Fiqh Emas dalam Karya Ulama Nusantara Sorotan melalui Kitab al-Sirat al-Mustaqim, Furu’ al-Masail dan Bahr al-Madhi

Abstrak: Ulama Nusantara khasnya di Tanah Melayu, Fatani dan Acheh menghasilkan pelbagai penulisan terutama dalam ilmu akidah, fiqh dan tasauf. Penulisan karya jawi mereka meliputi pelbagai bentuk sama ada tulisan sendiri, terjemahan teks Arab ke bahasa Melayu ataupun dalam bentuk ulasan terhadap teks karya lain. Kertas ini bertujuan meneliti tiga buah karya agung fiqh yang setiap satu dihasilkan dan diwakili oleh ulama dari tiga tempat yang berbeza, pada waktu yang berbeza dan karya dalam bentuk yang berbeza. Namun, kertas ini hanya meneliti tema perbahasan mereka berkaitan fiqh emas sahaja. Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dari Acheh diteliti melalui karya fiqh beliau sendiri, Al-Sirat al-Mustaqim, Shaykh Daud al-Fathani (m.1847), dari Fatani melalui karya terjemahan beliau, Furu’ al-Masail sementara Shaykh Idris al-Marbawi (m.1989), ulama di Tanah Melayu dengan karya terjemahan berserta ulasan hadith, Bahr al-Madhi. Metodologi penelitian yang digunakan bersifat kualitatif diskriptif melalui observasi dan analisis komparatif ketiga-tiga karya tersebut bagi mencapai objektif meneliti isu-isu berkaitan tema emas dalam karya-karya ulama silam di Alam Melayu. Kajian ini mendapati terdapat beberapa tema berkaitan emas yang telah digunakan dalam penyataan hukum antaranya berkaitan perkakasan, perhiasan, cincin, pakaian, anggota badan, pembayaran zakat, jual-beli dan sebagainya.

Fiqh Emas dalam Karya Ulama Nusantara Sorotan melalui Kitab al-Sirat al-Mustaqim, Furu’ al-Masail dan Bahr al-Madhi[1]

Oleh :

Najahudin Lateh[2]

Profesor Madya Dr. Ghafarullahhuddin Hj. Din

Profesor Dr. Muhamad Rahimi Osman

Profesor Madya Ezani Yaakob

Dr. Salmy Edawati Yaacob

Kata kunci: emas, karya fiqh, Alam Melayu, Al-Sirat al-Mustaqim, Furu’ al-Masail, Bahr al-Madhi

1. PENDAHULUAN

Penulisan dan pengkaryaan merupakan suatu tradisi kepada ulama-ulama Islam selain daripada belajar dan mengajar. Di Alam Melayu, tradisi ini dipraktikkan sejak zaman berzaman diceruk rantau terutama dalam disiplin ilmu akidah, fiqh dan tasawuf. Dalam aspek fiqh, terdapat pelbagai karya sama ada dalam Bahasa Melayu atau Arab yang meluputi pelbagai metodologi penulisan sama ada penulisan sendiri, terjemahan kitab Bahasa Arab, soal jawab agama, ringkasan atau ulasan kepada sesuatu karya lain. Inilah yang dilakukan oleh ramai ulama Alam Melayu sama ada di Tanah Melayu, Acheh, Fatani, Riau, Minangkabau, Kalimantan, Makasar dan sebagainya. Bentuk penulisan pula ada yang membicarakan fiqh bersekali dengan persoalan lain seperti akidah dan akhlak, ada pula yang mengkhususkan tentang fiqh tertentu seperti ibadat dan munakahat (nikah kahwin), dan ada pula yang mengfokuskan kepada isu-isu tertentu seperti persoalan solat, haji, jual beli dan sebagainya.

Kertas ini akan mengfokuskan kajian kepada tema-tema emas yang digunakan dalam karya-karya ulama Alam Melayu. Justeru, tiga buah karya fiqh telah dipilih iaitu Al-Sirat al-Mustaqim oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri, Furu’ al-Masail wa Usul al-Wasail oleh Shaykh Dawud al-Fathani dan Bahr al-Madhi oleh Shaykh Idris al-Marbawi. Karya ini dipilih kerana ketiga-tiganya adalah karya agung bagi pengarangnya, sementelah ditulis pada kurun yang berbeza, ulama dari lokasi yang berbeza dan telah menggunakan teknik dan metodologi penulisan yang berbeza.

2. KARYA FIQH ALAM MELAYU DALAM TULISAN JAWI

Seperti yang dijelaskan di atas, karya berkaitan fiqh merupakan antara penulisan yang paling banyak dihasilkan di Alam Melayu sejak abad ke-17. Walaupun ulama yang menghasilkan karya-karya itu mahir dalam pelbagai mazhab, namun penulisan fiqh mereka tertumpu kepada mazhab al-Syafi’i yang merupakan pegangan orang Islam di rantau ini. Antara karya-karya fiqh tersebut yang dikarang dalam tulisan jawi beserta tahun selesai penulisan adalah seperti dalam Jadual 1.

Jadual 1: Karya Fiqh dalam Tulisan Jawi di Alam Melayu

KitabPengarangTahun
Al-Sirat al-MustaqimShaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658)1644
Mir’ah al-Thullab fi Tashil al-Ma’rifat al-Ahkam wal Syari’ah li al-Mulk al-WahhabShaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (m.1693)1672
Safinah al-Hukkam fi Talkhis al-KhishamShaykh Faqih Jalaluddin al-Asyi (m.1760)1740
Hidayah al-AwamShaykh Faqih Jalaluddin al-Asyi (m.1760)
Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-MukhasamahShaykh Faqih Jalaluddin al-Asyi (m.1760)
Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqqah fi Amr al-DinShaykh Muhammad Arshad al-Banjari (m.1812)1779
Hidayah al-Muta’allim wa ‘Umdat al-Mu’allimShaykh Dawud al-Fathani (m.1847M)1828
Furu’ al-Masail wa Usul al-WasailShaykh Dawud al-Fathani (m.1847M)1841
Bughyah al-Thullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-ThawabShaykh Dawud al-Fathani (m.1847M)
Kifayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam wa SyuruthihiShaykh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi
Fath al-Mubin (Syarah Hadith 40 menurut ilmu fiqh)Shaykh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa (m.1856)1856
Minhah al-Qarib al-Mujib wa Mughni al-Raghibin fi al-TaqribShaykh Wan Abd al-Samad al-Kalantani (Tuan Tabal) (m.1891)1882
Bahjah al-Mubtadin wa Farhah al-MujtadinShaykh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (m.1908)1893
Al-Fatawa al-FathaniyahShaykh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (m.1908)
Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-AnamShaykh Zain al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal)1890
Mathla’ al-Badrain wa Majma’ al-BahrainShaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Shaykh Nik Mat Kecik) (m.1915)1886
Wushah al-Afrah wa Ashbah al-FalahShaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Shaykh Nik Mat Kecik) (m.1915)1894
Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-SyafiShaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Shaykh Nik Mat Kecik) (m.1915)1913
Al-Thimar al-Ladhidhah ‘ala al-Riyadh al-Badi’ahShaykh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga1894
Nur al-Sham’ah fi Ahkam al-Jum’ahShaykh Ahmad Khatib bin Abd al-Latif Minankabawi (m.1916)1896
Fath al-Mubin fi ma Yata’allaqu bi Umur al-DinShaykh Ahmad Khatib bin Abd al-Latif Minankabawi (m.1916)1900
Bahr al-MadhiShaykh Idris al-Marbawi (m.1989)1960
Bulugh al-Maram Serta Terjemah MelayuShaykh Idris al-Marbawi (m.1989)1964

Selain senarai karya di atas, terdapat banyak lagi karya ulama-ulama di Alam Melayu tentang fiqh. Sebagai contohnya Shaykh Dawud al-Fathani yang dianggap sebagai ulama yang paling banyak menghasilkan karya penulisan fiqh (Shaghir, 1990) mempunyai senarai panjang karya-karya tersebut antaranya seperti Munyah al-Musalli (tentang solat), Al-Bahjah al-Mardhiyat (Solat Jamaah), Bulugh al-Maram (tentang takbiratul ihram), Qismah al-Zakat Baina Asnaf (Zakat), Ghayah al-Maram (haji dan umrah), Al-Sayd wa al-Zabaih (Sembelihan, korban, akikah), Idhah al-Albab (perkahwinan), Ghayah al-Taqrib (faraid), Tuhfah al-Raghibin (Jenayah), Nahj al-Raghibin (ekonomi) dan karya campuran dengan fiqh umum seperti Fath al-Mannan Tarjamah li Safwah al-Zubad, Jawahir al-Saniyah dan Sullam al-Mubtadi. Boleh dikatakan setiap ulama Nusantara mempunyai karya fiqh mereka sendiri, kecil atau besar. Karya-karya ini ada yang masih dalam bentuk manuskrip, sama ada membicarakan fiqh secara umum atau mengkhususkan pada isu-isu tertentu.

3. PENGENALAN SUBJEK KAJIAN

Kitab yang dikaji ini merupakan tiga buah karya agung bagi tiga orang ulama besar di Alam Melayu. Tiga karya yang dipilih ini mempunyai signifikan tertentu dalam membicarakan persoalan fiqh. Ketiga-tiga karya ini dihasilkan oleh tiga orang ulama yang berada di lokaliti berbeza dan pada masa yang berbeza. Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) merupakan ulama besar berpusat di Acheh pada abad ke-17, sementara Shaykh Dawud al-Fathani (m.1847) pula ialah ulama Fatani yang hidup pada abad ke-19. Shaykh Idris al-Marbawi (m.1989) pula merupakan ulama besar di Tanah Melayu pada kurun ke-20. Justeru, karya pada kurun yang berbeza dengan lokasi penulis yang berbeza di Acheh, Fatani dan Tanah Melayu merupakan suatu situasi yang menarik untuk dikaji.

Al-Sirat al-Mustaqim merupakan kitab fiqh pertama yang dihasilkan oleh Shaykh Nur al-Din di Nusantara dan ditulis dalam Bahasa Melayu. Furu’ al-Masail pula merupakan karya fiqh yang diterjemahkan oleh Shaykh Dawud al-Fathani dan dipersembahkan dalam bentuk soal jawab sementara Bahr al-Madhi pula adalah terjemahan hadith yang disertai dengan ulasan fiqh oleh Shaykh Idris al-Marbawi kepada ringkasan kitab Sunan al-Tirmidhi. Ketiga-tiga karya tersebut merupakan karya agung kepada setiap penulisnya. Al-Sirat al-Mustaqim merupakan karya pertama fiqh di Alam Melayu sementara Furu’ al-Masail diakui sebagai karya agung dunia Melayu dalam disiplin ilmu fiqh (Shaghir, 2002). Bahr al-Madhi pula merupakan karya perbahasan yang terperinci dan terbesar dalam fiqh al-Syafi’i hingga menjangkau 22 jilid.

