Pembentukan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) Menggunakan Teknik Delphi

Abstrak: Teknik Delphi adalah suatu kaedah untuk mendapatkan kesepakatan pakar dalam sesuatu isu. Ia telah digunakan secara meluas dan diterima dalam pelbagai disiplin ilmu seperti perancangan, penentuan, penilaian sesuatu program atau dasar. Teknik ini direka sebagai suatu usaha dalam bentuk komunikasi di kalangan sekumpulan panel pakar bagi memudahkan pembentukan keputusan secara bersama untuk menyelesaikan masalah. Kertas ini akan membentuk instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (PEPS) dengan menggunakan teknik ini. Seramai 13 orang pakar muamalat Islam telah dipilih sebagai peserta dan dua pusingan telah digunakan untuk mendapatkan kesepakatan mereka. Metod soal selidik 4-point Likert Scale digunakan pada kedua-dua pusingan Teknik Delphi untuk mendapatkan data. Analisis soal selidik tersebut dibuat pada setiap pusingan dan kesepakatan pakar diperolehi pada pusingan kedua apabila item mencapai sasaran tahap persetujuan melebihi 70 peratus ataupun median taburan frekuensi sekurang-kurangnya 3.25. Hasilnya, kajian ini telah memperolehi 33 item iPEPS yang terangkum dalam tiga dimensi, iaitu (i) pelabur dan institusi pelaburan; (ii) barang dan harga; dan (iii) akad tawaran. Semua item menunjukkan kesepakatan yang tinggi untuk diterima oleh panel pakar (IQR=0.00 or 1.00; mdn=4.00). Kajian ini berjaya membentuk iPEPS yang boleh digunapakai oleh institusi kewangan Islam untuk mewujudkan produk baru atau audit syariah pelaburan emas sedia ada bagi mematuhi kehendak muamalat Islam.

Pembentukan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) Menggunakan Teknik Delphi

Najahudin Lateh, Ghafarullahhuddin Din, Muhamad Rahimi Osman,

Ezani Yaakob & Salmy Edawati Yaacob

najahudin@salam.uitm.edu.my

Keywords: pelaburan emas, patuh syariah, teknik Delphi.

Introduction.

Keghairahan manusia untuk melabur dalam instrumen kekayaan seperti pelaburan emas berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ini berlaku kerana emas adalah logam bernilai yang juga simbol kekuasaan, kekayaan, kejayaan serta kecantikan. Pelaburan berasaskan emas dianggap sebagai pelaburan yang baik berbanding pelaburan lainatas pelbagai faktor seperti kurang risiko, kecairan dan rekod jangka panjang yang baik. Realiti semasa juga menyaksikan sambutan masyarakat terhadap pelaburan emas sangat mengalakkan. Ini dibuktikan dengan kemunculan banyak syarikat-syarikat yang menawarkan pelbagai pelaburan dan kebanyakkannya adalah tidak mengikut undang-undang. Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri sehingga 28 September 2014 telah menyenaraikan 150 syarikat dan laman sesawang yang tidak mendapat lesen kebenaran beroperasi dan kebanyakannya adalah pelaburan emas (BNM, 2014). Walaupun begitu, tarikan keuntungan yang ada pada emas menyebabkan orang ramai sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit membuat pelaburan walaupun menghadapi risiko kehilangan wang mereka. Dewan Rakyat pernah mendedahkan jumlah pelaburan emas Syarikat Genneva Malaysia yang telah diharamkan dianggarkan antara RM4 bilion hingga RM10 bilion yang melibatkan 35,000 orang pelabur hinggakan siasatan BNM menjangkakan syarikat ini tidak mampu membayar balik pulangan pelaburan kerana liabilitinya melebihi aset yang ada (Bernama, 2012). Bagi umat Islam, hal ini telah menimbulkan masalah dari aspek hukum jika peraturan syarak tentang transaksi emas tidak diambil kira. Justeru, kajian ini bertujuan untuk membangunkan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) yang disepakati pakar muamalat sebagai nilai tambah untuk manfaat pelabur emas, institusi pelaburan dan masyarakat seluruhnya.

Transaksi emas mengikut syariah.

Ayat al-Quran memberi gambaran tentang emas sebagai harta kekayaan (Ali-‘Imran, 3:14; Ali-‘Imran, 3:75; Ali-‘Imran, 3:91; al-Nisa’, 4:59; al-Tawbah, 9:34) dan barang bernilai yang berkekalan hingga akhir zaman (al-Isra’, 17:93; al-Kahf, 18:31; al-Fatir, 35:33; al-Zukhruf, 43:35; al-Zukhruf, 43:73; al-Zukhruf, 43:71). Manusia sama ada lelaki atau perempuan menjadi salah satu nikmat kecintaan dan pesona dunia (Ali-‘Imran 3:14). Karya fiqh Islam dalam semua mazhab sama ada Hanafi, Maliki, Syafi’i ataupun Hambali menyentuh fungsi emas sebagai alat pertukaran, perkakasan, perhiasan, senjata perang, pakaian, cincin, gantian anggota badan, pembayaran zakat, riba dan transaksi emas dan sebagainya (Salmy, 2011).

