Pusat Fi Dhilal Al-Qur’an Dan Sumbangannya Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Kota Belud, Sabah

Abstrak: Pusat Pendidikan Islam Fi Dhilal al-Qur’an merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang terletak di Kampung Bugaron, Rosok, Kota Belud, Sabah. Didirikan di kawasan tanah seluas 6 ekar yang diwakafkan oleh sebuah keluarga muallaf pada Julai 1991 dan beroperasi mulai 1992 setelah mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Pusat ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana pelajarnya adalah terdiri daripada golongan miskin, muallaf serta anak yatim. Selain itu, seluruh kos pengajiannya, termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah percuma hasil sumbangan orang ramai serta individu prihatin. Justeru, kertas ini membentangkan perkembangan dan sumbangan pusat ini kepada perkembangan pendidikan Islam di Sabah, khususnya kepada penduduk sekitar Kota Belud. Ramai yang mendapat pendidikan Islam di situ dan ada yang telah menyambung pelajaran di luar, khususnya di beberapa institusi pondok di Semenanjung. Selain itu, pusat ini juga berpengaruh terhadap penduduk setempat melalui kegiatan keilmuan, kebajikan dan kemasyarakatan. Penelitian juga dibuat kepada kesungguhan pendiri pusat sebagai seorang muallaf untuk menyebarkan Islam, di samping cabaran yang dihadapi daripada pihak luar dan penduduk setempat pada peringkat awal. Selain itu, penglibatan sahabat-sahabat daripada Semenanjung, sama ada sebagai jawatankuasa pentadbir atau pengajar tanpa ganjaran di pusat ini juga suatu keistimewaan yang menarik dalam konteks solidariti memartabatkan pendidikan Islam di Borneo.

Pusat Fi Dhilal Al-Qur’an Dan Sumbangannya Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Kota Belud, Sabah[1]

Najahudin Lateh[2]

Siti Noorbiah Md Rejab[3]

PENDAHULUAN

Perkembangan pendidikan Islam di Sabah suatu yang menarik untuk dibincangkan. Perkembangan ini selari dengan sejarah perkembangan Islam di Sabah itu sendiri. Hakikat Sabah yang dikelilingi oleh kerajaan Islam di kepulauan Melayu seperti Acheh dan Melaka pada pertengahan kurun ke 15 H memudahkan pendakwah dan pedagang Islam menyampaikan dakwah. Malah, peranan kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu juga diakui dalam hal ini. Senario kajian ini lebih menarik selepas penemuan manuskrip bertulisan jawi menggunakan bahasa Idahan milik suku kaum Idahan, di Lahad Datu yang bertarikh 1408M. Pertemuan tersebut boleh membuktikan kedatangan Islam ke Sabah lebih awal daripada kurun ke 15 H.

Namun, kertas ini tidak akan memanjangkan catatan ringkas di atas. Cukuplah disebutkan bahawa perkembangan pendidikan Islam di Sabah telah bermula awal dan tidak akan lenyap selagi ada bulan dan bintang. Ini disokong dengan peranan tokoh-tokoh ulama nusantara[4] yang datang berdakwah serta kewujudan institusi pendidikan Islam yang menyambung dan menjadi mata rantai perjuangan Islam di sini. Namun, dalam kertas ini, saya akan meninjau dari perspektif berbeza dengan melihat bagaimana sebuah pusat pendidikan Islam yang muncul hasil daripada wakaf dan usaha sebuah keluarga muallaf di Kampung Bugaron Rosok, Kota Belud. Pusat ini dikenali dengan nama Pusat Pendidikan Islam Fi Dhilal al-Quran (PPIFDQ). Justeru, kertas ini akan melihat perkembangan dan sumbangan pusat tersebut kepada pendidikan Islam di Kota Belud dan di Sabah secara amnya.[5]

Sejarah Penubuhan

Pada tahun 1987, Saifuddin Hj. Ahmad[6] seorang guru telah dihantar bertugas di Kota Belud. Beliau yang mendapat tarbiah dan mempunyai kefahaman Islam yang kuat berusaha berdakwah dan mengajar orang di situ tentang Islam. Masuk keluar kampung di merata-rata tempat adalah rutin beliau pada waktu malam selepas waktu persekolahan. Salah satu kampung yang menjadi pangkalan baginya adalah Kampung Rosok. Ketika itu, elektrik dan air memang tiada langsung. Oleh kerana kampung itu terletak jauh dari jalan utama, beliau dan beberapa orang sahabat pergi ke situ dengan menaiki pikap. Ketika itu hanya terdapat enam buah rumah sahaja yang penghuninya beragama Islam. Dengan teknik pengajaran halaqah, beliau bergerak dari rumah ke rumah mengadakan kuliah dan diskusi saban minggu. Ketika inilah beliau bertemu dengan keluarga Aling bin Pilang[7], termasuklah dengan anak-anak Aling, iaitu Ahmad Junid[8], Mohd Aminuddin[9] dan Mustaqim[10] yang tinggal di kampung tersebut dan telahpun memeluk Islam[11]. Ketiga-tiga mereka sebenarnya telah menerima tarbiah Islam melalui seorang guru SMK Arsyad, Kota Belud iaitu Cikgu Hamzah Yusuf[12] semasa mereka bersekolah di situ melalui program usrah dan tamrin yang dilakukannya.