Dari aspek metodologi, Al-Sirat al-Mustaqim merupakan karya asal dan ditulis berkaitan fiqh ibadat sahaja. Sementara Furu’ al-Masail pula merupakan karya terjemahan lengkap meliputi ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dikarang melalui soal-jawab dan permasalah fiqh. Bahr al-Madhi juga adalah karya fiqh lengkap dan merupakan terjemahan beserta ulasan dengan merungkaikan permasalah fiqh mengikut karya hadith yang diterjemah yang kebetulannya disusun mengikut bab fiqh.

Dari aspek percetakan, kitab Al-Sirat al-Mustaqim dicetak ditepi kitab Sabil al-Muhtadin yang juga ditulis berkaitan fiqh ibadat sahaja sebanyak dua jilid. Furu’ al-Masail pula dicetak sebanyak dua jilid sementara Bahr al-Madhi telah dicetak sebanyak 22 jilid dan kedua-duanya sentiasa dicetak di Kaherah, Mesir dan biasanya wajib dimiliki oleh setiap pelajar Alam Melayu yang menuntut di sana hingga ke hari ini.

Terdapat ramai sarjana di universiti-universiti tempatan di Malaysia yang telah menjalankan penyelidikan terhadap subjek kajian ini. Sebagai contohnya berikut adalah kajian-kajian pasca siswazah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur berkaitan ketiga-tiga tokoh ulama atau karya tersebut seperti dalam Jadual 2.

Jadual 2: Penyelidikan Berkaitan Nur al-Din al-Raniri, Dawud al-Fathani dan Idris al-Marbawi di UM

TajukPengkajiTesisTahun
Konsep perkahwinan mengikut Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam kitab Idah al-albabZamri GhazaliDissertation (M. Syariah)2012
Kitab Al-Sirat Al-Mustaqim karangan Shaykh Nur Al-Din Al-Raniri (Kitab Al-Taharah dan Al-Salah): Teks dan AnalisisJamalluddin HashimThesis (Ph.D)2011
Shaykh Mohamed Idris al-Marbawi : Sumbangannya dalam Bidang Penulisan dan Penerbitan, 1892-1989Mahani MokhtarDissertation (M.A.)2011
Hadith-hadith dalam Bughyah al-tullab karangan Sheikh Daud al-Fatani (Juzuk 1) : takhrij dan analisisItsama-e NawaeDissertation (M.Usuluddin)2011
Riwayat mengenai kelebihan bulan hijri dalam Jam’u al-fawa’id wa jawahir al-qala’id oleh Shaykh Dawud al-Fatani : takhrij dan analisisMohd Aizul YaakobDissertation (M.Usuluddin)2011
Metodologi pentafsiran Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi dalam kitab Tafsir Quran MarbawiNor Azlida AzizDissertation (M.Usuluddin)2010
Kitab Sullam al-mubtadi fi ma’rifah tariqah al-muhtadi karangan Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani : tahqiq dan analisisRormuelee LengsueniDissertation (M. Syariah)2010
Hadith-hadith dalam Bughyah al-Tullab karangan Sheikh Daud al- Fatani (Jilid kedua) : takhrij dan analisisAbdul Azis Awang KechikDissertation (M.Usuluddin)2009
Doktrin Nur Muhammad di alam Melayu: Kajian terhadap Pemikiran Hamzah Fansuri, Nur al-Din al-Raniri dan ‘Abd al-Rauf al-FansuriZulkefli AiniThesis (Ph.D)2008
Metodologi penulisan Mohamed Idris al-Marbawi dalam Bahr al-MadhiFaisal Ahmad ShahThesis (Ph.D)2007
Kitab idangan guru sahih al-Bukhari wa muslim karangan Idris al-Marbawi : kajian metodologi penghuraian hadithAnwar Ridwan ZakariaDissertation (M.Usuluddin)2007
 Hadis-hadis dalam Kasyf al-ghummah juzuk pertama karya Shaykh Daud al-Fatani : takhrij dan ulasanRosni WazirDissertation (M.Usuluddin)2006
Tahqiq kitab : Munyah Al-Musalli karangan Al-Alim Al-Shaykh Daud bin Abdullah Al-Fatani. DissertationMarwazi DziyauddinDissertation (M. Syariah)2005
Hadis dalam kitab al-Durr al-Thamin karangan Shaykh Daud al-Fatani : takhrij dan analisisMazlan SidekDissertation (M.Usuluddin)2005
Tafsir al-Quran di alam Melayu : kajian terhadap tafsir surah Maryam karangan Shaykh Daud bin Abdullah Al-Fatani dalam Ward Al-ZawahirSharifah Radziah Wan M. AffandiDissertation (M.Usuluddin)2005
Shaykh Nuruddin al-Raniri dan Sumbangannya kepada Pengajian al-Hadith : Kajian terhadap Kitab al-Fawa`id al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-NabawiyyahMohd. Muhiden Abd. RahmanThesis (Ph.D)2003
Sumbangan Shaykh Idris al-Marbawi : suatu kajian terhadap kitabnya Bahr al-Mazi, tumpuan kepada bab niatMuhammad Abdul RahmanDissertation (M.Usuluddin)2003
Kedudukan Hadith dalam Kitab Jawi : satu kajian terhadap karya-karya Shaykh Dawud bin Abdullah Al-FataniyFauzi DeramanThesis (Ph.D.)1997

4. BIODATA PENGARANG KITAB

4.1 Shaykh Nur al-Din al-Raniri

Nama lengkap ulama Acheh ini dicatatkan dalam karya-karyanya, termasuk dalam Al-Sirat al-Mustaqim iaitu Shaykh Nur al-Din Muhammad Jilani bin ‘Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraishi al-Shafi’i. Beliau lahir di Ranir (Randir), iaitu sebuah bandar pelabuhan lama berhampiran Gujerat, India, namun tarikh kelahiran beliau tidak tercatat dalam mana-mana karya tersebut. Bapanya berbangsa Arab keturunan Quraish yang berpindah dari Hadhrulmaut dan kemudian tinggal di India sementara ibunya berbangsa Melayu. Walaupun begitu Shaykh Nur al-Din kemudian menetap di Pahang dan Acheh mengajar ilmu dan menghasilkan pelbagai karya dalam Bahasa Melayu.

Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya Raniri. Kemudian pada tahun 1030H (1621) beliau berangkat ke Mekah serta Madinah. Di situ juga beliau menjalin hubungan dengan ramai penuntut ilmu dari Alam Melayu yang tinggal dan belajar di situ. Beliau sempat belajar dengan beberapa orang ulama besar antaranya guru tariqat Shaykh Abu Hafs ‘Umar bin ‘Abd Allah Ba Syaiban al-Hadrami (m.1066) yang terkenal di Gujerat sebagai Sayyid Umar al-Aydarus. Walaupun senarai guru beliau tidak tercatat dalam mana-mana karya, namun beliau dikatakan pernah berguru kepada bapa saudaranya yang juga pernah datang ke Acheh, Shaykh Muhammad Jaylani bin Hasan bin Hamid yang juga dikenali sebagai Shaykh Nur al-Din al- Raniri serta dengan Shaykh Muhammad Yamin al-Makki.

Setelah tamat belajar di Mekah, beliau berangkat dan tinggal Pahang yang ketika itu di bawah pemerintahan kerajaan Acheh Darussalam. Ramai yang mengambil ilmu daripada beliau, namun tiada catatan senarai nama-nama murid yang lengkap. Hanya terdapat beberapa orang sahaja yang tercatat dalam karya-karya ulama lain antara mereka ialah Shaykh Yusuf Tajul al-Khalwati (m.1699) dari Makasar, Shaykh Muhammad Ali al-Achi dan Ratu Tajul Alam Safiatuddin (Pemerintah Acheh 1641–1679) yang belajar dengan beliau sejak berusia tujuh tahun.

Terdapat catatan yang menyebutkan beliau tiba kali pertama ke Acheh pada 1577. Ini mungkin tepat jika dilihat dari aspek penghasilan karya kajian ini Al-Sirat al-Mustaqim dengan kemahiran Bahasa Melayu yang mula dikarang pada 1634. Catatan lain menyebutkan beliau tiba dan menetap di Acheh pada 6 Muharram 1047H (31 Mei 1637) pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Thani, iaitu setahun setelah kemangkatan Sultan Iskandar Muda (Pemerintah Acheh 1606 – 1636). Kedatangannya pada peringkat awal menimbulkan isu dan tentangan kerana pendangan beliau yang menolak fahaman wahdatul wujud yang dibawa oleh Shaykh Hamzah al-Fansuri dan Shaykh Syamsuddin as-Sumatra’i. Walaupun Shaykh Nur al-Din sendiri mengikuti Thariqat Rifa’iyah,  Qadiriyah, Aydarusiyyah dan sebagainya, namun ajaran tasawuf kedua-dua ajaran ulama sufi itu dianggap sesat oleh beliau. Pada masa yang sama beliau mendapat tempat sebagai mufti kerajaan serta sokongan penuh Sultan Iskandar Tsani dan tinggal di Acheh selama tujuh tahun mengajar, mengarang kitab dan menentang fahaman tasawuf wujudiyah.

Shaykh Nur al-Din al-Raniri menghasilkan pelbagai karya dalam pelbagai disiplin ilmu seperti hadith, akidah, fiqh, tasawuf, sastera, sejarah, perbandingan agama dan sebagainya. Ini bertepatan dengan keilmuannya dalam pelbagai ilmu tersebut. Hasil karyanya bukan sahaja dikarang dalam tulisan Jawi, malahan terdapat juga dalam tulisan Arab. Semua karyanya dikatakan berjumlah 34 buah (Shaghir, 1991). Antara karangan beliau adalah al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah, Fath al-Mubin ‘Ala al-Mulhidin, Bustan al-Salatin, Tibyan fi al-Ma’rifat al-Adyan dan sebagainya serta tidak ketinggalan karya fiqh kajian kertas ini, Al-Sirat al-Mustaqim. Agak menarik perlu dicatatkan karya al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah adalah merupakan karya hadith pertama dihasilkan dalam Bahasa Melayu sementara Al-Sirat al-Mustaqim pula adalah karya fiqh pertama dalam Bahasa Melayu. Hakikat ini membuktikan kehebatan beliau sebagai ulama perintis keilmuan di Alam Melayu.

Pada tahun 1054H (1644) beliau kembali ke tempat lahirnya di Ranir. Terdapat beberapa pendapatan tentang tempat beliau meninggal dunia. Ada pendapat menyebut beliau meninggal dunia di India pada 22 Zulhijjah 1069H (21 September 1658) (Daudi, 1978) dan ada pendapat beliau meninggal dunia dan jenazahnya ditemui di Kuala Acheh (Zainuddin, 1957) berdekatan Banda Acheh.

