1. Assalamualaikum. Terima kasih kepada yang mengikuti siri *Hafal Hadith Pendek dalam 1 Minit* dan telah menghafal 30 hadith pendek daripada Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim sepanjang Ramadhan 1441 ini.
2. Hadith ke-30 semalam asalnya adalah hadith terakhir, namun atas faktor ingin mencontohi teladan ulama-ulama salaf dan kontemporari untuk mengumpulkan 40 hadith dalam sesuatu perkara agama, saya berhasrat menyambung 10 lagi hadith pendek untuk hafalan kita sepanjang Syawal 1441.
3. Pengumpulan 40 hadith ini juga merupakan metod yang saya gunakan dalam buku pertama saya 20 tahun lepas, iaitu “40 Hadith Sahih Tentang Ilmu’ yang kemudian diteruskan dengan buku “40 Hadith Jom Jejaki Jannah’, buku “40 Kisah daripada Hadith Sahih” serta tiga buku hadiah Pusat Zakat UiTM yang saya sunting, iaitu “40 Hadith Memuliakan Sesama Muslim” oleh Ibn Hajar al-Asqalani, “40 Hadith Anjuran Berbuat Baik” oleh al-Munziri dan “40 Hadith Fadhilat al-Qur’an” oleh ‘Ali al-Qari.
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1894 dan Muslim no. 1151 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini daripada Sahih Muslim sementara teks al-Bukhari terdapat penambahan selepasnya (فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ) – “Maka (orang berpuasa) janganlah berkata keji dan janganlah bertindak jahil. Jika seseorang hendak bergaduh atau memakinya, maka katakan: ‘Aku berpuasa’ diulangi dua kali.” Istilah (يَرْفُثْ) maksudnya ‘perkataan keji’ seperti menghina atau mencaci, sementara (يَجْهَلْ) bermaksud jangan melakukan perbuatan orang jahil seperti memekik-mekik, melaung dan sebagainya (Fath al-Bari, 4/104). Menurut al-Nawawi, puasa adalah perisai yang menegahnya daripada perkataan keji (يَرْفُثْ), melindunginya daripada dosa-dosa dan api neraka (al-Minhaj, 8/30). Ini turut dijelaskan dalam riwayat lain bahawa puasa adalah perisai yang melindungi daripada api neraka (al-Nasa’i, 2234) seumpama perisai yang melindungi seseorang dalam peperangan (al-Nasa’i, 2230; Ibn Majah, 1639). Ibn Rajab menjelaskan maksud hadith ini bahawa ‘puasa melindungi orang berpuasa daripada pelbagai maksiat ketika di dunia, maka puasa juga akan melindunginya daripada azab neraka di akhirat. (Sebaliknya) puasa yang gagal melindunginya daripada maksiat di dunia, maka puasa juga tidak dapat melindunginya daripada azab neraka akhirat kelak (Jami’ al-Ulum, 2/139).
2. Hadith ini menjelaskan fadilat berpuasa yang dapat mencegah daripada nafsu syahwat, perbuatan keji dan gejala maksiat. Bersetubuh siang hari, berzina, berkunjung ke tempat maksiat, memaki, mengumpat dan bercakap kotor adalah contoh maksiat. Pelakuan sebegitu tidak layak bagi ibadah puasa serta boleh membatal puasa atau mengurangkan pahalanya. Maksiat ini turut menimbunkan dosa yang boleh mengheret kita kepada pembalasan azab akhirat kelak. Menurut al-Qurtubi, hal ini tidak bermaksud perbuatan tersebut diharuskan ketika tidak berpuasa, tetapi bermaksud larangannya lebih kuat ketika berpuasa (Fath al-Bari, 4/104). Ulama menyebutkan puasa yang dimaksudkan meliputi puasa wajib Ramadhan dan puasa sunat seperti puasa enam hari Syawal, puasa setiap Isnin dan Khamis, puasa tiga hari setiap bulan, puasa Arafah dan puasa ‘Asyura. Puasa sebenar bukan setakat meninggalkan makan minum untuk perut, namun berpuasa daripada perbuatan yang diharamkan seperti bertelingkah, mencaci orang, berbohong dan sebagainya. Jika ada orang yang berbuat jahat, bersabarlah dan usah membalas perbuatannya. Sebaliknya, beritahu diri sendiri dan kepada orang itu secara baik bahawa anda sedang berpuasa. Ingatlah, orang berpuasa lisannya baik, perbuatannya baik, amalannya juga baik. Lepas berlalu bulan puasa, amal hariannya juga sama. Berjamaah, bertiwalah dan bersedekah. Tidak berubah. Tidak berubah tanda mencapai sasaran berpuasa Ramadhan ‘orang bertakwa’ (al-Baqarah, 183).