Melalui perkenalan ini, mereka bersepakat untuk mendirikan sebuah tempat pengajian yang kekal dan lebih teratur di situ. Hasrat ini terus membara dengan kedatangan seorang guru yang dipindahkan ke Sabah, iaitu Zainuddin Awang Hamat pada tahun 1990. Setelah mereka semua berbincang, suatu keputusan diambil untuk mendirikan sebuah pondok pengajian di kampung tersebut. Untuk dijadikan tapak, Mohd Aminuddin bersetuju mewakafkan sebahagian tanahnya untuk tujuan tersebut. Pada masa yang sama, mereka bersepakat bertemu dengan Aling untuk memberitahu hasrat mendirikan pusat pendidikan tersebut. Tanpa diduga, Aling yang baru saja memeluk Islam telah bersetuju menyerahkan 6 ekar tanah kepada mereka meliputi tanah miliknya (3 ekar) dan tanah milik anaknya, Mohd Aminuddin (3 ekar). Malah, beliau bersedia memberi lebih daripada itu.

Akhirnya pada 30 Julai 1991, Aling bersama anaknya Mohd Aminuddin telah mewakafkan tanah mereka itu bersama surat akuan disaksikan Yang Dipertua Mahkamah Majistret di Kota Belud. Mereka secara sukarela membuat akuan bahawa tiada waris yang boleh menuntut tanah tersebut selepas mereka meninggal dunia. Tanah seluas 6 ekar tersebut dengan geran bernombor 035313190 telah diwakafkan kepada Pondok Fi Dhilal al-Quran. Setelah selesai urusan wakaf, satu mesyuarat Jawatankuasa Penaja pentadbiran pondok yang pertama telah diadakan pada 3 Ogos 1991 dengan dihadiri oleh 11 orang. Mesyuarat tersebut bersetuju membentuk Jawatankuasa Tadbir Pondok seramai 22 orang dengan dipengerusikan oleh Mohd Aminuddin. Usaha seterusnya dibuat untuk mendapat kelulusan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk mendirikan pusat pendidikan tersebut. Akhirnya pada 24 Januari 1992, kelulusan tersebut diperolehi dengan ditandatangani oleh Pengarah Dakwah MUIS ketika itu, Tn. Hj. Ahmad Othman.

Pengurusan

Pusat Pendidikan Islam Fi Dhilal al-Quran (PPIFDQ) dikatakan pondok yang pertama wujud di Kota Belud. Dengan visi ‘Membina Generasi al-Quran yang Unik’, pusat ini menggariskan misi untuk melahirkan generasi pelajar yang beriman, bertakwa dan bermaklumat di samping muncul sebagai institusi pendidikan Islam model. Untuk menjayakan visi dan misi tersebut, pusat ini melakukan beberapa usaha dan strategi seperti berikut :

  • Menyeru manusia kepada syariat Allah dan sunnah RasulNya melalui lisan, tulisan dan amalan;
  • Memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadi panduan dalam kehidupan secara individu, masyarakat dan negara;
  • Menyediakan program Islam dan bertindak memperbaiki susunan serta membentuk sosial, masyarakat dan bernegara untuk membela keadilan secara menyeluruh;
  • Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan, pertubuhan dan institusi dalam menyampaikan dakwah kepada seluruh insan.

Pusat ini ditadbir oleh sembilan orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Tadbir yang mengadakan mesyuarat pada setiap bulan. Mereka juga bertindak sebagai pihak yang menguruskan pentadbiran pusat tersebut. Setiap AJK ini mempunyai tugasan tersendiri seperti memantau perjalanan persekolahan, mengurus bekalan, mengurus pelajar tajaan di luar Sabah serta mencari dana kewangan. Mereka bertugas secara sukarela tanpa sebagai gaji atau elaun. Mereka kebanyakannya adalah kakitangan kerajaan dan bekerja sendiri. Oleh itu, tugasan mereka di pusat tersebut bukanlah sepenuh masa. Sejak PPIFDQ ditubuhkan, hasil sumbangan orang ramai pihak pengurusan telah berjaya membina sebuah surau, bilik air, bilik pengajian, rumah kediaman guru dan pondok kediaman pelajar. Kos pembinaan bangunan tersebut adalah sebanyak RM10,000.00. Ia dibina hasil gotong-royong yang dilakukan oleh semua jawatankuasa dengan dibantu penduduk kampung. Pada peringkat awal pembinaan, pihak tentera juga ada membantu untuk membina bangunan dan surau di pusat tersebut. Walaupun agak serba kekurangan, hasil paduan tenaga, sumbangan kewangan dan kesungguhan, pusat tersebut berjaya juga didirikan.

Sistem Pengajian

Dari segi kurikulum, terdapat dua sistem pengajian di PPIFDQ, iaitu sistem umumi dan nizami. Sistem umumi mirip kepada sistem pengajian pondok yang terdapat di Semenanjung. Sistem ini memberi penumpuan kepada karya klasik, kitab kuning seperti Muniyatul Musalli. Sistem nizami pula menerapkan pendidikan moden dengan pengajian persekolahan dengan menggunakan kurikulum dan buku teks agama Yayasan Islam Kelantan (YIK). Namun, sijil peperiksaan awam seperti PMR atau SPM tidak ditawarkan di pusat tersebut.