4.2 Shaykh Dawud Abd Allah al-Fathani

Ulama besar Fatani dan nusantara ini bernama Shaykh Wan Dawud bin Shaykh Wan Abd Allah bin Shaykh Wan Idris al-Fathani dan dikenali dengan panggilan Tok Sheikh Dawud Fathani. Ibu beliau bernama Wan Fathimah dan beliau mempunyai adik-beradik iaitu Shaykh Wan Abdul Qadir, Shaykh Wan Abdul Rasyid, Shaykh Wan Idris dan Siti Khadijah. Shaykh Dawud al-Fathani dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani, selatan Thailand. Terdapat pelbagai pendapat tentang tarikh tepat kelahirannya dengan ada yang menyebutkan tahun 1133H, 1153H dan ada pandangan beliau dilahirkan pada 1183H.

Beliau mendapat pendidikan Islam awal sejak kecil daripada ayah, Sheikh Wan Abdullah dan datuk beliau Sheikh Wan Idris yang merupakan para ulama besar di Fatani ketika itu. Beliau juga dikatakan pernah belajar pada peringkat awal dengan bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin di Fatani dan ketika remaja beliau dikatakan merantau ke Acheh dan belajar dengan Sheikh Muhammad Zain al-Asyi, salah seorang ulama besar di sana. Seterusnya Sheikh Dawud al-Fathani menuntut ilmu di Mekah selama 30 tahun dan di Madinah selama lima tahun dengan ramai ulama besar di sana.

Setelah lama menuntut, beliau muncul sebagai ulama yang menguasai pelbagai ilmu agama dan ilmu duniawi seperti perubatan, hisab dan falak. Namun, Sheikh Dawud Fathani tidak pulang ke tanahair, sebaliknya tinggal menetap di Mekah untuk menyampaikan ilmu di sana. Malah, beliau merupakan orang pertama yang dilantik sebagai Ketua Sheikh Haji di samping diberi kebenaran untuk mengajar dalam Masjidil Haram.

Selain mengajar, beliau juga banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang ilmu banyak sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Arab. Tulisan beliau dikatakan yang terbanyak sekali di kalangan ulama-ulama nusantara. Jumlah sebenar karyanya tidak diketahui, tetapi dihitung melebihi 60 buah kitab sama ada dalam bentuk manuskrip atau yang bercetak di merata-rata tempat seperti di Mekah, Mesir, Turki, Bombay, Thailand dan Singapura. Antara karya beliau adalah Bughyah al-Thullab, Kasyf al-Ghummah, Al-Durr al-Thamin, Jam’ al-Fawaid, Munyat al-Mushalli dan Furu’ al-Masail.

Pada penghujung hayat, beliau telah membeli sebidang tanah di Taif dan mendirikan rumah di situ. Tarikh wafatnya tidak dapat dipastikan tetapi dikatakan pada Khamis 22 Rejab 1263H ketika berusia lebih kurang 80 tahun. Ada juga pendapat yang menyatakan beliau menghembuskan nafasnya sekitar tahun 1847 dan ada juga yang menyebutkan pada 1265H. Jenazah beliau dimakamkan di Taif berdekatan makam Sayidina Abd al-Allah bin Abbas, iaitu sepupu Rasulullah SAW.

4.3 Shaykh Idris al-Marbawi

Nama beliau ialah Mohamed Idris bin ‘Abd al-Rauf al-Marbawi al-Azhari al-Malayuwi. Beliau dilahirkan pada tahun 28 Zulkaedah 1313H bersamaan 12 Mei 1896 di Makkah kerana keluarganya menetap di sana. Beliau digelar al-Marbawi sempena nama kampung asal keluarganya di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar Perak.

Pada tahun 1913, keluarganya kembali ke Tanah Melayu dan beliau dihantar mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Atas minat terhadap ilmu-ilmu Islam, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di beberapa buah sekolah pondok seperti Pondok Shaykh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain di Kedah, Pondok Shaykh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah mendalami pelbagai ilmu di Tanah Melayu, Shaykh Idris al-Marbawi menyambung pelajaran beliau di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau memperoleh Ijazah ‘Aliyah (Kelas Pertama) dan merupakan anak kelahiran Perak yang pertama mempelajari pengajian Islam di Mesir ketika itu di sana.

Beliau meninggalkan pelbagai sumbangan terutama melalui hasil penulisan. Antaranya ialah Kamus Arab-Malayu yang lebih dikenali sebagai Kamus al-Marbawi yang disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu mendapat sambutan hebat hingga diulang cetak berpuluh-puluh kali hinggalah menjadi rujukan ke hari ini. Salah satu karyanya yang dianggap terhebat pernah dihasilkan ialah Bahr al-Madhi iaitu sebuah karya terjemahan dan ulasan kepada ringkasan Al-Jami’ al-Shahih al-Tirmidhi. Selain itu, beliau juga berjaya menghasilkan lenih 20 buah karya dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Antara karya beliau ialah Tafsir Surah Yaasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Kitab Idangan Guru Sahih al-Bukhari dan Muslim, Asas Islam, Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah dan sebagainya.

Bagi menyanjung tinggi jasanya, kerajaan Malaysia telah menyampaikan anugerah pertama Tokoh Ma’al Hijrah 1408H dan beliau juga pernah dianugerahkan  Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Beliau meninggal dunia pada 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409H di Hospital Besar Ipoh ketika berumur 96 tahun. Jenazah beliau disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak.

5. METODOLOGI PENULISAN KITAB

5.1 Kitab Al-Sirat al-Mustaqim

Kitab ini adalah karya fiqh yang pertama dihasilkan dalam Bahasa Melayu di nusantara. Justeru, karya ini bolehlah dianggap sebagai perintis kepada penghasilan karya-karya fiqh lain selepasnya dan bukan sahaja digunakan di Acheh malahan di seluruh Alam Melayu mulai kurun ke-17. Walaupun begitu, karya ini hanya membicarakan persoalan fiqh ibadat sahaja yang mengandungi tujuh kitab, 21 bab dan 90 fasal (Jamalluddin, 2011; Che Siah, 2005). Ia dimulakan dengan Kitab al-Thaharah (bersuci) dan diakhir dengan Kitab al-At’imah (makanan) meliputi persoalan bersuci, solat, zakat, puasa, haji, perburuan, sembelihan dan halal haram makanan serta minuman. Jumlah kandungan bab dan fasal dalam bagi setiap kitab tersebut adalah seperti dalam Jadual 3.  

Jadual 3: Jumlah Bab dan Fasal dalam Kitab al-Sirat al-Mustaqim

KitabJumlah BabJumlah Fasal
Kitab al-Thaharah419
Kitab al-Salah1038
Kitab al-Zakah310
Kitab al-Sawm17
Kitab al-Hajj214
Kitab al-Sayd wa al-Dhabaih10
Kitab al-At’imah

Bidang fiqh lain seperti muamalat, munakahat dan jenayah Islam tidak dimuatkan dalam karya ini. Agak menarik, metodologi penulisan karya ini yang menumpukan pada bahagian fiqh ibadat sahaja kemudiannya diikuti oleh ulama-ulama lain dalam penghasilan karya yang semuanya berjumlah lima buah karya termasuk Sabil al-Muhtadin (oleh Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari), Bughyah al-Thullab (Shaykh Dawud al-Fatani), Fath al-Mubin (Shaykh Muhammad Salih al-Rawi) dan Al-Bahr al-Wafi (Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani).

Shaykh Nur al-Din al-Raniri menyebutkan sebab dan tujuan beliau mengarang karya ini dalam khutbah awal kitab yang ditulis dalam Bahasa Arab dan kemudiannya diterjemah dalam Bahasa Melayu. Beliau memulakan karyanya ini dengan basmallah, memuji kebesaran Allah SWT, bersalawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan Sahabat Baginda SAW. Kemudian setelah beliau menyebutkan karya ini dihasilkan mulai tahun 1044H (1634), beliau berkata, “Sesungguhnya telah meminta daripada aku oleh seorang sahabatku yang besar pada menghimpunkan suatu kitab pada menyatakan ilmu feqah atas mazhab Imam Syafie RA, menterjemahkan daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Jawi, supaya beroleh manfaat denganya barang siapa yang tiada mengetahui Bahasa Arab.” (h.4) Kemudian Shaykh Nur al-Din al-Raniri menyebutkan nama karya ini sebagai Al-Sirat al-Mustaqim dan dijelaskan rujukan kitab yang dianggap ‘segala pohon kitab ini’ dalam mengarangnya. Antara kitab yang menjadi rujukan beliau adalah Minhaj al-Talibin[3], Manhaj al-Tullab dan syarahnya Fath al-Wahhab Bi Sharh Manhaj al-Tullab[4], Hidayah al-Muhtaj Sharh Mukhtasar Ibn Hajj[5], al-Anwar li A‘mal al-Abrar[6] dan ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik.[7]

Shaykh Nur al-Din al-Raniri menyebutkan pada akhir karyanya ini telah selesai ditulis pada waktu Zohor hari Sabtu bulan Sya’ban tahun 1054H (1644), iaitu lebih kurang 10 tahun. Karya ini telah dicetak di tepi kitab Sabil al-Muhtadin karya Shaykh Muhammad Arsyad al-Banjari. Karya ini dalam bentuk manuskrip ada banyak tersimpan di pelbagai perpustakaan, muzium dan koleksi peribadi. Menurut Jamalluddin (2011), terdapat 106 naskah kitab al-Sirat al-Mustaqim dalam bentuk manuskrip yang dikesan sehingga Jun 2008. Sementara itu, manuskrip karya ini yang disimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia adalah sebanyak 79 naskhah setakat kertas ini ditulis. Hasil semakan penulis, terdapat 29 naskhah manuskrip lengkap sementara 50 naskah lagi tidak lengkap. Senarai naskhah yang lengkap adalah pada Jadual 4.