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
“Sesiapa berdusta atas (nama)ku dengan sengaja, maka dia menyediakan tempatnya dalam neraka.”
1. Hadith riwayat ramai, antaranya dalam al-Bukhari no. 3461 dan Muslim no. 3 daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA, Abu Hurayrah RA serta lebih daripada 70 Sahabat. Hadith ini adalah mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh bilangan (perawi) yang ramai yang secara kebiasaannya mustahil mereka berpakat untuk berdusta (al-Tahhan, Taysir, 19) dan merupakan kategori hadith paling sahih. Teks ini adalah hadith pertama dalam karya Sahih Muslim (3), sementara teks al-Bukhari (3461) terdapat penambahan pada awal hadith (بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ) – “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan ceritakanlah (yang didengari) daripada Bani Israil dan itu tiada apa-apa (dosa).” Hadith ini menggalakkan periwayatan dan penyebaran ilmu daripada hadith Rasulullah SAW serta mengharuskan riwayat atau mengambil hadith daripada Bani Israil. Namun, hadith dan kisah Bani Israil (atau Israiliyyat) mestilah sahih bersumberkan Baginda SAW. Kisah Israiliyyat ada yang benar bersumberkan al-Quran dan sanad hadith sahih, namun kebanyakkannya tidak benar. Pendustaan terhadap Rasulullah SAW bermaksud menyandarkan sesuatu penyataan kepada Baginda SAW sedangkan baginda tidak mengatakannya. Pelaku demikian digambarkan dalam hadith sedang membina sendiri tempat tinggalnya di neraka.
2. Hadith mutawatir ini melarang keras berdusta atau menyandarkan sesuatu yang bukan hadith kepada Rasulullah SAW secara sengaja, malah perkara ini adalah haram dan berdosa besar. Ini termasuk mereka-reka hadith mawdu’ (palsu) sama ada dalam perkara hukum-hakam atau dalam bentuk nasihat dan fadilat amal. Mereka yang menyedari kepalsuan sesuatu hadith, namun tetap menyebarkannya kepada umum tanpa penjelasan juga termasuk dalam amaran keras hadith ini. Malah, ulama mengkufurkan pelaku tersebut jika berniat menghalalkan perbuatan pendustaan atas nama Baginda SAW. Hadith ini secara tidak langsung menyeru umat Islam supaya memastikan sumber rujukan, perawi dan klasifikasi kesahihan sesebuah hadith atau kisah Israiliyyat sebelum menyebarkannya dalam ucapan, tulisan atau ilustrasi. Hari ini kita melihat khalayak umum suka berkongsi teks dan makna hadith dalam media sosial seperti facebook, twitter ataupun whatsapp tanpa sebarang semakan atau sumber rujukan. Sepatutnya gunakanlah manfaat dunia internet yang turut menyediakan ruang luas untuk semakan hadith dalam Bahasa Melayu atau Arab. Laman web seperti carihadis.com atau sigir.uitm.edu.my/webhadis boleh digunakan, sementara yang boleh berbahasa Arab semaklah di dorar.net/hadith, islamweb.net/ar/library, sunnah.com atau paling kurang tanyalah si lebai google. Software atau mobile apps seperti Semak Hadis, المكتبة الشامله dan الموسوعة الحديثية juga boleh dimanfaatkan. Marilah kita menjadi umat Muhammad yang tidak mengetuk memaku untuk mendirikan rumah di tepi jurang api neraka.