Islam meletakkan hukum-hakam yang khusus berkaitan emas berbanding dengan logam lain seperti tembaga dan besi. Peraturan khas berkaitan riba dalam transaksi emas diwujudkan untuk mengelakkan keuntungan secara penindasan dan manipulasi harga. Sabda Rasulullah SAW: (Ditukar) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar,  garam  dengan  garam, hendaklah timbangan sama berat, hendaklah serah tangan terus. Sekiranya berbeza jenis (barang), maka jual seperti yang engkau mahukan dengan tidak bertangguh penyerahan terus. (Riwayat Muslim (2010) daripada ‘Ubadah bin al-Samit)

Hadith tersebut membahagikan dua kategori barangan, iaitu (a) matawang seperti emas, perak, dollar dan sebagainya; dan (b) barangan makanan asasi seperti gandum, beras dan barli. Terdapat tiga syarat dalam transaksi emas menurut syariah: (i) Transaksi emas dengan emas mestilah diserah terima secara serta merta ketika kontrak serta mempunyai berat timbangan yang sama; (ii) Transaksi emas dengan matawang lain mestilah diserah terima secara serta merta ketika kontrak tanpa tangguh atau berhutang, tetapi tanpa perlu nilai atau berat timbangan yang sama; dan (iii) Transaksi emas dengan barangan lain tidak mempunyai sebarang syarat seperti dua syarat di atas. Kaedah transaksi emas ini ditunjukkan dalam Jadual 1 berikut.

Jadual 1. Kaedah Transaksi Emas dalam Islam.

  Kategori MatawangKategori Makanan AsasiKategori Barangan Lain
  EmasDollarGandumBerasRumahKereta
Kategori MatawangEmas      
Dollar      
Kategori Makanan AsasiGandum      
Beras      
Kategori Barang LainRumah      
Kereta      

                               Petunjuk

 Jual beli atau transaksi diserah terima secara serta merta ketika kontrak serta mempunyai berat timbangan yang sama;
 Jual beli atau transaksi diserah terima secara serta merta ketika kontrak tanpa tangguh atau berhutang tanpa perlu nilai atau berat timbangan yang sama.
 Jual beli atau transaksi boleh secara tangguh atau hutang serta serta tanpa perlu nilai atau berat timbangan yang sama.

Sorotan Literatur.

Banyak kajian menyebutkan kedudukan emas dalam ekonomi Islam. Ibn Taymiyyah (1999) mengambarkan emas dan perak adalah matawang bernilai yang terkenal secara natural dan adat yang berbeza dengan benda lain. Malah, al-Ghazali dalam karyanya al-Ihya’ menyebutkan dinar emas dan dirham perak dijadikan Allah SWT sebagai pengukur nilai harta benda lain dan pengantara di kalangan manusia sehinggalah terdapat alat pertukaran yang dapat menilai sesuatu barangan (al-Ghazali, 1993). Ini juga diakui oleh Ibn Khaldun yang menganggap kedua-dua logam tersebut adalah pengukur nilai dan alat pertukaran bagi pelbagai barangan berharga. Kajian Ibn Khaldun melalui karyanya al-Muqaddimah juga telah memperakukan emas dan perak sebagai harta dan kekayaan paling stabil dalam sejarah ekonomi dunia, tetapi berbeza dengan barangan lain kerana terkecuali daripada terdedah kepada turun naik harga pasaran (Ibn Khaldun, 2002). Al-Qaradawy (1999) juga melihat kepentingan emas sebagai matawang syariah yang mempunyai nilai thamaniyyah (berharga) selain berhubung kait dengan hukum syarak lain seperti mahar, kesalahan hudud mencuri, pembayaran diyat dan hukum zakat. Kepentingan dan kestabilan harga logam emas ini melahirkan keinginan masyarakat dunia dulu dan kini di mana-mana zaman dan tempat termasuklah di Malaysia untuk menggunakan emas. Padan zaman moden kini, selain seruan mengembalikan dinar emas sebagai mata wang, ia juga digunakan sebagai simpanan, pelaburan, jual-beli, membayar zakat, hadiah cenderamata, mas kahwin.

Kajian shariah juga banyak dibuat berkaitan syarat-syarat penggunaan emas, namun kajian spesifik tentang pelaburan emas jarang dilakukan. Biasanya kajian menjurus kepada penggunaan emas secara umum, seperti fungsi emas (al-Ghazali, 1993; Ibn Khaldun, 2002), hukum transaksi emas (Ibn Baz, 2013; Ibn Khaldun, 2002) ataupun mekanisme pelaksanaan emas sebagai matawang (al-Maqrizi, 1957; Salmy, 2011).  Kajian tentang emas sebagai suatu instrumen pelaburan jarang dilakukan. Walaupun begitu, terdapat beberapa kajian ringkas tentang konsep pelaburan emas. Akhtarzaite (2012) ada menyentuh tentang pelaburan emas menurut perspektif Islam melalui beberapa kontrak khasnya jual beli, sementara Burhanuddin (2012) pula telah membuat kajian ringkas terhadap beberapa produk pelaburan emas di Malaysia terpilih mengikut hukum fiqh. Sementara itu, terdapat dua kajian berbentuk analisis terhadap produk pelaburan emas iaitu oleh Lokmanulhakim et al. (2012) yang menganalisis dari aspek kepatuhan syariah dan Lokmanulhakim et al. (2013) yang menganalisis dari aspek kewajipan pembayaran zakat. Saat (2011) pula menyebutkan teknik pelaburan emas di Malaysia, namun kaedah secara patuh syariah tidak dijelaskan. Terdapat pula kajian tentang beberapa institusi pelaburan emas, namun perbahasannya lebih kepada aplikasi instrumen tersebut contohnya di Kuwait Finance House (Mohd Yusra, 2012), Public Gold (Louis, 2009) dan di beberapa institusi lain (Shukor, 2009).

