MLM mesti menepati syariah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 9 Jun 2011: Suatu isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam adalah berkaitan Multi Level Marketing (MLM). Ini kerana reka bentuk MLM yang boleh pada asalnya selari dengan syariah seringkali dilencongkan hingga menjadikannya suatu yang diharamkan.

Ironinya, pemain MLM itu sendiri sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran mereka menjadi tidak serasi dengan hukum Islam. Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisyen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat.

Hakikat yang perlu diakui, MLM adalah instrumen pemasaran yang baik untuk mengedar sesuatu produk atau perkhidmatan. Ini berlaku apabila pengedar yang dilantik oleh syarikat akan membentuk rangkaian pengedar lain di bawahnya. Seterusnya mereka akan mendapat bonus, komisyen atau insentif hasil daripada jualan peribadi dan rangkaian masing-masing.

Dari aspek kontrak muamalat, MLM biasanya melibatkan kontrak al-Bay’ (jual-beli) dan al-Ju’alah (upah). Oleh itu, sistem pemasaran ini sewajarnya menepati dengan semua syarat kontrak-kontrak tersebut seperti produk jualan hendaklah halal, wujud semasa akad dan boleh diserah kepada pembeli. Selain itu, bonus atau komisyen juga hendaklah diketahui nisbahnya, dimiliki oleh syarikat dan bukannya diambil daripada yuran keahlian downline yang ditaja oleh pengedar.

Justeru, MLM yang patuh syariah bukannya menjalankan transaksi secara skim piramid atau money games yang menghendaki peserta baru (downline) membayar yuran dan kemudian bayaran tersebut akan diagihkan kepada pemilik skim dan upline. Objektif utama MLM mengikut syariah adalah menjual produk dan bukannya menaja downline. Keuntungannya adalah daripada keuntungan jualan produk dan bukannya kutipan yuran keahlian.

Kadang-kadang wujud dalam sistem MLM jelmaan daripada money games yang produknya hanyalah replika duplikasi laman web yang boleh menempatkan downline yang ditaja secara automatik. Sasaran sistem tersebut adalah menaja dan menempatkan rangkaian dan bukannya untuk jualan produk.

Walaupun kebanyakkan sistem sebegini mempunyai produk dalam halaman laman web tersebut, ia hanyalah helah dan tempelan sampingan untuk mengesahkan transaksi mereka. Ini boleh dikesan melalui jenama produk yang langsung tidak dikenali, tetapi harganya sangat tinggi dan melampau berbanding produk yang hampir-hampir sama di pasaran. Malah, kadang-kadang produk tersebut adalah beberapa buah e-book digital yang sebenarnya boleh dicari dan dimuat turun secara percuma di internet.

Pemasaran secara MLM juga jauh daripada syariah apabila wujudnya elemen pengharaman dalam muamalat Islam seperti riba, judi, gharar (ketidakpastian) dan penipuan serta pemalsuan. Unsur penipuan sebagai contohnya boleh dilihat melalui promosi serta gambaran melampau terhadap sesuatu produk sedangkan hakikat kualitinya tidak begitu dan harganya juga jauh lebih tinggi dengan produk setaranya di pasaran.

Kadang-kadang tipudaya melibatkan para pengedar yang ditonjolkan dengan gambar berkereta mewah seolah-oleh syarikat yang menghadiahkannya sedangkan hakikatnya syarikat hanya membayar deposit seribu dua ringgit sahaja dan bulanannya sebanyak empat lima ribu ringgit dibayar oleh pengedar itu sendiri.

Begitu juga gharar juga boleh berlaku apabila upline memperolehi keuntungan daripada jualan downline dengan hanya duduk diam bergoyang-kaki. Segala usaha jualan dilakukan oleh downline tetapi upline memperolehi habuan jualan tersebut kerana terlibat sebagai penajanya. Begitu juga hal ini berlaku apabila jarak antara kedua-duanya terlalu jauh hingga tiada suatu usaha seperti bimbingan atau motivasi kepada rangkaian downlinenya.

Justeru, semua perkara tersebut hendaklah dielakkan untuk menjamin rezeki yang diperolehi adalah halal dan berkat dalam pertumbuhan daging tubuh kita. Sikap berhati-hati dan memilih menurut piawai syarat perlu diutamakan daripada impian dan nafsu kekayaan melimpah-ruah.

Oleh itu, pemain industri pemasaran ini terutamanya syarikat dan pengedar MLM hendaklah mengambil langkah-langkah berikut dalam membaiki sistem mereka supaya bertepatan dengan syariah :

  • Profil syarikat MLM hendaklah bersih daripada terlibat atau mempunyai saham dalam industri yang diharamkan.
  • Perniagaan MLM hendaklah berasaskan kontrak muamalat Islam seperti jual beli produk atau perkhidmatan dan bukannya berbentuk skim piramid, skim cepat kaya atau money games.
  • Produk atau perkhimatan yang ditawarkan adalah halal, bermanfaat dan sah di sisi syariah serta undang-undang negara.
  • Upah untuk pengedar yang mencari ahli dan downline baru adalah daripada peruntukan syarikat atau suatu dana khas dan bukannya daripada yuran penyertaan mereka.
  • Harga jualan produk tidak terlalu mahal dan melampau hingga melebihi dua kali ganda nilai berbanding dengan harga pasaran.
  • Keuntungan, komisyen atau bonus yang diperolehi hendaklah jelas ditetapkan serta daripada hasil jualan peribadi, jualan kumpulan atau bimbingan kepada downline dan bukannya daripada bayaran yuran pendaftaran atau tajaan ahli baru.
  • Keuntungan dan komisyen yang diperolehi oleh upline adalah daripada downline yang dibantunya sahaja dan tidak terlalu jauh jarak antara kedua-duanya.
  • Upline dan downline mempunyai hak yang sama untuk mendapat keuntungan yang lebih tinggi antara satu sama lain berdasarkan jualan yang dilakukan dan bukannya atas faktor siapa yang masuk dahulu sentiasa akan untung lebih tinggi.
  • Upline hendaklah mengadakan pertemuan, latihan, teknik pemasaran motivasi dan bantuan kepada downline untuk melayakkannya menerima komisyen jualan orang bawahannya.
  • Syarikat MLM hendaklah melantik Panel Penasihat Syariah dalam organisasi mereka untuk mencadang kelulusan dan memantau setiap produk dan pelan pemasaran supaya selari dengan muamalat Islam.

Oleh : Najahudin Lateh

Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui email najahudin@salam.uitm.edu.my