Kepenggunaan Patuh Syariah Dalam Multi Level Marketing (MLM)

Abstrak: Multi Level Marketing (MLM) adalah suatu konsep baru dalam muamalat Islam. Namun dari aspek kepenggunaan, pelbagai masalah, isu dan persoalan muncul dalam konsep ini yang memerlukan jawapan segera dan segar. Walaupun begitu, Islam sebagai  nur Ilahi pasti mempunyai jawapan dan penyelesaian terhadap semua masalah termasuk dalam MLM. Justeru, kertas kerja ini akan menumpukan fokus kepada perbahasan tentang aplikasi MLM meliputi perbincangan tentang isu-isu syariah berkaitan seperti dua akad dalam satu, harga tinggi, bonus dan sebagainya. Kertas ini juga memuatkan beberapa cadangan berkaitan MLM yang patuh syariah. Adalah diharapkan kertas ini memperkayakan rujukan tentang sistem muamalat kontemporari dan memberi manfaat kepada para pengguna dalam memilih serta menggunakan produk MLM secara syariah. Secara langsung, kertas ini boleh membantu pengguna, syarikat, pengusaha, agen jualan, pelajar dan orang awam untuk membezakan transaksi MLM yang sah patuh syariah atau sebaliknya di samping mampu mencapai sasaran kita untuk mewujudkan sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan.

Kepenggunaan Patuh Syariah Dalam Multi Level Marketing (MLM): Isu-Isu Dan Cadangan

Oleh : [1]

Prof. Madya Dr. Muhamad Rahimi Osman

Najahudin Lateh

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam

PENGENALAN

Sistem Multi Level Marketing (MLM) mendapat perhatian ramai di kalangan pengguna dan para penjual yang terdiri daripada syarikat serta agen pemasaran mereka. Sistem ini mempunyai banyak kelebihan kerana tidak memerlukan banyak modal sedangkan imbuhan berbentuk intensif, bonus atau komisyen sangat tinggi. Keunikannya menjadikan syarikat dan individu pengedar berlumba-lumba menghasil, memperbanyak serta memasarkan produk atau perkhidmatan kepada pengguna. Malah, MLM boleh dianggap suatu strategi pemasaran perniagaan alternatif kepada pemasaran konvensional di pasaran biasa, runcit atau borong.

Namun, pematuhan transaksi ini terhadap prinsip syariah dan muamalat Islam sering dipersoalkan. Kontrak dan transaksinya dari aspek syariah tidak diperinci dan tidak pula diketahui orang ramai, khususnya umat Islam. Ini diburukkan lagi dengan kurangnya penulisan dan fakta berkaitan evaluasi syariah terhadap transaksi ini. Oleh itu, perkara ini perlu diberi perhatian kerana Islam sendiri mengesa umatnya mengetahui dan mendalami ilmu termasuklah dalam soal muamalat. Saidina Umar al-Khattab RA berpesan : “Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya”. (Riwayat al-Tirmidhi)

KONSEP MULTI LEVEL MARKETING (MLM)

Dari segi bahasa, MLM berasal daripada perkataan Latin, iaitu (i) ‘multi’ yang bermaksud ‘lebih daripada satu’ atau ‘pelbagai’; (ii) Level yang bermaksud ‘tingkatan’; dan (iii) Marketing yang bermaksud ‘pemasaran’. Justeru, dari segi bahasa, MLM adalah ‘pemasaran secara tingkat yang pelbagai’. Secara umum, MLM menurut istilah adalah suatu cara untuk menjual barangan secara langsung kepada pelanggan melalui jaringan pengedar (Kearney & Bandley, 1991).