Menurut Ustaz Ismail Abdullah[13], iaitu guru di situ, terdapat 10 matapelajaran yang diajar dalam pada sesi persekolahan secara berjadual seperti Tafsir, Hadith, Tauhid, Fekah, Akhlak, Sirah, Nahu, Saraf  dan sebagainya dengan purata 4 matapelajaran dalam sehari. Di samping itu, aktiviti harian yang wajib dijalani oleh semua pelajar adalah kuliah subuh dan maghrib, solat berjemaah, halaqah al-Quran dan zikir al-Ma’thurat di samping aktiviti tambahan seperti usrah, tamrin, mukhayam, qiammullail dan pidato. Menurut beliau, penekanan sangat diberikan dalam pembelajaran al-Quran dan tajwid kerana pelajar yang baru mendaftar biasanya sangat rendah pengetahuan tentang perkara itu. Ini diakui oleh tiga orang pelajar yang ditemui, iaitu Fazli Karim[14], Junaidi Omar[15] dan Mohd al-Amin[16] bahawa mereka langsung tidak mengenal huruf al-Quran semasa mula-mula masuk dahulu. Namun, sekarang mereka sudah boleh membaca al-Quran dengan baik. Semua pelajar tinggal di pondok yang disediakan dengan purata dua atau tiga orang bagi setiap pondok. Setiap pelajar perlu bangun pada jam 4.30 pagi setiap hari. Waktu pembelajaran persekolahan pusat tersebut adalah dari jam 7.00 pagi hinggalah 12.00 tengah hari. Selepas zohor, mereka akan mengambil bahan makanan seperti beras dan ikan daripada peti simpanan dan memasaknya. Biasanya sekumpulan pelajar memasak untuk semua rakan mengikut jadual yang diatur oleh mereka sendiri.

Pengajian di PPIFDQ seratus peratus adalah percuma meliputi wang saku, makanan, tempat tinggal, peralatan pengajian, buku dan yuran pengajian. Secara asas, pusat ini memberi keutamaan kepada anak-anak yatim, miskin dan muallaf. Namun, ia terbuka kepada sesiapa yang berminat dengan syarat sanggup belajar mengikut silibus yang ditetapkan dan bercita-cita menjadi ulama. Pendaftaran dibuka sepanjang tahun, namun had pengambilan hanyalah 20 orang pada satu-satu masa. Cuti persekolahannya adalah seperti cuti persekolahan biasa. Secara umum, syarat kelayakan memasuki pusat tersebut adalah seperti berikut : (a) Warganegara Malaysia dan beragama Islam; (b) Lelaki; (c) Berusia antara 15 hingga 20 tahun; dan (d) Mempunyai minat untuk belajar.

Ibu bapa/penjaga perlu menandatangani surat perjanjian / keizinan bagi pihak anak untuk belajar di pusat tersebut. Mereka juga perlu menandatangani surat perjanjian untuk membenarkan anak mereka diasuh, menerima peraturan-peraturan yang ditetapkan dan tindakan boleh diambil ke atas anak mereka jika melanggarinya. Data bilangan pelajar sejak tiga tahun lepas adalah 14 orang (2006), 21 orang (2007), 20 orang (2008) dan 20 orang (sehingga 31 Januari 2009). Dari segi etnik, 15 pelajar yang ada ketika kajian ini dibuat adalah etnik Dusun (5 orang); Bugis (3 orang); Bajau (3 orang); Murut (1 orang); Bisaya (1 orang); Pakistan (1 orang); dan Brunei (1 orang). Enam orang daripada mereka merupakan muallaf. Namun, hanya tiga pelajar berasal daripada Kota Belud, sedangkan yang lain datang dari seluruh pelosok negeri, termasuk empat orang dari pendalaman Nabawan yang baru mendaftar pada hari pertama penulis tiba ke pusat tersebut. Menurut Cikgu Anuar Ali[17], carta aliran pengajian pusat tersebut adalah seperti berikut :

Pelajar ini biasanya menghabiskan pengajian mereka sekurang-kurangnya dua tahun. Kemudian, setelah layak melalui temuduga dan ujian, mereka akan dihantar ke Semenanjung untuk melanjutkan pengajian. Kos perjalanan, pengajian dan kehidupan mereka di sana semuanya ditanggung oleh PPIFDQ. Namun, terdapat beberapa orang bekas pelajar yang mendapat tajaan individu tertentu atau menjadi anak angkat kepada beberapa keluarga di sana. Sejak ditubuhkan, penghantaran pelajar ke Semenanjung adalah seperti jadual berikut :

TahunTempat Pendidikan LanjutanBilangan
1999-2003Darul Bayan, Paka, Terengganu6 orang
2005Pondok Mustaqimah, Kemaman, Terengganu5 orang
2006Pondok Saadah Addaarani, Chenor, Pahang5 orang
2007Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat, Repek, Pasir Mas, Kelantan9 orang
2008Pasentren di Indonesia1 orang

Ketika kajian ini dibuat, pihak pentadbiran sedang menemuduga beberapa orang pelajar untuk dihantar ke Semenanjung kerana ada pihak sedia menaja pengajian 10 orang pelajar dari pusat tersebut di pusat pendidikan Makmal al-Quran dan al-Hadith yang baru dibuka di Pasir Puteh, Kelantan.

