Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 13 Oktober 2011: Dunia teknologi internet begitu pantas berkembang. Arusnya cukup laju dan kuat hingga boleh merubah bentuk serta sistem kehidupan manusia. Penggunaannya kini bukan setakat sebagai perpustakan terbesar di dunia, malah sudah menjadi pasaraya mega. Fungsinya bukan setakat mengantikan surat dan pejabat pos, tetapi sudah menjadi bank transaksi perniagaan dan tempat mencari kekayaan secara maya.
Realiti ini menyebabkan terlalu ramai di kalangan masyarakat kita yang begitu teruja untuk kaya hingga tidak memikirkan bala bahaya yang mungkin menimpa. Perangkap untuk menipu dan memanipulasi wang sentiasa wujud tanpa disedari, terutama melalui program dan pelaburan-pelaburan berbentuk mesin duit di internet.
Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu melalui perniagaan internet, melalui program internet dan melalui pelaburan internet. Dari aspek hukum syariah, ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Ia bergantung kepada akad kontrak dan elemen yang wujud dalam transaksi tersebut.
Perniagaan internet sebenarnya seperti perniagaan konvensional, iaitu proses jual beli barang atau mengambil upah. Hanya aplikasinya yang berbeza kerana transaksi perniagaan internet berlaku secara maya. Namun, prosesnya masih sama kerana berlaku pertukaran barang atau memberi dan mengambil upah perkhidmatan.
Biasanya, barang yang dijual adalah dalam bentuk produk digital, fizikal atau dalam bentuk perkhidmatan. Contoh produk digital yang biasa dijual beli di internet adalah e-book (buku elektronik), web hosting, gambar grafik, audio kuliah, video ceramah, tutorial dan sebagainya. Produk fizikal pula adalah seperti menjual CD media, produk kesihatan, buku dan sebagainya. Satu lagi bentuk perniagaan internet adalah dalam bentuk perkhidmatan seperti mengambil upah membina laman web, meletak iklan, mereka bentuk grafik, menaip atau menterjemah sesuatu tulisan.
Semua contoh-contoh tersebut adalah halal dan sah transaksinya jika memenuhi syarat yang ditetapkan syarak dalam setiap akad urusniaga itu. Ini kerana perniagaan internet menggunakan kontrak jual beli (al-Bay) atau upah (ujrah). Kontrak ini diharuskan dalam muamalat Islam.
Walaupun begitu, setiap kontrak mesti memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya. Sebagai contoh, dalam kontrak jual beli mesti terdapat rukun-rukunnya, iaitu penjual, pembeli, barang, bayaran dan akad. Setiap rukun tersebut mempunyai syarat sahnya. Contohnya, penjual mesti memiliki atau boleh mewujudkan barangan tersebut dan boleh menyerahkannya kepada pembeli. Begitu juga antara syarat sah barang jualan mestilah sesuatu yang halal dan bukan mempunyai unsur lucah atau perjudian.
Dalam jual beli internet, suatu perkara penting adalah penjual perlu memberikan maklumat berkaitan barang dengan lengkap seperti bentuk, kualiti, kuantiti dan sebagainya. Akad yang dilakukan di internet memadai dengan menggunakan butang persetujuan seperti butang ‘submit’ dalam borang pesanan. Justeru, jika semua syarat ini dipenuhi, sahlah urusniaga jual beli dalam internet tersebut.
Program internet pula adalah suatu sistem automatik maya yang dianjurkan oleh pihak tertentu untuk memberi pulangan wang kepada pihak lain. Program ini ada yang halal dan ada yang haram bergantung kepada jenis kontrak serta bentuk program tersebut. Secara umum, program internet terbahagi kepada beberapa jenis, antara tiga yang popular adalah program affiliate, program pengiklanan dan program piramid.
Program affiliate bermaksud pemilik laman web perniagaan yang melantik agen promosi alamat laman web perniagaan tersebut. Ini bererti mereka yang menyertainya akan diberikan alamat url affiliate ID tersendiri dan bertanggung jawab mempromosikan.
