Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad

Najahudin Lateh, Berita Harian, 23 November 2009: DAKWAH adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam. Begitu juga Islam sebagai agama yang fleksibel tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

Dakwah talian terus online adalah kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan mad’u. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit. Dakwah kaedah ini tidak mensyaratkan seorang pendakwah itu mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam banyak. Malah, sesiapa saja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah online adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya.

(more…)

Episod 8: Ibrah Antara Badr al-Ula dan Badr al-Sughra

Kenapa sirah sebut Badar Kubra (Besar)? Ada ke Badar Kecil? Mampu menang ke bertempur ketika berpuasa?

Ikuti penjelasan 3 minit dalam Tazkirah 3 Minit ACIS, UiTM Sempena Ramadhan 1441H..

Jangan lupa kongsikan video ini kepada semua! semoga apa yang disampaikan memberi manfaat.

30 Kisah daripada Hadith Sahih

Pada Ramadhan 1440 hijrah, saya telah menyusun dan menulis hadith-hadith sahih serta pengajarannya untuk dikongsi melalui group Whatsapp, khasnya pencinta kuliah Medan Ilmu di Dewan an-Nabawi, Seksyen U12 Shah Alam. Kaedah penulisan berdasarkan sumbernya yang asal, lantas jauh daripada kisah palsu dan dongeng israiliyyat.

Karya kecil ini menghimpunkan 30 teks hadith yang dikutip daripada Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Setiap hadith mengandungi pengajaran dan diberi tajuk untuk menambat hati pembaca. Teks Arab asal diletakkan nama perawi a’la (tertinggi) sahaja tanpa sanad penuh, namun takhrij sumber dan nombor hadith ada dinyatakan. Terjemahan pula dibuat huruf ke huruf dengan tambahan penulis dalam kurungan ‘( )’ supaya mudah difahami.

Untuk ringkas saya sebutkan begini:

“Buku ini mengandungi cerita-cerita benar diambil daripada hadith sahih al-Bukhari dan Muslim serta pengajaran penting yang berkaitan.”

Info lanjut di: http://najahudin.net/30kisah.htm

Fiqh Emas dalam Karya Ulama Nusantara Sorotan melalui Kitab al-Sirat al-Mustaqim, Furu’ al-Masail dan Bahr al-Madhi

Abstrak: Ulama Nusantara khasnya di Tanah Melayu, Fatani dan Acheh menghasilkan pelbagai penulisan terutama dalam ilmu akidah, fiqh dan tasauf. Penulisan karya jawi mereka meliputi pelbagai bentuk sama ada tulisan sendiri, terjemahan teks Arab ke bahasa Melayu ataupun dalam bentuk ulasan terhadap teks karya lain. Kertas ini bertujuan meneliti tiga buah karya agung fiqh yang setiap satu dihasilkan dan diwakili oleh ulama dari tiga tempat yang berbeza, pada waktu yang berbeza dan karya dalam bentuk yang berbeza. Namun, kertas ini hanya meneliti tema perbahasan mereka berkaitan fiqh emas sahaja. Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dari Acheh diteliti melalui karya fiqh beliau sendiri, Al-Sirat al-Mustaqim, Shaykh Daud al-Fathani (m.1847), dari Fatani melalui karya terjemahan beliau, Furu’ al-Masail sementara Shaykh Idris al-Marbawi (m.1989), ulama di Tanah Melayu dengan karya terjemahan berserta ulasan hadith, Bahr al-Madhi. Metodologi penelitian yang digunakan bersifat kualitatif diskriptif melalui observasi dan analisis komparatif ketiga-tiga karya tersebut bagi mencapai objektif meneliti isu-isu berkaitan tema emas dalam karya-karya ulama silam di Alam Melayu. Kajian ini mendapati terdapat beberapa tema berkaitan emas yang telah digunakan dalam penyataan hukum antaranya berkaitan perkakasan, perhiasan, cincin, pakaian, anggota badan, pembayaran zakat, jual-beli dan sebagainya.

(more…)

Penghasilan Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi Tumpuan Kepada Sumbangan Ulama Acheh Dalam Manuskrip MS 1042 Dan MSS 2068