Dengan bilangan pelajar tidak melebihi 20 orang dalam suatu masa, hanya terdapat seorang atau dua orang guru sahaja yang mengajar dan tinggal bersama-sama mereka. Mengikut sejarah, antara guru yang pernah mengajar di situ ialah Ustaz Ismail bin Jaafar (Kedah), Ustaz Ahmad Junid bin Aling (Sabah), Ustaz Bakar bin Maily (Indonesia), Ustaz Amir bin Abdullah (Sabah), Ustaz Mohd Ali (Sabah) dan Ustaz Ismail bin Abdullah (Terengganu). Guru-guru ini hanya menerima gaji dalam bentuk elaun bulanan antara RM200 – RM500 sebulan. Bekalan makanan seperti beras, ikan, sayur dan sebagainya dihantar setiap minggu kepada mereka secara percuma. Menurut Cikgu Hamzah, pada setiap minggu dia ditugaskan untuk membawa kira-kira 30 kg beras dan 12 kg ikan ke pusat pendidikan tersebut untuk keperluan seminggu pelajar dan guru di situ. Walaupun pendapatan guru ini agak rendah, demi penyampaian pendidikan Islam, mereka sanggup mengajar siang dan malam bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada penduduk tempatan.  Juga perlu dinyatakan di sini, AJK Tadbir yang menguruskan pusat tersebut tidak diberi sesen pun bayaran atau elaun kepada mereka.

Kewangan

Sumber kewangan PPIFDQ adalah 100% sumbangan orang ramai. Ia meliputi sumbangan derma atau zakat daripada masyarakat, sama ada di dalam atau di luar Sabah. Perlu diingatkan, pusat tersebut memberi pendidikan, wang saku, makanan dan tempat tinggal secara percuma kepada lebih kurang 20 orang pelajar dan seorang guru pada satu-satu masa. Menurut Ustaz Abdul Sattar[18], pusat tersebut memerlukan sekurang-kurangnya RM 25,000.00 setahun untuk menampung kos itu sahaja. Ini belum termasuk pengurusan lain seperti baik pulih dan kos pengajian pelajar yang berada di Semenanjung. Menurut Cikgu Mohd Zulkepli[19], pusat itu membelanjakan lebih RM1,000.00 sebulan untuk kos yuran sembilan orang pelajar meraka di Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat, Repek, Pasir Mas, Kelantan. Itupun setelah diberi ihsan oleh pihak pentadbir maahad untuk membayar hanya 30% daripada yuran sebenar. Itu belum dikira perbelanjaan sara hidup mereka dan untuk pelajar PPIFDQ di pusat pengajian lain di Semenanjung.

Pusat tersebut menggunakan beberapa kaedah untuk mendapatkan dana pengurusan. Antaranya mengutus surat rasmi memohon sumbangan, zakat atau tajaan kepada syarikat atau individu yang dikenali, mengedar risalah dan memungut derma pada majlis-majlis tertentu. Sumbangan bukan terhad kepada wang ringgit, malah meliputi bahan material seperti beras, tepung, air mineral dan sebagainya. Suatu perkara yang menarik, antara penyumbang yang besar untuk perbelanjaan pusat tersebut adalah melalui sumbangan Tabung TKO (Tranungkite Online), iaitu sebuah tabung yang dikumpulkan oleh ahli-ahli forum laman web www.tranungkite.net, iaitu antara laman web yang mempunyai hit tertinggi di Malaysia. Dianggarkan setakat ini tabung tersebut sudah memberi sumbangan kepada pusat ini dan kepada pembinaan masjid di Kampung Bundong, Tuaran melebihi RM10,000.00.

SUMBANGAN PUSAT PENDIDIKAN ISLAM FI DHILAL AL-QURAN

(a) Penyelamat akidah umat

Seperti yang dinyatakan di atas, pada mulanya hanya terdapat 6 buah rumah orang Muslim daripada lebih 100 buah rumah di kampung tersebut. Namun, sekarang boleh dikatakan majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Walaupun begitu, proses penyampaian dakwah tetap akan menempuh pelbagai cabaran dan tentangan penduduk setempat yang tidak beragama dan sesetengahnya beragama Kristian. Pada peringkat awal penubuhan, pelbagai tindakan dilakukan oleh mereka seperti mencerca guru-guru, memboikot program, memfitnah dan menghasut penduduk lain supaya tidak mengikuti program yang dianjurkan oleh pusat tersebut. Malah, perbuatan sihir telah dilakukan terutama kepada guru dan keluarganya. Semua perbuatan ini diakui sendiri oleh penduduk kampung seperti Abdul Jalil dan anaknya Hamzah, iaitu antara mereka yang kuat menentang pusat pendidikan tersebut pada peringkat awal tetapi memeluk Islam kemudiannya.[20]

Menurut Cikgu Saifuddin, objektif awal penubuhan PPIFDQ adalah untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian Islam yang berperanan untuk membimbing dan memberikan perlindungan kepada anak-anak muda yang telah memeluk Islam tetapi tidak mempunyai arah tujuan. Ia juga sebagai perlindungan kepada mereka supaya tidak kembali kepada agama asal kerana ketidakfahaman tentang Islam. Oleh itu, para pengasas pusat tersebut merasakan perlunya mempunyai sebuah pusat pendidikan Islam di situ agar gejala murtad tidak berlaku.

