Isu-Isu Berkaitan Kewangan Islam Dalam Perundangan Negara

Abstrak: Kerangka perundangan sistem kewangan Islam di Malaysia masih lagi tertakluk kepada undang-undang sivil. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan yang membahagikan bidang kuasa negeri dan pusat telah meletakkan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes pertikaian berkaitan kewangan islam. Perkara ini menyebabkan banyak tafsiran mahkamah sivil yang berkaitan kontrak dan aplikasi kewangan islam bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah kerana ia masih tertakluk kepada undang-undang sivil. Justeru, kajian ini akan membicarakan persoalan-persoalan ini dengan memberi tumpuan kepada keputusan-keputusan dan tafsiran-tafsiran mahkamah sivil dalam kes-kes kewangan dan perbankan Islam. Seterusnya, penulis akan mencadangkan beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan untuk memperkasakan undang-undang Islam yang berkaitan kewangan islam dan peranan Mahkamah Syariah.

Isu-Isu Berkaitan Kewangan Islam Dalam Perundangan Negara[1]

Najahudin Lateh

Sharifah Norzehan Syed Yusuf

Mohamed Azam Mohamed Adil (Prof. Madya, Dr.)

Siti Noorbiah Md Rejab

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

PENGENALAN

Malaysia telah muncul sebagai pemain sistem kewangan Islam yang rancak dan komprehensif sejak pertengahan tahun 80-an. Ini sejajar dengan penggubalan Akta Bank Islam (ABI) 1984 dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983 yang membolehkan transaksi perbankan dan kewangan Islam dijalankan mengikut prinsip syariah. Hal ini dikembangkan dengan kewujudan perlindungan insurans secara Islam melalui Akta Takaful (AT) 1984. Pindaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dengan memasukkan Seksyen 124 pula telah melebarluaskan Sistem Perbankan Islam (SPI) ke dalam bank-bank konvensional. Kewujudan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 kemudiannya telah menjadikan sistem kewangan Islam maju setapak lagi terutama dalam pasaran modal Islam. Namun, di sebalik graf kemajuan ini hakikatnya sistem ini masih lagi dibelenggu dengan pelbagai gaya halangan terutama dalam aspek perundangan. Kerangka perundangannya masih kabur dan terus dibayangi dengan kuasa sivil yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan bukannya di atas prinsip syariah. Kes-kes mahkamah berkaitan muamalat Islam telah menjadi saksi bagaimana undang-undang syariah seolah-olah berada di kandang orang salah dalam mahkamah sivil.

Penulisan ini akan menyentuh perkara di atas dengan tumpuan kepada tiga elemen utama :

  1. Kedudukan Islam dan Mahkamah Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan;
  2. Kerangka perundangan sistem kewangan Islam; dan
  3. Analisis kes dan isu-isu berkaitan kes-kes kewangan Islam di mahkamah serta cadangan penambahbaikan operasi sistem ini.

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia telah menetapkan dalam Perkara 3 (1) bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan. Walaupun begitu, Perkara 74 (2) pula menyatakan urusan berkaitan Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri dan bukannya di bawah persekutuan. Bidang kuasa yang diberikan itu pula mempunyai batasan seperti yang tercatat dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) seperti berikut :

1.Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”

Menurut Mahmud Saedon (1998), Islam sebagai agama bagi persekutuan bukanlah bermaksud undang-undang Islam menjadi undang-undang negara. Malah, undang-undang negeri yang digubal sekiranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal setakat yang berlawanan seperti yang dimaktub dalam Perkara 4 (1). Justeru, bidang kuasa negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam adalah terhad. Ruang lingkup undang-undang Islam seperti yang termaktub di atas bolehlah diklasifikasikan kepada beberapa perkara seperti berikut :

  • Kekeluargaan Islam seperti pertunangan, perkahwinan, perceraian, nafkah, hadhanah dan sebagainya.
  • Pengurusan harta Islam seperti pusaka, harta sepencarian, wasiat, wakaf, zakat, baitulmal atau hasil Islam.
  • Pengurusan masjid dan tempat ibadah orang Islam.
  • Kesalahan-kesalahan Jenayah yang melibatkan orang Islam yang diberi kuasa oleh perlembagaan seperti tidak solat Jumaat, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, meminum arak dan sebagainya.
  • Kawalan pengembangan agama atau doktrin kepada orang Islam.

Undang-undang Islam pada masa sekarang hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja dan dalam perkara yang terhad sahaja iaitu perkara-perkara berhubung dengan keluarga dan agama Islam dengan pengertian yang sempit. Malah, Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 memperuntukkan :

Kecuali ada peruntukan yang telah dibuat atau akan dibuat oleh undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaya, Mahkamah akan (a) di Malaysia Barat atau di sebarang bahagian daripadanya menguatkuasakan Common Law England dan peraturan-peraturan Ekuiti seperti yang ditadbirkan di England pada 7 April 1956.