Selain itu, panduan untuk menyemak produk patuh syariah yang wujud di Malaysia dan di seluruh dunia tidak merangkumi secara spesifik terhadap pelaburan emas. Kriteria patuh syariah yang dibangunkan oleh badan-badan piawai di seluruh dunia seperti  Dow Jones Islamic Market Indices, Financial Times Stock Exchange, MSCI Global Islamic Indexes, Standard & Poor’s Syariah Indices, Meezan Islamic Fund Pakistan dan Securities Commission (SC) Malaysia adalah umum untuk pasaran modal dan bukannya menyentuh khusus tentang transaksi emas. Malah, setiap badan piawai mempunyai kriteria yang berbeza dalam mengklasifikasikan sesuatu sekuriti itu sebagai patuh syariah. Kelainan piawai daripada pelbagai pihak melahirkan keputusan patuh syariah yang berbeza (Derigs & Marzban, 2008; Ho et al., 2012). Panduan transaksi emas pula hanya disentuh secara umum oleh badan-badan Islam seperti majlis-majlis fatwa negara-negara, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Rabitah ‘Alam Islami dan Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI). Namun, semua piawai dan kriteria ini lebih kepada panduan umum fiqh dan kontrak Islam berkaitan transaksi matawang dan bukannya piawai khusus dan komprehensif tentang transaksi atau pelaburan emas. Instrumen atau panduan yang agak komprehensif tentang transaksi emas yang patuh syariah adalah parameter PPE (JAKIMa) yang telah dipersetujui dan diperakui oleh MFK dalam muzakarah bilangan ke-96 mulai 13 hingga 15 Oktober 2011. Namun, garis panduan yang mengandungi 23 perkara tersebut perlu penambahbaikan dan ini diakui oleh MPS institusi kewangan di Malaysia dalam resolusi muzakarahnya kali ke-8 pada 29 Mei 2012 yang merumuskan parameter tersebut perlu dikemaskini serta kajian lanjut perlu dilakukan (JAKIM, 2012b).

Justeru, (i) kekurangan kajian spesifik tentang pelaburan emas; (ii) perbezaan piawai patuh syariah sedia ada dan ketidakrangkumannya meliputi kriteria transaksi emas serta (iii) kekurangan parameter PPE MFK adalah suatu ruang kosong yang perlu dibuat pengisian dan dijawab melalui kajian ini. Kriteria patuh syariah tentang transaksi emas perlu dikenal pasti, dianalisis, disusun dan diwujudkan bagi mengisi ruang lompong yang dinyatakan.

Method.

(i) Teknik Delphi

Kajian ini menggunakan teknik Delphi iaitu suatu usaha di kalangan sekumpulan panel pakar (Adler & Ziglio, 1996) bagi membentuk suatu keputusan kesepakatan secara bersama (Helmer, 1968). Teknik ini digunakan untuk mendapatkan kesepakatan pandangan pakar dan kajian lalu telah membuktikan Delphi lebih efektif untuk menjana idea daripada kaedah-kaedah lain (Ludwig, 1997; Ulschak, 1983). Menurut Dalkey et al. (1972), ‘several heads are better than one’ (beberapa kepala adalah lebih baik daripada satu) kerana pandangan terbaik akan diperolehi melalui kepelbagaian jenis jawapan daripada individu pakar yang berpengetahuan. Oleh itu teknik Delphi direka sebagai tatacara pengundian (Hill dan Fowles, 1975), alat penghakiman, membuat keputusan (Rowe & Wright, 1999) serta untuk meningkatkan kaedah ramalan (Dalkey et al., 1972). Malahan, perkataan Delphi dikatakan merujuk kepada tapak suci ahli nujum yang dihormati dalam ramalan purba Greece dan suruhan daripada tuhan-tuhan telah diminta melalui perantara ahli nujum ini (Fowles, 1978).

Dari segi sejarah, teknik Delphi yang dibangunkan oleh penyelidik Norman Dalkey dan Olaf Helmer untuk tentera udara Amerika Syarikat tajaan RAND Corporation pada awal tahun 1950-an amat membantu apabila pakar-pakar bertaburan dan tidak mudah untuk bertemu secara personal (Dalkey & Helmer, 1963; Ludwig, 1997; Miller & Salkind, 2002; Rand, 2013). Pada zaman kini, penggunaan Delphi telah meluas dalam bidang pendidikan, pengurusan pentadbiran, penilaian polisi, perancangan program, perniagaan dan sebagainya. Teknik ini membolehkan pakar-pakar menangani secara bersistematik tentang sesuatu masalah atau tugasan yang rumit dengan menggabungkan keputusan individu bagi memperoleh satu kesimpulan bersama (Helmer, 1968). Seorang peserta pakar lebih cenderung untuk memberikan pandangan secara bebas dan tanpa terikat jika tiada pendedahan pendapatnya kepada orang lain (Helmer, 1968) di samping boleh menyaring pendapat panel yang terdiri daripada pakar sesuatu bidang (Dalkey et al., 1972).