(b) Menyampaikan dakwah dan kefahaman Islam

Barisan pengasas PPIFDQ menyedari pentingnya membangunkan sebuah pusat pendidikan Islam sebagai pusat penyampaian dakwah Islam di negeri Sabah.  Ia juga sebagai agen pembantu kepada perjuangan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat Sabah. Setelah wujudnya pusat ini, penduduk kampung tersebut khususnya telah didedahkan dengan pelbagai program Islam seperti kuliah dan tazkirah tentang Islam. Akhirnya, sehingga sekarang, banyak amalan khurafat yang wujud di kampung tersebut seperti memuja kubur dan sihir terhapus secara beransur-ansur. Selain itu, pusat ini juga sering digunakan oleh pihak luar seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) untuk mengadakan khemah ibadat, program penghayatan Islam dan sebagainya.

Suatu perkara yang penting pada pandangan penulis dalam proses menyampaikan dakwah adalah kejayaan usrah dan tamrin dalam memberi kefahaman Islam kepada pelajar. Ini dibuktikan dengan kejayaan Cikgu Hamzah yang telah mendidik dan membina modal insan di kalangan pelajarnya tentang kefahaman dan pengamalan Islam sejak awal 80-an. Usrah yang dijalankan seminggu sekali selepas Isya’ itu terbukti dengan lahirnya pejuang Islam daripada usrahnya seperti Ustaz Ahmad Junid, Mohd Aminuddin dan Ustaz Mustaqim, anak kepada Aling yang mewakafkan tanah pusat tersebut. Malah Ustaz Mustaqim mengakui melalui banyak bertanya, beliau akhirnya menemui hidayah dan dapat menambah kefahaman tentang Islam melalui usrah yang dijalankan oleh Cikgu Hamzah melalui Persatuan Pelajar Islam di SMK Arsyad, Kota Belud.

(c) Agen perubahan sosial masyarakat

Menurut Hamzah Abdul Jalil, PPIFDQ merupakan agen perubahan kepada penduduk kampung. Ia berjaya merubah cara hidup penduduk dengan akhlak mulia, tolong-menolong dan menjauhkan mereka daripada gejala sosial serta maksiat. Aktiviti seperti sumbangan makanan dan pakaian terpakai kepada penduduk tempat saban tahun diadakan. Makanan dan pakaian ini biasanya diperolehi daripada sumbangan orang ramai. Hasil ikatan sebegini, ruang dakwah dan ilmu kepada penduduk tempat begitu luas. Justeru, tidak hairanlah masyarakat kampung begitu menyanjung tinggi kewujudan pusat tersebut di kampung mereka, seratus peratus berbeza dengan waktu mula-mula diwujudkan.

Menurut Mansur Alias, kajian yang dibuat olehnya mendapati kehadiran PPIFDQ tidak menjadi satu konfik agama di kampung tersebut. Malah, Ketua Kampung Bugaron Rosok, Simon Sabalah, iaitu seorang penganut agama Kristian menyatakan kewujudan pusat tersebut memberi manfaat yang besar kepada penduduk kampung kerana dapat memberi pendidikan kepada anak-anak dan dapat memperkenalkan kampung tersebut kepada masyarakat luar. Bahkan beliau mengalu-alukan sesiapa yang mahu menghantar anak mereka untuk mendapat pendidikan di pusat tersebut.[21]

Selain itu, PPIFDQ juga menyediakan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar tahun 4 dan 5 bagi matapelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Malah, saban tahun mereka menyambut hari kebesaran Islam seperti Hijratul Rasul, Maulud, Ihya’ Ramadhan serta Isra’ Mi’raj dengan mengadakan tazkirah dan jamuan kepada penduduk tempatan. Begitu juga antara program wajib tahunan adalah mengadakan majlis berbuka puasa, solat tarawikh, ibadat akikah dan qurban. Selain daging korban disedekah, pusat itu juga memasak dan menjamu mereka yang dijemput datang ke pusat tersebut. Program-program tahunan sebegini dan program mingguan seperti bacaan Yaasin, doa dan tahlil mengeratkan hubungan antara pentadbiran pusat tersebut dengan penduduk kampung.

(d) Mengabungkan tenaga tempatan dan Semenanjung

Sebenarnya penubuhan PPIFDQ juga menampakan tautan erat antara penduduk peribumi Sabah dengan sahabat-sahabat yang datang daripada Semenanjung. Malah, jika diteliti senarai jawatankuasa penajanya daripada Pengerusi hinggalah Bendahari, kita akan dapati hanya Mohd Aminuddin (Pengerusi) merupakan penduduk Sabah, sedangkan yang lain adalah daripada Semenanjung. Ini suatu keistimewaan yang menunjukkan pertalian rapat daripada dua lokasi yang dipisahkan oleh lautan yang luas, tetapi mampu bertaut erat demi menyebarkan agama Allah. Malah, AJK Tadbir dan guru yang ada pada saat kertas ini ditulis juga merupakan gabungan antara penduduk tempat dengan sahabat yang datang dari luar, terutamanya golongan pendidik yang ditugaskan di Sabah.