Jadual 4: Manuskrip al-Sirat al-Mustaqim

Bil.No ManuskripSalinan
1MS 144Disalin pada hari Isnin 1200H (1785)
2MS 237Disalin pada hari Jumaat
3MS 469Disalin oleh Tuan Lebai pada hari Rabu 17 Ramadan di Kampung Ka’ Gedong
4MS 930Disalin oleh Lebai Muhammad Mad Long pada bulan Rejab 1265 (1848)
5MS 1047Disalin daripada naskah yang ditulis pada hari Sabtu 1050H (1640)
6MSS 1569Disalin pada hari Khamis  tahun 1077H/1666M
7MSS 2248Disalin oleh Tengku Haji pada hari Isnin waktu Asar bulan Syaaban di Kampung Jempa
8MSS 2352Selesai disalin oleh Lebai Muhamamd Ali pada hari Sabtu waktu Asar
9MSS 2731Selesai disalin pada waktu zohor hari Selasa 9 Ramadan 1227H (16 September 1812) di Makkah
10MSS 2755Selesai disalin oleh Lebai Abdullah pada waktu dhuha hari Jumaat, 27 Ramadan 1193H (8 Oktober 1779) dan pemilik asal naskhah ini ialah Tuan Haji Abdul Malik Fatani
11MSS 2876Salinan Abdul Jalaluddin
12MSS 2896Salinan Ahmad ibn Lebai Yap pada waktu asar hari Rabu, bulan Zulhijah tahun 1279H (1862) di Kampung Tam’ah negeri Cenak
13MSS 3217
14MSS 3255
15MSS 3426Catatan halaman akhir pemilik asal manuskrip ialah Tengku Hassan diselesaikan pada hari Sabtu 28 Ramadan 1144H (1731)
16MSS 3500Selesai pada hari Ahad waktu Dhuha 17hb Safar
17MSS 3563Selesai disalin pada waktu Zohor hari Jumaat 14 haribulan Safar
18MSS 3811Selesai disalin pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal
19MSS 3832
20MSS 3906
21MSS 4113Salinan Tengku Lebai Husin, tamat pada hari Jumaat waktu Zohor 19 bulan Shawal
22MSS 4123Inilah kitab Tengku Syaikh Kampung Pesang, tamat pada hari Isnin 20 haribulan Syaaban
23MSS 4146Tamat ditulis pada hari Sabtu 6 Jamadil Akhir pada waktu Asar
24MSS 4147Selesai ditulis pada hari Khamis waktu Dhuha selepas bulan Syawal (Zulkaedah) pada tahun 1180H (1767)
25MSS 4148Selesai ditulis pada hari Ahad waktu Asar
26MSS 4158Selesai ditulis pada waktu Asar hari Ahad pada bulan Syawal 1150H )Februari 1738)
27MSS 4161
28MSS 4170
29MSS 4193

50 kod manuskrip yang tidak lengkap pula adalah MSS 245, MS 556, MS 575, MS 576, MS 1102, MS 1163, MS 1300, MS 1351, MS 1528, MSS 1602, MSS 1798 (A), MSS 2039, MSS 2079, MSS 2245, MSS 2267, MSS 2304, MSS 2634, MSS 2699, MSS 2855, MSS 2861, MSS 2986, MSS 2987, MSS 2994, MSS 3343, MSS 3370, MSS 3371, MSS 3391, MSS 3413, MSS 3431, MSS 3506, MSS 3518, MSS 3645, MSS 3653, MSS 3669, MSS 3677, MSS 3695, MSS 3696, MSS 3802, MSS 3803, MSS 3823, MSS 3840, MSS 3888, MSS 3889, MSS 3891, MSS 3933, MSS 3959, MSS 4020, MSS 4089, MSS 4145 dan MSS 4169.

5.2 Kitab Furu’ al-Masail

Karya ini yang nama penuhnya Furu’ al-Masail wa Usul al-Wasail telah dicetak dalam dua jilid. Pada cetakan Kaherah akhir jilid kedua, pentashihnya Uthman Salih al-Azhari menyebutkan : “Inilah kitab yang bernama Furu’ al-Masail yang mengandungi segala perkara yang bergantung dengan hukuman fiqah yang diambil dari kata beberapa ulama yang dahulu-dahulu dan yang dinaqalkan daripada bermacam-macam kita, iaitu karangan al-‘Alim al-‘Alamah al-Syeikh Dawud ibn Abd Allah Fathani.” (2/389)

Pada khutbah kitab ini, Shaykh Dawud al-Fathani menyebutkan beliau mulai mengarang karya terjemahan ini mulai tahun 1254H (1838) dan di penghujung kitab ini dicatatkan  telah diselesaikan pada Asar hari Khamis tahun 1257H (1841) di Makkah, iaitu hanya mengambil masa tiga tahun sahaja. Karya ini mengandungi cabang-cabang hukum fiqh dalam soal jawab. Pada khutbah kitab ini juga, Shaykh Dawud al-Fathani menyebutkan sebab beliau mengarang karya ini, “Bergeraklah hatiku dan cenderunglah fikirku bahawa aku hendak pungut akan beberapa soalan yang seperti mutiara dan manikam dan beberapa jawabnya yang seperti mutiara yang dinazamkan dia pada tali segala ibarat dan beberapa furu’ yang indah-indah pada bicara hukum furu’ syar’iyah.” (1/3)

Karya ini agak istimewa kerana mempunyai metod atau model penulisan tersendiri, iaitu berbentuk soal jawab fiqh terutama dalam perkara-perkara furu’ (cabang). Malah, Furu’ al-Masail adalah karya pertama dihasilkan di Alam Melayu. Reka bentuk model yang sama kemudiannya diikuti oleh Shaykh Zain al-Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal) dalam menghasilkan kitab Kasyf al-Litham. Sehingga sekarang, hanya dua karya ini sahaja yang mempunyai model atau reka bentuk penulisan tersebut (Shaghir, 1990) dan seni sebegini sukar ditemui dalam karya-karya lain.

Shaykh Dawud al-Fathani menjelaskan terdapat dua buah karya besar yang menjadi sumber terjemahan karya beliau ini, iaitu Fatawa Syams al-Millah wa al-Din oleh Shaykh Muhammad al-Ramli dan Kasyf al-Litham an As-ilah al-Anam oleh Shaykh Hussain bin Muhammad al-Mahalli, iaitu dua buah karya besar dalam mazhab al-Shafi’i (1/3). Karya ini disusun mengikut bab fiqh (abwab al-fiqh) dengan jilid satu bermula dengan Kitab Pada Menyatakan Thaharah dan diakhiri dengan Kitab Pada Menyatakan Hukum Berburuan dan Menyatakan Sembelihan. Jilid kedua pula dimulai dengan Kitab Pada Hukum Jual Beli dan diakhiri karya ini dengan Kitab Pada Menyatakan Merdeka.

Kitab ini sudah dicetak beberapa kali di Kaherah, Fatani dan beberapa tempat lain. Cetakan karya ini juga bersekali di tepinya dengan karya Kasf al-Ghummah, juga merupakan karya Shaykh Dawud al-Fathani yang membicarakan persoalan kematian dan hari kiamat. Manuskrip karya ini terdapat 27 buah di PMM, PNM dengan lima buah adalah naskhah lengkap sementara bakinya 22 buah tidak lengkap. Naskhah yang lengkap adalah seperti dalam Jadual 5.

Jadual 5: Manuskrip Furu’ al-Masail Lengkap

Bil.No ManuskripSalinan
1MSS 1688Disalin oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Samad pada 1268H (1851)
2MSS 1911Selesai disalin oleh Muhammad Fatani pada tahun 1274H (1857)
3MSS 2041
4MSS 3504
5MSS 3593

Naskhah manuskrip Furu’ al-Masail yang tidak lengkap sebanyak 22 buah pula adalah MS 553, MS 664, MS 709, MS 917, MS 918, MS 1130, MS 1166, MS 1211, MS 1264, MS 1414, MS 1474, MSS 1945, MSS 2045 (1), MSS 2222, MSS 2629, MSS 2639, MSS 2552, MSS 2897, MSS 3347, MSS 3553, MSS 3554 dan MSS 3921.

5.3 Kitab Bahr al-Madhi

Bahr al-Madhi atau nama penuhnya Mukhtasar Sahih al-Turmudhi wa Syarhuhu bi Lughah al-Jawi al-Malayu al-Musamma Bahrul Mazi ini dianggap sebagai karya terawal dan berbesar dalam tulisan jawi yang dihasilkan oleh seorang ulamak Alam Melayu hingga ke hari ini. Salah satu keunikan karya ini adalah dicetak dan diterbitkan di Mesir dan sehingga hari ini tidak dapat dikesan manuskrip karya ini di Malaysia. Karya ini mengandungi 22 jilid dan merupakan terjemahan dan ulasan dalam Bahasa Melayu daripada ringkasan kitab Al-Jami’ al-Shahih oleh Imam al-Tirmidhi (m.279H). Kitab yang dikarang dalam tulisan jawi tradisional ini dimulakan dengan jilid 1 berkaitan Thaharah, diikuti Jilid 2 dan 3 berkaitan Solat dan jilid terakhir menjelaskan tentang Tafsir. Dua jilid termuat dalam sebuah buku, justeru karya ini mempunyai 11 buah.

Penulis memulakan karya ini dengan khutbah kitab dengan pujian kepada Allah SAW, selawat dan salam kepada nabi Muhammad SAW, keluarga dan Sahabat. Beliau seterusnya menceritakan detik awal yang menimbulkan minat beliau untuk menulis, “Adalah kemudian daripada sudah aku mengaji kitab yang bernama Sahih al-Tirmidhi sudahlah jatuh di dalam hatiku berahi dan suka kepadanya oleh aturannya dan kenyataannya pada segala hukum syariah Nabi kita Muhammad SAW”(1/2). Seterusnya Shaykh Idris al-Marbawi menyebutkan beliau mengarang karya ini dengan memasukkan perkataan Imam al-Shafi’i dalam al-Umm, Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ibn al-‘Arabi dan sebagainya. Beliau juga menyebutkan tujuan karya ini dihasilkan adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT untuk meninggikan kalimah Allah serta menyebarkan hadis-hadis Nabi SAW kepada masyarakat yang tidak memahami bahasa Arab.

Karya ini tidak menyebutkan sanad secara penuh seperti yang dimaklumkan pada khutbah kitab bertujuan untuk lebih ringkas. Pada setiap hadith yang diambil daripada kitab Imam al-Tirmidhi tersebut, Shaykh Idris al-Marbawi hanya meletakkan seorang perawi sahaja, iaitu perawi a’la (tertinggi). Penyusunan kandungan babnya dimulakan dengan disebutkan matan hadith serta terjemahannya. Kemudian penulis akan mengulas hadith tersebut mengikut hukum fiqh melalui beberapa permasalahan hukum mengikut mazhab al-Shafi’I yang disusun mengikut nombor pada setiap jilid. Kata beliau pada khutbah kitab, “Dan aku jadikan masalah belaka bagi menyenangkan penuntutnya istimew pula sekalian masalah itu ada berlainan maka ditaruh angka, kerana terkadang satu masalah itu bertali-mali dengan beberapa masalah yang lepas dan yang dihadapan lagi.” (1/3)

Secara umum terdapat lebih kurang 3,016 buah hadith dan 8200 masalah hukum-hakam agama dalam 22 jilid karya ini. Suatu perkara yang istimewa tentang karya Al-Jami’ al-Shahih oleh al-Tirmidhi adalah terdapat komentar beliau tentang klasifikasi hadith. Justeru, Shaykh Idris al-Marbawi juga tidak ketinggalan untuk mengulangi komentar tersebut dalam terjemahannya. Di samping itu, beliau juga ada menerangkan sedikit tentang maksud hadith sahih, hasan dan gharib dalam khutbah karyanya ini. Menurut Faisal (2007), terdapat enam metod Shaykh Idris al-Marbawi mensyarahkan hadith dalam Bahr al-Madhi iaitu berdasarkan petunjuk al-Quran, dengan hadith lain, dengan al-Athar, melalui kaedah Bahasa Arab, dengan menukilkan pandangan ulama mutaqaddimin dan mutaakhirin serta menukilkan pandangan gurunya dan tokoh-tokoh ulama pada zamannya.