Abstrak: Pelbagai karya Islam tulisan jawi yang juga dipanggil kitab kuning dalam pelbagai disiplin ilmu telah dihasilkan oleh ulama-ulama besar di Alam Melayu sejak zaman berzaman. Karya-karya penulisan tersebut dikesan wujud sejak kurun ke-17 dan biasanya meliputi bidang akidah, fiqh dan tasauf. Walaupun begitu, karya dalam ilmu-ilmu lain termasuklah ilmu hadith juga telah dihasilkan oleh mereka sama ada dalam bentuk karya asal, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada juga karya dalam bentuk terjemahan. Acheh sebagai bumi Islam yang digelar Dar al-Salam dan Serambi Mekah juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama besar yang telah menghasilkan karya-karya hadith. Kertas ini akan meneliti apa dan bagaimanakah bentuk penghasilan karya-karya hadith dalam tulisan jawi kurun ke-17 hinggalah akhir kurun ke-20. Penumpuan akan diberikan kepada dua naskah manuskrip dalam bidang hadith yang terdapat di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah (MS 1042) oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dan Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi (MSS 2068) oleh Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (m.1693). Penelitian bersifat kualitatif diskriptif ini ditumpukan kepada karya-karya hadith dalam tulisan jawi, metodologi penulisan kedua-dua tokoh ulama Acheh tersebut selain sedikit catatan tentang rupa bentuk fizikal kedua-dua manuskrip tersebut.

(more…)

Pusat Fi Dhilal Al-Qur’an Dan Sumbangannya Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Kota Belud, Sabah

Abstrak: Pusat Pendidikan Islam Fi Dhilal al-Qur’an merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang terletak di Kampung Bugaron, Rosok, Kota Belud, Sabah. Didirikan di kawasan tanah seluas 6 ekar yang diwakafkan oleh sebuah keluarga muallaf pada Julai 1991 dan beroperasi mulai 1992 setelah mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Pusat ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana pelajarnya adalah terdiri daripada golongan miskin, muallaf serta anak yatim. Selain itu, seluruh kos pengajiannya, termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah percuma hasil sumbangan orang ramai serta individu prihatin. Justeru, kertas ini membentangkan perkembangan dan sumbangan pusat ini kepada perkembangan pendidikan Islam di Sabah, khususnya kepada penduduk sekitar Kota Belud. Ramai yang mendapat pendidikan Islam di situ dan ada yang telah menyambung pelajaran di luar, khususnya di beberapa institusi pondok di Semenanjung. Selain itu, pusat ini juga berpengaruh terhadap penduduk setempat melalui kegiatan keilmuan, kebajikan dan kemasyarakatan. Penelitian juga dibuat kepada kesungguhan pendiri pusat sebagai seorang muallaf untuk menyebarkan Islam, di samping cabaran yang dihadapi daripada pihak luar dan penduduk setempat pada peringkat awal. Selain itu, penglibatan sahabat-sahabat daripada Semenanjung, sama ada sebagai jawatankuasa pentadbir atau pengajar tanpa ganjaran di pusat ini juga suatu keistimewaan yang menarik dalam konteks solidariti memartabatkan pendidikan Islam di Borneo.

(more…)

Metodologi Syeikh Idris Al-Marbawi Dalam Karya Terjemah Bulugh Al-Maram

Abstrak: Karya ulamak di Alam Melayu meliputi pelbagai bentuk seperti tulisan asli, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada yang berbentuk terjemahan. Dalam karya hadith, antara ulamak besar yang mewakafkan diri untuk melakukan amal tersebut ialah Syeikh Idris al-Marbawi. Beliau yang merupakan tokoh terbilang negara telah menghasilkan pelbagai karya tersohor seperti Kamus al-Marbawi dan Bahr al-Mazi. Antara karya hadith lain yang diterjemahkan oleh beliau ialah Bulugh al-Maram. Ketika menterjemah, beberapa metodologi dan pendekatan tersendiri telah digarap untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar memberi penjelasan kepada karya asal tersebut. Justeru, kertas ini akan membicarakan metodologi yang digunakan oleh beliau ketika membuat terjemahan tersebut. Selain itu, kertas ini juga akan menyenaraikan karya hadith yang pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu di Nusantara. Kajian ini boleh membantu para pelajar, ahli akademik dan orang ramai untuk memahami metodologi terjemahan ulamak silam dan sebagai sumber rujukan karya terjemahan hadith. Di samping itu kita semua dalam meneliti kehebatan seorang anak Melayu dalam membedah dan menghuraikan sebuah karya agung dalam hadith, iaitu Bulugh al-Maram untuk dinikmati oleh kita semua, terutama yang tidak fasih Bahasa Arab.

(more…)

Dakwah Online dan Kajian Awal ke Arah Ensiklopedia Domainnya dalam Bahasa Melayu

Abstrak: Dakwah online melalui internet merupakan suatu medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia. Aplikasi internet seperti laman web, portal, blog, email, SMS internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-dai’e secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia. Tulisan ini akan memfokuskan kepada dakwah online dengan melihat kepada bentuk dan aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah dan pelayar internet. Di samping itu, tulisan ini juga menyenaraikan seberapa banyak domain dakwah dalam bahasa Melayu yang wujud di alam maya. Adalah diharapkan koleksi yang dipaparkan boleh dijadikan catatan awal ke arah kewujudan ensiklopedia domain dakwah untuk dimanfaatkan oleh semua.

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share