Suatu eleman yang menarik untuk diperhatikan adalah berlakunya perkahwinan antara sebahagian AJK Tadbir pusat tersebut yang berasal daripada Semenanjung dengan perempuan penduduk tempatan. Suatu yang jelas, pentadbir seperti Cikgu Saifuddin[22] (Setiausaha), Cikgu Hamzah[23] (Bendahari), malah guru yang juga mudir, Ustaz Ismail[24] sendiri berkahwin dengan penduduk tempatan. Mereka kekal berkhidmat sejak penubuhan pusat tersebut hinggalah sekarang. Malah, ketiga-tiga mereka mengakui kepentingan perkahwinan dengan penduduk tempatan bagi kelangsungan dakwah secara kekal di bumi Sabah. Menurut Cikgu Saifuddin, beliau diterima oleh masyarakat Iranun disebabkan beliau berkahwin dengan orang tempatan. Malah, mereka begitu suka jika kita boleh bertutur dalam bahasa mereka. Cikgu Hamzah pula berpandangan bahawa orang Kadazan mudah mengikut dakwah jika seseorang pendakwah rapat dengan mereka.

(e) Melahirkan ulama Sabah

Antara hasrat pentadbir PPIFDQ adalah muncul di kalangan bekas pelajar tersebut menjadi ulama yang kemudiannya berbakti menyampaikan dakwah kepada masyarakat Sabah. Mereka mengharapkan dengan tenaga pendakwah Sabah sendiri, proses menyinari bumi Sabah dengan cahaya Islam akan menjadi lebih mudah dan berkesan. Di samping itu, pihak pentadbir begitu mengharapkan bekas pelajar akan pulang berkhidmat untuk pusat tersebut dan seterus menggantikan mereka pada suatu hari nanti dalam memperkasakannya sebagai pusat pendidikan dan dakwah Islam unggul di Sabah. Menurut Mohd Aminuddin, beliau berharap sangat suatu hari nanti akan muncul seorang ulama besar di negeri Sabah hasil daripada usaha yang dilakukan di pusat tersebut. Buat masa sekarang, PPIFDQ mungkin boleh berbangga dengan salah seorang bekas pelajarnya, Abdul Karim yang sekarang belajar di Pasir Mas, Kelantan sudah hampir tamat menghafaz al-Quran. Pada setiap Ramadhan, beliau akan pulang dan bergerak memberi tazkirah di seluruh Sabah sepanjang bulan tersebut.

CADANGAN DAN SARANAN

Ketika membuat lawatan ke PPIFDQ, penulis melihat keceriaan wajah pelajar-pelajar di situ. Akhlak mereka sungguh baik, tutur kata mereka penuh sopan, jauh berbeza sangat dengan kebanyakan pelajar di sekolah menengah zaman sekarang. Keikhlasan, pengorbanan dan kesungguhan mereka, mudah-mudah diterima oleh Allah SWT dengan dipermudahkan pembelajaran mereka hingga ke tahap yang lebih tinggi. Justeru, penulis secara peribadi bersetuju dengan pandangan semua AJK Tadbir pusat tersebut yang memberi gambaran kepentingan pondok dan sistemnya dalam melahirkan generasi Rabbani yang perlu dibantu dan diperkasakan. Saya begitu kagum dengan kesungguhan mereka membina sahsiah dan ilmu anak-anak didik. Malah, Cikgu Anuar memberitahu pusat pendidikan ala pondok sebegitu juga telah dibuka di Tawau dan Sandakan dan ini memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak. Sebelum pulang, penulis sempat juga melihat beberapa keping gambar pelan rancangan bangunan kekal PPIFDQ yang dianggarkan kosnya menelan belanja RM 1.8 juta.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, sebagai catatan ringkas, penulis ingin mencadangkan beberapa noktah untuk merealisasikan hasrat tersebut di samping memperkasakan pusat pendidikan tersebut  :

  • PPIFDQ perlu mempunyai sumber kewangan tetap dengan ikhtiar sendiri, contohnya  mewujudkan perniagaan seperti membekalkan produk halal kepada masyarakat di Sabah.
  • Pihak berwajib seperti JAKIM, MUIS, USIA dan agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah (JHEINS) memberi sumbangan tahunan secara tetap pusat tersebut, sekurang-kurangnya membayar gaji guru atau bantuan dermasiswa untuk setiap pelajar.
  • Seluruh umat Islam memberi sokongan sepenuhnya, sama ada melalui sumbangan idea, tenaga dan harta untuk menjayakan hasrat pusat tersebut, terutama untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang ulama besar negeri Sabah suatu hari nanti.