Akibatnya, undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia, kecuali jika ada undang-undang bertulis yang lain, adalah undang-undang Inggeris dan undang-undang Inggerislah yang menjadi undang-undang asas dan undang-undang negeri di Malaysia (Ahmad Ibrahim, 1997:14-15).

MAHKAMAH SYARIAH DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan Mahkamah Syariah seperti dalam peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.  Peruntukan tersebut adalah seperti berikut :

…kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”

Peruntukan di atas jelas menunjukkan bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah adalah terhad kepada skop tertentu dan terpakai ke atas orang Islam sahaja. Mahkamah Syariah beroperasi berdasarkan Enakmen Pertadbiran yang wujud di negeri-negeri dan mempunyai bidang kuasa Jenayah dan Mal (Sivil) seperti di mahkamah sivil. Namun, bidang kuasa jenayah hanyalah terhad kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang tidak melebihi hukuman tiga tahun penjara, denda RM 5,000.00, enam kali sebatan atau gabungannya.[2]

Begitu juga dalam bidang kuasa Mal (Sivil), Mahkamah Syariah hanya berkuasa mendengar kes-kes hal ehwal Islam yang menyentuh perkara dalam ruang lingkup seperti yang dijelaskan di atas. Menurut Mahmud Saedon (1998), undang-undang Islam yang boleh diaplikasikan tersebut adalah sempit, iaitu undang-undang keluarga dan diri yang hanya berkuatkuasa ke atas orang Islam dan di bawah bidang kuasa terhad yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan sahaja.

Walaupun begitu, pindaan perlembagaan dalam Perkara 121 (1A) yang memisahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil sedikit sebanyak memberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk beroperasi tanpa gangguan. Pindaan pada tahun 1988 ini menyatakan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun, adakah kewangan Islam yang dibincangkan dalam kertas ini termasuk dalam bidang kuasa khas Mahkamah Syariah tersebut? Hakikatnya, tidak! Ini kerana bidang kuasanya hanyalah dalam perkara-perkara di atas dan tertakluk kepada orang Islam sahaja. Malah, sehingga kini semua kes berkaitan kewangan Islam dibicarakan di Mahkamah Sivil. Inilah sesuatu yang malang bagi sistem kewangan Islam di negara kita iaitu Mahkamah Sivil menjadi pemutus bagi pertikaian yang melibatkan undang-undang Islam.

KEWANGAN ISLAM DALAM KERANGKA PERUNDANGAN MALAYSIA

Perlembagaan Persekutuan secara jelas tidak memperuntukan perkara khusus berkait dengan perbankan atau kewangan Islam. Malah, peruntukan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) yang menyentuh tentang undang-undang Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya menyebut secara khusus perkara lain seperti undang-undang keluarga dan diri. Mungkin yang boleh dikaitkan hanyalah klausa ‘hukum Syarak’ dan ‘hukum dan doktrin Syarak’ yang terbuka kepada hukum syariat termasuklah yang berkaitan dengan kewangan Islam. Ini kerana persoalan tentang kewangan adalah di bawah bidang kuasa persekutuan yang disebutkan dalam Perkara 7, Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan). Ini menyebabkan sebarang pertikaian urus niaga kewangan Islam akan dibicarakan di Mahkamah Sivil dan bukannya di Mahkamah Syariah.

Walaupun begitu, sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia bolehlah dibanggakan. Ini kerana kerana Sistem Perbankan Islam (SPI) dibenarkan beroperasi sama seperti perbankan konvensional. Malah, selain SPI yang wujud secara total di bank-bank Islam, sistem ini juga telah diwujudkan di bank-bank konvensional melalui penawaran produk-produk berasaskan kontrak Islam. Sistem kewangan dan perbankan Islam ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kerangkanya tertakluk kepada prinsip-prinsip syariah dan undang-undang sivil. ABI 1983 (Akta 276) sendiri dalam Seksyen 2 (Tafsiran) memperuntukkan :

 “Perniagaan bank Islam bermaksud perniagaan bank yang tujuan dan operasinya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh agama Islam.”

Tafsiran ‘perniagaan takaful’ dalam Seksyen 2 (Tafsiran) Akta Takaful (AT) 1984 dan ‘perniagaan bank Islam’ dalam Seksyen 124 (7)(c) BAFIA 1989 juga menyebutkan maksud yang sama. Malah, Seksyen 8(5) dan 11(1)(a) AT 1984 memperuntukkan pendaftaran perniagaan takaful boleh ditolak dan boleh dibatalkan jika terlibat dengan elemen-elemen yang bertentangan dengan syarak. Justeru, sebarang traksasi kewangan Islam mestilah berdasarkan syariah Islam di samping mengikut undang-undang sivil yang sedia ada. Ia mesti bersih daripada unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam seperti riba, gharar, perjudian, penipuan dan sebagainya.