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 7257, 7145 & 4340 dan Muslim no. 1840 daripada ‘Ali bin Abi Talib RA. Kedua-dua riwayat terdapat penambahan di hujungnya (إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ) – ‘Sesungguhnya (kewajipan) taat (hanya) pada (perkara) kebaikan’. Perawi hadith ini, ‘Ali bin Abi Talib RA menceritakan Rasulullah SAW telah mengutus sepasukan tentera dan melantik seorang lelaki Ansar sebagai pemimpin dan menyuruh mereka memberikan ketaatan kepadanya. Dalam tugasan, tiba-tiba pemimpin tentera itu marah dan memerintahkan mereka mengumpulkan kayu lalu dinyalakan api. Beliau mengarahkan mereka masuk ke dalam api dan kemarahan beliau pun hilang. Ketika sebahagian mereka hendak masuk, api tiba-tiba padam. Perkara itu diceritakan kepada Nabi SAW lalu Baginda SAW bersabda kepada mereka yang hendak masuk ke dalam api, ‘Jika kamu masuk ke dalamnya, kamu kekal dalamnya hingga hari kiamat’. Kemudian disabdakan kepada sebahagian yang lain seperti teks hadith di atas. Lelaki itu dikatakan bernama ‘Abdullah bin Huzaifah al-Sahmi yang hendak menguji tentera pimpinannya (al-Minhaj 8/59 & Fath al-Bari 12/227). Jika tentera itu masuk ke dalam api tersebut, nescaya mereka membunuh diri, iaitu suatu maksiat dan dosa besar yang dilarang serta berhak tempatnya dalam neraka.
2. Hadith ini menjelaskan persoalan taat. Al-Bukhari meletakkannya pada Bab (السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ لِلْإِمَامِ مَا لَمْ تَكُنْ مَعْصِيَةً) – ‘Dengar dan Taat kepada Pemimpin Selagi Bukan Perkara Maksiat’ sementara Muslim pada Bab (وُجُوبِ طَاعَةِ الْأُمَرَاءِ فِي غَيْرِ مَعْصِيَةٍ، وَتَحْرِيمِهَا فِي الْمَعْصِيَةِ) – ‘Wajib Taat Pemerintah Pada Bukan Maksiat dan Haram (Taat) Pada Maksiat’. Justeru, hadith ini menjelaskan kewajipan taat kepada kepimpinan Islam dalam perkara kebaikan dan haram mematuhinya dalam perkara maksiat. Dalam al-Qur’an, ketaatan kepada perintah atau larangan Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah mutlak, tidak boleh disanggah, namun sebaliknya bagi orang lain (al-Nisa’, 59). Ini termasuklah ketaatan kepada pemerintah, pemimpin termasuklah ibu bapa dan suami adalah muqayyad, tertakluk kepada perintah atau larangan tersebut bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah serta bukan dalam perkara maksiat. Justeru, setiap muslim wajib mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara sama ada perkara tersebut disukai atau dibenci selagi ia bukan berbentuk munkar dan maksiat kepada Allah SWT. Selain itu, pemimpin Islam perlu mengikut syariat dalam kepimpinannya serta tidak membuat sesuatu keputusan dalam keadaan marah.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik membayar hutang.”
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 2305, 2390 & 2606 dan Muslim no. 1601 daripada Abu Hurayrah RA, selain turut diriwayatkan oleh ‘Irbadh bin Sariyah RA dan Abu Rafi’ al-Qibti, iaitu budak asuhan Rasulullah SAW. Hadith ini berkaitan hutang, iaitu transaksi yang diharuskan dalam Islam. Rasulullah SAW berhutang seekor unta muda dengan seorang lelaki yang dikatakan Arab Badwi. Lelaki itu datang menuntut hutang unta tersebut, lalu Baginda SAW menyuruh Abu Rafi’ membayarnya. Namun, Abu Rafi’ mendapati unta yang ada untuk dibayar hanyalah seekor unta yang lebih tua (lebih besar dan mahal). Rasulullah SAW meminta beliau membeli unta lebih tua itu dan membayar hutang tersebut. Lelaki itu berdoa moga Allah memberi balasan baik kepada Rasulullah SAW kerana menunaikan janji membayar hutang, lalu Baginda SAW bersabda seperti teks di atas. Contoh Rasulullah SAW sebagai penghutang yang baik turut terdapat dalam hadith yang lain, antaranya berhutang dengan ‘Irbadh bin Sariyah RA, Jabir bin Abdullah RA dan Yahudi Madinah yang dikatakan bernama Abu Syahm.