PENUTUP

Akhirnya, sepanjang hampir seminggu di Sabah, penulis merasakan PPIFDQ mempunyai tujuan yang sungguh murni, lantas merealisasikan hasrat mereka yang mewakafkan tanah dan yang mengasaskannya. Penulis sungguh kagum dengan keikhlasan dan kesungguhan tenaga pentadbiran dan guru dalam membangunkan institusi ini. Walaupun tanpa gaji, malah terpaksa mengeluarkan belanja sendiri, mereka terus berjuang untuk memajukan anak bangsa di negeri Sabah. Mudah-mudahan usaha mereka mendapat ganjaran Allah dan dipermudahkan segala urusan.

RUJUKAN

Jabatan Muzium Sabah (1992). Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas Sejarah dan Warisan. Kota Kinabalu : Percetakan Nasional. 

Mansur Alias (2007). Institusi Pondok dan Peranannya dalam Masyarakat : Kajian Kes di Pondok Fii Dhilalil Quran, Kg. Bugaron Rosok, Kota Belud. Kertas Ilmiah Sarjana Muda Sosiologi & Antropologi Sosial, Universiti Malaysia Sabah.

Mokhtar Ramli (2002). Sejarah Islam dan Perjuangan Ulama’ Sabah. Puchong : Percetakan Bintang.

PPIFDQ (1993). Laporan Tahunan Pusat Pendidikan Islam Fi Dzilalil Qur’an. Kota Kinabalu : t.p.

PPIFDQ (1991). Minit Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Pondok Fi Dzilalil Qur’an 3 Ogos 1991. Kota Kinabalu : t.p.

Shaghir, Wan Mohd (2008). Imam Ya’qub al Kalantani :Penyebar Islam di Brunei dan Sabah.  Diambil pada 30 Januari 2009 daripada http://muhibmahbub.blogspot.com/2008/04/imam-yaqub-anak-rantau-asal-kelantan.html.

Zainuddin Awang Hamat (1993). Kertas Kerja Pondok Fi Dzilalil Qur’an. Kota Kinabalu : t.p.

Zulhazmi Osman (2004). Peranan Ulamak Sabah : Tumpuan Khusus Terhadap Pondok Fi Dzilalil Qur’an, Kampung Rosok, Kota Belud, Sabah. Kajian Ilmiah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wawancara dengan Jawatankuasa Pengasas dan AJK Tadbir

Abdul Sattar bin Muhammad (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Anuar bin Ali (Wawancara 10 Januari 2009 di Aslam Niaga, Kota Kinabalu)

Hamzah bin Yusof (Wawancara 11 Januari 2009 di Masjid Jamek Kota Belud)

Ismail bin Abdullah (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Mohd Aminuddin bin Aling (Wawancara 31 Januari 2009 melalui panggilan telefon)

Mohd Zulkepli bin Hj. Awang (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Mustaqim bin Aling (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Saifuddin bin Hj. Ahmad (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Wawancara dengan Pelajar

Fazli bin Karim (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Junaidi bin Omar (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Mohd al-Amin (Wawancara 11 Januari 2009 di PPIFDQ, Kota Belud)

Wawancara dengan Penulis Kertas Ilmiah Universiti

Zulhazmi Osman (Wawancara 12 Januari 2009 di Kota Kinabalu)

Mansur Alias (Wawancara 10 Januari 2009 di Kota Kinabalu)


[1] Kertas kerja ini dibentang dalam Seminar Serantau Perkembangan Islam Borneo 2009 yang diadakan pada 4 hingga 5 Mac 2009 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu.

[2] Penulis ialah pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam.

[3] Penulis ialah pensyarah di Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi.

[4] Antara tokoh ulama yang tersurat adalah (i) Tunku Said Muhammad (Lahir dan belajar di Mekah. Merantau ke merata-rata negeri hinggalah sampai ke Labuan pada 1896. Meninggal dan dikebumikan di Labuan tahun 1943); (ii) Imam Hj. Yaakob Hj Ali (Berasal dari Kelantan, menuntut di pondok Kelantan, Pattani dan seterusnya di Mekah. Berhijrah ke Brunei dan kemudiannya ke Putatan, Sabah pada 1910. Berdakwah hingga meninggal dunia pada 1941 dan dikebumikan di Batu 2 ½ Jalan Tuaran. (iii) Anaknya, Imam Hj. Suhaili Hj. Yaakob juga seorang ulama yang banyak menambur jasa di Brunei dan Sabah). Lihat : Mokhtar Ramli (2002). Sejarah Islam dan Perjuangan Ulama’ Sabah. Puchong : Percetakan Bintang.

[5] Kertas ini adalah berdasarkan wawancara penulis dengan lapan orang jawatankuasa pengasas dan Ahli Jawatankuasa Tadbir, tiga orang pelajar serta dua orang penulis kertas ilmiah berkaitan PPIFDQ di samping data daripada bahan bertulis seperti laporan tahunan dan minit mesyuarat pusat tersebut.

[6] Saifuddin bin Hj. Ahmad, 45 tahun berasal dari Kelantan. Datang ke Sabah pada tahun 1987 dan sekarang  mengajar di SK Taman Kota Belud. Berkahwin dengan isterinya daripada etnik Iranun. Beliau merupakan Setiausaha PPIFDQ sekarang.

[7] Aling bin Pilang, etnik Dusun meninggal dunia pada akhir tahun 1991. Pada asalnya beliau seorang yang tidak beragama dan suka minum arak. Namun, setelah memeluk Islam beliau mewakafkan 3 ekar tanah kepada PPIFDQ. Seorang yang agak berharta dan merupakan bekas ketua kampung di kawasan itu pada zaman kerajaan pimpinan Parti Berjaya.