Kerangka perundangan bagi sistem kewangan Islam di Malaysia sebenarnya tertakluk kepada kuasa persekutuan seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan. Ini bermakna ia tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen sebelum boleh beroperasi. Justeru, terdapat beberapa akta yang diluluskan bagi mengawal selia operasi kewangan dan perbankan Islam. Akta-akta tersebut bolehlah dibahagikan kepada undang-undang primer (regulatori) dan undang-undang sekunder (substantif). Undang-undang primer adalah akta yang digubal untuk mengawal operasi perbankan dan kewangan Islam seperti Akta Bank Negara 1958 (sekarang Akta Bank Negara 2009), Akta Bank Islam 1983, Akta Pelaburan Kerajaan 1983, Akta Takaful 1984, Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 dan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Undang-undang sekunder pula adalah beberapa pindaan kepada beberapa peruntukan akta yang sedia ada supaya sistem perbankan dan kewangan Islam boleh beroperasi secara betul dan memenuhi kehendak kontrak yang tidak melibatkan riba seperti Akta Kontrak 1950, Akta Syarikat 1965, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Sewa Beli 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967,  Akta Kebankrapan 1967, Akta Pencegahan Wang Haram 2001 dan sebagainya.

Operasi sistem kewangan Islam ini pula dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selaku badan utama yang mengawasi dan menyelia perjalanan semua institusi kewangan dan perbankan di Malaysia, sama ada sistem Islam atau konvensional. Sebarang permohonan atau pembatalan lesen institusi kewangan, perbankan, produk dan sebagainya adalah di bawah kelulusan dan kuasa BNM. Selain itu, Seksyen 3 (5) (b) ABI 1983 dan Seksyen 124 (3) BAFIA 1989 pula mensyaratkan semua bank  Islam dan bank konvensional yang menyertai SPI mestilah menubuhkan Majlis Pengawasan Syariah (MPS) sendiri. MPS ini berperanan untuk mengawal selia operasi dan produk kewangan Islam yang ditawarkan adalah bertepatan dengan syariah. Malah, BNM sendiri melalui Akta Bank Negara, Bahagian VII (Perniagaan Kewangan Islam) Bab I diperuntukkan mesti menubuhkan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan (MPSK) pada 2007 yang berfungsi memberi cadangan, penentuan hukum dan pandangan berkaitan sistem kewangan dan perbankan.

Secara umum kerangka perundangan kewangan Islam bolehlah digambarkan melalui jadual berikut :

Text Box:

KES-KES MAHKAMAH BERKAITAN KEWANGAN ISLAM

Seperti yang disebutkan di atas, persoalan kewangan terletak di bawah kuasa persekutuan dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian berkaitan kewangan Islam. Oleh itu, semua kes mahkamah berkaitan muamalat Islam akan didaftar dan didengar di Mahkamah Sivil, iaitu di Mahkamah Tinggi Dagang 4 jika didaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Menurut Laporan Tahunan Mahkamah-mahkamah Atasan dan Rendah di Malaysia 2006/2007, sebanyak 478 kes telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur dari 1 Julai 2006 hingga 30 Jun 2007 dengan 80 peratus (382 kes) berjaya selesai. Namun, baki kes tertunggak keseluruhan sehingga 1 Julai 2007 adalah sebanyak 554 kes.

International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) telah menyenarai sebanyak 26 kes berkaitan kewangan Islam yang dibicarakan sepanjang tahun 1987 hingga 2009 dan mendapat perhatian pengkaji. Senarai kes tersebut adalah seperti berikut[3] :