Pada jilid terakhir dinyatakan penulisan karya ini diselesaikan pada malam 2 haribulan Jamadil Akhir tahun 1377H bersamaan 24 Disember 1957 di Mesir. Namun, karya ini mula dicetak dalam tulisan jawi secara berperingkat di Kaherah, Mesir sejak tahun 1933 hinggalah diselesaikan pada tahun 1960. Di Malaysia, karya ini sudah ditransliterasi ke tulisan rumi dan diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication yang juga mengandungi 22 jilid. Walaupun begitu, sehingga kini penulis belum menjumpai sebarang manuskrip berkaitan karya Bahr al-Madhi.

6. EMAS DALAM AL-QURAN DAN HADITH

Emas[8] pada sepanjang zaman dianggap sebagai simbol kekayaan, kemashyuran dan kecantikan. Teks al-Quran dan hadith banyak menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Dalam al-Quran, perkataan al-zahab dan dinar adalah rujukan kepada emas. Perkataan al-zahab (emas) diulangi dalam lapan ayat iaitu pada Surah Ali ‘Imran 3:14, Ali ‘Imran 3:91, al-Taubah 9:34, al-Kahfi 18:31, al-Hajj 22:23, al-Faatir 35:33, al-Zukhruf 43:53 dan al-Zukhruf 43:71 (al-Baqi, 1994). Kalimah dinar pula disebut sekali dalam al-Quran, iaitu pada Surah Ali ‘Imran 3:75.

Hadith pula banyak menyentuh fungsi dan tema emas dalam pelbagai aspek, antaranya :

  • Alat pertukaran (matawang dinar);
  • Perkakasan seperti hukum bejana dan pedang;
  • Perhiasan seperti pakaian dan cincin;
  • Pembayaran zakat emas dan perak;
  • Harta simpanan emas;
  • Hukum galian emas;
  • Jual beli emas;
  • Mahar (maskahwin)
  • Perumpamaan dengan menggunakan emas bagi mengambarkan ketinggian dan kehebatan; dan sebagainya

Dalam sejarah ekonomi Islam, emas merupakan matawang dan aset simpanan yang baik. Emas dirujuk sebagai matawang dinar dalam firman-Nya : “Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya”. (Ali Imran : 75) Selain digambarkan sebagai harta kekayaan dalam surah Ali Imran 3:14, Ali Imran 3:91, al-Nisa’ 4:20, al-Taubah 9:34, al-Zukhruf 43:33-35, al-Quran juga mendedahkan emas akan kekal sebagai barang berharga sehingga hari akhirat seperti dalam surah al-Isra’ 17:93, al-Kahfi 18:31, al-Hajj 22:23, al-Faathir 35:33, al-Zukhruf 43:53, al-Zukhruf 43:71 dan al-Insan 76:21.

Begitu juga selain dijadikan barang kemas, emas juga menjadi penyimpan kekayaan yang paling unggul. Ini kerana ia tidak boleh dibinasakan dan tidak hilang nilainya. Kebenaran emas adalah penyimpan nilai yang stabil boleh disaksikan melalui nilai harga emas yang hampir sama sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah zaman sekarang. Dalam sebuah hadith daripada Sahib bin Garqadah berkata: “Saya mendengar penduduk bercerita tentang ‘Urwah, bahawa Nabi SAW memberikan wang satu dinar kepadanya agar dibelikan seekor kambing untuk beliau; lalu dengan wang satu dinar tersebut ia membeli dua ekor kambing, kemudian ia jual satu ekor dengan harga satu dinar. Ia pulang membawa satu dinar dan satu ekor kambing. Nabi SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam jual belinya. Seandainya ‘Urwah membeli tanah pun, ia pasti beruntung.” (riwayat al-Bukhari). Hadith ini menjelaskan harga seekor kambing pada zaman Rasulullah SAW lebih kurang satu dinar. Agak menarik, kestabilan harga emas terbukti dengan harga seekor kambing pada zaman kini juga lebih kurang RM750.00 atau satu dinar (bersamaan nilaian 4.25 gram emas) (Riwayat al-Tirmidhi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad).

Untuk masyarakat moden kini yang suka kepada transaksi atau jual beli emas dengan matawang, hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit berikut menjelaskan beberapa syarat yang perlu dipatuhi seperti bayaran tunai, serahan dalam majlis akad dan tiada penangguhan masa. Sabda Rasulullah SAW : “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika berlainan jenis, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh).” (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i, dan Ahmad).

7. TEMA EMAS DALAM KITAB FIQH JAWI

7.1 Perkakasan Emas

Orang Islam dilarang makan dan minum mengunakan perkakasan yang diperbuat daripada emas dan perak. Pengharaman bekas makanan dan minuman daripada emas atau perak ini dipakai kepada setiap Muslim, lelaki atau perempuan, tua atau muda, untuk kegunaan sendiri atau orang lain, kecil atau besar peralatan tersebut (Al-Khatib, 1994). Perkara ini dijelaskan dalam hampir keseluruhan karya fiqh. Dalam Al-Sirat al-Mustaqim, Shaykh Nur al-Din al-Raniri mencatatkan pada Fasal Pada Menyatakan Memakai Segala Bejana daripada Emas dan Perak, “(Bermula) haram atas segala akal baligh lelaki dan perempuan memakai [bejana][9] emas dan memakai emas dan perak jikalau kerana bekas bersuci atau lainnya atau kerana akan dirinya atau lainnya atau setengah emas dan setengah yang lain daripadanya seperti emas dengan tembaga atau perak dengan tembaga atau kerana ditaruhnya jikalau kecil sekalipun kerana sebab ditegahkan Nabi SAW daripada demikian itu seperti sabda Nabi SAW : Yakni jangan kamu makan dan minum pada segala bejana emas dan perak dan lagi sabda Nabi SAW : Barangsiapa makan dan minum pada segala bejana emas dan perak maka serasa ia memasukkan ke dalam perutnya api neraka.” (h.24). Kemudian beliau menyebutkan sebab pengharaman tersebut, “(Adapun) sebab ditegahkan Nabi SAW itu kerana memegahkan dan membesarkan dirinya dan memecahkan hati segala orang yang papa.” (h.24)

Shaykh Nur al-Din al-Raniri kemudian menyenaraikan perkakasan yang haram diperbuat daripada emas dan perak, “Dan haram memakai cungkil gigi daripada emas dan perak atau pencolek telinga atau pegawai permainan[10] atau culim[11] atau kaki dian atau perasapan[12] jikalau dengan disahaja dari jauh dicium baunya sekalipun.” (1/24-25). Berhubung dengan emas yang disadur atau ditampal pada logam lain seperti tembaga, beliau menjelaskan, “(Dan demikian lagi) jikalau daripada emas ditampalkan pada barang yang suatu jikalau kecil kerana hajat sekalipun haram jua.” (h.25). Begitu juga hukum suasa[13] atau emas yang bercampur dengan logam lain, “(Dan demikian lagi) haram memakai suasa dan perak asam[14] yang dicampurkan daripada tembaga atau barang sebagainya.” (h.25) Walaupun begitu “Melainkan halal memakai mulamma[15] daripada emas dan perak jika tiada diperolehnya emas atau perak itu diambil daripadanya tatkala dimasukkan kepada api.” (h.25)

Shaykh Idris al-Marbawi pula menyebutkan pada Masalah 81, “Bermula menghias apa-apa perkakas dan kelengkapan rumah dan lainnya dengan emas itu haram ia, sama ada banyak atau sedikit, sama ada ditempelkan kepada sesuatu benda seperti bejana dan lainnya atau tidak ditempelkan.” (j.12) Pada Masalah 226 dijelaskan contoh-contoh peralatan yang diharamkan tersebut dengan lebih terperinci, “Dan seperti diperbuat bekas daripada labu, sudu, senduk, mangkuk, pinggan, cawan dan lainnya maka haram atas lelaki dan perempuan.” (j.12)

Sementara itu, Shaykh Dawud al-Fathani pula menjelaskan, “Haram memakai bejana emas dan perak dan jikalau bagi celak mata bagi laki-laki dan perempuan demikian lagi diambil akan petaruhan daripada keduanya bagi perhiasan, haram.” (1/20) Berhubung dengan perkakasan yang bersalut emas, jawapannya sama seperti penerangan ulama lain, “Maka jika seorang disadur bejana tembaga atau besai dengan emas atau dengan perak, maka jika ada sadurnya itu tiada dapat dikeluarkan dia dengan dibakarkan di dalam api yakni tiada dapat diambil emasnya dan peraknya maka iaitu halal sebab sedikitnya maka seumpama ketiadaan lagi, dan jika dapat dikeluarkan dia dengan dibakar di dalam api maka haram memakai dia.” (1/21)

Walaupun begitu, harus menggunakan perak untuk membuat halkah[16] atau rantai bagi kekapuran[17]. Ini disebutkan oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri, “Halal memakai daripada perak diperbuatkan halkah atau rantai pekapuran tembaga atau akan kepalanya[18] dan barang sebagainya jika sedikit maka harus.” (1/26)

7.2 Perhiasan Emas

Seperti larangan menggunakan perkakasan yang diperbuat daripada emas, ia juga dilarang untuk menghiaskan peralatan dengan emas. Shaykh Nur al-Din al-Raniri menjelaskan perkara tersebut, “(Bermula) haram atas lelaki dan khunsa yang akal baligh memakai emas dan perak seperti gelang dan pontoh[19] atau dokoh[20]”. (1/26) Tentang perhiasan peralatan lain diterangkan, “Demikian lagi haram atas lelaki dan perempuan berbuat daripada emas dan perak akan perhiasan segala kitab dan bekas dakwat dan sekalian[21] yang kecil akan perancung qalam[22] atau pengiris barang suatu atau daripada gunting atau pada cermin atau akan kaki dian atau akan pelita atau akan qandil masjid atau akan Kaabah Allah sekalipun.” (1/26)

Namun, diharuskan pada peralatan-peralatan tertentu yang diperbuat daripada perak seperti kata Shaykh Nur al-Din al-Raniri, “(Dan yang demikian lagi) haram emas diperbuat akan pengubung[23] jari lebih daripada seruas jari dan diperbuat akan permata cincin atau akan kepalanya (cincin-P) atau akan perhiasan mushaf (al-Quran-P) sekalipun (tetapi) jika daripada perak akan perhiasan mushaf halal.” (1/26).

