Hadith 20. Arak Najis Memabukkan

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

“Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 242 dan Muslim no. 2003 daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA dan ‘Aisyah RA. Teks di atas terdapat pada riwayat Muslim daripada Ibn ‘Umar RA, sementara teks al-Bukhari daripada ‘Aisyah RA (كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ) – ‘Setiap minuman memabukkan adalah haram’. Hadith ini adalah dalil bagi ‘illat (sebab) pengharaman arak, iaitu sesuatu yang memabukkan, yang menghilangkan akal hingga tidak dapat membezakan sesuatu. Apa-apa istilah seperti khamr, nabiz atau ‘beer’ yang melalui proses pembuatan arak adalah haram, sama ada diminum sedikit atau banyak. Ini termasuklah arak yang diperbuat daripada anggur, kurma, madu, susu, daun ketum, suntikan heroin, berbentuk pil estacy dan sebagainya. Majoriti ulama termasuk mazhab al-Syafi’i menganggap arak adalah najis (al-Nawawi, al-Majmu’ 2/563). Namun, tidak semua bahan beralcohol itu mengandungi arak dan najis walaupun setiap minuman arak mengandungi alkohol. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 14 hingga 16 Julai 2011 memutuskan ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak serta bukan racun membunuh.

2. Hadith ini menjelaskan ‘illat atau sebab pengharaman arak, iaitu memabukkan. Pengharaman ini diperluaskan kepada sebarang minuman, makanan, serbuk dadah, pil atau suntikan cecair yang mempunyai illat yang sama. Justeru, umat Islam perlu mengambil berat tentang pengharaman ini kerana boleh memberi kemudaratan kepada diri, famili, masyarakat dan negara. Sudah terbukti dalam peristiwa dan berita, najis haram ini telah memusnahkan hidup manusia, merebak jenayah mencuri dan hilangnya nyawa, malah anak dan ibu bapa bermusuhan, suami isteri bercerai-berai dan anak-pinak pula daif terbiar. Elemen arak yang memabukkan adalah keji, juga mainan syaitan yang perlu dijauhi oleh orang yang beriman kerana boleh mengakibatkan permusuhan dan kebencian sesama umat (al-Ma’idah, 90 – 91). Budaya mengagungkan arak perlu dibanteras sama ada melalui pesta, pengiklanan ataupun penjualan secara terbuka di penempatan umat Islam. Undang-undang lebih keras perlu terpakai kepada penjualannya kepada orang Islam serta kepada pemandu dengan pengaruh arak. Semua pihak perlu bertindak mencegahnya.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

20 Ramadhan 1441