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula mendefinisikan MLM sebagai satu bentuk pemasaran di mana syarikat akan melantik individu sebagai ahli atau pengedar untuk mengedar barangan syarikat. Ahli atau pengedar akan melantik individu lain (downline) bagi membentuk rangkaiannya menjual barangan tersebut. Setiap ahli atau pengedar akan mendapat komisyen, bonus atau insentif daripada jualan peribadi dan jualan ahli atau pengedar di bawah rangkaiannya. (http://www.islam.gov.my/muamalat/glossary?page=5)

Secara umum, MLM adalah suatu kaedah pemasaran produk atau perkhidmatan secara langsung yang dilakukan oleh pengedar yang mempunyai tingkat yang berbeza. Jaringan pemasaran ini tidak memerlukan pengiklanan di samping pendapatan yang diperolehi lebih banyak jika usaha pengedaran dan penjualan dilakukan dengan lebih giat.

MLM juga bolehlah dianggap suatu cara pemasaran dalam perniagaan yang dilakukan melalui pelbagai level (tingkatan), yang biasa dikenali dengan istilah upline (tingkat atas) dan downline (tingkat bawah). MLM ini digerakkan dengan rangkaian sama ada yang bersifat vertikal (atas bawah) mahupun horizontal (kiri kanan) ataupun gabungan antara keduanya. MLM mempunyai sistem operasi atau komponen kerja yang tersendiri. Menurut Clothier (1994), sistem kerja MLM terdiri daripada penajaan (sponsoring), keanggotaan (signing), pengedaran (distribution), penjualan (retailing) dan rangkaian (networking).

ASAS MLM PATUH SYARIAH

Asas utama urusniaga MLM yang memenuhi kehendak syariah adalah yang menepati dengan kontrak muamalah Islam. Menurut Lembaga Fatwa Mesir (2007), MLM adalah satu bentuk akad baru yang menggabungkan dua akad, iaitu akad jual-beli dan al-Ju’alah. Akad jual-beli berlaku antara syarikat dan pembeli yang bakal menjadi pengedarnya dengan memenuhi syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh syarikat. Begitu juga akad jual-beli berlaku antara pengedar dengan pelanggan yang membeli barangan tersebut. Akad antara pihak penjual dan pembeli dilakukan atas dasar suka sama suka (at-taradhi), tidak ada paksaan dan manipulasi. Selain itu, akad jual-beli juga mempunyai mempunyai syarat khusus seperti berikut :

  • Barangan/produk yang dijual hendaklah wujud semasa akad, diketahui oleh kedua pihak yang berakad, merupakan harta yang diakui oleh syarak, dimiliki oleh penjual dan mampu diserah.
  • Bagi sighah (pernyataan akad), ia hendaklah lahir daripada dua pihak yang berakad itu tanda atau reaksi mereka yang menunjukkan persetujuan untuk melakukan akad dan memberi milik kepada pihak lain dengan mendapat tukaran.
  • Bagi dua pihak yang berakad, mereka disyaratkan hendaklah mempunyai keahlian untuk menjalankan akad, redha/bersetuju dengan akad yang dijalankan dan memiliki kuasa ke atas barang yang diakadkan sama ada sebagai pemiliknya atau wakil kepada pemilik.

Akad al-Ju’alah pula adalah akad pemberian yang diikat dengan suatu kerja atau peranan. Ia melibatkan empat rukun, iaitu :

  • Al-Ja’il (Orang yang menawarkan pemberian) iaitu syarikat yang mengeluarkan produk dan memberi perkhidmatan;
  • Al-Maj’ul lahu (Orang yang ditawarkan pemberian kepadanya), iaitu para pengedar atau agen;
  • Al-‘Amal (Kerja/peranan yang menjadi syarat untuk mendapat pemberian), iaitu menjalankan pemasaran/penjualan produk dan mendapatkan pembeli/pengedar baru untuk syarikat; dan
  • Al-Ju’l (yakni pemberian), iaitu hadiah/bonus mengikut peratus tertentu kepada harga barangan/produk.