2. Hadith ini menunjukkan akhlak muamalah Rasulullah SAW serta hutang yang wajib dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan. Sebab itu al-Qur’an dalam ayat terpanjang adalah tentang hutang yang disaran ditulis butirannya termasuk tempoh pembayaran balik supaya tidak timbul masalah (al-Baqarah, 282). Hadith ini turut mengharuskan pembayaran hutang dalam bentuk yang lebih baik dengan syarat inisiatif itu daripada penghutang dan bukan ditetapkan semasa kontrak. Jika ada penambahan daripada pemiutang atau disyaratkan semasa kontrak itu adalah riba yang diharamkan. Ini kerana hutang berasaskan kontrak qardh al-hasan yang tidak boleh ada sebarang penambahan oleh pemiutang atas jumlah hutang. Walaupun begitu, umat Islam disaran menggunakan kontrak lain untuk mendapatkan pembiayaan seperti jual beli (al-bai’) dan al-rahn (gadaian). Elakkan diri terperangkap dengan belenggu hutang. Rasulullah SAW mengajar Abu Umamah RA yang berdukacita kerana masalah hutang agar berdoa pagi dan petang (وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ) – ‘Dan aku berlindung kepada Engkau daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.’ (Abu Dawud, 1555). Jika berhutang, jadilah penghutang yang baik!.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
“Sebut basmallah dan makanlah apa yang dekat denganmu.”
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5376 & 5378 dan Muslim no. 2022 daripada ‘Umar bin Abi Salamah RA. Hadith ini menjelaskan dua adab makan iaitu memulakan dengan menyebut nama Allah SWT – basmallah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) dan makan makanan yang berdekatan. Dalam riwayat lain ditambah satu lagi adab iaitu (وَكُلْ بِيَمِينِكَ) – ‘Dan makanlah dengan tangan kananmu’ di tengah-tengah teks dua adab tersebut. Hadith ini adalah pesanan Rasulullah SAW kepada budak asuhan baginda, ‘Umar bin Abi Salamah RA yang juga perawi hadith ini. Beliau ketika itu masih kanak-kanak dan tangannya merayap-rayap sekitar hidangan ketika hendak makan, lalu Baginda SAW memulakan teks hadith dengan sabda (يَا غُلاَمُ) – ‘Wahai anak kecil’. Terdapat dalam hadith lain Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki – dikatakan Basar bin al-Asyja’i yang makan menggunakan tangan kiri (Muslim, 2021). Ini kerana ada hadith menyebutkan makan dan minum dengan tangan kiri menyerupai perlakuan syaitan (Muslim, 2019 & 2020). Selain itu, terdapat pelbagai adab makan lain dalam al-Qur’an dan hadith antaranya mengambil makanan halal dan berkhasiat (al-Baqarah, 168), menjauhi pembaziran dan berlebih-lebihan (al-A’raf, 31), tidak mencela makanan, membasuh tangan serta berdoa sebelum dan selepas makan.