Shaykh Dawud al-Fathani menjelaskan perkata ini dalam soalan berkaitan hiasan al-Quran, “Apakah hukumnya jikalau perempuan menghiasi akan Qurannya dengan emas kemudian ia jual bagi laki-laki atau disewanya baginya atau pinjam ia akan dia adakah halal lelaki memakai dengan umpama dibacanya padanya (maka jawabnya) adalah padanya itu tempat nadar (pandangan-P) dan yang menegahkan dia itu hampir, dan atas katanya haram itu jika hasil kita keluarkan emasnya apabila dilentang atas api, dan jika tiada boleh dikeluarkan emasnya lagi maka harus memakai laki-laki perempuan.” Perkara ini juga serupa dengan masalah bejana yang disalur dengan emas. (1/200)

7.3 Peralatan Senjata Perang Emas

Islam mengharuskan perhiasan senjata daripada perak kepada lelaki, tetapi haram jika menghiasinya dengan emas. Harus menghias dengan perak berdalilkan hadith yang menyebutkan ulu pedang Rasulullah SAW yang diperbuat daripada perak (al-Tirmidhi, 1996). Ini disebutkan oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri dalam karyanya, “(Adapun) halal pada lelaki daripada perak akan perhiasan pegawai[24] segala senjata seperti pedang dan keris dan pada lembing dan kepala panah dan pada matanya dan pada baju zirah[25] dan pada moza[26] dan barang sebagainya dengan sepatutnya, jika berlebih-lebihan haram jua.” (1/27-28)Namun, haram membuat perhiasan kenderaan perang sama ada daripada emas atau perak seperti dijelaskan oleh beliau, “(Tetapi) haram daripada emas dan perak akan perhiasan kenderaan seperti pelana dan kekang dan barang sebagainya.” (1/28)

7.4 Pakaian Emas

Memakai sutera dan emas bagi perempuan adalah harus. Namun, ia diharamkan bagi lelaki. Shaykh Nur al-Din al-Raniri pada Fasal Pada Menyatakan Segala Pakaian telah menyebutkan hadith Nabi SAW : “Yakni sabda Nabi SAW dihalalkan Allah Taala memakai emas dan sutera bagi segala ummatku perempuan juga dan diharamkannya memakai atas segala ummatku lelaki.”. (1/26) Kemudian dijelaskan lagi, “Haram atas lelaki dan khunsa yang akil baligh memakai emas dan perak seperti gelang, pontoh atau dokoh.” (1/26) Shaykh Idris al-Marbawi juga menyebutkan pengharaman bagi lelaki sama ada sedikit ataupun banyak pada Masalah 141, “Ketahuilah kiranya, ya saudaraku haram atas lelaki memakai sutera dan emas itu sedikitnya atau banyaknya, kerana emas satu galian yang tinggi harganya.” (j.12) Pada masalah ini juga, beliau menjelaskan sebab pengharamannya sebagai “maka menggunakannya pada pakaian lelaki membawa kepada memboroskan dan memegah-megahkan.” (j.12)

Bagi pakaian wanita dan kanak-kanak lelaki daripada emas, Shaykh Nur al-Din al-Raniri menyebutkan, “Bermula halal pada perempuan dan kanak-kanak lelaki yang belum baligh memakai segala pakaian emas dan perak seperti gelang dan subang dan kancing baju jika tiada berlebih-lebihan daripada ugahari adat dan keroncong jika kurang daripada 200 dinar[27] (tetapi) jika genap 200 dinar maka iaitu haram lagi kena zakat.” (1/29)

Shaykh Idris al-Marbawi pula membawakan beberapa pendapat pada Masalah 145 dengan menukilkan kata-kata Imam Nawawi RH dalam Syarah Muslim, “Telah berkata ashhab kita harus memakaikan kanak-kanak itu perhiasan emas dan sutera pada hari raya, kerana tidak taklif atas mereka itu. Adapun memakaikan sutera dan emas pada lain daripada hari raya itu, maka harus ada khilaf ulama pada tiga macam jalan, yang lebih ashahnya harus; dan qaul yang keduanya haram; dan qaul yang ketiganya haram, kemudian daripada sudah mumaiyiz.” (j.12)

Shaykh Dawud al-Fathani menjelaskan lebih lanjut walaupun harus, sebaiknya kanak-kanak tidaklah perlu dipakaikan perhiasan emas supaya tidak menjadi suatu yang sebati dengan mereka, “Maka harus dipakai kanak-kanak sekira-kira jangan melebihkan tetapi serta harus makruh dan meninggalkannya daripada memakai akan dia aula supaya jangan biasa baginya dan jangan jinak tatkala besarnya jadi payah dibuangkan dia.” (1/131)

7.5 Cincin Emas

Perempuan diharuskan memakai cincin daripada emas sementara lelaki harus memakai cincin daripada perak. Tentang lelaki yang memakai cincin emas, Shaykh Idris al-Marbawi menyatakan pada Masalah 170, “Ketahuilah kiranya, ya saudaraku telah lalu di dalam Masalah 141 itu hadith yang menunjukkan atas haram memakai emas itu seumumnya, yakni sedikit atau banyak atau besar atau kecil dan pada masalah ini menunjukkan hadith tegah yang tertentu pada cincin emas, dan dengan hadith umum itu menunjukkkan tertegah semuanya walau kana sebesar jarum sekalipun. Maka tegah itu, iaitu bagi lelaki memakai seperti cincin itu. Adapun perempuan tiada tertegah memakainya.” (j.12)

Menyentuh tentang cincin yang bercampur atau bersadur emas, Shaykh Idris al-Marbawi menyebutkan pada masalah 172 dengan membawa kata-kata Imam Nawawi RH dalam Syarah Muslim, “Maka iaitu haram ia atas lelaki dengan ijma’ ulama. Dan begitu juga haram jikalau ada setengahnya emas dan setengahnya perak, hingga berkata ashhab kita kalau adalah gerigi cincin itu daripada emas ataupun bersadur dengan sedikit emas, maka iaitu haram jua kerana umum hadithnya.” (j.12) Shaykh Dawud al-Fathani juga menjelaskan perkara yang sama dalam soalan, “Adakah harus bagi perempuan dan laki-laki ia menghiasi khatmah (cincin-P) dengan emas dan perak atau tiada harus (maka jawabnya) harus bagi laki-laki dan perempuan menghiasi dengan perak dan harus bagi perempuan menghiasi dengan emas pula, tiada pada laki-laki.” (1/200).

7.6 Anggota Badan dengan Emas

Harus umat Islam untuk menggantikan gigi dan menyambungkan hidung dengan emas. Shaykh Nur al-Din al-Raniri menjelaskan, “Halal atas lelaki dan perempuan berbuat emas akan hubung hidung rompong[28] atau diubah akan ganti gigi yang tanggal atau akan ganti seruas jari yang puntung[29].” (1/27) Begitu juga menyambung pada hujung jari dengan kadar seruas. Shaykh Idris al-Marbawi menyebutkan pada Masalah 83 dengan menukilkan kata-kata Imam Nawawi RH dalam Syarah al-Muhazzab, “Telah berkata ashhab kita Syafi’i, harus bagi seorang menaruh ganti hidungnya yang rompong itu dan ganti giginya yang patah atau cabut itu dengan emas atau perak, begitu juga harus mengikat gigi sakit dengan emas dan dengan perak, dan diharuskan juga menaruh emas di hujung-hujung jari.” (j.9) Shaykh Nur al-Din al-Raniri juga menjelaskan perkara tersebut, “(Dan yang demikian lagi) haram emas diperbuat akan pengubung jari lebih daripada seruas jari.” (1/27)

Shaykh Idris al-Marbawi menyebutkan sebab emas diharuskan dalam perkara tersebut keranan emas tidak berbau. Ini dijelaskan pada Masalah 22, “Tetapi jikalau diperbuatkan balut gigi atau ganti hidung maka iaitu harus ia kerana emas itu airnya bersih, maka dengan sebab bersihnya tiadalah mendatangkan bau busuk seperti galian yang lain daripadanya.” (j.12) Sebenarnya hukum keharuskan gigi emas adalah diqiaskan pada dalil keharuskan hidung emas. Setelah membawakan dalil hadith al-Tirmidhi yang menunjukkan boleh membuat hidung dengan emas, Shaykh Idris al-Marbawi menyebutkan, “Dengan hadith ini jadi dalil bagi ulama atas harus mengikat gigi dengan emas itu kerana disuruh Nabi itu buatkan hidung daripada emas supaya hilang busuk. Dengan itu diqiaskan boleh buat gigi daripada emas supaya tidak busuk.” (j.12)

Menyentuh tentang menggantikan emas pada jari (lebih daripada seruas) dan pada tangan, Shaykh Idris al-Marbawi memaparkan dua perbezaan pendapat pada Masalah 83, “Yang pertama: Harus ia semacam mana membuatkan hujung jari. Maka dengan dia memutus oleh al-Qadhi Husain dalam Ta’liqnya. Dan yang lebih masyhurnya tidak harus. Maka dengan dia memutus oleh al-Faurani dan al-Rawayani dan yang mempunyai kitab al-‘Uddah dan al-Bayan kerana jari dan tangan daripada emas perak itu tiada boleh ia bekerja sebagai kerja asalnya, bersalahan hujung jari.” (j.12)

Selain harus digunakan pada anggota tersebut, emas dan perak itu tidak dikenakan zakat. Ini dijelaskan oleh Shaykh Dawud al-Fathani, “Demikian lagi tampal hidung yang ropang atau ganti bagi gigi yang tercabut dan cincin perak laki-laki kadar yang pada uruf tiada berlebih-lebih namanya tiada zakat pada segala perkara itu.” (1/198)

7.7 Zakat Emas

Zakat emas adalah wajib. Shaykh Idris al-Marbawi setelah membawa sebuah hadith pada bab Pada Menyatakan Zakat Emas dan Perak  menjelaskan pada Masalah 317, “Ya saudaraku dengan hadith yang di dalam Masalah 316 itu, terang-teranganlah ia menunjukkan atas wajib mengeluarkan zakat emas dan perak. Kata Nawawi (RA) di dalm Syarah al-Muhazzab: Wajib zakat pada emas dan perak dengan ijmak.” (j.4) Namun, logam lain tidak dikenakan zakat seperti kata-kata Imam al-Nawawi RA yang dibawakan oleh Shaykh Idris al-Marbawi pada Masalah 318, “Tiada zakat pada lain daripada emas dan perak daripada segala batu-batu permata seperti yaqut, fairuz, mutiara, berlian, manikam, zamrud, zabarjad, besi… kerana tiada datang nas syarak pada mengeluarkan zakatnya.” (j.4) Berhubung dengan emas yang bercampur dengan logam lain, Shaykh Nur al-Din al-Raniri yang membicarakan zakat emas dalam Bab Zakat al-Naqd (Bab Pada Menyatakan Zakat Emas dan Perak) menjelaskan, “Tiada wajib zakat emas dan perak yang bercampur dengan yang lain melainkan sampai nisab emas yang dicampur itu.” (2/66) Ini juga ditegaskan oleh Shaykh Idris al-Marbawi pada Masalah 324, “Kata Nawawi: Mazhab kita tiada zakat pada wang emas dan perak yang dicampuri melainkan sampai bersihnya kira-kira cukup nisab. Dan dengan dialah berkata Jumhur al-Ulama.” (j.4)