(ii) Peserta

TD dilaksanakan untuk mencapai tahap kesepakatan yang tinggi di kalangan peserta pakar, iaitu individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang khusus dalam sesuatu bidang (Ludwig, 1997; Martino, 1983). Justeru, pemilihan peserta kajian ini dibuat dengan teliti untuk mengelakkan kesilapan dan dapatan yang tersasar. Mereka mestilah dipilih daripada mereka yang benar-benar pakar, berpengetahuan serta berpengalaman dalam isu kajian (Ludwig, 1997) dan pemilihan panel yang menyeluruh dapat memastikan seluruh spektrum pandangan akan diwakili bagi mendapatkan hasil yang lebih berkesan (Loo, 2002). Ini kerana kejayaan TD bergantung kepada pandangan dan berdasarkan maklumat yang diberikan. Oleh itu panel pakar dikenalpasti melalui proses pencalonan dan bukannya pemilihan secara rawak (Ludwig, 1997). Pengkaji lepas mencadangkan panel pakar hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan terhadap isu dan perspektif perkara yang dikaji di samping bermotivasi untuk kekal sehinggan selesai kajian (Linstone & Turoff, 1975; Ziglio, 1996).

Justeru, kajian ini memilih 13 peserta untuk TD di kalangan pakar yang memenuhi syarat: (i) mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana dalam bidang syariah; dan (ii) mufti kerajaan; atau penasihat syariah di institusi kewangan; atau penyelidik muamalat di institusi penyelidikan syariah; atau profesor syariah di universiti awam. Jumlah ini juga sesuai bagi penyelidik kerana peserta yang terlalu kecil tidak mencerminkan perwakilan bagi isu sasaran dan jika terlalu besar memerlukan masa yang banyak untuk peserta (Hsu & Sandford, 2007) dan menyusahkan proses meringkaskan pandangan mereka (Ludwig, 1997) (Linstone & Turoff (1975). Pengkaji lepas mencadangkan minima saiz panel peserta pakar TD adalah antara tujuh orang, iaitu mengikut eksperimen asal oleh Dalkey & Helmer (1963). Terdapat pelbagai pandangan tentang maksima saiz panel antaranya tidak melebihi 12 peserta (Cavalli-Sforza & Ortolano, 1984; Phillips, 2000), 15 peserta (Delbecq et al., 1975; Linstone & Turoff, 1975; Martino, 1983; Ziglio, 1996) dan 50 orang (Linstone & Turoff, 1975; Witkin & Altschuld, 1995).

Justeru, saiz peserta seramai 13 orang memenuhi saiz yang disyorkan oleh majoriti pengkaji iaitu antara tujuh hingga 15 orang dan bersesuaian dengan saiz sampel purata cadangan mereka iaitu antara 10 hingga 15 orang seperti cadangan Delbecq et al. (1975) dan Ziglio (1996). Mereka yang dipilih terdiri daripada (i) Dua members of Majlis Fatwa Kebangsaan; (ii) Dua members of the Shariah Advisor at BNM; (iii) Dua Members of the Shariah Advisor at SC; (iv) Dua researcher at the International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA); (v) Dua orang ketua jabatan syariah perbankan Islam; dan (vi) Tiga academician (in Muamalat) at universiti awam.

(iii) Pusingan

Untuk mendapatkan kesepakatan tersebut, teknik Delphi tidak menetapkan pusingan yang perlu diikuti. Pusingan Delphi hanya tamat dan dihentikan apabila panel pakar telah mencapai kesepakatan mereka. Kebiasaan teknik ini dilakukan sebanyak tiga pusingan (Ludwig, 1997) namun boleh dilakukan antara dua hingga 10 pusingan untuk mendapatkan konsensus yang mantap (Martino, 1983). Kajian ini menggunakan teknik Delphi sebanyak dua pusingan dengan panel pakar yang sama. Pusingan dihentikan kerana tujuan untuk mendapatkan kesepakatan peserta telah tercapai (Martino, 1983). Jumlah ini juga dianggap memadai kerana perbezaan pandangan pakar sudah berkurangan pada pusingan kedua (Helmer, 1968).

Pusingan pertama Delphi bertujuan untuk mengesahkan data dan mendapatkan kesepakatan pakar terhadap 34 item yang dibina berdasarkan kajian literatur. Proses peringkat ini menggunakan instrumen soal selidik responds terbuka dan responds tertutup yang boleh berfungsi untuk mendapatkan maklumat spesifik tentang liputan kandungan kajian (Custer, Scarcella, & Stewart, 1999). Data yang diperolehi digunakan untuk membina instrumen soal selidik bagi pusingan seterusnya. Pusingan kedua Delphi pula bertujuan untuk mendapatkan kesepakatan pakar terhadap item yang belum disepakati serta item baru yang dicadangkan dalam soal selidik pusingan lepas. Justeru, set soal selidik pada pusingan ini mengandungi tiga bahagian, iaitu (i) item yang belum disepakati; (ii) item yang mengalami perubahan struktur ayat; dan (iii) item tambahan yang baru. Instrumen yang diedarkan kepada panel pusingan ini juga disertakan bersama analisis maklumbalas mereka pada pusingan pertama. Setiap peserta boleh mengubah tahap persetujuan mereka sedia ada pada pusingan pertama supaya skor jurang perbezaan persetujuan di kalangan pakar dapat dirapatkan. Namun, mereka tidak dibenarkan menambah sebarang item baru pada pusingan kedua ini.

(iv) Instrument

Kajian ini menggunakan soal selidik yang direkabentuk daripada instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) yang mengandungi tiga dimensi; (i) Pelabur dan institusi pelaburan (5 item); Barang dan harga (17 item); dan (iii) Akad tawaran (11 item) seperti dalam Jadual 2.

Table 2. Item iPEPS Bagi Setiap Dimensi.