2. Hadith ini adalah siri teladan didikan Rasulullah SAW terhadap anak-anak tentang adab dengan tunjuk ajar lembut tanpa memarahinya. Hadith ini juga menjelaskan adab Rasulullah SAW yang wajar diikuti oleh umat Islam dalam kehidupan seharian. Semua gerak-geri kita mengikut sunnah akan mendapat pahala, termasuklah ketika makan minum. Justeru, sesuatu perkara ibadah atau amal kebaikan perlu dimulakan dengan basmallah serta niat kerana Allah SWT untuk mendapat pahala dan keberkatan. Ketika makan, sunat menggunakan tangan kanan, sementelah jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafi’i berpandangan adalah makruh menggunakan tangan kiri tanpa keuzuran. Jika hidangan memerlukan dua tangan seperti sudu dan garfu, tiada masalah untuk menggunakannya, namun suapkanlah ke mulut dengan tangan kanan. Malah, Rasulullah SAW turut menyukai mendahulukan bahagian kanan dalam urusan kebaikan harian seperti memakai kasut, menyikat rambut dan mandi atau wudhu’ (al-Bukhari, 168). Selain itu, hadith ini turut memberi contoh adab makan berjamaah dengan mengambil makanan berdekatan terutama ketika mula makan. Ini secara langsung menjauhi sikap berebut-rebut makanan atau berlaga tangan untuk mengambil juadah yang sedap terlebih dahulu. Semua ini adalah sunnah kecil dan mudah diikuti, namun berpahala besar dan mudah diperolehi.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا
“Sesiapa yang bersalawat ke atasku dengan satu salawat, Allah akan bersalawat (memberi rahmat) ke atasnya dengan sepuluh salawat.”
1. Hadith riwayat Muslim no. 408 daripada Abu Hurayrah RA dan no. 384 daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As RA. Salawat dalam kamus Bahasa Arab maksudnya doa, rahmat (kasih sayang), istighfar (mohon keampunan) dan takzim (penghormatan). Salawat daripada Allah SWT bermaksud rahmat-Nya. Ini turut dinyatakan dalam Surah al-Ahzab, 56 bahawa Allah SWT dan malaikat-Nya bersalawat kepada Rasulullah SAW. Al-Bukhari (6/120) menukilkan kata-kata Abu al-‘Aliyah dan Ibn ‘Abbas bahawa ‘Allah bersalawat’ maksudnya pujian terhadap Nabi Muhammad SAW di hadapan malaikat, sementara ‘Malaikat bersalawat’ maksudnya malaikat berdoa dan memohon berkat bagi Baginda SAW. Ulama tafsir menyebutkan Allah SWT bersalawat dengan melimpahkan segala rahmat, keberkatan dan keampunan sebagai bentuk kemuliaan dan penghormatan kepada Baginda SAW. Malaikat pula bersalawat dengan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT. Lalu orang-orang yang beriman diseru bersalawat dan mengucapkan salam sejahtera di samping memuliakan Rasulullah SAW dengan mengikuti sunnah serta syariat yang dibawa. Ulama juga menyebutkan maksud kita bersalawat adalah kita menyanjung dan memuliakan Rasulullah SAW di samping mendoakan supaya Allah meninggikan darjat kemuliaan Baginda SAW.
2. Hadith ini dan hadith-hadith lain serta ayat al-Qur’an jelas menganjurkan kita sentiasa bersalawat kepada Rasulullah SAW sebagai suatu ibadah dan amalan lisan harian. Amalan ini sangat mudah, tetapi mempunyai nilai yang tinggi dan pahala yang besar. Selain rahmat Allah SWT, salawat sekali sahaja memberi manfaat besar ke atas kita seperti disebut dalam banyak hadith lain, antaranya dihapuskan dosa-dosa kecil, ditinggikan darjat dan berdekatan dengan Baginda SAW pada hari akhirat kelak. Marilah kita istiqamah bersalawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW setiap masa dan setiap kali nama baginda disebut. Ada hadith sahih menyebut orang yang tidak bersalawat apabila nama Rasulullah SAW disebut di sisinya adalah seorang yang bakhil (al-Tirmidhi, 3546). Marilah kita menjadi pencinta Baginda SAW. Marilah kita bersalawat: (اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ) (al-Bukhari, 3370 & Muslim, 406).