Al-Zuhayli (1986) menyenaraikan beberapa syarat al-Ju’alah antaranya :

  • Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki kelayakkan untuk melakukan akad;
  • Bayaran hendaklah terdiri daripada jumlah harta yang diketahui; dan
  • Manfaat yang diperolehi hendaklah diketahui pada hakikatnya serta harus bermanfaat dari sudut syarak.

Secara umum MLM pada asasnya adalah harus, namun ia boleh menjadi haram dengan wujudnya elemen-elemen tertentu. Ini jelas dalam fatwa Lembaga Fatwa Mesir, al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyah wa al-Ifta, Saudi Arabia dan Majma’ al-Fiqh al-Islami, Sudan ke atas beberapa syarikat MLM. Elemen-elemen yang menjadikannya haram meliputi perkara yang bertentangan dengan kontrak muamalat atau prinsip perniagaan Islam serta tidak patuh syariah adalah seperti mengandungi eleman riba, gharar, judi, tidak memenuhi rukun dan syarat kontrak, penganiayaan, pemalsuan (tadlis) dan tipudaya (taghrir) serta menggunapakai Skim Piramid atau Money Games.

ISU-ISU SYARIAH TENTANG MULTI LEVEL MARKETING

  1. Dua Akad dalam Satu

Kewujudan dua akad dalam satu disebut shafqatayn fi shafqah atau bay’atayn fi bay’ah dalam istilah fiqh. Perkara ini dilarang dalam muamalat Islam seperti sabda Rasulullah SAW :“Rasulullah SAW melarang membuat dua (akad) belian dalam satu (aqad)” (Riwayat Ahmad)

Larangan hadith ini boleh berlaku dalam MLM apabila ahli yang mendaftar dengan syarikat telah melakukan dua akad muamalat yang berbeza melalui satu akad. Perkara ini berlaku apabila pengedar yang mendaftar dalam sebuah syarikat MLM dan membayar sejumlah wang sebagai yuran pendaftaran beserta pembelian produk syarikat. Pada masa yang sama, ia akan menjadi wakil pula kepada syarikat untuk menjual dan mencari serta merekrut ahli baru sebagai downline. Sebagai contohnya, syarikat MLM membuka keahlian kepada seorang ahli baru dengan membeli produk mereka dengan harga tertentu dengan syarat ia menjadi pula wakil kepada syarikat dengan menjual dan dilantik pula sebagai agen mencari ahli baru dengan komisyen tertentu daripada jualan ahli baru itu.

Justeru, yuran yang dibayar tidak dapat dipastikan sama ada bertujuan untuk membeli produk atau untuk membeli kedudukan dalam struktur organisasi syarikat. Apabila perkara ini berlaku, ia telah melakukan dua kontrak transaksi yang bersifat akad lazim, iaitu akad mu’awadat maliyah (pertukaran kewangan) apabila membeli produk atau menjadi ahli dan aqad wakalah (wakil atau agen) untuk menjualkan produk itu serta tugas mencari pengedar baru dengan imbuhan tertentu sebagai upline.

Gabungan dua akad dalam satu seperti di atas adalah melibatkan dua akad yang lazim, iaitu mu’awadat maliyah dan wakalah. Secara umum, muamalat seperti ini boleh dielakkan daripada perkara haram atau syubhah dengan diwujudkan dua akad yang berbeza yang memisahkan kedua-duanya daripada menjadi satu akad. Begitu juga gabungan akad tidak menjadi masalah jika melibatkan salah satu akad yang bukan lazim.

  • Harga tinggi daripada pasaran biasa

Satu perkara yang menjadi isu dan permasalahan dalam MLM adalah produk yang dijual adalah dengan harga yang sangat tinggi daripada biasa.  Sebagai contoh, ada syarikat MLM yang menjual kopi dengan harga melebih RM100.00 bagi satu kotak sedangkan harga biasa di pasaran hanyalah sekitar RM20.00 sahaja. Lebih buruk lagi kualiti dan rasa kopi yang dijual itu sama sahaja atau kurang enak jika dibandingkan dengan kopi biasa. Malah, ada syarikat yang memang menaikkan harga produk mereka kerana dengan harga yang mahal itu mereka boleh memberi bonus dan komisyen kepada pengedar-pengedar mereka secara keseluruhannya.