Zakat emas tidak dikenakan hinggalah cukup nisabnya. Shaykh Nur al-Din al-Raniri menjelaskan tentang nisab dan kadar zakat, “Maka nisab emas itu 20 misqal dan zakatnya tengah misqal dengan timbangan makkah.” (2/65) Justeru, apabila cukup nisab 20 misqal hendaklah dikeluarkan zakat sebanyak setengah misqal atau 1/40. Jika kurang, tidak boleh mencukupkan nisab dengan ditambah dengan perak walaupun berkurangan sedikit sahaja. Shaykh Idris al-Marbawi menjelaskan pada Masalah 322, “Kata Nawawi: Mazhab kita tiada dicukupkan nisab perak dengan emas dan tiada pula emas dicukupkan nisabnya dengan perak.” (j.4) Namun, terdapat perbezaan pendapat ulama jika emas yang melebihi nisab walaupun sedikit. Pendapat ini dikemukakan oleh beliau pada Masalah 321, “Dan adapun emas maka mazhab kita nisabnya 20 misqal, maka wajib juga keluarkan zakat pada yang lebih 20 misqal itu dengan kira-kira rubu’ al-asyar [1/40] juga dan dengan dialah berkata jumhur daripada salaf dan khalaf.” (j.4)

Tentang syarat wajib zakat Shaykh Nur al-Din al-Raniri menyebutkan, “(Syahdan) bahawa syarat wajib zakat naqd (emas dan perak-P) itu hendaklah ada ia dipermilik setahun genap.” (2/66) Genap setahun ini dinamakan cukup haul. Shaykh Idris al-Marbawi membawa kata-kata Imam al-Nawawi RA pada Masalah 325, “Kata Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab: Bermula mazhab kita, mazhab Malik, Ahmad dan jumhur bahawasanya disyaratkan pada harta yang wajib zakat pada ainnya dan diiktibarkan padanya haul seperti emas, peraka dan binatang-binatang hidupan.” (j.4) Namun, zakat galian berbentuk emas tidak disyaratkan pemilikan setahun ini, Shaykh Nur al-Din al-Raniri menjelaskan, “Adapun syarat zakat naqd harta yang dapat daripada taruhan orang zaman jahiliyah pada bumi yang tiada kediami manusia atau diramaikan akan dia maka didapatinya dengan koreknya bumi atau dizahirkan air sebak akan dia jika ada ia sampai nisab maka wajib mengeluarkan dia zakatnya khumus, iaitu seperlima, jumlahnya empat misqal tetapi tiada disyaratkan genap setahun dalam miliknya.” (2/67)

Shaykh Dawud al-Fathani pula menjelaskan pelbagai masalah cabang tentang hukum-hakam zakat emas dalam Bab Pada Menyatakan Zakat Emas dan Fidhdhah. Terdapat 10 soalan dan jawapan berkaitan emas diberikan merangkupi persoalan berikut :

  • Tafsiran ayat berkaitan zakat emas dan perak;
  • Sebab dinamakan emas ‘dhahab’ dan perak ‘fidhdhah’;
  • Haul zakat disebabkan putus masa kerana memberi hutang kepada orang;
  • Zakat harta yang berulang-ulang setiap tahun;
  • Sebab hanya logam emas dan perak dikenakan zakat;
  • Nisab emas dan perak;
  • Apa kadar misqal dan dirham;
  • Apa zakat pada 20 misqal emas;
  • Adakah wajib zakat pada emas dan perak yang bercampur dengan yang lain;
  • Adakah wajib zakat pada permata manikam lain daripada emas dan perak (seperti intan, zamrud, luqluq dan fairuz);
  • Adakah zakat emas, perak dan buah-buahan terdapat waqas (tiada dikenakan zakat antara dua nisab);
  • Apa pandangan mazhab lain daripada al-Syafi’i tentang waqas pada zakat emas dan perak;
  • Hukum zakat pada bejana yang bercampur emas dan perak;
  • Hukum zakat pakaian dan bejana emas atau perak yang haram atau makruh;
  • Adakah emas yang disimpan cukup nisab termasuk tiada diambil manfaat yang dikenakan zakat;
  • Hukum zakat pada patung rupa binatang daripada emas dan perak;
  • Hukum perempuan dan kanak-kanak memakai kain yang ditenun dengan benang emas; dan
  • Hukum memakai cincin emas.

7.8 Zakat Pakaian Emas

Seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa pakaian wanita daripada emas yang melebihi adat akan dikenakan zakat seperti kalam Shaykh Nur al-Din al-Raniri menyebutkan, “Bermula halal pada perempuan dan kanak-kanak lelaki yang belum baligh memakai segala pakaian emas dan perak seperti gelang dan subang dan kancing baju jika tiada berlebih-lebihan daripada ugahari adat dan keroncong jika kurang daripada 200 dinar (tetapi) jika genap 200 dinar maka iaitu haram lagi kena zakat.” (1/29) Walaupun begitu, sebenarnya terdapat pendapat-pendapat lain daripada kalangan ulama dalam hal ini. Shaykh Idris al-Marbawi telah menyentuh permasalahan zakat pakaian emas dalam satu bab khas Pada Menyatakan Zakat Pakaian Emas dan Perak dengan membawa nukilan Imam al-Tirmidhi pada Masalah 383, “Dan telah bersalah-salahan ahli al-Ilm pada pakaian emas dan perak adakah dizakatkan dua atau tiada. Maka telah memikirkan setangah daripada ahli al-Ilm daripada Sahabat Nabi SAW dan al-Tabi’in akan zakat pada pakaian emas dan perak sebagaimana wajibnya emas dan perak. Maka dengan dialah berkata Sufyan al-Tsawri dan ‘Abd Allah ibn al-Mubarak. Dan berkata setengah daripada Sabahat Nabi SAW setengah daripada mereka itu Ibn Umar, ‘Aishah, Jabir bin ‘Abd Allah dan Anas bin Malik tiadalah pada emas perak bagi pakaian itu dikeluarkan zakatnya, maka beginilah diriwayatkan setengah fuqaha al-Tabi’in dan dengan dialah berkata Malik bin Anas, al-Shafi’i, Ahmad dan Ishaq.” (j.12)

Shaykh Idris al-Marbawi kemudiannya membawa pendapat mazhab al-Shafi’i pada Masalah 384 dengan membawa kalam daripada Imam Nawawi RA dalam kitab al-Majmu’ yang membezakan hukum dari aspek haram atau harus memakai emas, “Telah berkata al-Shafi’i dan al-Ashhab, maka tiap-tiap yang diambil daripada emas dan perak diperbuatkan pakaian dan lainnya apabila dihukumkan oleh syarak haram memakainya ataupun makruh, nescaya wajiblah padanya zakat dengan ketiadaan khilaf, dan telah menaqalkan ulama padanya ijmak al-Muslimin. Dan jika adalah ia harus memakainya, maka pada wajib zakatnya itu dua qaul [pendapat], bermula yang masyhurnya lagi yang ashahnya di sisi al-Ashhab tiada wajib sebagaimana tiada wajib pada pakaian yang dibadan dan kelengkapan rumah dan binatang-binatang yang dibuatkan kerja daripada unta, lembu, kerbau.” (j.12)

7.9 Riba dalam Penggunaan Emas / Transaksi Emas

Persoalan emas juga disebut bila dibicarakan persoalan riba dan al-Sarf. Hal ini dibincangkan apabila menyentuh tentang hadith yang menyebutkan emas adalah salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) dalam hadith sahih daripada ‘Ubadah bin al-Samit bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh).” (Riwayat Muslim).

Shaykh Idris al-Marbawi membicarakan persoalan ini pada Masalah 154 hinggalah Masalah 161. Selepas membawa hadith dengan maksud yang hampir sama, beliau menyebutkan pada Masalah 155, “Kata Nawawi RA di dalam Syarah al-Muhazzab: Pada segala hadith yang tersebut dalam Muslim itu menunjukkan haram riba pada enam perkara; emas dan perak dan gandum dan sya’ir (barli-P) dan kurma dan garam.” (j.9) Shaykh Dawud al-Fathani menyebutkan jawapan kepada jenis-jenis harta yang terdapat riba, “Dan adalah baginya yang ada padanya riba iaitu saman (nilai) iaitu emas dan perak; dan bagi makanan banyak baginya ada kalanya makanan mengenyangkan seperti gandum dan sya’ir, dan bersedap-sedap iaitu seperti tamar dan zabib; dan ada kalanya membaikkan seperti garam dan segala bagi rempah.” (2/11)

Shaykh Idris al-Marbawi menjelaskan pada Masalah 155 juga, “Maka kata ahli al-Dhohir, tiada riba pada lain daripada itu yang enam menurut atas asal mereka itu pada nafi qiyas; dan kata sekalian ulama yang lain daripada mereka itu – tiada tertentu riba pada enam itu sahaja bahkan melampaui kepada barang yang ia ada pada maknanya, maka iaitu barang yang menyekutu akan dia pada illah.” (j.9) Menyentuh tentang sebab haram riba pada perkara tersebut, beliau membawa kata-kata Imam Shafi’i pada Masalah 156, “Bermula illat pada emas dan perak itu ialah keadaan keduanya jenis berharga.” (j.9)

Shaykh Idris al-Marbawi membawa syarat hukum transaksi emas dengan emas pada Masalah 154, “Sekiranya berjual emas dan perak jaga-jaga dua hukum : (1) Jika berjual dengan sejenis yakni perak dengan perak atau emas dengan emas jangan ada berlebih-lebihan timbangan bahkan harus berjual satu dengan satu itu bersamaan timbangan, jikalau antara emas sama-sama emas itu berlebih kurang pada darjah emasnya sekalipun. (2) Hendaklah ingat-ingat jangan bertangguh, yakni jikalau hendak jual emas sama-sama emas atau perak sama-sama perak yang bersamaan timbangan tadi jangan sekali-kali bertangguh bahkan maulah berunjuk beri di dalam waktu berakad jua.” (j.9)

Tentang syarat transaksi barangan ribawi yang sama jenis lain, Shaykh Dawud al-Fathani menyebutkan, “Jika menjual harta riba itu dengan jenisnya, apa syaratnya sah jual belinya atau yang lain jenisnya demikian jua, (maka jawabnya) adapun jika adalah keduanya jenisnya yang satu peperti emas dengan emas atau perak dengan perak atau gandum dengan gandum atau beras dengan beras atau tamar dengan tamar atau zabib dengan zabib atau garam dengan garam, maka disyaratkan sahnya adalah keduanya bersamaan dengan timbang pada bandingan ditimbang atau sukat pada bandingan disukat; dan lagi hendaklah tunai pada majlis akad; dan lagi berunjuk-unjukkan tangan dengan (tangan, tidak bertangguh-P) inilah syarat yang tiga pada sah jual (harta-P) riba dengan jenisnya. (2/11) Kemudian dijelaskan transaksi barangan ribawi yang berlainan jenis tetapi illah yang sama, “Dan jika berlainan jenisnya seperti emas dengan perak; dan gandum dan beras atau tamar dengan zabib atau garam dengan rempah-rempah maka syaratkan dua syarat [1]ada tunai pada majlis akad dan [2]berunjuk-unjukkan.”, sementara transaksi pada barangan yang mempunyai illah yang tak sama, “dan jika bukan illat ribanya seperti riyal dengan makanan maka tiada syarat padanya suatu jua.” (2/12)

Persoalan tentang hukum-hakam berkaitan transaksi emas ini juga dijelaskan oleh Shaykh Idris al-Marbawi pada Masalah 156 seperti berikut :

  • Dan telah ijmak ulama atas harus jual ribawi dengan ribawi yang tiada bersekutu-bersekutunya pada illat itu dengan berlebih-lebih kurang dan bertangguhan bayarannya, misalnya seperti berjual emas dengan gandum, dan menjual perak dengan sya’ir..
  • Dan telah ijmak ulama atas tiada harus berjual ribawi dengan sejenisnya dan salah satunya dengan bertangguh, dan juga tiada harus berlebih berkurang berjual sejenisnya itu pada sekarang itu; seperti emas dengan emas.”
  • Dan juga tiada harus bercerai antara yang berjual dengan yang membeli sebelum berterima-terimaan apabila jual akan dia dengan sejenisnya atau dengan ketiadaan sejenisnya daripada barang yang menyekutu akan dia pada illat; seperti emas dengan perak, dan gandum dengan sya’ir.” (j.9)

Kedua-dua ulama tersebut menjelaskan secara panjang lebar tentang syarat transaksi emas ini dan secara ringkasnya adalah seperti dalam Jadual 6 berikut.