  1. Tinta Press Sdn Bhd v Bank Islam (M) Bhd [1987] CLJ 396 / [1987] 2 MLJ 192
  2. Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Bin Omar [1994] 3 CLJ 735 / [1994] MLJU 221
  3. Dato’ Hj Nik Mahmud Daud v Bank Islam Malaysia Bhd [1998] 3 CLJ 605
  4. Bank Islam Malaysia Bhd v Shamsuddin Bin Haji Ahmad [1999] 1 LNS 275 / [1999] MLJU 450
  5. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd v Nesaretnam Samyveloo [2002] 8 CLJ 95 / [2002] 7 MLJ 103
  6. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd v Emcee Corporation Sdn Bhd [2003] 1 CLJ 625 / [2003] 2 MLJ 408
  7. Bank Islam Malaysia Berhad v Pasaraya Peladang Sdn Bhd [2004] 7 MLJ 355 
  8. Tahan Steel Corporation Sdn Bhd v Bank Islam Malaysia Bhd [2004] 6 CLJ 25 / [2004] 6 MLJ 1
  9. Arab-Malaysian Merchant Bank Bhd v Silver Concept Sdn Bhd [2008] 6 MLJ 295
  10. Affin Bank Bhd v Zulkifli Abdullah [2006] 1 CLJ 438
  11. Malayan Banking Bhd v Marilyn Ho Siok Lin [2006] 3 CLJ 796
  12. Malayan Banking Bhd v Ya’kup Oje & Anor [2007] 5 CLJ 311 / [2007] 6 MLJ 389
  13. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd v PSC Naval Dockyard Sdn Bhd [2008] 1 CLJ 784 / [2007] MLJU 0722
  14. Arab-Malaysian Finance Bhd v Taman Ihsan Jaya Sdn Bhd & Ors, Koperasi Seri Kota Bukit Cheraka Bhd (Third Party) and Other Cases [2009] 1 CLJ 419 / [2008] 5 MLJ 631
  15. Majlis Amanah Rakyat v Bass Bin Lai [2009] 2 CLJ 433
  16. Bank Islam Malaysia Berhad v Lim Kok Hoe & Anor and other Appeals [2009] 6 CLJ 22 / [2009] 6 MLJ 839
  17. Light Style Sdn Bhd v KFH Ijarah House (Malaysia) Sdn Bhd [2009] CLJ 370 / [2009] 1 LNS 193
  18. Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad v Foreswood Industries Sdn  Bhd [2007] MLJU 664
  19. Fadzillah Ahmadi Bin Alii v Mayban Finance Berhad [2007] MLJU 663
  20. Bank  Muamalat  Malaysia  Bhd  v  Suhaimi  Bin  Md  Hashim  &  Anor [2007] 1 MLJ 275
  21. Southern Bank Bhd v Ayer Keroh Park Sdn Bhd [2005] 6 CLJ 134 / [2005] 4 AMR 597
  22. Malayan Banking Berhad v Zainal Abidin Abdullah & Anor [2008] MLJU 180
  23. Assets Investments Pte Ltd v OSK Securities Bhd [2005] 6 MLJ 643 / [2005] 7 CLJ 401 / [2005] 6 AMR 671
  24. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia v Sea Oil Mill Sdn Bhd & Anor [2003] MLJU 207 / [2003] 1 LNS 718
  25. Oriental Bank Berhad v Gandingan Ilmu Sdn Bhd & Ors [2003] MLJU 485
  26. Bank Industri (M) Bhd v Technopro Corporation (M) Bhd [1998] 6 MLJ 754

ISU-ISU PERUNDANGAN BERKAITAN DENGAN SISTEM KEWANGAN ISLAM

Sistem Kewangan Islam di Malaysia bolehlah dikatakan wujud secara konkrit sejak kewujudan ABI 1983. Namun, sehingga kini pelbagai polemik perundangan telah timbul dan hangat diperkatakan di dalam dan di luar mahkamah. Isu-isu yang timbul ini kadang-kadang boleh membantutkan operasi serta merendahkan tahap kebolehpercayaan awam terhadap kewangan Islam. Antara isu yang muncul di mahkamah berkaitan perkara ini adalah seperti berikut :

  • Bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam Kes Muamalat.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, kes-kes muamalat atau kewangan Islam tidak dibicarakan di Mahkamah Syariah sebaliknya didaftar dan dibicarakan di Mahkamah Sivil. Ini telah dihujahkan dalam kes Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Bin Omar [1994] 3 CLJ 735 / [1994] MLJU 221 bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa dalam perkara di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) dan melibatkan orang Islam sahaja. Justeru, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes tersebut kerana pelanggan bank tersebut juga terdiri daripada orang Islam. Malah, bank Islam itu sendiri adalah sebuah badan korporat dan tidak dianggap seseorang yang menganut Islam. Ini bermakna Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes tersebut. Malah, ABI 1983 dan AT 1984 sendiri tidak memperuntukkan sebarang bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk bertindak dalam pertikaian berkaitan muamalah Islam. Ini menyebabkan hanya mahkamah sivil mempunyai kuasa luas dalam soal ini.

Mahkamah juga menimbulkan undang-undang berkaitan kewangan dan termasuklah perbankan adalah termasuk di bawah Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) yang tertakluk di bawah undang-undang statut dan undang-undang Inggeris. Malah, menurut Seksyen 5 (1) dan diperkuatkan dengan Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 bahawa mahkamah boleh menggunakan undang-undang Inggeris sekiranya tidak wujud peruntukan undang-undang bertulis tentang sesuatu perkara seperti dalam persoalan atau isu berkaitan bank dan perbankan. Pemakaian undang-undang Inggeris turut membawa kepada doktrin ‘duluan mengikat’ dengan kes yang diputuskan oleh mahkamah atasan akan mengikat keputusan oleh mahkamah bawahan (Norhashimah Mohd Yasin, 2003).

  • Kontradiksi Undang-undang Sivil dengan Konsep Syariah

Sistem kewangan Islam di Malaysia tidak mempunyai undang-undang atau akta yang lengkap untuk beroperasi. Ia hanyalah diurus selia oleh beberapa akta khas seperti ABI 1983 dan AT 1984. Ini menyebabkan kewangan Islam masih bergantung harap kepada akta-akta sivil untuk beroperasi. Dalam kes Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Bin Omar [1994] 3 CLJ 735 / [1994] MLJU 221, mahkamah memutuskan perbankan Islam masih tertakluk dalam operasinya kepada undang-undang sivil seperti Akta Kontrak 1950, Kanun Tanah Negara 1956, Akta Syarikat 1965, Akta Sewa Beli 1967 dan pelbagai akta serta undang-undang lain.