Perkara ini termasuk dalam gabhnun dalam istilah fiqh, iaitu salah satu bentuk penipuan harga yang boleh membatalkan sesuatu akad. Gabhnun dalam istilah fiqh terbahagi kepada yasir dan fahisyh. Menurut Ibn Qudamah (1981), perkara ini berlaku apabila pembeli membeli dengan harga yang bukan harga pasaran setelah didesak dan urusan jualan disegerakan oleh penjual. Pandangan mazhab pula berbeza-beza, ada yang mengharuskan, ada yang memakruhkan dan ada yang mengharamkannya. Ibn Rusyd (1985) mengharamkan ghabnun yang harganya melebihi satu pertiga daripada harga pasaran biasa.

  • Komisyen dan Bonus

Secara umum, komisyen dan bonus dalam MLM adalah suatu yang harus. Lembaga Fatwa Mesir (2007) menjelaskan “..kami berpandangan tidak ada sebarang tegahan untuk menjalankan muamalah tersebut (MLM) dan tidak ada tegahan juga untuk memberi (komisyen/bonus) dengan peratusan tertentu kepada seorang yang ia telah menjadi sebab kepada pengedaran (produk) sekalipun secara tidak langsung kerana sebab yang melayakkannya untuk mendapat bonus masih kekal dan itu mencukupi untuk mengharuskan pemberian (bonus) kepadanya.”

Perkara ini jelas menunjukkan pemberian komisyen atau bonus oleh syarikat MLM kepada pengedarnya berdasarkan peratusan daripada jualan downlinenya adalah harus. Komisyen dan bonus ini adalah upah atau ganjaran yang diberikan oleh syarikat kepada pengedar atau upline yang telah melakukan kerja dan sumbangan seperti membuat jualan produk, memperkenalkan syarikat dan menaja ahli baru. Komisyen daripada jualan downline adalah harus melalui usaha dan bimbingan upline  untuk anak buahnya supaya berjaya dalam jualan serta membina organisasi syarikat. Ini dilakukan dengan upline memberi motivasi, perbincangan, pertemuan, perancangan, penerangan dan sebagainya kepada downlinenya secara berterusan.

Walaupun begitu, pemberian komisyen atau bonus hendaklah berpandukan hukum syarak dan menepati dengan konsep muamalat seperti ujrah (upah), al-Ju’alah, hibah, samsarah atau sebagainya. Sebagai contohnya, ia hendaklah menepati dengan konsep al-Ju’alah yang telah kita sebutkan sebelum ini iaitu suatu pemberian (komisyen) kepada mereka yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu. Bonus atau komisyen yang diberikan hendaklah menepati syarat-syarat al-Ju’alah seperti pemberian adalah berdasarkan kepada kerja atau manfaat yang diberikan oleh para pengedar dalam membantu syarikat. Begitu juga syarikat MLM hendaklah menyatakan dengan pasti jumlah bonus yang akan diberikan kepada pengedar jika telah melakukan kerja-kerja tertentu.

Pemberian bonus yang diharuskan itu masih tertakluk kepada syarat dan prinsip lain dalam muamalat Islam. Sebagai contohnya, pemberian bonus hendaklah diambil daripada keuntungan jualan atau sumbangan syarikat dan bukannya daripada bayaran yuran peserta. Begitu juga produk yang dijual hendaklah halal dan terhindar daripada unsur haram seperti riba, gharar, penipuan dan sebagainya.