DimensionItems
A. Pelabur dan institusi pelaburanA01 Institusi pelaburan hanya membenarkan pelabur yang berumur 18 tahun untuk berkontrak. A02 Institusi pelaburan diwakili oleh seorang yang berumur 18 tahun ke atas ketika berkontrak. A03 Pelabur meredai kontrak tanpa ada unsur paksaan. A04 Operasi institusi pelaburan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) / Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). A05 Institusi pelaburan mempunyai ahli penasihat syariah bagi produk pelaburan emas.
B. Barang dan harga  B01 Barang (emas) yang dilabur wujud secara fizikal. B02 Emas mempunyai pemilikan penuh. B03 Emas boleh dipindah milik. B04 Emas boleh diketahui dengan melihat secara fizikal, sampelnya atau ditentukan sifat serta kadarnya. B06 Bentuk emas (sama ada syiling, jongkong dan sebagainya) diketahui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak. B07 Kadar ketulenan emas (berasaskan karat atau peratusan) diketahui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak. B08 Timbangan berat emas diukur secara tepat berasaskan piawai ukuran berat semasa. B09 Kadar timbangan berat emas diketahui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak. B10 Emas boleh diserahkan secara serta-merta (lani) tanpa penangguhan. B11 Penyerahan (taqabud) emas berlaku sebelum kedua-dua pihak yang berkontrak berpisah (secara hakiki seperti penyerahan fizikal emas ataupun hukmi seperti catatan berat emas dalam akaun). B12 Emas yang telah dipindah milik mampu didapatkan oleh pemilik (pembeli) pada bila-bila masa tanpa halangan. B13 Emas yang telah dipindah milik bebas dikendalikan (tasarruf) oleh pemilik (pembeli) tanpa halangan. B14 Harga emas (bayaran) diketahui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak. B16 Bayaran boleh diserahkan secara serta-merta (lani) tanpa penangguhan. B17 Penyerahan (taqabud) bayaran sepenuhnya berlaku sebelum kedua-dua pihak yang berkontrak berpisah. B18 Bayaran dibuat secara tunai (seperti menggunakan wang tunai, cek yang sah mempunyai tunai, bank draf, kad debit, kad kredit atau pindahan wang). B19 ‘Kunci harga’ yang mengandungi penangguhan serahan emas atau bayaran adalah janji (wa’ad) penawaran daripada sebelah pihak sahaja yang boleh dibatalkan bila-bila masa.
C. Akad tawaranC01 Terdapat kontrak (akad penawaran dan penerimaan) sama ada secara lisan, bertulis atau secara atas talian. C02 Majlis kontrak penawaran dan penerimaan berlaku melalui pertemuan pelabur dan wakil institusi pelaburan secara hukmi (secara fizikal) atau maknawi (tanpa fizikal seperti melalui SMS, telefon, emel, faksimili atau secara maya). (C02) C03 Kontrak tidak diselangi dengan tempoh masa lama atau perkataan yang tiada kaitan. C04 Kontrak tidak mempunyai sebarang syarat yang menghalang pemilikan. C05 Kontrak tiada sebarang syarat untuk beli balik emas antara kedua pihak yang berkontrak. C06 Kontrak tiada sebarang syarat antara kedua-dua pihak yang berkontrak untuk memberi hibah yang perlu ditunaikan. C07 Kontrak tidak mengandungi unsur hutang (pinjaman) yang digabung sekali dengan jual beli (salaf wa bay’). C08 Kontrak tidak mengandungi sebarang imbuhan sebagai hilah (tipudaya) untuk menutup kontrak pinjaman yang dijamin pulangan. C09 Kontrak tidak mempunyai sebarang unsur perjudian. C10 Kontrak tidak mempunyai sebarang pertambahan pada berat emas yang ditukar (trade-in) dengan emas lain. C11 Kontrak tiada sebarang syarat untuk menyewa semula emas tersebut bagi dijualkan kepada pihak lain.

Soal selidik tersebut digunakan pada setiap pusingan Deplhi. Instrumen berbentuk soal selidik ini sangat sesuai untuk mendapatkan maklumat sesuatu fenomena daripada saiz populasi yang besar (Konting, 1998). Sebelum soal selidik Delphi dilakukan, instrumen yang telah disiapkan diuji terlebih dahulu melalui kajian rintis ke atas dua responden pakar yang terdiri daripada seorang pegawai penasihat syariah yang terlibat dengan industri dan seorang yang terlibat dengan bidang akademik di IPT. Setelah dibaiki, soal selidik tersebut diedarkan kepada semua peserta pakar yang merangkumi dua pusingan.

Set soal selidik tersebut mengandungi item responds tertutup berbentuk Skala Likert 4-Poin yang mengandungi tahap ‘Sangat setuju’, ‘Setuju’, ‘Tidak setuju’ dan ‘Sangat tidak setuju’. Pusingan pertama Delphi terdiri daripada 35 item sementara pusingan kedua terdapat 36 item. Tujuan utama metod soal selidik pada peringkat ini adalah untuk mendapatkan persetujuan pakar-pakar tersebut kepada item soal selidik yang diberikan. Oleh itu, item soal selidik yang tidak dipersetujui dibuang hinggalah terdapat kesepakatan tersebut pada pusingan kedua.