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6056 dan Muslim no. 105 daripada Huzaifah bin Yaman RA. Teks hadith ini diriwayatkan oleh Huzaifah RA apabila terdapat seorang lelaki di Masjid Nabawi yang menyampaikan satu berita kepada ‘Uthman bin Affan RA sedangkan ia tidak benar. Teks riwayat lain menyebut (لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ) – ‘Tidak masuk syurga (tanpa hisab) si penghasut’ (Muslim, 105). Kedua-dua istilah mempunyai maksud yang sama. Ada ulama membezakannya, namun secara umum kedua-duanya bermaksud sebaran sesuatu bertujuan merosakkan hubungan orang lain. Terdapat berapa istilah lain yang mempunyai maksud hampir sama dan merupakan larangan Rasulullah SAW, antaranya (عَضْهُ) dan (غِيبَة). Menurut al-Nawawi, نَمَّامٌ, غِيبَة dan lain-lain diharuskan jika dilakukan atas masalah syariah seperti mencegah kezaliman, mengubah kemungkaran dan sebagainya dengan syarat tertentu (al-Minhaj, 16/142).
2. Hadith ini memaparkan larangan keras kepada kita seperti Hadith 5 tentang pemutus silaturrahim. Namun ini merujuk kepada perkataan dan perbuatan adu domba, fitnah, hasutan atau menjadi batu api yang membawa kepada permusuhan. Mereka tidak masuk syurga bersama golongan terawal jika masih ada iman, sebaliknya akan di azab atas kejahatan tersebut. Justeru, kita jangan cuba menjadi si penfitnah atau si batu api. Malah, kita yang hidup pada zaman Whatsapp, Twitter dan Facebook ini perlu berhati-hati dengan segala hantaran dan perkongsian yang dibuat. Semak dan tabayyun dahulu sebelum sebar (al-Hujurat, 6). Tanya dulu IMAN (Istighfar, Manfaat ada, Asal sumber/sandaran dan Niat kerana Allah) sebelum hantar. Telinga yang peka, lidah yang petah berkata-kata dan jari yang tangkas menaip bicara semuanya di akhirat akan ditanya. Janganlah menjadi penyambung lidah fitnah kelak kita disentuh bara panas batu dan kayu neraka. Semak. Tabayyun.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka ia diberi faham dalam agama.”
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 71, 3116 & 7312 dan Muslim no. 1037 daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA yang berkhutbah di mimbar. Istilah (يُفَقِّهْهُ) atau faqih bermaksud (الْفَهْمُ) – faham. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan ‘faham’ merujuk kepada kefahaman tentang hukum-hukum syarak. Istilah ‘kehendaki kebaikan’ dalam hadith ini menjelaskan secara jelas tentang keutamaan ulama / orang yang berilmu berbanding orang-orang lain serta keutamaan belajar memahami agama berbanding ilmu-ilmu lain. Hadith ini boleh difahami bahawa sesiapa yang tidak memahami agama, iaitu belajar asas-asas Islam serta yang bersangkutan dengannya tidak memperolehi kebaikan dan rahmat Allah SWT (Fath al-Bari 1/161 & 164). Ilmu agama termasuklah berkaitan al-Qur’an, hadith, akidah, fiqh, akhlak dan sebagainya. Menurut al-Nawawi, hadith ini mengandungi keutamaan ilmu, memahami ilmu agama serta galakan menuntut ilmu. Ini kerana ilmu agama adalah pintu utama menuju takwa Allah SWT (al-Minhaj, 7/128). Oleh itu, salah satu ciri mendapat kebaikan yang sempurna dan petunjuk Allah SWT di dunia akhirat hendaklah mempelajari dan memahami ilmu agama, iaitu ilmu yang mewariskan amal solih kepada penuntutnya.