Walaupun begitu, komisyen dan bonus yang diberikan oleh syarikat MLM perlu mengelak daripada unsur syubhah atau kesamaran seperti berikut :

  • Komisyen diperolehi melalui jualan downline yang sangat jauh di bawah hingga tidak dikenali dan tiada bimbingan diberikan. Ini boleh membawa kepada keuntungan yang diperolehi tanpa sebarang usaha dan terdedah kepada memperolehi harta secara batil. Dalam MLM, tentu sangat janggal dan menimbulkan syubhah jika upline pada aras pertama menerima peratusan penjualan oleh downline aras ke-100 tanpa melibatkan pemberian modal, ada kerja yang dilakukan atau suatu jaminan daripada upline ke atas orang bawahannya.
  • Komisyen atau bonus hanya diperolehi jika terdapat belian peribadi tertentu. Sebagai contohnya, syarikat MLM hanya akan memberikan peratusan penjualan downline di bawahnya jika upline sendiri berjaya menjual sebanyak 1000 unit dalam sebulan. Kelayakkannya untuk mendapat komisyen akan hilang apabila gagal mencapai sasaran tersebut walaupun telah berjaya menjual 999 unit. Walaupun secara asas syarat yang dikenakan seperti itu adalah harus menurut konsep al-Ju’alah, namun perkara ini boleh terdedah kepada unsur paksaan dan perjudian. Ini berlaku apabila upline terpaksa membuat belian paksaan untuk melayakkannya menerima bonus daripada jualan downlinenya. Ia juga berunsur perjudian apabila ia terpaksa mempertaruhkan duitnya untuk membeli produk syarikat tersebut bagi memperohi laba yang lebih tinggi. Justeru, komisyen tersebut syubhah atau tidak jelas sama ada diberikan hasil usaha bimbingan upline terhadap downline ataupun diberikan kepada pembelian oleh upline sendiri.
  • MLM sama dengan Skim Piramid / Money Games

Skim Piramid adalah suatu sistem di mana downline membayar kepada upline. Setiap peserta baru akan membayar yuran penyertaan dan bayaran tersebut akan diberikan kepada penajanya (upline) atau pemilik skim tersebut. Download itu pula kemudian mencari ahli baru di bawahnya dan memperolehi keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu. Beginilah situasi skim piramid dan money games yang mementingkan bayaran keahlian dan bukannya produk jualan.

Mendaftar dan membayar yuran dalam perniagaan seperti ini bukanlah untuk menjual beli produk, tetapi adalah untuk mencari downline. Upline akan mendapat peratusan bukan daripada keuntungan jualan, sebaliknya daripada yuran keahlian downline. Semakin ramai downline, semakin banyak komisyen yang diperolehinya. Bentuk perniagaan ini adalah riba, judi dan gharar fahish kerana mempertaruhkan duit untuk memperolehi duit yang lebih banyak pada masa hadapan yang belum pasti akan dapat atau tidak.

Kalau adapun produk, ia hanyalah tempelan dan helah mengaburi mata orang ramai dan undang-undang. Ini kerana bukan produk yang menjadi sasaran tetapi adalah yuran pendaftaran. Malah, sering kali berlaku produk yang yang wujud langsung tidak berkualiti dan melampau daripada harga sebenar. Kadang-kadang, produknya hanyalah dalam bentuk replika duplikasi laman web atau autosistem yang menyusun downline rangkaian di bawahnya. Ini jelas menunjukkan penyertaan keahlian bukanlah untuk membeli produk tetapi adalah menempatkan diri dalam rangkaian dan memperolehi duit daripada ahli yang menyertai di bawah rangkaiannya itu.

Oleh kerana gerak kerja dan rangkaian organisasi MLM seakan sama dengan skim piramid, ada juga tanggapan bahawa kedua-duanya adalah sama dan haram. Malah, ada pihak yang menyandarkan pengharaman secara mutlak terhadap MLM berpandukan fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyah wa al-Ifta, Saudi Arabia yang hakikat sebenarnya adalah fatwa tersebut ditujukan kepada syarikat MLM yang menjalan urusniaga secara money games.