Jika terdapat pembeli yang klik ke url tersebut dan kemudian membeli sesuatu di laman web perniagaan, pemiliknya akan memberi komisyen kepada peserta tersebut. Program ini pada asasnya halal kerana menggunakan akad ujrah (upah). Namun, ia bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada halal atau haram.
Program pengiklanan pula bermaksud pihak penganjur akan memberi upah kepada peserta yang menyertainya dan menyediakan ruang di laman web mereka untuk iklan daripada penganjur. Justeru, penganjur akan menjadi orang tengah yang menyalurkan iklan pembeli iklan ke dalam laman web peserta. Oleh itu, peserta akan dibayar, sama ada mengikut bilangan klik atau bilangan paparan oleh pelawat laman webnya. Antara contoh program ini yang popular adalah Google Adsense, Nuffnang dan Text-Links-Ads.
Program ini juga halal seperti program affiliate, kecuali terdapat sebab mengharamkannya seperti iklan yang disertai mengandungi kandungan lucah atau haram dan tidak disalahguna seperti diklik sendiri oleh peserta.
Program piramid atau money game pula adalah bentuk program internet yang haram dan perlu dijauhi oleh masyarakat. Program ini mempunyai pelbagai bentuk, namun kebiasaannya ia berbentuk mesin penjana wang automatik melalui pemberian wang oleh peserta kepada beberapa pihak sebagai bayaran keahlian dan kemudian peserta tersebut perlu mencari peserta baru yang kemudiannya akan melakukan perkara yang sama.
Biasanya, pihak yang menerima bayaran terbahagi kepada tiga, pemilik laman web (penganjur), ahli yang mempekenalkan peserta dan mana-mana ahli yang dipilih secara rawak oleh sistem program.
Malah, ada juga program yang menetapkan level tertentu yang menghendaki peserta membayar sejumlah wang sebagai bayaran keahlian. Bayaran tersebut kemudiannya diagih oleh penganjur kepada setiap level orang yang memperkenalkan peserta tersebut. Seterusnya peserta baru tersebut perlu pula mencari beberapa orang untuk diisi pada level piramid di bawahnya yang akan dimasukkan secara automatik.
Program ini haram disertai kerana hanya bertujuan mengkayakan penganjur dan menjadikan peserta bergantung kepada nasib dengan menunggu giliran untuk mendapat bayaran. Program ini bergantung kepada nasib semata-mata, malah hanya orang yang berada pada level teratas yang terus menjadi kaya.
Selain program internet, masyarakat Islam juga perlu berhati-hati dengan pelaburan internet. Pelaburan ini sebenarnya adalah jelmaan skim cepat kaya konvensional, tetapi telah dimodenkan dengan penggunaan internet. Bentuk dan modus operandinya tetap sama, letak duit secara maya, goyang kaki dan berpeluk tubuh dengan mengharapkan wang pertaruhan itu ‘beranak-pinak’ dalam akaun bank peserta.
Ramai peserta pelaburan ‘mi segera’ ini berfikir mereka akan kaya dengan cepat. Tidak pelik kalau mereka dulu yang cepat meninggal dunia setelah pulangan deposit mereka tidak diterima atau laman web itu sendiri sudah tidak beroperasi.
Pelaburan internet ini adalah haram kerana berbentuk perjudian dan lebih mengharapkan kepada nasib untuk mencari rezeki. Hanya goyang kaki tanpa ada sebarang usaha. Malah, ia bertentangan dengan konsep pelaburan dalam Islam yang terbuka kepada konsep untung dan rugi.
Walaupun begitu, tidak semua pelaburan internet ini haram. Terdapat juga pelaburan internet secara sah yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan bank melalui laman web mereka. Pelaburan ini biasanya tidak mempunyai masalah kerana berlesen dan telah lulus piawai syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti serta Bank Negara.
Secara ringkas, umat Islam di Malaysia perlu menyelidik transaksi yang dilakukan. Mereka mempunyai pilihan memilih perniagaan, program atau pelaburan yang memenuhi neraca syariah. Cuma perlu tepuk dada, tanya iman kita sama ada mahu kepada kerahmatan rezeki yang halal atau kemurkaan Tuhan segala manusia.
Oleh: Najahudin Lateh
Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui email najahudin@salam.uitm.edu.my