cuma, dalam keghairahan mengejar kekayaan seperti ini, kita sering alpa dengan garis halal haram yang ditetapkan dalam mumalat Islam.

Hakikatnya, dari aspek Islam kemunculan internet sebagai medium penting dalam teknologi perniagaan seperti di atas sangat dialu-alukan. Walaupun begitu, Islam ada garis panduannya. Sesuatu teknologi yang baik akan diterima. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang menyalahi syarak, ia tetap tidak dibenarkan. Dalam ilmu perubatan contohnya, umat Islam diizinkan melakukan pengklonan, namun pengklonan terhadap manusia tidak dibenarkan. Begitu juga diizinkan memakan buah anggur, namun anggur yang telah diproses menjadi arak tidak dibenarkan. Dalam internet, banyak manfaat kepada Islam namun pada masa yang sama terdapat perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan diharamkan. Justeru, terpulanglah kepada kita untuk menggunakannya mengikut lunas yang dibenarkan oleh Islam dan undang-undang negara.

(more…)

MLM mesti menepati syariah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 9 Jun 2011: Suatu isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam adalah berkaitan Multi Level Marketing (MLM). Ini kerana reka bentuk MLM yang boleh pada asalnya selari dengan syariah seringkali dilencongkan hingga menjadikannya suatu yang diharamkan.

Ironinya, pemain MLM itu sendiri sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran mereka menjadi tidak serasi dengan hukum Islam. Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisyen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat.

(more…)

Labur Emas Mengikut Syariah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 2 Februari 2012: Emas pada sepanjang zaman dianggap sebagai simbol kekayaan, kemashyuran dan kecantikan. Dalam sejarah ekonomi Islam, emas merupakan matawang dan aset simpanan yang baik.

Teks al-Quran dan hadith banyak menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Emas dirujuk sebagai matawang dinar dalam firman-Nya : “Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya”. (Ali Imran : 75)

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share