Justeru, perbezaan MLM dengan skim piramid atau money games hendaklah diketahui. Ini kerana terdapat sesetengah syarikat yang menjalankan perniagaan money games tetapi berselindung dengan nama MLM hingga menyebabkan pengguna terkeliru. Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyenaraikan ciri-ciri Skim Piramid seperti berikut :

  • Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan;
  • Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru;
  • Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar;
  • Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar;
  • Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal; dan
  • Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.

Secara mudah MLM dan skim piramid atau money games adalah berbeza. MLM adalah sistem pemasaran secara jualan langsung daripada syarikat kepada pengguna melalui pengedar pelbagai tingkat jaringan. Justeru, asas MLM adalah pemasaran. Ini berlainan dengan skim piramid atau money games kerana asasnya adalah permainan wang dan bukannya pemasaran atau produk. Begitu juga keuntungan MLM diperolehi melalui hasil jualan produk oleh para pengedarnya. Ini bertentangan dengan money games yang hasil keuntungannya diperolehi melalui kejayaan merekrut ahli bawah secara piramid dan yuran pendaftaran yang dibayar oleh downline. Bonus atau komisyen pula diberikan hasil yuran downline dan bukannya melalui jualan produk.

Dari aspek lain, kebanyakkan pengguna mungkin menganggap MLM dan money games sama sahaja kerana kedua-duanya juga mempunyai produk. Tetapi hakikat sebenar produk dalam money games hanyalah bertujuan untuk mengelabui pandangan masyarakat dan untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang sahaja. Produk itu bukanlah matlamat dalam money games sebaliknya ia bermatlamat menghimpun sebanyak mungkin downline dan yuran pendaftaran daripada mereka. Ini menjadikan mereka yang masuk terlebih awal dan berada di paling atas akan mengaut keuntungan yang besar berbanding mereka yang di bawah. Inilah faktor yang menyebabkan skim piramid dan money games biasanya menjanjikan keuntungan besar dan segera kepada ahli, khasnya kepada mereka yang awal mendaftar.

CADANGAN MLM PATUH SYARIAH

Penulis telah menyebutkan faktor yang menghalalkan sesuatu muamalat dan elemen yang boleh mengharamkannya, termasuk juga dalam perkara jualan langsung secara MLM. Soal halal haram dan patuh syariah ini perlu diberi penekanan. Justeru, penulis ingin mencadangkan perkara berikut untuk diambil berat khususnya oleh mereka yang terlibat dengan perniagaan MLM sama ada pengusaha, pengedar, pengguna dan sebagainya supaya urusniaga tersebut mematuhi muamalat Islam. Cadangan transaksi MLM patuh syariah mengikut penulis adalah seperti berikut :