(v) Analisis Data

Data yang telah dikutip pada kedua-dua pusingan Delphi telah dianalisis menggunakan program Statistical Package For Sosial Science (SPSS) untuk mendapatkan item yang telah disepakati. Terdapat pelbagai pendapat untuk menentukan konsensus pada setiap pusingan Delphi antaranya melalui peratusan undi berada pada julat yang ditetapkan (Hsu & Sandford, 2007). Ini diakui oleh Ulschak (1983) yang mencadangkan 80 peratus bagi skala tujuh point, sementara Green (1982) meletakkan 70 peratus bagi skala empat point. Namun, penetapan melalui peratusan undi ini tidak disokong oleh sesetengah pengkaji (Linstone & Turoff, 1975). Mereka mencadangkan alternatif statistik lain yang lebih tepat dalam kajian Delphi iaitu melalui kecenderungan memusat seperti min, median, dan mod atau ukuran serakan seperti sisihan piawai dan julat antara kuartil (Hasson, Keeney, & McKenna, 2000). Malah skor median menjadi pilihan ramai pengkaji literatur yang menggunakan Likert Scale (Hill & Fowles, 1975). Bagi kajian ini, penyelidik bersetuju dengan cadangan Green (1982) yang menetapkan skor median bagi meletakkan 70 peratus bagi skala empat point adalah sekurang-kurangnya 3.25 (mdn<3.25).

Results.

(i) Validity and realibility

Pengukuran yang baik memerlukan instrumen yang tepat dan konsisten. (Zikmund et al., 2010). Justeru, sesuatu instrumen yang baik perlu memenuhi dua kriteria utama untuk tujuan pengukuran, iaitu kesahan (validality) dan kebolehpercayaan (realibility) yang tinggi (Cooper & Schindler, 2006; Zikmund et al., 2010) sehingga soalan tersebut boleh dijawab dengan baik oleh subjek kajian (Hardy & Brymen, 2004). Validity adalah ketepatan serta kesesuaian sesuatu ujian atau instrumen mengukur apa yang sepatutnya diukur (Youngman & Eggleston, 1982; Sax & Newton, 1997). Realibility pula adalah ketekalan (consistency) dan kestabilan (stability) sesuatu prosedur instrumen, iaitu skor atau jawapan yang diperolehi adalah sama atau hampir sama apabila item yang sama diuji berulang-ulang kali pada suatu masa berlainan (Cooper & Schindler, 2006; Wainer & Braun, 1988; Zikmund et al., 2010; Marican, 2005). Ia bertujuan untuk mengenal pasti sama ada instrumen yang diukur menghasilkan dapatan yang sama apabila digunapakai semula pada responden yang sama atau pada sampel populasi yang lain (Sabitha Marican 2005). Ini membawa maksud pencapaian responden yang menjawab sesuatu instrumen adalah konsisten serta tekal pada setiap masa.

Kesahan instrumen dalam kajian ini dibuktikan melalui kaedah kesahan isi (content validity) serta dilaksanakan melalui beberapa langkah seperti yang dicadangkan oleh penyelidik lain iaitu pengesahan penyelia terhadap inventori soalan berstruktur, pengesahan pakar terhadap kandungan item yang dibina dan kajian rintis (Bogdan & Biklen, 2003). Untuk tujuan tersebut, penyelidik telah menyediakan inventori soal selidik dan diserahkan kepada penyelia untuk mendapatkan pengesahan bahawa instrumen selaras dengan objektif kajian. Selain itu, kesahan kandungan instrumen soal selidik yang diedarkan dalam kajian tinjauan berada pada tahap tinggi kerana telah disah serta disepakati oleh 13 pakar muamalat hasil dua pusingan Delphi yang dilaksanakan.

Kebolehpercayaan dalam instrumen kajian ini dilaksanakan melalui langkah triangulasi antara data, pengesahan pakar dan kajian rintis serta dikesan melalui pelaksanaan kaedah ketekalan luaran atau dalaman (Sabitha Marican 2005). Kaedah ketekalan luaran dalam kajian ini dilaksana melalui semakan dan pengesahan item dengan langkah triangulasi antara data (Wiersma 1991; John Van Maaneen, 1983) dan kesepakatan pakar muamalat. Kaedah ketekalan dalaman pula dilakukan untuk mencari nilai kolerasi setiap item dengan jumlah skor bagi semua item dalam instrumen soal selidik dan temubual yang dijalankan. Melalui kaedah ini, item yang memperolehi nilai korelasi yang tinggi dianggap mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Untuk tujuan tersebut, skala kebolehpercayaan Cronbach alpha digunakan untuk mendapatkan nilai tersebut. Hasilnya, kebolehpercayaan instrumen soal selidik teknik Delphi terbukti melalui kajian rintis dengan skala alpha coefficient adalah antara 0.8 dan 0.95 yang bermaksud kebolehpercayaannya adalah sangat baik dan tinggi (Zikmund et al., 2010).

(ii) Pusingan pertama Delphi

Hasil analisis pusingan pertama Delphi, terdapat penerimaan, pengekalan, penambahbaikan dan penambahan terhadap beberapa item PEPS. Pada dimensi “Pelabur dan Institusi Pelaburan”, majoriti peserta telah mencapai kesepakatan pada tahap yang tinggi untuk menyetujui terhadap semua item dengan skor median adalah 4.00 (mdn=4) dan IQR bernilai 0.00 hingga 1.00 (IQR=0-1). Kesepakatan yang tinggi diperolehi daripada item A02, A04 dan A05 yang mencapai skor IQR=0 sementara item A01 dan A03 mendapat skor IQR=1. Majoriti peserta juga telah bersepakat pada dimensi “Barang dan Harga Emas” dengan kesepakatan tahap yang tinggi untuk menyetujui kebanyakkan item yang disenaraikan dengan mdn=4 dan skor IQR=0, iaitu pada semua item kecuali pada item B05 dan B17. Terdapat kesepakatan pakar pada tahap sederhana untuk tidak menyetujui kedua-dua item tersebut dengan skor mdn=2 dan IQR=1.5. Namun, kedua-dua item tersebut masih dikekalkan dalam set soal selidik bagi pusingan kedua sehingga mendapat kesepakatan terhadap item tersebut. Pada dimensi “Akad Tawaran Pelaburan Emas”, semua pakar telah mencapai kesepakatan tahap tinggi untuk menyetujui pada semua item iaitu skor mdn=4 dan IQR=0.