2. Hadith ini menjelaskan kedudukan ilmu dan keutamaan mereka yang mempelajari ilmu agama. Setiap percakapan dan amalan agama perlu mempunyai ilmu, malah mengenal Allah SWT juga perlu dengan ilmu (surah Muhammad, 19). Orang yang mempelajari ilmu adalah umat terbaik (al-Bukhari, 3383) berbeza dengan orang jahil (surah Zumar, 9) kerana sentiasa dinaungi Allah dan dipayung Malaikat-Nya (Abu Dawud, 3641). Pemahaman ilmu agama yang benar pula perlu dipelajari secara langsung daripada pewaris ilmu para nabi, iaitu ulama (al-Tirmidhi, 2682). Justeru, kita hendaklah menjadi ahli ilmu dengan belajar, menyelidik dan memahami sesuatu perkara. Ilmu agama terutamanya fardhu ain adalah kewajipan, namun ilmu-ilmu alat lain seperti sains, matematik, bahasa, teknologi dan sebagainya juga penting jangan ditinggalkan. Walaupun begitu, ilmu yang diperolehi perlu diamalkan kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak berguna laksana pohon yang tidak berbuah. Pada masa yang sama, kita perlu mengenang semua guru yang mendidik, mewariskan kebaikan kepada kita sejak kecil, termasuklah kedua ibu bapa dan guru di tadika, sekolah, kolej mahupun di universiti. Jasa mereka tidak bertepian. 16 Mei 2020 – “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”. Selamat Hari Guru, cikgu!.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!
“Tangan di atas (pemberi) lebih baik daripada tangan di bawah (penerima).”
1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1427, 1428, 1429 & 1472 dan Muslim no. 1033, 1034, 1035 dan 1036 daripada Hakim bin Hizam RA, Abu Hurayrah RA, ‘Abdullah bin ‘Umar RA dan Abu Umamah RA dengan penambahan teks di awal dan akhir yang pelbagai. Maksud hadith ini dijelaskan dalam teks penuh riwayat Ibn ‘Umar RA iaitu dengan penambahan (وَالْيَدُ الْعُلْيَا الْمُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى السَّائِلَةُ) – ‘tangan di atas adalah pemberi sadaqah, tangan di atas adalah peminta’. Tangan di bawah juga bermaksud ‘penerima sadaqah’. Riwayat Ibn ‘Umar RA juga menyebutkan teks hadith ini disabda oleh Rasulullah SAW di atas mimbar ketika berbicara tentang sadaqah dan menahan diri daripada meminta-minta. Hakim bin Hizam RA dalam riwayatnya menjelaskan beliau meminta sadaqah kepada Rasulullah SAW beberapa kali (riwayat lain menyebutkan tiga kali) lalu diberikan kepadanya setiap kali permintaan. Setelah memberi beberapa kali, Baginda SAW mengingatkannya jangan meminta dengan nafsu supaya harta diberi itu berkat seumpama orang makan yang tidak kenyang-kenyang, lalu disabdakan teks hadith di atas. Hakim RA kemudian berkata beliau tidak meminta-minta lagi pada sesiapa dan ini dilaksanakan termasuk menolak pemberian pada zaman Abu Bakar RA dan Umar RA sehingga beliau wafat walaupun beliau layak sebagai penerima.
2. Hadith ini mengajak kita menjadi dermawan terutama kepada keluarga tanggungan sendiri serta kelebihan orang yang memberi sesuatu kepada orang yang memerlukannya. Orang yang memberi sadaqah atau apa-apa keperluan= orang lain dengan ikhlas mempunyai kelebihan berbanding penerima atau berbanding orang yang meminta-minta. Walaupun begitu, hadith ini tidak melarang kita menerima pemberian orang lain. Si penerima kadang-kadang memberikan ruang amal pahala kepada si pemberi. Meminta-minta pula bukanlah suatu kesalahan bagi mereka yang terpaksa dan memerlukannya. Jika kita punya kelebihan, berilah bantuan dan kegembiraan kepada mereka. Mungkin sedikit yang kita berikan itu adalah penolong kita di kampung akhirat kelak. Jika tiada apa-apa, tidak mengapa. Orang yang meminta jangan pula diherdik atau dihina [al-Dhuha, 10]. Namun, meminta-minta bukan kerana keperluan sebaliknya untuk memperkayakan diri adalah haram dan seolah-olah meminta bara neraka (Muslim, 1041). Dari aspek lain, pemberian atau sadaqah luas maksudnya termasuklah dengan wang ringgit, amar ma’ruf nahi munkar, bercakap baik dan pelbagai kebaikan lagi (Muslim, 1006). Kita hidup bukan nafsi-nafsi, tetapi berkongsi. Apa yang kita beri, sebenarnya kita memberi untuk diri sendiri. Allah SWT jualah Maha Pemberi.
Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!