مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka ia diberi faham dalam agama.”
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 71, 3116 & 7312 dan Muslim no. 1037 daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA yang berkhutbah di mimbar. Istilah (يُفَقِّهْهُ) atau faqih bermaksud (الْفَهْمُ) – faham. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan ‘faham’ merujuk kepada kefahaman tentang hukum-hukum syarak. Istilah ‘kehendaki kebaikan’ dalam hadith ini menjelaskan secara jelas tentang keutamaan ulama / orang yang berilmu berbanding orang-orang lain serta keutamaan belajar memahami agama berbanding ilmu-ilmu lain. Hadith ini boleh difahami bahawa sesiapa yang tidak memahami agama, iaitu belajar asas-asas Islam serta yang bersangkutan dengannya tidak memperolehi kebaikan dan rahmat Allah SWT (Fath al-Bari 1/161 & 164). Ilmu agama termasuklah berkaitan al-Qur’an, hadith, akidah, fiqh, akhlak dan sebagainya. Menurut al-Nawawi, hadith ini mengandungi keutamaan ilmu, memahami ilmu agama serta galakan menuntut ilmu. Ini kerana ilmu agama adalah pintu utama menuju takwa Allah SWT (al-Minhaj, 7/128). Oleh itu, salah satu ciri mendapat kebaikan yang sempurna dan petunjuk Allah SWT di dunia akhirat hendaklah mempelajari dan memahami ilmu agama, iaitu ilmu yang mewariskan amal solih kepada penuntutnya.
2. Hadith ini menjelaskan kedudukan ilmu dan keutamaan mereka yang mempelajari ilmu agama. Setiap percakapan dan amalan agama perlu mempunyai ilmu, malah mengenal Allah SWT juga perlu dengan ilmu (surah Muhammad, 19). Orang yang mempelajari ilmu adalah umat terbaik (al-Bukhari, 3383) berbeza dengan orang jahil (surah Zumar, 9) kerana sentiasa dinaungi Allah dan dipayung Malaikat-Nya (Abu Dawud, 3641). Pemahaman ilmu agama yang benar pula perlu dipelajari secara langsung daripada pewaris ilmu para nabi, iaitu ulama (al-Tirmidhi, 2682). Justeru, kita hendaklah menjadi ahli ilmu dengan belajar, menyelidik dan memahami sesuatu perkara. Ilmu agama terutamanya fardhu ain adalah kewajipan, namun ilmu-ilmu alat lain seperti sains, matematik, bahasa, teknologi dan sebagainya juga penting jangan ditinggalkan. Walaupun begitu, ilmu yang diperolehi perlu diamalkan kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak berguna laksana pohon yang tidak berbuah. Pada masa yang sama, kita perlu mengenang semua guru yang mendidik, mewariskan kebaikan kepada kita sejak kecil, termasuklah kedua ibu bapa dan guru di tadika, sekolah, kolej mahupun di universiti. Jasa mereka tidak bertepian. 16 Mei 2020 – “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”. Selamat Hari Guru, cikgu!.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
Dr. Najahudin Lateh
23 Ramadhan 1441