Hal ini menyebabkan berlakukan kontradiksi antara akta-akta tersebut dengan prinsip-prinsip syariah. Sebagai contohnya, prinsip syariah melarang berlakunya dua kontrak dalam satu akad. Namun, Akta Sewa Beli 1967 membenarkan akad seperti ini. Ini bertentangan dengan prinsip syariah yang hanya membenarkan dua kontrak itu dilakukan secara berasingan. Sebab itulah, institusi kewangan Islam menawarkan produk sewa beli ini dengan menggunakan kontrak al-Ijarah Thumma al-Bay’ (sewa diikuti dengan pembelian) atau al-Ijarah Muntahiyah bi Tamlik (sewa berakhir dengan pemilikan).

  • Penafsiran Kontrak Kewangan Islam dengan Kontrak Konvensional

Dalam kes Tinta Press Sdn Bhd v Bank Islam (M) Bhd [1987] CLJ 396 / [1987] 2 MLJ 192, mahkamah telah mentafsirkan kontrak yang dipakai adalah sewaan sedangkan bank tersebut mengguna pakai kontrak al-Ijarah dalam urus niaga antara mereka. (Ahmad Ibrahim, 1997) Mahkamah juga merujuk undang-undang Inggeris tanpa merujuk kepada undang-undang Islam walaupun akad tersebut adalah al-Ijarah. (Ahmad Hidayat, 2001)

Begitu juga dalam kes Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Bin Omar [1994] 3 CLJ 735 / [1994] MLJU 221 dan kes Affin Bank Bhd v Zulkifli Abdullah [2006] 1 CLJ 438, hakim merujuk kontrak Bay’ Bithaman ‘Ajil (BBA) yang dimeterai sebagai pinjaman (loan). Ini bertentangan dengan muamalat Islam yang meletakkan bayaran lebihan kepada pinjaman adalah riba, sedangkan kontrak BBA adalah margin keuntungan yang telah dipersetujui. Ini kerana BBA adalah jualan dengan harga tertangguh dan bukannya pinjaman seperti yang difahami dalam kontrak konvensional. Sebab itulah, bank-bank yang menawarkan modal secara Islam seperti BBA melabelkannya sebagai pembiayaan dan bukannya pinjaman seperti di bank konvensional lain.

Mahkamah lebih selesa berhujah tentang faedah (interest) dalam kontrak tersebut sedangkan BBA menggunakan prinsip keuntungan (profit). Dalam kedua-dua kes ini dan kes-kes yang lain, mahkamah tidak merujuk kontrak tersebut kepada muamalat dan prinsip syariah, sebaliknya merujuk kepada peraturan yang wujud dalam sistem konvensional.

  • Tuntutan Keseluruhan Keuntungan Sebelum Tamat Tempoh Pembiayaan

Isu ini timbul daripada kontrak BBA yang kita telah sebutkan di atas. BBA adalah kontrak jual beli secara tertangguh di mana pelanggan membayar jumlah harga jualan secara ansuran kepada pihak bank. Harga jualan ini meliputi harga belian dan ditambah dengan keuntungan yang telah ditetapkan. Namun, masalah timbul apabila kontrak ditamatkan dengan sebab-sebab kemungkiran tertentu seperti pelanggan gagal membayar ansuran yang ditetapkan. Ini bererti walaupun kontrak berlangsung separuh jalan, namun pelanggan mesti membayar baki keseluruhan jumlah harga jualan (pembiayaan) tersebut.

Hal ini menjadi isu di mahkamah sama ada pelanggan perlu membayar harga pembelian sahaja atau membayar dengan harga jualan termasuk keuntungan sehingga tamat tempoh perjanjian. Justeru dalam banyak kes, mahkamah menganggap jumlah harga jualan yang mesti dibayar adalah tinggi dan bertentangan dengan konsep keadilan dalam Islam. Sebagai contoh, hakim dalam kes Malayan Banking Bhd v Ya’kup Oje & Anor [2007] 5 CLJ 311 / [2007] 6 MLJ 389 berpandangan jumlah pembayaran balik dalam kontrak BBA tersebut adalah keterlaluan dan jauh daripada adil jika dibandingkan dengan perbankan konvensional. Mahkamah dalam kes Arab-Malaysian Finance Bhd v Taman Ihsan Jaya Sdn Bhd & Ors, Koperasi Seri Kota Bukit Cheraka Bhd (Third Party) and Other Cases [2009] 1 CLJ 419 / [2008] 5 MLJ 631 pula menganggap kontrak BBA bertentangan dengan Islam dan keuntungan transaksi ini ada persamaan dengan eleman riba seperti dalam pinjaman bank konvensional.