[8] Ustaz Ahmad Junid bin Aling, 50 tahun. Mendapat pendidikan di Pusat Latihan Dakwah Keningau. Kemudian mendalami ilmu Islam di pondok dan Perkim Kelantan. Pernah mengajar di PPIFDQ dan kini menetap dan berdakwah di Labuan.

[9] Mohd Aminuddin bin Aling, 47 tahun. Pernah bertugas sebagai Pembantu Pegawai Dakwah Luar MUIS dan kemudiannya bekerja sendiri. Kini menumpukan perhatian kepada pentadbiran sebagai Pengerusi PPIFDQ.

[10] Ustaz Mustaqim bin Aling, 35 tahun. Mendapat pendidikan tinggi Islam di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1988 dan di Darul Quran, Marang, Terengganu selama tiga tahun mulai 1997.

[11] Menurut Mohd Aminuddin dan Ustaz Mustaqim, sekitar akhir tahun 70-an hanya abang, Hasanuddin seorang sahaja yang memeluk Islam dalam kampung mereka. Abang mereka ini, seorang tentera telah memeluk Islam semasa bertugas di Kedah. Setelah mengetahui hal tersebut, ayah sangat marah dan mengancam  membunuh jika abang pulang ke kampung. Setelah tiga tahun, barulah abang mereka pulang hingga menimbulkan perasaan ingin tahu adik-adiknya tentang Islam. Pada mulanya, Mohd Aminuddin, isteri dan anak-anak yang memeluk Islam pada tahun 1982. Akhirnya setahun kemudian, kesemua lima orang adik-beradik yang lain memeluk Islam. Kemudian, langkah ini diikuti ayah dan ibu mereka yang memeluk Islam sekitar tahun 1988.

[12] Hamzah bin Yusuf, 50 tahun berasal dari Terengganu. Mula datang ke Sabah pada tahun 1982 dan pernah bertugas di lima buah sekolah. Sekarang beliau mengajar di SMK Arsyad, Kota Belud dan berkahwin dengan isterinya daripada etnik Kadazan. Beliau merupakan Bendahari PPIFDQ sekarang.

[13] Ustaz Ismail bin Abdullah, 51 tahun. Berasal dari Terengganu. Mendapat pendidikan Islam secara pondok di Terengganu dan Kedah. Datang dan bertugas di PPIFDQ sebagai guru sejak tahun 2000.

[14] Fadzli bin Karim, 16 tahun, dari Kota Belud. Pendidikan formal setakat darjah enam. Mula masuk ke PPIFDQ sejak 2007.

[15] Junaidi bin Omar, 22 tahun, dari Kudat. Pendidikan formal setakat darjah enam. Mula masuk ke PPIFDQ sejak 2006.

[16] Mohd al-Amin, 20 tahun, dari Keningau. Asal dilatih sebagai pendakwah Kristian. Mula masuk ke PPIFDQ sejak 2007.

[17] Anuar bin Ali, 35 tahun. Berasal dari Terangganu dan sebagai guru di SM Sains Kota Kinabalu sejak tahun 1999. Kini mengajar di SMK (P) Likas. Beliau merupakan bekas Setiausaha PPIFDQ 1999 – 2008 dan kini adalah AJK Tadbir di situ.

[18] Abdul Sattar bin Muhammad, 46 tahun berasal dari Kelantan. Beliau merupakan pensyarah Pendidikan Islam di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Beliau merupakan AJK Tadbir PPIFDQ sekarang.

[19] Mohd Zulkepli bin Hj. Awang, 49 tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Datang ke Sabah sejak 1982. Kini beliau bertugas di SMK Sg Demit Tamparuli dan merupakan AJK Tadbir PPIFDQ sekarang.

[20] Zulhazmi Osman (2004). Peranan Ulamak Sabah : Tumpuan Khusus Terhadap Pondok Fi Dzilalil Qur’an, Kampung Rosok, Kota Belud, Sabah. Kajian Ilmiah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[21] Mansur Alias (2007). Institusi Pondok dan Peranannya dalam Masyarakat : Kajian Kes di Pondok Fii Dhilalil Quran, Kg. Bugaron Rosok, Kota Belud. Kertas Ilmiah Sarjana Muda Sosiologi & Antropologi Sosial, Universiti Malaysia Sabah.

[22] Cikgu Saifuddin berkahwin dengan isterinya daripada etnik Iranun berasal dari Kota Belud pada tahun 1990. Isterinya merupakan anak usrah Cikgu Hamzah di SMK Arsyad, Kota Belud sebelum berkahwin. Kini mempunyai 8 orang anak.

[23] Cikgu Hamzah berkahwin dengan isterinya daripada etnik Kadazan pada tahun 1987. Isterinya juga merupakan anak usrahnya di SMK Arsyad, Kota Belud sebelum berkahwin. Kini mempunyai 5 orang anak.

[24] Ustaz Ismail berkahwin dengan isterinya etnik Dusun berasal dari Ranau tahun 2003. Kini mempunyai 2 orang anak.