  • Syarikat MLM hendaklah memastikan budaya korporat, aktiviti pengilangan, operasi pemasaran, sistem akaun dan sebagainya selari dengan hukum Islam.
  • Syarikat MLM mempunyai Panel Penasihat Syariah yang terdiri daripada ulamak dan intelektual muamalat serta ekonomi Islam bagi memantau perjalanan operasi syarikat dan pelan pemasarannya.
  • Kontrak atau akad dalam transaksi MLM hendaklah memenuhi rukun dan syarat muamalat Islam seperti mengunapakai kontrak jual beli, musyarakah (perkongsian), ujrah (upah) dan sebagainya.
  • Tujuan syarikat adalah untuk perniagaan melalui aktiviti jualan produk atau perkhidmatan yang sebenar dan bukannya produk secara tempelan atau hiasan dengan hakikat sebenar adalah untuk mengumpul dana secara money games.
  • Produk syarikat MLM mestilah halal, baik menurut syariat Islam dan bukannya yang diharamkan, mendatangkan mudarat atau terdedah dengan perkara syubahat.
  • Produk MLM tidak melibatkan jual beli emas dan perak yang tidak boleh dijual beli secara hutang atau tangguh kerana ia adalah satu bentuk riba.
  • Produk MLM hendaklah jelas tanpa disembunyikan kecacatannya, menyembunyikan hakikat serta keaiban yang wujud hingga tidak diketahui pelanggannya.
  • Transaksi MLM mestilah tidak terlibat dengan unsur-unsur haram seperti terlibat dengan riba, gharar atau perjudian.
  • Transaksi MLM hendaklah tidak terlibat dengan perkara yang dilarang dalam muamalah sesama manusia seperti melakukan penipuan, memperdaya, menganiaya, monipoli produk atau memeras pengguna.
  • Harga produk MLM tidak keterlaluan tinggi hingga tidak sepadan dengan kualiti barangan atau manfaat yang diperolehi berbanding dengan harga produk yang sama di pasaran.
  • Harga produk MLM tidak dieksploitasi dengan dijual kepada pelanggan yang jahil dengan nilai sebenar produk di pasaran.
  • Pelan pemasaran MLM tidak mempunyai unsur kezaliman dan eksploitasi yang memberi untung yang banyak kepada orang yang terawal masuk berbanding orang yang terkemudian.
  • Pelan pemasaran hendaklah memberi hak kepada semua pengedar mendapat keuntungan dan downline sendiri boleh mendapat keuntungan lebih daripada uplinenya hasil daripada jualan yang lebih banyak.
  • Pelan pemasaran MLM adalah daripada kontrak muamalat Islam seperti menjual produk atau perkhidmatan dan bukannya merupakan money games, skim piramid atau skim cepat kaya.
  • Yuran keahlian syarikat MLM adalah sebagai bayaran pengurusan atau  bayaran kepada informasi serta agenda yang disediakan oleh syarikat dan bukannya bertujuan untuk mengaut keuntungan atau yuran itu sendiri suatu perniagaan.
  • Yuran keahlian syarikat MLM tidak mengikat peserta supaya patuh dan mengikut syarat-syarat yang zalim, tidak syarie dan tidak bermoral yang wujud semasa akad kontrak atau selepasnya.
  • Ahli atau pengedar diberi kebebasan untuk menarik diri dalam proses berlangsungnya kontrak dengan tidak dikenakan sebarang penalti yang tidak sah.
  • Bonus dan komisyen MLM hendaklah jelas dengan nisbah keuntungan pengedar atau uplinenya telah ditetapkan semasa kontrak.
  • Bonus dan komisyen MLM bukannya datang daripada yuran penyertaan ahli secara ‘berkepala’ tetapi adalah daripada keuntungan dan nilai jualan yang telah dibuat.
  • Pembahagian bonus dan komisyen MLM hendaklah menggambarkan usaha para pengedar masing-masing dalam memasarkan produk atau mempekenalkan syarikat kepada ahli baru dan tidak wujud upline yang untung ‘atas angin’.
  • Pembahagian bonus dan komisyen MLM hendaklah bersifat telus dan adil dengan tidak menzalimi downline dengan upline menerimanya tanpa apa-apa usaha yang dilakukannya untuk membantu downline sedangkan semua usaha pemasaran dilakukan oleh downline sendiri.
  • Kelayakkan bonus dan komisyen MLM tidak melibatkan paksaan seperti kewajipan upline membuat belian sendiri dalam jumlah tertentu bagi melayakkannya menerima komisyen downline, namun sah transaksi yang mensyaratkan jualan minima berkumpulan yang dibuat melalui prinsip al-Ju’alah yang memenuhi syaratnya.
  • Semua operasi dan aktiviti jualan MLM hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang negara seperti Akta Jualan Langsung 1993.