Banyak lagi ulasan-ulasan mahkamah sivil berkaitan transaksi BBA ini. Hakikatnya dalam prinsip muamalat, BBA adalah suatu kontrak jual beli dan bukannya pinjaman. Harga jualan, iaitu harga pembelian dan keuntungan telah ditetapkan dan dipersetujui terlebih awal. Cuma pembayaran harga jualan ini berlaku secara ansuran setiap bulan hingga tamat tempoh pembiayaan. Ini berbeza dengan dengan kontrak pinjaman yang mempunyai kadar faedah setiap bulan.

  • Fungsi Majlis Penasihat Syariah

Seksyen 3 (5) (b) ABI 1983 memperuntukkan sesuatu institusi perbankan Islam yang hendak beroperasi dan diberi lesen perlulah memastikan penubuhan sebuah badan penasihat Syariah yang menasihati bank itu tentang operasi-operasi perniagaan perbankannya dalam memastikan ia tidak terlibat dengan apa-apa eleman yang tidak diluluskan oleh agama Islam. Begitu juga BAFIA 1989 dan AT 1984 juga memperuntukkan penubuhan Majlis Penasihat Syariah masing-masing bagi bank konvensional yang menyertai SPI dan syarikat-syarikat takaful. Selain MPS sendiri, Seksyen 13A ABI 1983 juga memperuntukkan bank-bank Islam boleh juga merujuk permasalah operasi mereka kepada Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan (MPSK) yang berada di bawah seliaan BNM. Berdasarkan ABN 2009, fungsi MPSK adalah seperti berikut :

52. (1) Majlis Penasihat Shariah hendaklah mempunyai fungsi yang berikut: (a) untuk menentukan hukum Syarak mengenai apa-apa perkara kewangan dan mengeluarkan keputusan apabila dirujukkan kepadanya mengikut Bahagian ini; (b) untuk menasihati Bank mengenai apa-apa isu Shariah yang berhubungan dengan perniagaan kewangan Islam, aktiviti atau transaksi Bank; (c) untuk memberikan nasihat kepada mana-mana institusi kewangan Islam atau mana-mana orang lain sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis; dan (d) apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diputuskan oleh Bank.”[4]

Walaupun kewujudan dan peranan MPS ini diakui, namun persoalannya sejauh mana bidang kuasa dan fungsinya dalam sistem kewangan Islam ini. Begitu juga adakah keputusan MPS boleh menjadi kesan dan boleh diambil kira dari aspek perundangan. Ini meliputi persoalan adakah nasihat MPS ini diterima dalam bicara mahkamah sedangkan Seksyen 56(1) ABN 2009 memperuntukkan :

“55. (1) Jika dalam mana-mana prosiding yang berhubungan dengan perniagaan kewangan Islam di hadapan mana-mana mahkamah atau penimbang tara apa-apa persoalan berbangkit mengenai suatu perkara Shariah, mahkamah atau penimbang tara itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah – (a) mengambil kira mana-mana keputusan Majlis Penasihat Shariah yang telah disiarkan; atau (b) merujukkan persoalan itu kepada Majlis Penasihat Shariah untuk keputusannya.”[5]

Hakikatnya, kes-kes mahkamah sebelum ini menampakkan pandangan MPS tidak diambil kira, malah mahkamah menafsirkan sebarang isu yang kadang-kadang jauh dari prinsip syariah dan masih terikat dengan pandangan undang-undang sivil. Sebagai contoh, dalam kes Affin Bank Bhd v Zulkifli Abdullah [2006] 1 CLJ 438, hakim tidak merujuk kepada MPSK sama ada bank boleh menuntut harga jualan termasuk keuntungan melalui kontrak BBA apabila defendan gagal melunaskan bayaran sebelum tamat tempoh.

Dalam kes Arab-Malaysian Finance Bhd v Taman Ihsan Jaya Sdn Bhd & Ors, Koperasi Seri Kota Bukit Cheraka Bhd (Third Party) and Other Cases [2009] 1 CLJ 419 / [2008] 5 MLJ 631 pula, MPS seolah-olah tidak mempunyai kuasa dan terlibat meluluskan kontrak yang didakwa bertentangan dengan Islam. Ini kerana mahkamah sewenang-wenangnya menyimpulkan kontrak BBA yang diguna pakai tidak menepati syarak sepenuhnya kerana ia diterima dalam mazhab Syafie sahaja dan bukannya semua mazhab. Justeru, mahkamah berpandangan BBA sendiri tidak menepati tafsiran ‘perniagaan bank Islam’ dalam Seksyen 2 ABI 1983 dan Seksyen 124 (7)(c) BAFIA 1989  yang ‘tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh agama Islam” kerana mempunyai elemen yang tidak diluluskan dalam mazhab lain.

  • Double Standard’ Terhadap Institusi Kewangan Islam

Isu lain yang sentiasa menghantui sistem kewangan Islam adalah wujudnya beberapa perkara ‘double standard’ yang dihadapi oleh institusi tersebut dan pengamalnya. Antaranya, wujud bentuk cukai berganda yang dihadapi oleh institusi perbankan Islam apabila wajib membayar cukai korporat serta zakat seperti diperuntukkan dalam ABI 1983 dan BAFIA. Ini tidak berlaku kepada perbankan konvensional kerana hanya perlu membayar cukai korporat. Oleh itu, sepatutnya perbankan Islam perlu diberikan rebet seperti yang diberikan kepada Tabung Haji melalui Akta Tabung Haji untuk mengelakkan cukai berganda (Norhashimah Mohd Yasin, 1996). Malah individu yang membayar zakat pun diberi rebet dalam pembayaran cukai pendapatan seperti yang termaktub dalam Seksyen 6A (3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam isu lain, perlembagaan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk membicarakan kes-kes kewangan Islam seolah-olah mengenetepikan peranan hakim syariah dan peguam syarie. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana pentafsiran muamalat Islam hendaklah dilakukan oleh ahli dalam bidang tersebut dan bukannya hakim serta peguam sivil yang biasanya lebih merujuk kepada tafsiran konvensional dan bukannya atas prinsip syariah.

Dari aspek lain, kita juga melihat ‘double standard’ juga berlaku melalui Seksyen 3 (1) ABI 1983 yang membataskan lesen perbankan Islam hanya kepada ‘company’ (perbadanan) yang di bawah Akta Syarikat 1965. Ini menyebabkan syarikat atau perbadanan yang bukan di bawah Akta Syarikat 1965 tidak layak mendapat lesen beroperasi sebagai bank Islam. Perkara ini juga telah menyebabkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), sebuah bank yang mengaplikasikan prinsip Islam tidak boleh beroperasi seperti Bank Islam kerana Bank Rakyat tertakluk kepada Akta Persatuan Koperasi 1993 dan Akta Bank Rakyat 1978 dan bukannya Akta Syarikat 1965 (Norhashimah Mohd Yasin, 2003). Bank Rakyat hanya diiktiraf sebagai institusi yang mengamalkan konsep perbankan Islam dan sebagai sebuah perbankan Islam. Ini amat pelik kerana umum mengetahui Bank Rakyat lebih layak dipanggil bank Islam kerana operasinya dijalankan secara syariah seiring dengan Bank Islam sendiri.

CADANGAN

Perbincangan ringkas di atas jelas menunjukkan walaupun produk sistem kewangan Islam berteraskan prinsip syariah, namun hakikat kerangka perundangnya adalah dibayangi oleh undang-undang sivil. Oleh itu, penulis mencadangkan kerangka perundangan sistem kewangan Islam yang lebih menyeluruh dan bertepatan dengan kehendak syariah diwujudkan. Ini boleh dilakukan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta tertentu berkaitan dengan kewangan dan perbankan Islam. Begitu juga bidang tugas Mahkamah Syariah perlu diperluaskan untuk mendengar kes muamalat Islam kerana hakimnya yang dibantu oleh peguam syarie yang terlatih dengan prinsip syariah.

Antaranya pindaan tersebut adalah seperti berikut :

  1. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 74 (2) dan Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) dan akta-akta berkaitan supaya undang-undang Islam secara menyeluruh termasuk sistem muamalat Islam dimasukkan dalam Senarai Persekutuan. Ini bagi membolehkan sistem kewangan Islam dapat beroperasi dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mendengar kes-kes berkaitan kewangan dan muamalat Islam, sama ada melibatkan pelanggan Islam atau bukan. Langkah bertentangan yang juga boleh diambil adalah pindaan Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) dengan dibuat pengecualian berkaitan perbankan dan kewangan Islam, di samping tafsiran yang luas berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah pada klausa ‘hukum syarak’ dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) merangkumi bidang kewangan Islam dan bukan terbatas kepada undang-undang keluarga dan diri sahaja.
  1. Pindaan kepada akta-akta berkaitan sistem kewangan Islam seperti ABN 2009, ABI 1983, BAFIA 1989, AT 1984 dengan memasukkan peruntukkan-peruntukkan perlu hingga tidak perlu bergantung atau hanya pergantungan minima kepada undang-undang statut yang lain untuk beroperasi. Langkah lain yang boleh diambil adalah menggubal perundangan kewangan Islam seperti undang-undang kontrak, jual beli atau syarikat yang sememangnya wujud dalam muamalat Islam bagi mengantikan Akta Kontrak 1950, Akta Sewa Beli 1956 dan Akta Syarikat 1965.
  1. Pindaan kepada Seksyen 3 dan Seksyen 5 (1) Akta Undang-undang Sivil 1956 yang memperuntukan bahawa mahkamah boleh mengguna pakai undang-undang Inggeris jika tiada peruntukkan undang-undang dalam persoalan atau isu berkaitan bank dan perbankan. Pindaan boleh dibuat sama ada dengan (i) menghapuskan akta tersebut; atau (ii) memasukkan undang-undang Islam sebagai rujukan mahkamah terutama kes melibatkan isu syariah; atau (iii) memberi pengecualian pemakai undang-undang Inggeris dalam kes-kes berkaitan kewangan dan perbankan Islam.