Jadual 6: Syarat Transaksi Emas

 MatawangMakanan AsasiBarangan Lain
 EmasPerakRinggitGandumBarliKurmaGaram
Emas1, 2, 3, 42, 3, 42, 3, 455555

Syarat: 1-Timbangan sama berat; 2-Bayaran tunai; 3-Serta-merta tiada tempoh penangguhan; 4-Serahan dan penerimaan barang dalam majlis akad; 5-Tiada sebarang syarat

8. PENUTUP

Emas sebagai barangan berharga mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat. Dalam karya fiqh, ulama Islam tidak ketinggalan dalam memperkatakan hukum-hakamnya kerana syariat Islam bersandarkan kepada al-Quran dan hadith. Justeru, apabila sumber Islam tersebut, khususnya hadith memperkata prasyarat pemilikan dan transaksi emas, umat Islam hendaklah mematuhi segala yang ditentukan itu. Kesimpulannya, tematik emas dalam kerangka fiqh Islam suatu yang penting untuk difahami dan diamalkan kerana ia boleh membawa kita kepada ketaatan atau keengkaran, dosa atau pahala.

RUJUKAN

Al-Qur’an al-Karim

Abd al-Baqi, Muhammad Fuad  (1994). Mu’jam al-Mufahris li Alfaz al-Quran al-Karim. Beirut: Dar al-Ma’rifah

Al-Bukhari, Abu `Abd Allah Muhammad bin Isma`il (1991M), Sahih al-Bukhari. 5 j. Beirut : Dar al-`Asriyah.

Al-Darimi, `Abd Allah bin `Abd al-Rahman (1407H/1978M), Sunan al-Darimi. 2 j. Kaherah : Dar al-Rayan li al-Turath.

Al-Khatib, Shams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Sharbini (1994). Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani AlFaz al-Minhaj. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah.

Al-Marbawi (t.t). Qamus Idris al-Marbawi. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Alamiyah.

Al-Marbawi, Muhammad Idris (t.t). Bahr al-Madhi. 22 j. Kaherah: Dar al-Fikr.

Al-Nasa’i, Abu `Abd al-Rahman Ahmad bin Syu`ayb (1991M), Sunan al-Nasa’i, 8 j. Beirut : Dar al-Ma`rifah.

Al-Sakhr, Holy Quran, ver. 6.31. (CD)

Al-Sakhr, Mawsu`ah al-Hadith al-Syarif, ver. 2. (CD)

Al-Sijistani, Abu Dawud Sulayman (t.t), Sunan Abi Dawud, 4 j. Kaherah : Dar al-Hadith.

Al-Tirmidhi, Abu `Isa Muhammad bin `Isa (t.t), Al-Jami’ al-Sahih, 5 j. Kaherah : Dar al-Hadith.

Azyumardi Azra (1995). Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abd XVII dan XVIII. Bandung: Penerbitan al-Mizan

Che Siah, Che Man (2005). Manuskrip MS 469: Kitab Sirat al-Mustaqim, Kitab Ilmu Fiqah Pertama dalam Bahasa Jawi (Melayu). Dlm. Jurnal Filologi Melayu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia

Daudi, Ahmad, M.A (1978). Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Jakarta: Penerbitan Bulan Bintang.

Dawud bin Abd Allah al-Fathani (t.t) Furu’ al-Masail. 2 j. Kaherah: Maktabh al-Iman.

Faisal Ahmad Shah (2007). Metodologi penulisan Mohamed Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Madhi. Thesis (Ph.D.), Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Fauzi Deraman (1997). Kedudukan Hadith dalam Kitab Jawi : satu kajian terhadap karya-karya Shaykh Dawud bin Abdullah Al-Fataniy. Thesis (Ph.D.), Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

http://www.goldfacts.org/en/media/faqs/question/what_is_gold/

Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (1413H/1993M), Al-Musnad. 6 j. Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyah.

Ibn Majah, Abu `Abd Allah Muhammad bin Yazid (1994M), Sunan Ibn Majah. Kaherah : Dar al-Hadith.

Ibn Manzur, Muhammad bin Mukarram (1993), Lisan al-`Arab. Beirut : Muassasah al-Tarikh al-`Arabi.

Jamalluddin Hashim (2011). Kitab Al-Sirat Al-Mustaqim karangan Shaykh Nur Al-Din Al-Raniri (Kitab Al-Taharah dan Al-Salah) : Teks dan Analisis. Thesis (Ph.D), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei (2003). Kamus Bahasa Melayu Nusantara. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Malik bin Anas (1413H/1993M), Al-Muwatta’, 2 j. Kaherah : Dar al-Hadith.

Mohd Kassim Hj. Ali (1990). Barang Kemas Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Muhiden Abd. Rahman (2006). Riwayat Hidup Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Sumbangannya kepada Pengajian Hadith. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Muslim bin al-Hajjaj (1412H/1991M), Sahih Muslim, 5 j. Kaherah : Dar al-Hadith.

Noresah Baharom (2007), Kamus Dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nur al-Din al-Raniri (t.t). Al-Sirat al-Mustaqim. Dlm. Sabil al-Muhtadin li Tafaqqah fi Amr al-Din. Fatani: Matba’ah bin Halabi.

Perpustakaan Negara Malaysia. Katalog Manuskrip Melayu Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia [termasuk Tambahan Pertama – Tambahan Keenam]

Shagir, Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah (1990). Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara. Shah Alam: Penerbitan Hizbi.

_________ (1991). Khazanah Karya Pusaka Asia Tengara Jilid 2. Kuala Lumpur:  Khazanah Fathaniyah.

_________ (2002). Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara Jilid 4. Kuala Lumpur:  Khazanah Fathaniyah.

Wahyunah, Hj. Abd. Gani (1991). Panduan Kosa Kata Sastera Klasik. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wensinck, A.J (1936), Al-Mu`jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi. Leiden : E.J. Brill

Yaakob Isa (1997). Kamus Bahasa Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn Bhd.

Zainuddin, H. M. (1957), Tarich Atjeh dan Nusantara, Medan: Penerbit Pustaka Iskandar


[1] Kertas kerja ini dibentangkan dalam Nadwah Ulama Nusantara (NUN V) pada 9 hingga 10 September 2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan anjuran Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan JAKIM.

[2] Najahudin Lateh merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Malaysia. Penyelia utama beliau ialah Profesor Madya Dr. Ghafarullahuddin Hj. Din (UiTM), sementara penyelia bersama ialah Profesor Dr. Muhamad Rahimi Osman (UiTM), Profesor Madya Ezani Yaakob (UiTM) dan Dr. Salmy Edawati Yaacob (Universiti Kebangsaan Malaysia UKM)

[3] Minhaj al-Talibin Wa ‘Umdah al-Muftin, karya Imam al-Nawawi RA yang merupakan ringkasan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi‘i.

[4] Kedua-duanya karya Imam Abu Zakaria al-Ansori. Kitab Fath al-Wahhab adalah syarah kepada Manhaj al-Tullab yang merupakan ringkasan Minhaj al-Talibin.

[5] Karya ini belum dipastikan nama sebenar kitab dan penulisnya walaupun Syeikh Nur al-Din menyebutkan penulisnya ialah Ibn Hajar al-Haytami.

[6] Karya Jamal al-Din Yusuf b. Ibrahim al-Ardabili.

[7] Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik karya Shihab al-Din Abu ‘Abbas Ahmad b. Lu’lu’ b. ‘Abd Allah Ibn al-Naqib al-Rumi.

[8] Emas adalah logam berwarna kuning yang mahal harganya, selalunya dijadikan perhiasan seperti cincin, subang dan lain-lain (Kamus Dewan. h.386) Simbol kimia bagi emas adalah “Au”, iaitu singkatan bagi perkataan Latin, ‘Aurum’. (http://www.goldfacts.org/en/media/faqs/question/what_is_gold)

[9] Perkataan ‘bejana’ tiada pada naskah di tepi Sabil al-Muhtadin.

[10] Pegawai permainan adalah alat permainan yang melalaikan.

[11] Culim adalah paip tembakau yang dihisap. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h. 517)

[12] Perasapan adalah tempat membakar kemenyan dan sebagainya. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h. 148)

[13] Suasa adalah campuran emas dan tembaga. (Kamus Dewan. h.1229)

[14] Perak asam adalah perak campuran.

[15] Mulamma’ adalah sesuatu yang disadur. (Qamus Idris al-Marbawi. j.1 h.365 dan j.2 h.288)

[16] Halkah atau khalkah adalah gelang pada penutup bekas pekapuran (Panduan Kosa Kata Sastera Klasik. h.88; Kamus Dewan, h.396)

[17]Pekapuran adalah bekas yang diperbuat daripada logam sebagai tempat mengisi kapur untuk disapu pada sirih (Kamus Dewan (2007)

[18] Kepalanya adalah penutup pekapuran.

[19] Pontoh adalah gelang besar daripada emas dan perak yang berukir nagak atau merak yang dipakai di lengan, siku atau pergelangan tangan. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h. 2126)

[20] Dokoh adalah loket daripada emas dan berhiaskan batu permata di tengahnya. (Barang Kemas Melayu Tradisi)

[21] Pada naskah lain [sikin] iaitu pisau.

[22] Perancung qalam adalah pisau untuk meruncing mata pensil.

[23] Pengubung adalah penyambung.

[24] Pegawai adalah peralatan, perkakasan. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h.2020)

[25] Baju Zirah adalah baju besi, baju rantai (Kamus Bahasa Melayu Klasik. h. 216)

[26] Moza adalah mojah, khuf kaki yang diperbuat daripada kulit yang nipis. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h.1817)

[27] 200 dinar bersamaan 850 gram emas (satu dinar = 4.25 gram emas)

[28] Rompong adalah patah atau terpotong hujungnya. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h.2295)

[29] Puntung adalah kudung. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara. h.2167)