Secara rumusan pusingan pertama Delphi menunjukkan sebanyak 33 item telah mencapai tahap kesepakatan yang tinggi di kalangan majoriti peserta pakar untuk menyetujui item tersebut dengan (IQR=0-1). Oleh itu, semua item tersebut telah diterima sebagai instrumen SCGI. Terdapat dua item (B17; C02) yang mengalami penambahbaikan dari aspek struktur ayat dan dua item (B05; B16) mendapat kesepakatan yang sederhana di kalangan pakar. Selain itu, pusingan ini turut memperolehi satu cadangan item baru pada dimensi ‘Akad Tawaran Pelaburan Emas’: “C11 Kontrak tiada sebarang syarat untuk menyewa semula emas tersebut bagi dijualkan kepada pihak lain.”

(ii) Pusingan kedua Delphi

Pusingan kedua yang mengandungi 35 item termasuk satu item baru (C11) telah menghasilkan kesepakatan yang tinggi (IQR=0) di kalangan pakar sama ada untuk bersetuju atau menolaknya. Dua item yang belum disepakati pada pusingan pertama Delphi iaitu B05 dan B15 telah mencapai kesepakatan pakar yang tinggi (IQR=0) untuk tidak menyetujui item tersebut dengan mdn=2 Justeru kedua-dua item tersebut telah digugurkan daripada insturmen SCGI. Semua pakar juga bersepakat pada tahap yang tinggi (IQR=0; mdn=4) untuk menyetujui item B18 dan C02 dengan perubahan struktur ayat. Malah, semua pakar Delphi juga bersepakat pada tahap tinggi untuk menyetujui item tambahan yang dicadangkan pada pusingan pertama iaitu C11 dengan skor IQR=0 dan mdn=4. Dua item (B18; C02) yang mengalami perubahan struktur ayat diterima masuk dalam instrumen PEPS di samping satu item baru (C11) tersebut. Hasilnya, kajian melalui pusingan pertama dan kedua tersebut telah berjaya memperolehi sebanyak 33 item yang disepakati pada tahap tinggi (IQR=0-1; mdn=4) oleh semua pakar untuk menyetujuinya.

Conclusion.

Kajian ini telah mencapai objektif membentuk intrumen SCGI yang mendapat kesepakatan pakar. Dapatan daripada kajian fasa ini menunjukkan kesepakatan yang tinggi di kalangan panel yang terdiri daripada pakar muamalat Islam. Skor konsensus yang diperolehi iaitu IQR=0.00 atau 1.00 dan mdn=4.00 adalah tinggi melebihi daripada tahap yang ditetapkan bagi kajian ini (mdn<3.25). Kesepakatan pakar yang meliputi tiga dimensi dan 33 item ini diperolehi pada pusingan kedua teknik Delphi.

References

Al-Quran

Adler, Michael, & Ziglio, Erio. (1996). Gazing Into the Oracle: The Delphi Method and Its Application to Social Policy and Public Health. London: Jessica Kingsley Publishers.

Akhtarzaite, Abdul Azizi. (2012). Emas dan Pelaburan Daripada Perspektif Syariah. Paper presented at the Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali Ke-8, Putrajaya.

Bernama. (2012, 1 November 2012). 35,000 Terlibat Genneva, Pelaburan RM10 Billion, Berita Harian.

BNM, Bank Negara Malaysia. (2014). Financial Costumer Alert’s List.   Retrieved 28 September 2014, from http://www.bnm.gov.my/documents/2014/210504_FCA_en.pdf

Burhanuddin, Lukman. (2012). Produk Pelaburan Emas di Malaysia: Satu kajian mengikut perspektif. Paper presented at the Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali Ke-8, Putrajaya.

Cavalli-Sforza, Violetta, & Ortolano, Leonard. (1984). Delphi Forecasts of Land Use: Transportation Interactions. Journal of Transportation Engineering, Volume 110 (Issue 3), 324–339.

Custer, Rodney L., Scarcella, Joseph A., & Stewart, Bob R. (1999). The Modified Delphi Technique – A Rotational Modification. Journal of Vocational and Technical Education, 15(2). http://scholar.lib.vt.edu/ejournals/JVTE/v15n2/custer.html

Dalkey, Norman Crolee, & Helmer, Olaf. (1963). An Experimental Application of the Delphi Method to the Use of Experts. Management Science, Vol. 9 (No. 3), 458 – 467.

Dalkey, Norman Crolee, Rourke, Daniel L., Lewis, Ralph, & Snyder, David. (1972). Studies In The Quality of Life: Delphi and Decision-making. Lexington, Massachusetts: Lexington Books.

Delbecq, André L., Ven, Andrew H. Van de, & Gustafson, David H. (1975). Group Techniques for Program Planning: A Guide to nominal Group and Delphi Process. Glenview, Illinois: Scott, Foresman and Company.

Derigs, Ulrich, & Marzban, Shehab. (2008). Review and analysis of current Shariah-compliant equity screening practices. International Journal of Islamic and Middle Eastern Finance and Management, Vol. 1 (No. 4), pp. 285-303. doi: 10.1108/17538390810919600

Fowles, Jib. (1978). The Delphi Technique: Handbook of Futures Research. Westport, CT: Greenwood Press.

Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad. (1993). Ihya’ ‘Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Khayr.

Green, P. J. (1983). The Content of a College-level Outdoor Leadership Course for Land-based Outdoor Pursuits in the Pacific Northwest: A Delphi Consensus. t.t: University Microfilms.

Hasson, Felicity , Keeney, Sinead , & McKenna, Hugh (2000). Research guidelines for the Delphi survey technique. Journal of Advanced Nursing, 32(4), 1008–1015. doi: 10.1046/j.1365-2648.2000.t01-1-01567.x

Helmer, Olaf. (1968). Analysis of the Future: The Delphi Method. In J. Bright (Ed.), Technological Forecasting for Industry and Government: Method and Applications. Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall.

Hill, Kim Quaile & Fowles, Jib. (1975) The methodological worth of the Delphi technique. Technological Forecasting and Social Change 7, 1 79-192

Ho, Catherine Soke Fun, Omar Masood, Asma Abdul Rehman, et al. (2012). Syariah accounting and compliant screening practices. Qualitative Research in Financial Markets, Vol. 4 (No. 2/3), pp. 240-254. doi: 10.1108/17554171211252556

Hsu, Chia-Chien, & Sandford, Brian A. (2007). The Delphi Technique: Making Sense Of Consensus Practical Assessment, Research & Evaluation, Vol 12(No 10).

Ibn al-Taymiyyah, Ahmad bin ‘Abd al-Halim. (1999). Majmu’ al-Fatawa Ibn Taymiyyah. Riyadh: Matabi’ al-Riyadh.

Ibn Baz, Abdul Aziz bin Abdullah. (2013). Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah. j.19.   Retrieved 19 Februari 2013, from http://www.binbaz.org.sa/mat/3900

Ibn Khaldun. (2002). Mukadimah Ibn Khaldun (D. B. d. Pustaka, Trans.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

JAKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2012a). Parameter Pelaburan Emas.   Retrieved 31 Mac 2013, from http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

JAKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2012b). Rumusan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Di Malaysia Kali Ke-8 Tahun 2012. from http://www.islam.gov.my/muamalat/sites/default/files/pengumuman/2012/05/rumusan_muzakarah_khas_majlis_penasihat_syariah_ke_8_1.pdf

Linstone, Harold A., & Turoff, Murray. (1975). The Delphi Method: Techniques and Applications. Reading, MA: Addison-Wesley Publishing.

Lokmanulhakim, Hussain et. all. (2012). Analisis Syariah Terhadap Produk-produk Pelaburan Emas di Malaysia Research Paper (Vol. No. 36/2012): International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA).

Loo, Robert. (2002). Delphi Method: A Powerful Tool for Strategic Management. Policing: An International Journal of Police Strategies & Management, 25(4), 762-769.

Louis, Ng. (2009). Public Gold: Kelebihan Pelaburan Emas Fizikal. Paper presented at the Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi Wang Dinar, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

Ludwig, Barbara. (1997). Predicting the Future: Have You Considered Using the Delphi Methodology? Journal of Extention, Volume 35.

Al-Maqrizi, Taqi al-Din Ahmad. (1957). Ighathah al-‘Ummah bi Kasyf al-Ghummah. Kaherah: Matba’ah li al-Jannah.

Martino, Joseph P. (1983). Technological forecasting for decision making. New York: Elsevier Science Publishing.

Miller, Elbert C., & Salkind, Neil J. (2002). Handbook of Research Design & Social Measurement (6th ed.). Thousand Oaks, CA: Sage Publications.

Mohd Yusra, Abdullah. (2012). Pelaksanaan Akaun Pelaburan Emas Menurut Perspektif Ekonomi Islam : Kajian di Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad. (M. Syariah), Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Muslim, bin al-Hajjaj al-Qusyayri al-Naysaburi (t.t). al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-‘Adl ila Rasul Allah SAW. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi

Phillips, R. (2000). New Applications for The Delphi Technique (Vol. Vol. 2, pp. 191-196): Annual San Diego Pfeiffer and Company.

Al-Qaradawy, Yusuf. (2009). Fiqh al-Zakah. Beirut: Muassasah al-Risalah.

Rand, Corporation. (2013). Delphi Method.   Retrieved 24 Mac 2013, from http://www.rand.org/topics/delphi-method.html

Rowe, Gene, & Wright, George. (1999). The Delphi technique as a forecasting tool: Issues and analysis. International Journal of Forecasting, 15, 353-375.

Saat, Sukami. (2011). Pelaburan Emas Kaedah, Pendekatan dan Strategi. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Salmy, Edawati Yaacob. (2011). Dinar Emas dan Mekanisme Pelaksanaannya dalam Ekonomi Semasa. (Thesis (Ph.D.)), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shukor, Hashim. (2009). Pelaburan Emas di Malaysia. Paper presented at the Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi Wang Dinar, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

Skulmoski, Gregory, Hartman, Francis, & Krahn, Jennifer. (2007). The Delphi method for graduate research. Journal of Information Technology Education, Vol. 6, 1-21.

Ulschak, Francis L. (1983). Human Resourse Development: The Theory and Practice of Need Assessment. Virginia: Reston Publishing Company.

Witkin, Belle Ruth, & Altschuld, James William. (1995). Planning and Conducting Needs Assessments: A Practical Guide. Thousand Oaks, CA: Sage Publications.

Ziglio, Erio. (1996). The Delphi method and its contribution to dicision-making. In M. Adler & E.