Penulis juga mencadangkan para pengkaji, khususnya dalam bidang muamalat Islam dan undang-undang supaya membuat kajian khusus terhadap keperluan mewujudkan perundangan negara yang selari dengan kerangka kewangan Islam. Justeru, suatu kajian khusus tentang perkara ini perlu dilakukan supaya suatu cadangan konkrit kepada penggubalan dan pindaan Perlembagaan Persekutuan atau apa-apa akta yang berkaitan dapat dilakukan.

PENUTUP

Kesimpulannya, sistem kewangan Islam di Malaysia bergerak maju dan meningkat positif hingga menjadi model di mata dunia. Namun, tribulasi dan cabaran seperti yang disebutkan di atas sedikit sebanyak boleh menimbulkan keraguan pelanggan dan ketidakyakinan khayalak kepada produk dan operasi kewangan Islam. Justeru, kerangka perundangan kewangan Islam perlu dimurnikan hingga betul-betul di dalam lingkungan syariah dan bukannya berkiblatkan perundangan sivil. Cadangan pindaan perlembagaan dan akta-akta tertentu perlu diamati oleh pihak berwajib supaya sistem perbankan dan kewangan Islam dapat beroperasi berlandaskan kehendak syariah sepenuhnya, tanpa mencampuradukkan sistem perundangan Islam dan Sivil seperti sekrang. Pindaan juga perlu dibuat bagi memastikan hanya hakim-hakim yang mempunyai kepakaran dalam perundangan Islam yang mengendalikan kes-kes sebegini.

RUJUKAN

Ab. Mumin Ab. Ghani (1999). Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanaannya di Malaysia. Putrajaya : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Abdul Aziz Bari (2000). Islam in The Federal Constitution. The Malayan Law Journal. Vol. 2.

Ahmad Hidayat Buang (2001), Muamalat di Malaysia : Suatu Tajdid atau Reaksi Pasaran?. dlm. Mahmood Zuhdi Abd. Majd (Ed.), Dinamisme Pengajian Syariah. Kuala Lumpur : Pernerbitan Universiti Malaya. hlm. 115.

___________ (1998). Undang-undang Islam di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ahmad Mohamed Ibrahim (t.t). Sekatan-Sekatan dalam Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia. dlm. http://Tayibah.Com/Eislam/Artikel/Halanganislam.Htm

Ahmad Mohamed Ibrahim (t.t). Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia. dlm. http://tayibah.com/eIslam/Artikel/keduudkn_islam.html

Ahmad Mohamed Ibrahim (1994). Islam dalam Perlembagaan. dlm. Al-Ahkam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Mohamed Ibrahim (1997). Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Mahmud Saedon (1998). Institusi Pentadbiran Undang-undang dan Kahakiman Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Rahimi Osman (2009). Islamic Financial Legal Framework. Shah Alam : Penerbitan UiTM (UPENA), UiTM.

Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (t.t). Kedudukan Undang-undang Islam dalam Perlembagaan Malaysia. dlm. http://tayibah.com/eIslam/Artikel/kedudukanudgIslam.htm

Nik Norzrul Thani, Mohamad Ridza Muhamad Abdullah & Megat Hizaini Hassan (2003). Law and Practice of Islamic Banking and Finance. Petaling Jaya : Sweet & Maxwell Asia.

Norhashimah Mohd Yasin (2003), Halangan dan Cabaran Undang-Undang Terhadap Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia, Jurnal Undang-Undang Malaysia, Bil. 15, hal. 27

___________ (2002), Legal Constrains in Applying Islamic Banking and Finance in Malaysia. dlm. Seminar on Islamic Banking in Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, 30 Ogos 2002.

Sudin Haron & Bala Shanmugam (1997). Islamic Banking System : Concepts and Applications. Petaling Jaya : Penerbitan Pelanduk.

Utusan Malaysia, (2007) 30 April. Peranan Badan Penasihat Syariah. dlm. http://www.ibfim.com/index.php?option=com_content&task=view&id=250&Itemid=9

Laporan Tahunan Mahkamah-mahkamah Atasan dan Rendah di Malaysia 2006/2007

Laman Web http://www.agc.gov.my

  • Akta Bank Negara 2009
  • Akta Bank Islam 1983
  • Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989
  • Akta Sewa Beli 1967
  • Akta Takaful (AT) 1984

[1] Kertas kerja ini dibentangkan dalam International Conference On Islamic Economy And Business (ICIEB) pada 29 June – 1 July 2012 di A’Famosa Resort Hotel, Melaka

[2] Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984)

[3] Lihat http://www.isra.org

[4] Akta Bank Negara 2009, Bahagian VII (Perniagaan Kewangan Islam) Bab I Majlis Penasihat Shariah

[5] Ibid.