PENUTUP

MLM walaupun lahir dalam suasana masyarakat non-islamic, namun kesesuaiannya boleh diubah supaya selari dengan Islam dan tidak melibatkan sesuatu yang  diharamkan. Isu-isu yang timbul sama ada tradisi atau baru perlu diharungi bersama dengan neraca al-Quran dan sunnah di samping ijtihad para ulamak bagi menghasilkan suatu yang positif dan diterima dalam hukum Islam. Dengan wujudnya kerjasama semua pihak, sistem MLM patuh syariah boleh menjadi alternatif sistem sedia ada dan mampu menjadi pemain utama dalam memasarkan produk Muslim suatu hari nanti. Justeru menjadi kewajipan kepada kita semua sama ada pihak kerajaan, syarikat pengusaha, pengedar, pelanggan dan orang awam untuk kembali kepada sistem muamalat Islam, termasuk dalam persoalan MLM. Mudah-mudahan kita selamat di dunia dan akhirat.

BIBLIOGRAFI

Abdul Sattar Fathullah Said (1986), Al-Muamalat fi al-Islam, Kaherah : Dar al-Taba’ah wa al-Nasr.

Clothier, Peter J. (1990), Multi Level Marketing, London : Kogon Page Limited.

Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (1993), Al-Musnad. 6 j. Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyah.

Ibn Qudamah, Abu Muhammad `Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad (1981), Al-Mughni. Riyadh : Maktabat al-Riyadh al-Hadithah.

Ibn Rusyd (1995), Al-Qawaid. Beirut : Dar al-Gharb al-Islami.

Kearney, Elizabeth I. & Bandley, Michale J.  (1991), Network Marketing, Sterling Pr.

Al-Khin, Mustafa, Mustafa al-Buqa, Ali al-Sharbasi (1987), Al-Fiqh al-Manhaji, Damsyik : Dar al-Qalam.

Kishel, Gregory F.  & Kishel, Patricia Gunter (1992), Start and Succeed in Multilevel Marketing, New York : John Wiley & Sons

Najahudin Lateh (2009), Fiqh Muamalat & Munakahat, Kuala Lumpur : Open University of Malaysia (OUM).

Noorhashim Mohd Nor (t.t), Potensi Perniagaan MLM di Malaysia, Seminar Jualan Langsung 1996, “Kearah Jualan Langsung Beretika” (t.t.p)

Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Cara Elak Penipuan Skim Piramid (Cepat Kaya), Pulau Pinang : Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Al-Qaradawi, Yusuf (1999), Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Kaherah : Maktabah Wahbah.

Razzi Armansur (1998), Mencipta Kejayaan di Dalam Jualan Langsung (MLM), Shah Alam: Safia Marketing.

Tarmizi Yusuf (2000), Strategi MLM Secara Cerdas dan Halal, Jakarta : PT Gramedia.

Al-Tirmidhi, Abu `Isa Muhammad bin `Isa (t.t), Al-Jami’ al-Sahih, 5 j. Kaherah : Dar al-Hadith.

Undang-Undang Malaysia Akta 500 Akta Jualan Langsung 1993, Percetakan Nasional Berhad, 1993, h. 3.

Wahbah al-Zuhayli. (1986). Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Beirut : Dar al-Fikr.

Laman Web

http://agustianto.niriah.com (Dr. Agustianto)

http://www.dar-alifta.org (Lembaga Fatwa Mesir)

http://www.dsam.org.my (Direct Selling Association of Malaysia)

http:// www.e-fatwa.gov.my (Portal Rasmi Fatwa Malaysia)

http://www. ilmudanulamak.blogspot.com (Ahmad Adnan Fadhil)

http://www.islam.gov.my (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

http://www.kpdnkk.gov.my (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)

http://www.marketingpower.com (American Marketing Association)

http://www.najahudin.com (Najahudin Lateh)

http://www.zaharuddin.net (Zaharuddin Abd Rahman)


[1] Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Hukum Islam Semasa VII (SHIV) 2011 pada 14-15 Disember 2011 bersamaan 18-19 Muharram 1433 anjuran Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya