Penghasilan Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi Tumpuan Kepada Sumbangan Ulama Acheh Dalam Manuskrip MS 1042 Dan MSS 2068

Abstrak: Pelbagai karya Islam tulisan jawi yang juga dipanggil kitab kuning dalam pelbagai disiplin ilmu telah dihasilkan oleh ulama-ulama besar di Alam Melayu sejak zaman berzaman. Karya-karya penulisan tersebut dikesan wujud sejak kurun ke-17 dan biasanya meliputi bidang akidah, fiqh dan tasauf. Walaupun begitu, karya dalam ilmu-ilmu lain termasuklah ilmu hadith juga telah dihasilkan oleh mereka sama ada dalam bentuk karya asal, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada juga karya dalam bentuk terjemahan. Acheh sebagai bumi Islam yang digelar Dar al-Salam dan Serambi Mekah juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama besar yang telah menghasilkan karya-karya hadith. Kertas ini akan meneliti apa dan bagaimanakah bentuk penghasilan karya-karya hadith dalam tulisan jawi kurun ke-17 hinggalah akhir kurun ke-20. Penumpuan akan diberikan kepada dua naskah manuskrip dalam bidang hadith yang terdapat di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah (MS 1042) oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dan Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi (MSS 2068) oleh Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (m.1693). Penelitian bersifat kualitatif diskriptif ini ditumpukan kepada karya-karya hadith dalam tulisan jawi, metodologi penulisan kedua-dua tokoh ulama Acheh tersebut selain sedikit catatan tentang rupa bentuk fizikal kedua-dua manuskrip tersebut.

PENGHASILAN KARYA HADITH DALAM TULISAN JAWI: TUMPUAN Penghasilan Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi Tumpuan Kepada Sumbangan Ulama Acheh Dalam Manuskrip MS 1042 Dan MSS 2068[1]

Oleh :

Najahudin Lateh

Siti Noorbiah Md Rejab

Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Kata kunci: karya hadith, kitab jawi, manuskrip, ulama Acheh, Nur al-Din al-Raniri, Abd al-Rauf al-Fansuri

1. PENDAHULUAN

Kertas kerja ini dibentangkan di Serambi Makkah, Acheh Dar al-Salam. Sebagai menyanjung bumi ulama yang berbudi menyampaikan ilmu tanpa lelah dan upah, penulis ingin merakamkan penghargaan dengan memaparkan sumbangan mereka, khasnya dalam bidang hadith. Sebelum itu, perlu disebut bahawa Alam Melayu sejak dulu adalah pusat pengajian ilmu yang terkenal terutama dengan kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti Pasai, Melaka dan Acheh. Penghasilan penulisan sebagai medium penyebaran ilmu Islam adalah tradisi yang dipertahankan sejak kelahiran Islam di Makkah hinggalah sampai ke nusantara meliputi Tanah Melayu, Acheh, Kalimantan, Sumatera, Palembang, Bantan, Riau, Makasar dan sekitarnya. Tradisi ini dilakukan melalui lisan dan tulisan. Lisan melalui kuliah pengajian, sementara tulisan melalui kalam dan kertas dengan menggunakan tangan ataupun dinamakan manuskrip. Kebiasaannya manuskrip ketika itu menggunakan tulisan jawi, senonim dengan Alam Melayu yang dikategorikan sebagai lokaliti yang bertutur dalam Bahasa Melayu dan menulis dalam tulisan jawi.

Karya-karya Islam dihasilkan dalam pelbagai disiplin ilmu, termasuklah dalam sumber rujukan kedua iaitu hadith. Mulai kurun ke-17, sudah wujud karya-karya hadith tersebut. Acheh, setelah kejatuhan Melaka (1511) dan Pasai (1520) ke tangan Portugis telah muncul sebagai sebuah kerajaan Islam yang melahirkan ramai ulama-ulama besar. Malah, karya hadith dalam Bahasa Melayu yang paling awal ditulis adalah daripada ulama Acheh. Karya terawal ini adalah al-Fawa`id al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri, sementara karya kedua terawal adalah Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi oleh Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri. Kedua-duanya ialah ulama’ terkenal Acheh Dar al-Salam pada kurun ke-17.

Kertas ini akan meneliti karya-karya hadith yang dihasilkan ulama Alam Melayu dalam tulisan jawi dari kurun tersebut hinggalah awal kurun ke-20. Tumpuan penulisan akan diberikan kepada dua ulama Acheh yang kebetulannya telah menghasilkan dua karya awal dalam bidang hadith iaitu Shaykh al-Raniri dan Shaykh al-Fansuri.

2. PENGAJIAN HADITH DI ALAM MELAYU

Hadith merupakan sumber rujukan kedua selepas al-Quran. Kepentingan pengajian hadith boleh dibayangkan dengan kepentingan hadith sendiri dalam Islam. Hasilnya, berkembanglah ilmu dan pengajian berkaitan hadith sejak zaman pertama hijrah lagi. Kegiatan ini terus berkembang pada kurun kedua hijrah melalui pengajian dan penghasilan karya berkaitan ilmu hadith hinggalah ke zaman kini. Di Alam Melayu, pengajian hadith juga diberi keutamaan walaupun tidak banyak karya dihasilkan. Pusat-pusat pengajian di Alam Melayu masih mementingkan pengajaran berkaitan hadith dalam kuliah-kuliah yang disampaikan oleh ulama dan guru ketika itu. Pengajian hadith biasanya diajar di pusat pengajian tradisi seperti pondok atau pesantren dengan pembacaan dan kupasan kitab-kitab utama hadith seperti al-Arbain al-Nawawi, Riyad al-Salihin dan Bulugh al-Maram al-‘Asqalani.

Awal kurun ke-20 menyaksikan kemunculan ulama yang mengajar menggunakan kitab Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Riyad al-Salihin dan Bulugh al-Maram contohnya Tok Khurasan (m.1944) yang dianggap pelopor kepada perkembangan pengajian hadith di Tanah Melayu (Faizal, 2007). Ini juga berlaku di pondok dan sekolah di Fatani, selain menggunakan kitab tersebut mereka juga menggunakan kitab jawi Bahasa Melayu seperti al-Jawhar al-Mawhub oleh Tok  Wan Ali Kutan dan Hadith Empat Puluh oleh Mustafa Abd al-Rahman (Lawee, 2008). Menurut Van Bruinessen (1999), banyak karya-karya hadith dipelajari di pesantren-pesantren di Indonesia antaranya al-Arba’in dan Riyad al-Salihin oleh Imam al-Nawawi (m.656H), Bulugh al-Maram oleh Ibn Hajar (m.852H), Durrah al-Nasihin oleh Uthman bin Hasan al-Khubawi, Tanqih al-Qawl al-Hathih fi Sharh Lubab al-Hadith oleh Nawawi Banten (m.1890), Mukhtar al-Ahadith oleh Ahmad Hasyimi dan Usfuriyyah oleh Muhammad bin Abu Bakr al-Usfuri.

Lantas, muncul manuskrip berkaitan hadith dalam pelbagai metodologi penulisan sama ada dalam bentuk menghimpun hadith-hadith, mengulas (syarah), meringkas atau menterjemah karya-karya hadith lain. Manuskrip hadith di dunia Melayu, sama ada di Tanah Melayu, Kepulauan Indonesia atau sekitarnya amat terhad dan sedikit yang dapat dikesan. Namun, terdapat banyak manuskrip dalam ilmu Islam lain yang di dalamnya tercatat pengajian hadith, terutama yang ditulis oleh Shaykh Dawud al-Fathani. Kehebatan ulama di dunia Melayu menggarap minda dan ilmu mereka melalui mata pena diteruskan pula oleh anak-anak murid mereka. Penulisan karya ulama itu berkembang dengan catatan seorang murid daripada catatan gurunya zaman berzaman. Tradisi penulisan ini telah menghasilkan pelbagai jenis manuskrip. Tidak menghairankan jika satu karya mempunyai pelbagai manuskrip. Kadang-kala terdapat sedikit penambahan atau pengurangan perkataan serta ayat bila dibuat perbandingan antara manuskrip tersebut walaupun sumber karyanya adalah sama. Malah, Acheh merupakan khazanah ilmu terbesar yang menyimpan penulisan ulama-ulama besar Alam Melayu. Muzium Negeri Acheh dan Perpustakaan Tanah Abee sahaja menyimpan ratusan manuskrip Melayu (Mahayudin, 1993) yang sangat bernilai. Sebab itulah ulama Acheh adalah mereka yang terawal menghasilkan karya hadith melalui Shaykh Nur al-Din al-Raniri dan Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (Azyumardi, 1995).

3. KARYA HADITH DI ALAM MELAYU DALAM TULISAN JAWI

Penghasilan karya hadith pada kurun ke-17 hinggalah kurun ke-20 agak perlahan berbanding tumpuan kepada penulisan dalam bidang lain khasnya bidang akidah, feqah dan tasawuf. Walaupun begitu, hal ini tidak bermaksud ilmu hadith dilupakan begitu sahaja kerana ia juga dipelajari di pusat-pusat pengajian Islam. Fenomena ini kemudian mantap dengan kemunculan ulama dan intelektual Muslim yang menghasilkan pelbagai penulisan hadith dari pelbagai aspek disiplin ilmunya. Di dunia Melayu, aktiviti ini tidak dilupakan. Penulisan pelbagai aspek ilmu telah dihasilkan sejak kurun ke-17 lagi. Tradisi penulisan ini dibuktikan melalui penemuan pelbagai manuskrip dalam pelbagai bidang, terutama ilmu Islam. Walau bagaimanapun, penulisan dalam ilmu akidah, fiqh dan tasawwuf telah menguasai penulisan ketika itu. Dalam ilmu hadith, walaupun penulisan tentangnya tidak begitu banyak, namun ulama dunia Melayu tidak melupakan perbahasannya sama ada dalam penulisan berkaitan ilmu-ilmu lain atau dalam penulisan tentang hadith itu sendiri.

Di Alam Melayu, karya-karya berkaitan hadith juga dihasilkan oleh ramai tokoh-tokoh ulama Islam. Biasanya topik yang dipilih adalah berkaitan al-targhib wa al-tarhib, fadhail amal, masalah-masalah khusus atau terjemahan dan ulasan hadith 40. Karya ini ditulis dengan tulisan jawi dengan laras bahasa tradisi yang kemudiannya lebih dikenali sebagai kitab kuning. Namun, kini karya-karya tersebut ada yang telah dimurnikan dan ditukar kepada tulisan rumi atau dijadikan dalam bentuk dua edisi. Karya hadith yang dikarang dalam tulisan jawi di Alam Melayu ini menghimpunkan teks hadith-hadith pilihan, ada yang menterjemah kitab hadith, ada dalam bentuk karya umum tentang hadith dan ada yang menyentuh tentang ilmu mustalah al-hadith. Karya-karya tersebut ada yang dihasilkan tanpa ulasan dan ada pula dengan ulasan dan syarah. Ringkasan karya tersebut yang dihasilkan bermula kurun ke-17 hinggalah ke tahun 1950 adalah seperti pada Jadual 1.

Jadual 1: Karya Hadith Abad Ke-17 hingga Awal Abad Ke-20 (1950)

KitabPengarangCatatan
Al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadith al-NabawiyahShaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658)Karya ini diselesaikan pada 1636 mengandungi 832 hadith-hadith al-targhib wa al-tarhib
Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-NawawiShaykh Abd al-Rauf Fansuri (m.1693).Diselesaikan pada 1680 terjemahan dan ulasan kepada Hadith 40 al-Nawawi dengan pendekatan tasawuf
Tanbih al-GhafilinShaykh Abd Allah bin Abd al-Mubin Pauh Pok al-FathaniDianggap sebagai karya hadith pertama oleh ulama Fatani (Lawee, 2008) dihasilkan pada 1770 terjemahan kepada Tanbih al-Ghafilin karya Shaykh Abu Layth al-Samarkandi
Faraid Fawaid al-Fikr fi al-Imam al-MahdiShaykh Dawud bin Abd Allah al-Fathani (m.1847)Dihasilkan pada 1800 terjemahan daripada karya Shaykh Mirghani bin Yusuf yang merupakan karya pertama dalam Bahasa Melayu tentang Imam Mahdi
Kashf al-Ghummah fi Ahwal al-Mawta fi al-Barzakh wa al-QiyamahShaykh Dawud bin Abd Allah al-Fathani (m.1847)Dihasilkan pada 1822 terjemahan kitab Sharh al-Sudur oleh al-Suyuthi dan Mukhtasar Tazkirah al-Qurtubi oleh Abd al-Wahhab al-Sya’rani tentang keadaan manusia pada alam barzakh dan hari kiamat
Al-Yawaqit wa al-Jawahir fi ‘Uqubah Ahl al-KabairShaykh Muhammad Ali bin Abd al-Rashid al-Jawi al-SambawiDihasilkan pada 1827 terjemahan karya Shaykh Abd al-Wahhab al-Sha’rani tentang hadith-hadith siksaan orang yang berdosa besar selain tentang syurga dan neraka
Hidayah al-Mukhtar fi Fadl Talab al-Ilm wa Fadl Sahibih min Kalam Sayyid al-AkhyarShaykh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-FathaniSelesai dikarang di Makkah pada tahun 1829 terjemahan hadith al-Arbain susunan al-Mundhiri.
Fath al-MubinShaykh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa (m.1856)Diselesaikan pada 1856 terjemahan dan ulasan Hadith 40 al-Nawawi dengan pendekatan fiqh
Kashf al-Ghaybiyah fi Ahwal Yaum al-QiyamahShaykh Zayn al-Abidin al-Fathani  (Tuan Minal) (m.1913)Diselesaikan pada 1883 di Makkah menceritakan tentang tanda-tanda, hura-hara dan keadaan hari kiamat
Bisharat al-Amilin wa Nazarat al-GhafilinShaykh Ahmad bin Muhammad Zayn al-FathaniDiselesaikan pada 1887 di Makkah himpunan 331 hadith tentang al-targhib wa al-tarhib
Al-Jawhar al-Mawhub wa Munabbihat al-Qulub  Tok Wan Ali Kutan (m.1913)Diselesaikan pada 1888 terjemahan dan ulasan kitab Lubab al-Hadith oleh Jalal al-Din al-Sayuti (m.911H).
Nasihat Ahl al-Wafa’ ‘ala Wasiyyat al-MustafaShaykh Ahmad LinggaDiselesaikan pada 1895 di Makkah terjemahan wasiat Rasulullah SAW kepada Saydina Ali
Tadhkir Qabail al-Qadi fi Tarjamah al-BukhariTuan Husain Kedah (m.1935)Terjemahan kitab Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qastalani, oleh Shaykh Mustafa Muhammad Imarah dan diterbitkan pada tahun 1930
Bahr al-MadhiShaykh Idris al-Marbawi (m.1989)Diterbitkan di Kaherah sejak 1933 hingga siap tahun 1960 ulasan al-Jami’ al-Tirmidhi sebanyak 22 jilid
Idangan Guru Sahih al-Bukhari dan MuslimShaykh Idris al-Marbawi (m.1989)Diselesaikan pada 1935 ulasan hadith-hadith pilihan daripada kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim
Kanz al-Amin fi Sharh al-Arba’inHj. Mokhtar bin Ahmad KelantaniDiterbitkan pada 1938 ulasan kepada Hadith 40 al-Nawawi
Ilham al-Bari Sharh Sahih al-BukhariAbdul Halim Hadi (m.1981)Diterbitkan pada 1949 ulasan hadith dalam sebahagian Sahih al-Bukhari sebanyak 10 jilid
Sharh Sahih MuslimAbdul Halim Hadi (m.1981)Diterbitkan pada 1949 ulasan sebahagian hadith Sahih Muslim
Tajdhib Atraf al-Hadith bi Sharh ma fi Kitab Mukhtar al-HadithAbdul Halim Hadi (m.1981)Diterbitkan pada 1949 mengandungi 1586 hadith terjemahan dan ulasan kitab Mukhtar al-Ahadith oleh al-Sayyid Ahmad al-Hashimi (m.1943)

Selepas penjajah pulang dan Alam Melayu masing-masing mencapai kemerdekaan, lebih banyak karya tentang hadith dihasilkan sama ada di Fatani, Malaysia atau Indonesia. Menurut Lawee (2008), di Fatani terdapat beberapa penulisan kitab hadith abad ke-20 antaranya seperti berikut:

  1. Pelajaran Hadith (1) dan Pelajaran Hadith (2) oleh Tuan Guru Hj. Yusuf al-Bandari yang kemudian menjadi teks pengajian di kebanyakan sekolah agama di Selatan Thailand sekitar 1960-an.
  2. Syarah Bulugh al-Maram oleh Dr. Jihad Muhammad yang diterbitkan oleh Kolej Islam Yala pada tahun 2000.
  3. Buku-buku 40 Hadith Ramdhan al-Mubarak (1994), 40 Hadith Dari Sohih al-Bukhari dan Muslim, Taman Wanita Muslimah dan 30 Hadith Membina Muslimat semuanya oleh Ust. Ahmad Hussein al-Fariti dari Kolej Islam Yala.
  4. 40 Hadith Hidangan Ruhi oleh Dr. Abdul Halim Ahmad Saising pada 2010 juga dari Kolej Islam Yala.

Selain itu, terdapat juga karya hadith yang diterjemahan ke Bahasa Thai, antaranya Sohih al-Bukhari (1991), diikuti dengan Sohih Muslim serta Sejarah Penulisan Hadith (2004) oleh Charuek Sencherun dan Muhammad Fayid dan 40 Hadith Membina Muslimat (2008) oleh Ust. Ahmad Hussein al-Fariti.

Di Malaysia pula pelbagai karya hadith khasnya dalam bentuk terjemahan daripada Bahasa Arab ke Bahasa Melayu dalam tulisan jawi sama ada dengan ulasan atau tanpa ulasan seperti berikut:

  1. Sabda Utusan Ilahi,oleh Mustafa Abd al-Rahman (m.1968). Karya terjemahan 51 hadith pilihan dan diterbitkan pada tahun 1951.
  2. Pelajaran Hadis Junjungan Rasulullah, oleh Mustafa Abd al-Rahman (m.1968). Karya ini diterbitkan pada tahun 1953 dengan menterjemah hadith-hadith pilihan.
  3. Hadis Empat Puluh, oleh Asbirin Yaakob pada tahun 1958. Karya ini merupakan ulasan hadith Matn al-Arba’in oleh Imam al-Nawawi (m.676H).
  4. Pelajaran Hadis Nabawi, oleh Mustafa Abd al-Rahman (m.1968). Karya ini adalah terjemahan hadith pilihan dan dicetak pada tahun 1959.
  5. Bulugh al-Maram, oleh Ismail dan Sulaiman. Karya yang diterbitkan pada tahun 1962 ini mengandungi ulasan lebih separuh hadith kitab Bulugh al-Maram oleh Ibn Hajar.
  6. Bulugh al-Maram, oleh Shaykh Idris al-Marbawi (m.1989). Karya ini diselesaikan pada 1964 dan diterbitkan tanpa tarikh di Kaherah dengan terjemahan serta ulasan hadith yang diletakkan di nota kaki.
  7. Hadis 40 Terjemahan dan Syarahnya, oleh Mustafa Abdul Rahman (m.1968). Karya yang diterbitkan pada tahun 1966 ini mengandungi terjemahan dan ulasan hadith dalam Matn al-Arba’in oleh Imam al-Nawawi.
  8. Sinaran Hadis, oleh Ibrahim Azmi Hasan dan diterbitkan pada tahun 1966.
  9. Terjemahan Mukhtasar Ibn Abi Jamaah, oleh Mustafa Abdul Rahman dan Yusof Rawa. Karya yang diterbitkan pada tahun 1968 ini mengandungi terjemahan dan ulasan 294 hadith pilihan Sahih al-Bukhari.
  10. Al-Adab al-Nabawi ‘Izat Balighah wa Hikam ‘Aliyyah wa Adab Samiyah, oleh Yusuf Ahmad Lubis. Karya ini diterbitkan pada tahun 1973 dengan terjemahan 100 buah hadith karangan Shaykh Muhammad Abd al-Aziz al-Khawli.
  11. Lubab al-Hadith oleh Abu Bakar bin Hanafiah al-Qadi (m.1998) yang menghimpunkan hadith-hadith dalam masalah fiqh dan tasawwuf.
  12. Arba’in li al-Nabhaniyyah, oleh Hj. Abu Bakar bin Hj. Hanafiah al-Qadi (m.1998). Karya ini ditulis di Langkawi masih dalam manuskrip mengandungi 19 halaman terjemahan dan ulasan 40 hadith himpunan al-Nabhani.
  13. Al-Ahadith al-Nabawiyah Dengan Bahasa Melayu, oleh Abu Bakar Hamzah. Karya terjemahan 17 hadith tentang prinsip asas Islam.
  14. Hadith 40 Jilid I dan II oleh Pauzi Hj Awang yang merupakan terjemahan dan ulasan Hadith 40 Imam al-Nawawi yang dihasilkan pada 1976.
  15. Empat Puluh Hadith Penawar Hati, oleh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Nadwi yang diterbitkan pada 1992.
  16. Terjemahan Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya’ wa al-Mursalin, oleh Hj. Zakariya Hj. Ahmad Wan Besar. Karya terjemahan kitab Tanbih al-Ghafilin tersebut yang dikarang oleh Shaykh Nasr al-Samarqandi.

Kalau diperhatikan semua karya sejak kurun ke-17 hinggalah tahun 1950, semuanya menghimpunkan hadith dalam karya tertentu atau dibuat terjemahan kepada karya-karya lain yang popular sedangkan karya dalam bentuk mustalah al-hadith amatlah sedikit. Namun, selepas tahun 1950 karya sebegini lebih banyak ditulis dan diterbitkan, antaranya seperti berikut:

  1. Kepalsuan Yang Masyhur oleh Ahmad Ali Abu Bakar diterbitkan pada 1953 yang menerangkan 352 hadith yang masyhur di kalangan masyarakat tetapi palsu daa mawdu’.
  2. Al-Qutuf al-Daniyyah Sharh Matn al-Bayquniyah oleh Dato’ Hj. Ismail Yusof (m.1988) yang mengulas al-Manzumah al-Bayquniyah iaitu syair sebanyak 34 rangkap tentang ilmu hadith yang dikatakan dikarang oleh Taha bin Muhammad bin Futuh sekitar 1080H.
  3. Matali al-Anwar wa Majma’ al-Azhar oleh Shaykh Uthman Jalal al-Din al-Kalantani tentang sejarah penulisan dan penyusunan hadith dan tokoh-tokohnya
  4. Pengenalan Kitab-kitab al-Sunan al-Sittah oleh Dr. Budah@Udah Muhsin menyentuh informasi enam buah buku Kutub al-Sittah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1985.
  5. Ulum al-Hadith oleh Dr. Budah@Udah Muhsin juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1995 tentang persoalan berkaitan ilmu hadith.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dulunya dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit al-Quran, al-Sunnah dan Tafsir, Pusat Penyelidikan Islam telah menterjemah dan memberi ulasan beberapa karya hadith utama secara berperingkat-peringkat. Antara karya yang diterjemahkan oleh JAKIM adalah Terjemahan Sahih Bukhari, Riyad al-Salihin dan Bulugh al– Maram. Selain itu, kitab Muqaddimah Mastika Hadith (1973) yang mengandungi 40 buah hadith dan Mastika Hadith[2] juga dihasilkan dalam beberapa jilid merupakan kumpulan-kumpulan hadith pilihan dan disertai dengan terjemahannya yang dikarang bersama oleh Dato’ Hj. Mohammad Nor Ibrahim (m.1987), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (m.1988) dan Shaykh Abd Allah Basmieh (m.1996).

Di Indonesia sebenarnya sudah wujud karya hadith lebih awal, namun dikarang dalam Bahasa Arab iaitu kitab Tanqih al-Qawl al-Hathith bi Sharh Lubab al-Hadith oleh Shaykh Muhammad Nawawi Banten (m.1890), iaitu ulasan kepada kitab Lubab al-Hadith oleh al-Suyuti (m.911H) yang menyentuh tentang keutamaan ilmu dan beramal. Beliau sezaman di Makkah dengan seorang ulama Tanah Melayu, Tok Wan Ali Kutan (m.1913) yang juga menghasilkan karya ulasan Lubab al-Hadith yang diberi nama al-Jawhar al-Mawhub wa Munabbihat al-Qulub tetapi ditulis dalam Bahasa Melayu.

Seorang lagi tokoh hadith di Indonesia yang perlu disebutkan ialah Shaykh Muhamamd Mahfuz al-Tarmasi (m.1919). Beliau juga telah menghasilkan banyak karya dalam Bahasa Arab, termasuklah telah menghasilkan sebuah karya hadith ulasan kepada kitab Alfiyah ‘Ilm al-Athar oleh al-Suyuti (m.911H) diberi nama Manhaj Dzaw al-Nazr bi Sharh Manzumah ‘Ilm al-Athar yang mula dicetak pada 1934. Karya ini dikatakan penulisan pertama dalam ilmu hadith di Indonesia walaupun penghasilannya dilakukan di Makkah (Ramli, 2008). Begitu juga kitab al-Minhah al-Khayriyah fi Arba’in Hadith min Ahadith Khair al-Bariyah (koleksi 40 hadith pilihan), ulasan karya tersebut dalam al-Khal’ah al-Fikriyah bi Sharh al-Minhah al-Khayriyah serta karya khas beliau Kifayah al-Mustafid lima ‘ala min al-Asanid yang memaparkan rantaian sanad beliau yang tidak terputus dalam pelbagai disiplin ilmu termasuklah ilmu hadith yang sampai kepada semua al-Kutub al-Tis’ah dan lain-lain.

Walaupun begitu, karya hadith dalam tulisan jawi agak berkurangan. Kebanyakan karya hadith di Indonesia ditulis dalam rumi oleh sarjana dan pakar hadith tempatan. Walaupun kertas ini meneliti karya-karya hadith dalam tulisan jawi, namun penulis akan mencatatkan sedikit di sini tentang penghasilan karya-karya hadith di Indonesia walaupun dalam tulisan rumi. Antara pengarang yang tersohor ialah T.M Hasbi Ash-Shiddieqiy (m.1975) yang menghasilkan banyak karya seperti 2002 Mutiara Hadits (8 jilid), Koleksi Hadits-hadits Hukum (12 jilid) serta buku-buku ilmu hadith seperti Pokok-pokok Ilmu Dirayah Hadits, Sejarah dan Pengantar Ilmu Hadits, Sejarah Perkembangan Hadits serta Rijalul Hadits. Selain itu, perlu dirakamkan penulis lain ilmu hadith lain antaranya Ilmu Mushthalah al-Hadits (1940) oleh Mahmud Yunus (m.1982), Ishthilahat al-Muhadditsin (1965) oleh Muhammad Arsyad Thalib Lubis (m.1972), Pengantar Ilmu Hadits (1976) oleh Masjfuk Zuhdi serta seorang ulama lulusan Dar al-Ulum, Makkah iaitu Shaykh Ali Hasan Hasibuan al-Dari (m.1998) yang telah menghasilkan 11 buah karya dan risalah hadith.

Menurut Ramli (2008), penubuhan Pascasarjana (PPs) di IAIN Syarif Hidayatullah di Jakarta (1982), IAIN Sunan Kalijaga, Jogjakarta (1983) dan diikuti dengan daerah-daerah lain telah memberi mometum besar dalam pengkajian hadith di Indonesia. Ini ditambah dengan kemunculan sarjana besar dalam hadith bersama karya ilmiah mereka, antaranya Fatchur Rahman (m.1995) melalui Ikhtishar Mushthalahul Hadits (1970) M.Syuhudi Ismail (m.1996) seperti kajian PhDnya Kaedah Kesahihan Sanad Hadis: Telaah Kritis dan Tinjauan dengan Pendekatan Sejarah (1988) dan Ali Mustafa Yakub yang menghasilkan banyak karya hadith seperti Kritik Hadis (1996) serta ramai lain yang tidak mampu penulis senaraikan semuanya di sini.

4. BIODATA SHAYKH NUR AL-DIN AL-RANIRI

Nama lengkap ulama Acheh ini dicatatkan dalam karya-karyanya, termasuk dalam al-Sirat al-Mustaqim iaitu Shaykh Nur al-Din Muhammad Jilani bin ‘Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid al-Raniri al-Quraishi al-Shafi’i. Beliau lahir di Ranir (Randir), iaitu sebuah bandar pelabuhan lama berhampiran Gujerat, India, namun tarikh kelahiran beliau tidak tercatat dalam mana-mana karya tersebut. Bapanya berbangsa Arab keturunan Quraish yang berpindah dari Hadhrulmaut dan kemudian tinggal di India sementara ibunya berbangsa Melayu. Walaupun begitu al-Raniri kemudian menetap di Pahang dan Acheh mengajar ilmu dan menghasilkan pelbagai karya dalam Bahasa Melayu.

Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya Raniri. Kemudian pada tahun 1030H (1621) beliau berangkat ke Mekah serta Madinah. Di situ juga beliau menjalin hubungan dengan ramai penuntut ilmu dari Alam Melayu yang tinggal dan belajar di situ. Beliau sempat belajar dengan beberapa orang ulama besar antaranya guru tariqat Shaykh Abu Hafs ‘Umar bin ‘Abd Allah Ba Syaiban al-Hadrami (m.1066) yang terkenal di Gujerat sebagai Sayyid Umar al-Aydarus. Walaupun senarai guru beliau tidak tercatat dalam mana-mana karya, namun beliau dikatakan pernah berguru kepada bapa saudaranya yang juga pernah datang ke Acheh, Shaykh Muhammad Jaylani bin Hasan bin Hamid yang juga dikenali sebagai Shaykh Nur al-Din al- Raniri serta dengan Shaykh Muhammad Yamin al-Makki.

Setelah tamat belajar di Mekah, beliau berangkat dan tinggal Pahang yang ketika itu di bawah pemerintahan kerajaan Acheh Darussalam. Ramai yang mengambil ilmu daripada beliau, namun tiada catatan senarai nama-nama murid yang lengkap. Hanya terdapat beberapa orang sahaja yang tercatat dalam karya-karya ulama lain antara mereka ialah Shaykh Yusuf Tajul al-Khalwati (m.1699) dari Makasar, Shaykh Muhammad Ali al-Achi dan Ratu Tajul Alam Safiatuddin (Pemerintah Acheh 1641–1679) yang belajar dengan beliau sejak berusia tujuh tahun.

Terdapat catatan yang menyebutkan al-Raniri tiba kali pertama ke Acheh pada 1577. Ini mungkin tepat jika dilihat dari aspek penghasilan karya kajian ini al-Sirat al-Mustaqim dengan kemahiran Bahasa Melayu yang mula dikarang pada 1634. Catatan lain menyebutkan beliau tiba dan menetap di Acheh pada 6 Muharram 1047H (31 Mei 1637) pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Thani, iaitu setahun setelah kemangkatan Sultan Iskandar Muda (Pemerintah Acheh 1606 – 1636). Kedatangannya pada peringkat awal menimbulkan isu dan tentangan kerana pendangan beliau yang menolak fahaman wahdatul wujud yang dibawa oleh Shaykh Hamzah al-Fansuri dan Shaykh Syamsuddin as-Sumatra’i. Walaupun al-Raniri sendiri mengikuti Thariqat Rifa’iyah,  Qadiriyah, Aydarusiyyah dan sebagainya, namun ajaran tasawuf kedua-dua ajaran ulama sufi itu dianggap sesat oleh beliau. Pada masa yang sama beliau mendapat tempat sebagai mufti kerajaan serta sokongan penuh Sultan Iskandar Tsani dan tinggal di Acheh selama tujuh tahun mengajar, mengarang kitab dan menentang fahaman tasawuf wujudiyah.

Al-Raniri menghasilkan pelbagai karya dalam pelbagai disiplin ilmu seperti hadith, akidah, fiqh, tasawuf, sastera, sejarah, perbandingan agama dan sebagainya. Ini bertepatan dengan keilmuannya dalam pelbagai ilmu tersebut. Hasil karyanya bukan sahaja dikarang dalam tulisan Jawi, malahan terdapat juga dalam tulisan Arab. Semua karyanya dikatakan berjumlah 34 buah (Shaghir, 1991). Antara karangan beliau adalah al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah, Fath al-Mubin ‘ala al-Mulhidin, Bustan al-Salatin, Tibyan fi al-Ma’rifat al-Adyan dan sebagainya serta tidak ketinggalan karya fiqh kajian kertas ini, al-Sirat al-Mustaqim. Agak menarik perlu dicatatkan karya al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah adalah merupakan karya hadith pertama dihasilkan dalam Bahasa Melayu sementara al-Sirat al-Mustaqim pula adalah karya fiqh pertama dalam Bahasa Melayu. Hakikat ini membuktikan kehebatan beliau sebagai ulama perintis keilmuan di Alam Melayu.

Pada tahun 1054H (1644) beliau kembali ke tempat lahirnya di Ranir. Terdapat beberapa pendapatan tentang tempat beliau meninggal dunia. Ada pendapat menyebut beliau meninggal dunia di India pada 22 Zulhijjah 1069H (21 September 1658) (Daudi, 1978) dan ada pendapat beliau meninggal dunia dan jenazahnya ditemui di Kuala Acheh (Zainuddin, 1957) berdekatan Banda Acheh.

5. BIODATA SHAYKH ABD AL-RAUF FANSURI

Nama penuh beliau ialah Amir al-Din Abd al-Rauf bin Ali al-Fansuri. Beliau juga dipanggil al-Singkili (Azyumardi, 1995) kerana lahir di Singkel, Acheh Selatan. Namun, Shaykh Abd al-Rauf sendiri tidak pernah meletakkan nama al-Singkili dalam mana-mana karyanya (Shaghir, 1999). Beliau juga digelar ‘Teuku Syiah Kuala’ kerana menguasai pelbagai cabang ilmu agama. Bagi masyarakat tempatan ia merujuk kepada Shaykh Ulama di Kuala dan bukannya merujuk kepada fahaman aliran Syiah. Sumber primer berkaitan maklumat biodata al-Fansuri juga boleh didapati melalui karyanya ‘Umdat al-Muhtajin seperti latar belakang pendidikan, guru-guru serta destinasi pembelajaran beliau di luar negara (Fairuzah, 2011). Catatan pengalaman ini dicatatkan oleh al-Fansuri pada bahagian penutup kitabnya itu.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya Ali al-Fansuri yang juga seorang ulama dan beberapa ulama tempatan termasuklah ulama besar Acheh Shaykh Syams al-Din al-Sumatra-i. Kemudian sekitar tahun 1642, beliau pergi menunaikan haji dan seterusnya merantau ke Tanah Arab untuk mencari ilmu agama dalam pelbagai disiplin. Beliau juga sempat bergaul dengan ulama besar Alam Melayu lain ketika di Makkah antaranya Shaykh Nur al-Din al-Raniry, Shaykh Nawawi Bantan, Shaykh Abdul Samad al-Fathani. Di sana, beliau dikatakan berguru dengan ramai ulama besar antaranya Abd al-Qadir al-Mawrir (Doha), Ibrahim Muhammad Ja’man, Abi al-Qasim Ja’man dan Ishaq Muhammad Ja’man (Yaman), mufti Abd al-Qadir al-Bharkali (Jeddah), Badr al-Din al-Luhuri, Abd Allah al-Luhuri dan Ali Abd al-Qadir (Makkah). Di Madinah, beliau berguru dengan dua ulama besar Shaykh Ahmad al-Qushahyi (m.1660) dan Ibrahim al-Kurani (m.1689). Melalui al-Qushashi, beliau memperolehi ijazah dan dilantik sebagai khalifah tarekat Shathariyah dan Qadiriyah.

Apabila kembali ke Acheh, al-Fansuri membuka pusat pengajian di Kuala Acheh dan mengajar pelbagai ilmu kepada masyarakat. Beliau juga mengembangkan tarekat Shathariyah hingga tersebar ke seluruh Indonesia hingga kini. Ramai pelajar dari seluruh Alam Melayu datang berguru dengan beliau hingga muridnya menjadi ulama besar yang kemudiannya mengembangkan ilmu di tempat asal mereka. Antara murid beliau ialah Baba Daud bin Ismail al-Jawi al-Rumi, Shaykh Burhan al-Din Ulakan (Minangkabau), Shaykh Abd al-Muhyi Pamijahan (Jawa Barat), Shaykh Yusuf Tajul Mankatsi (Sulawesi) dan Tok Pulau Manis (Terengganu). Beliau juga dikatakan dilantik sebagai mufti Acheh Dar al-Salam semasa pemerintahan Sultanah Safiat al-Din Tajul Alam (1662-1675). Hubungan erat antara ulama dan pemerintah ini diakui oleh masyarakat Acheh hingga kekal dalam pepatah Acheh, “Adat bak peutus Merehum, syarak bak Syikeh di Kuala” yang bermaksud, “Adat di bawah kekuasaan Almarhum (Raja), syariat (Islam) di bawah Shaykh Kuala.”

Shaykh al-Fansuri banyak menghasilkan pelbagai karya berjumlah lebih daripada 27 buah (Shaghir, 2007) sama ada dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu. Malah, beliau adalah ulama yang pertama menghasilkan terjemahan dan tafsir al-Quran 30 juzuk dalam Bahasa Melayu. Tafsir dalam Bahasa Melayu atau Turjuman al-Mustafid tersebut tidak sempat dihabiskan tetapi kemudian disempurnakan oleh murid beliau, Baba Daud al-Rumi yang pertama kali diterbitkan di Istanbul tahun 1884. Antara karya-karya lain beliau adalah Sharh Latif (hadith), Mir’at al-Tullab, Majmu’ al-Masail (fiqh), Tanbih al-Masyi, Kifayat al-Muhtajin (tasawuf), dan Mawa’iz al-Badi (akhlak). Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri meninggal dunia pada tahun 1693 ketika berumur 73 tahun. Jasad beliau dimakamkan di Kuala Aceh, tidak jauh dari Banda Aceh.

6. MANUSKRIP AL-FAWAID AL-BAHIYYAH (MS 1042)

Karya awal dalam bidang hadith yang dikesan adalah al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadith al-Nabawiyah iaitu satu-satunya karya hadith Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) daripada 30 karya yang dihasilkan. Karya ini boleh dianggap sebagai karya hadith lengkap dalam topik al-targhib wa al-tarhib (Shaghir, 1991). Selain diiktiraf sebagai ulama pertama menghasilkan karya fiqh dalam bahasa Melayu melalui al-Sirat al-Mustaqim, al-Raniri juga merupakan orang pertama menulis kitab hadith di Alam Melayu melalui karya al-Fawaid al-Bahiyah ini. Tarikh mula karya ini dihasilkan tidak nyatakan oleh penulis atau oleh penyalin manuskrip. Namun, karya perintis dalam tulisan jawi ini diselesaikan pada hari Jumaat 6 haribulan Syawal 1045 (1636) seperti catatan al-Raniri sendiri pada penghujung kitab. Karya ini dikatakan dihasilkan ketika beliau berada di Tanah Melayu (Pahang) sebelum dibawa ke Acheh pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Thani (T.Iskandar, 1966).

Nama asal karya ini yang diberikan oleh al-Raniri adalah Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib. Malah, semua manuskrip yang ada ini tidak mencatatkan nama karya ini sebagai al-Fawaid al-Bahiyah, sebaliknya semua menulis dengan nama Hidayat al-Habib. Jadual 2 menunjukkan manuskrip karya ini yang terdapat di Pusat Manuskrip Melayu (PMM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Jadual 2: Manuskrip al-Fawaid al-Bahiyah di PMM Perpustakaan Negara Malaysia

No. KelasSaizBil. HalamanCatatan
MS 104222.6 x 16.5 cm230Tidak lengkap
MSS 225523 x 17.2 cm86Tidak lengkap
MSS 225821.2 x 15.3 cm314Lengkap
MSS 2520 (B)20.5 x 16.5 cm34Tidak lengkap
MSS 256420.6 x 16.8 cm78Tidak lengkap
MSS 262221.4 x 15.3 cm250Tidak lengkap
MSS 265423 x 16.5 cm234Lengkap
MSS 355718.8 x 13 cm328Tidak lengkap
MSS 368022.5 x 17 cm130Tidak lengkap
MSS 405921.6 x 15.2 cm188Lengkap
MSS 412720.5 x 17.5 cm286Lengkap

Nama lengkap al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadith al-Nabawiyah pula digunakan dan dicetak di tepi kitab Jam’ al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid karya Shaykh Dawud al-Fathani melalui percetakan di Mesir, Mekah, Singapura, Thailand dan Pulau Pinang. Hasil semakan dan perbandingan isi kitab cetakan tersebut dengan manuskrip, ternyata kandungan dua-duanya adalah sama walaupun nama berbeza. Perkara ini disokong dengan teks naskhah cetakan yang masih mengekalkan tajuk asal kitab yang juga sama dengan manuskrip seperti catatan al-Raniri, “Dan kunamai kitab ini ‘Haluan akan Nabi SAW pada menyatakan menggemari segala amal kebajikan dan menjauhi daripada sehala amal kejahatan’.” (Al-Raniri, t.t.; MS 1042) Karya ini juga telah dibuat kajian di peringkat Doktor Falsafah dan ditransliterasi ke tulisan jawi oleh Dr. Mohd. Muhiden Abd. Rahman dan telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006.

Untuk lebih spesifik, kertas ini akan menjadikan manuskrip MS 1042 dan MSS 2258 sebagai subjek penelitian. Kedua-duanya dipilih kerana antara manuskrip awal yang ditemui, satunya lengkap dan satu lagi tidak lengkap. Manuskrip MS 1042 disalin oleh Tengku Amir atas perintah Tengku Puteh pada hari Sabtu di Peduk. Manuskrip yang mempunyai 230 halaman ini secara umum boleh dibaca dengan teks hadith berwarna merah sementara tulisan lain termasuk terjemahannya berwarna hitam. Tulisan manuskrip ini tidak jelas pada sesetengah tempat dan tidak lengkap pada pertengahan bab yang melibatkan kehilangan 18 buah hadith. MSS 2258 pula disalin oleh Lebai Hud  Kidir pada Jumaat bulan Zulkaedah. Manuskrip ini lengkap dan masih dalam berkeadaan baik. Walaupun begitu, kedua-dua manuskrip yang menggunakan nama Hidayah al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib ini tidak tercatat nama penyalin dan tahun disalinan dibuat.

Secara umum, karya al-Fawaid al-Bahiyah ini mengandungi 832 hadith dalam 53 bab[3]. Ia memuatkan hadith-hadith tentang al-targhib wa al-tarhib, iaitu galakan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan serta menakut dan menegah daripada melakukan kejahatan. Dalam mukadimah, al-Raniri menjelaskan beliau hendak menghimpunkan hadith Nabi SAW daripada segala kitab yang sahih dan mengharapkan pelajarnya menjadi penghafal hadith seperti kata-katanya, “Hai talib faham akan olehmu segala lafaz hadith ini dan segala alamat kitabnya supaya engkau menjadi huffaz hadith Nabi SAW.” (MSS 1042). Karya ini disusun mengikut bab atau tajuk kacil dengan dimulai dengan “Bab Pada Menyatakan Menggemari Niat” dan disudahi dengan “Bab Pada Menyatakan Menggemari Meminta Ampun dan Taubat dan Menakut akan Meninggalkannya. Tajuk bab ada yang pendek seperti bab pertama dan tajuk paling panjang adalah “Bab Pada Menyatakan Menakut daripada Mencuri dan Khainat Pada Amanat Orang dan Menyembunyikan Mendapat Harta Orang yang Gugur dan Tiada Mengambilkan Harta Orang yang Pinjam dan Makan Harta Anak Yatim dengan Aniaya”.

Al-Raniri memulakan bab dengan menyebutkan petikan ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan tajuk dan kemudiaan diikuti dengan teks hadith serta terjemahannya dalam Bahasa Melayu. Kadang-kadang pada hadith-hadith tertentu beliau memetik pandangan ulama muktabar seperti al-Nawawi dan al-Marwadi yang bersesuaian dengan tajuk. Beliau jarang memberi ulasan sendiri terhadap hadith yang dikemukakan kecuali pada tempat-tempat tertentu. Jumlah hadith pada setiap bab adalah berbeza, yang paling sedikit adalah dua hadith (pada bab pertama) dan yang paling banyak adalah 50 hadith (pada bab 12). Al-Raniri hanya menyebutkan teks hadith semata-mata dalam karyanya ini dengan membuang semua sanad hingga kepada Rasulullah SAW. Beliau juga menyebutkan pada mukadimah, “Bahawasanya telah aku pohonkan kebajikan kepada Allah Ta’ala pada menghimpunkan segala hadith Nabi SAW dari segala kitab yang sahih lagi lanjut”. Namun, menurut Muhiden (2006), karya ini juga memuatkan hadith daif dan mawdu’ tanpa dijelaskan klasifikasi kesahihannya. Walaupun begitu, jumlahnya amat sedikit berbandingan hadith lain yang sahih dalam karya tersebut.

Karya ini menggunakan rumuz (simbol) selepas teks sesuatu hadith bagi mengambarkan periwayat hadith untuk memudahkan pembaca membuat semakan. Menurut Muhiden (2006), penggunaan simbol sebegini adalah perkara biasa dalam penulisan karya hadith, namun penggunaannya di Alam Melayu agak baharu. Malah, sebahagian besar simbol dalam karya ini menyamai simbol yang dipopularkan oleh al-Suyuti (m.911H) dalam karya-karyanya seperti al-Jami’ al-Saghir. Dalam manuskrip ini dimuatkan kata-kata al-Raniri, “Dan ku jadikan pada tiap-tiap kesudahan hadith itu alamat kitabnya dengan dakwat merah.” Rumuz (simbol) bagi periwayat hadith seramai 22 orang yang termuat mengikut urutan dalam karyanya ini adalah seperti pada Jadual 3.

Jadual 3: Rumuz (Simbol) Karya al-Fawaid al-Bahiyah

Bil.SaizSimbolSumber Rujukan
1Al-BukhariخSahih al-Bukhari / al-Adab al-Mufrad
2MuslimمSahih Muslim
3Al-TirmidhiتSunan al-Tirmidhi
4Ahmad bin HanbalحمMusnad Ahmad
5Abu DawudدSunan Abi Dawud
6Ibn HibbanحبSunan Ibn Hibban
7Al-DaraqutniقطSunan al-Daraqutni
8Ibn MajahجهSunan Ibn Majah
9Quda’iعىMusnad al-Syibah
10Al-HakimكمAl-Mustadrak
11Al-TabraniطAl-Mu’jam Kabir, al-Awsat, al-Saghir
12Al-DaylamiميMusnad al-Firdaws
13Abu Nu’aymعيمHilyat al-Auliya’
14Al-BayhaqiقيAl-Sunan al-Kubra / Syu’ab al-Iman
15Al-‘AskariريAl-Amthal
16Abu Ya’laيعMusnad Abi Ya’la
17Al-Nasai’iنسSunan al-Nasa’i
18Ibn ‘AdiعدAl-Kamil fi al-Du’afa al-Rijal
19Al-KhatibخطAl-Mu’talaf
20Ibn KhuzaymahمهSahih Ibn al-Khuzaymah
21Ibn Abi DunyaياMakarim al-Akhlaq / Al-Samt
22Al-BazzarباMusnad al-Bazzar

Walau bagaimana pun, sumber rujukan karya ini sebenarnya melebihi 60 buah dan sebahagian besarnya tidak dijelaskan (Muhiden, 2006). Senarai dalam Jadual 3 di atas bolehlah dianggap sebagai sumber rujukan utama karya ini. Ada sesetengah sumber rujukan yang tidak disebutkan dalam mukadimah kitab telah disebutkan nama karya atau nama pengarang pada penghujung hadith seperti Imam Malik (dalam al-Muwatta’), al-Mundhiri (Al-Targhib wa al-Tarhib), Dawud al-Tiyalisi (Musnad), Abd al-Razaaq (Musannaf), Al-Shafi’i (Musnad), Ibn ‘Abd al-Barr (Jami’ al-Bayan), Ibn Abi Shaybah (Musannaf), Ibn Asakir (Tarikh Dimashq), al-Uqayli (Al-Du’afa’), al-Baghawi (Sharh al-Sunnah) dan lain-lain lagi.

7. MANUSKRIP SHARH LATIF (MSS 2068)

Sharh Latif adalah karya hadith kedua yang ditulis dalam Bahasa Melayu di Alam Melayu selepas karya al-Raniri di atas.  Karya ini merupakan satu-satunya penulisan Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (m.1693) dalam bidang hadith. Ia dianggap sebagai kitab terjemahan pertama dalam Bahasa Melayu (Shaghir, 1995) dan terawal ulasan lengkap terhadap hadith 40 Imam al-Nawawi. Perlu dicatatkan, al-Fansuri juga dianggap sebagai orang pertama mempelopori penulisan fiqh berkaitan undang-undang kehakiman Islam dalam bahasa Melayu melalui karya Mir’ah al-Thullab. Malah, sehingga ke hari ini karya ini adalah satu-satunya ulasan hadith al-Arba’in menggunakan disiplin sufi dan ilmu tasawwuf.

Nama lengkap karya ini seperti yang dicatatkan dalam manuskrip adalah Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi. Karya ini belum dicetak lagi, namun Ahmad Baha’ (2008) telah melakukan kajian teks di peringkat ijazah Sarjana di Universiti Malaya dengan melakukan transliterasi daripada tulisan jawi ke rumi. Walaupun tidak dicetak, naskhah karya ini terdapat dalam bentuk manuskrip. Di PMM PNM, terdapat empat buah manuskrip karya al-Fansuri ini seperti dalam Jadual 4.

Jadual 4: Manuskrip Sharh Latif di PMM Perpustakaan Negara Malaysia

No. KelasSaizBil. HalamanCatatan
MS 1314 (G)20.5 X 14.5 cm135 (h.204-339)Tidak lengkap
MSS 206823.6 x 17 cm232Lengkap
MSS 2083(1)19.5 x 14.5 cm169Tidak lengkap
MSS 246521.5 X 15.5 cm69Tidak lengkap

Antara empat manuskrip ini, hanya MSS 2068 sahaja yang lengkap mengandungi semua 42 hadith. Manuskrip MS 1314 (G) hanyalah setakat hadith ke-28, MSS 2083(1) setakat hadith ke-26 sahaja, sementara MSS 2465 hanya terdapat beberapa hadith sahaja. Dari segi fizikal, MSS 2068 walaupun lengkap, namun terdapat banyak halaman yang tidak boleh dibaca kerana tulisannya sudah pudar akibat tindak balas asid dakwat di sebahagian halaman. Sementara itu, manuskrip MS 1314 (G) walaupun tidak lengkap namun fizikalnya lebih baik tanpa kerosakan di samping tulisannya lebih kemas dan jelas.

Semua manuskrip di atas menyebutkan karya ini ditulis atas perintah Sultanah ‘Inayah Shah Zakiyyah al-Din Shah. Tarikh karya ini mula ditulis tidak diketahui kerana tiada catatan oleh pengarang atau penyalinnya. Namun, ia selesai ditulis pada hari Selasa, bulan Safar tahun 1091H (1680) di bandar Acheh seperti tercatat pada penghujung manuskrip, “Tamat karangan al-Faqir Syeikh Abd al-Rauf bin ‘Ali Bandar Aceh Dar al-Salam hari Thalis bulan Safar 1091H” (MSS 2068).

Karya merupakan terjemahan dan ulasan kepada teks (matan) hadith 40 (al-Arba’in) tulisan Imam al-Nawawi. Walaupun banyak karya syarah kepada hadith 40, namun karya al-Fansuri ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana disyarah dengan menggunakan pendekatan tasawwuf dalam menghuraikan teks hadith. Kaedah ini berbeza dengan karya ulasan hadith 40 al-Nawawi yang lain seperti Fath al-Mubin oleh Shaykh Muhammad Salih bin Muhammad Murid Rawa yang menggunakan pendekatan fiqh dalam karyanya. Dalam mukadimah, al-Fansuri menyebutkan karya ini dihasilkan atas titah Sultanah ‘Inayah Shah Zakiyyah al-Din Shah dan dikarang dalam tulisan jawi dengan tujuan memudahkan kefahaman masyarakat tentang maksud hadith.

Karya Sharh Latif ini mengandungi 42 buah hadith yang dikumpulkan oleh Imam Nawawi dalam al-Arba’in. Setiap hadith dimuat dan diterjemah secara urutan seperti dalam kitab asal al-Nawawi. Namun, pada sesetengah tempat penulis hanya mencatatkan sebahagian teks hadith sahaja dan kemudian diterjemah dan diberi ulasan. Terjemahan dilakukan secara harfiyah, iaitu terjemahan kalimah demi kalimah. Secara umum, karya ini mempunyai tiga mukadimah, iaitu (i) Mukadimah pengarang (al-Fansuri); (ii) Mukadimah Shaykh Sa’d al-Din al-Taftazani (Pengarang Sharh al-Arba’in al-Nawawiyyah yang menjadi rujukan utama pengarang); dan (iii) Mukadimah Imam al-Nawawi (Pengarang asal al-Arba’in).

Al-Fansuri memulakan kitabnya dengan khutbah atau mukadimah kitab. Selepas basmalah, khutbah menyebutkan nama pengarang sebagai al-Shaykh Abd al-Rauf ibn Ali dan kemudian dinyatakan judul kitab serta tujuan penulisan. Semua khutbah tersebut dikarang dalam Bahasa Arab dan diikuti dengan terjemahan Bahasa Melayu. Untuk rekod, dicatatkan karangan al-Fansuri dalam mukadimahnya yang diterjemah dalam Bahasa Melayu seperti berikut:

Dengan nama Allah jua kumemulai menjawikan kitab Syarh Hadith Arba’in ini yang amat murah dalam negeri dunia ini. Lagi yang amat mengasihani hamba-Nya mukmin dalam negeri akhirat itu. Dan akan Dia jua tempat berpegangku. Telah berkata fakir yang berpegang kepada Allah Raja Yang Amat Nyata iaitu Syeikh Abd Rauf anak Ali. Ini suatu syarah yang latif atas empat puluh hadis bagi karangan Imam Nawawi telah dikasihan Allah Taala jua kiranya akan dia. Telah kupilih kebanyakannya daripada syarah Syeikh Sa’d al-Din al-Taftazani rahmatullah ‘alayh. Dan telah kujadikan ia dengan bahasa jawi Pasai. Pada hal aku memudahkan atas orang yang mempunyai bahasa bagi memfahamkan segala makna hadis itu. Dan adalah yang demikian itu dengan titah Hadrat Sultan yang telah dipilih Allah Taala akan dia bagi berbaiki segala pekerjaan dunia dan agama. Dan iaitu penghulu kita dan yang menghimpunkan pekerjaan kita sultan negeri Islam dan negeri segala orang yang Muslim. Yang galian sifat sabar dan kemurahan dan yakin. Iaitu Hadrat Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultanah ‘Inayah Syah Zakiyyah al-Din Syah berdaulat Zillullah fi al-‘Alam. Telah dikekalkan Allah Taala jua kiranya bahagiannya yang keras dan telah ditinggikannya jua kiranya akan pangkatnya dalam dunia dan akhirat. Dengan kebenaran Nabi yang telah diturunkan atasnya surah al-Jathiyah iaitu penghulu kita Muhammad yang telah dititahkan ia kepada segala makhluk dengan segala ayat dan mukjizat yang mengeras. Amin.”

Kemudian al-Fansuri membawakan mukadimah ulasan kepada Hadith 40 yang dikarang oleh Shaykh Sa’d al-Din Mas’ud bin Umar bin Abd Allah al-Taftazani yang juga merupakan sumber utama rujukan karya ini. Pada khutbah awal kitab, al-Fansuri menyebutkan, “Telah ku pilih kebanyakan daripada Syarah Syeikh Saad al-Din Taftazani RA dan telah ku jadikan ia dengan bahasa Jawi al-Samtharani (Pasai).” Petikan ulasan al- Taftazani dirujuk dan dimuatkan pada banyak tempat dalam karya ini dan jika al-Fansuri ingin membuat tambahan terhadap ulasan al-Taftazani beliau akan menggunakan perkataan “faedah”. Kemudian pengarang menyebutkan sanad al-Taftazani satu persatu hingga sampai kepada al-Nawawi yang menunjukkan rantai ilmu guru ke guru hingga sampai kepada pengarang asal. Selepas itu, al-Fansuri menyebutkan riwayat hidup al-Nawawi dan seterusnya memetik mukadimah oleh Imam al-Nawawi. Kemudian barulah dibentangkan hadith demi hadith mengikut urutan seperti dalam teks al-Arba’in disertakan terjemahan dan ulasan.

8. PENUTUP

Alam Melayu sejak kurun ke-17 telah mencatatkan kemunculan ramai ulama yang proaktif dalam menghasilkan karya-karya Islam. Mendahului rakaman sejarah ini ialah karya-karya ulama Acheh terutama Shaykh Nur al-Din al-Raniri dan Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri termasuklah dalam penulisan hadith. Karya al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadith al-Nabawiyah dan Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi diiktiraf sebagai karya awal dalam bidang hadith telah membimbing generasi awal nusantara ke arah mengenali sunnah sebagai hamba Allah SWT. Justeru, umat Islam terutama generasi muda zaman moden ini hendaklah mengambil manfaat daripada penghasilan karya ini. Pada masa yang sama pihak-pihak yang berkenaan seharusnya mengambil langkah menghebahkan karya ini kepada masyarakat awam. Begitu juga karya Sharh Latif yang belum lagi dicetak memerlukan organisasi seperti syarikat penerbitan dan dewan bahasa untuk mencetak dan mengedarkannya kepada umum.

RUJUKAN

Al-Qur’an al-Karim

Abd al-Rauf al-Fansuri. Sharh hadith arba’in [manuskrip]. Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. MSS 1314 (G).

_________, Sharh hadith arba’in [manuskrip]. Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. MSS MSS 2068.

Ahmad Baha’ Mokhtar (2008). Sharh latif’ ala arba’in hadithan li al-Imam al-Nawawi karangan Syeikh Abd Rauf al-Fansuri: Satu kajian teks. Dissertation (M.Usuluddin), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Al-Sakhr, Holy Quran, ver. 6.31. (CD).

_________, Mawsu`ah al-Hadith al-Syarif, ver. 2. (CD).

AQSA, Maktabah al-Hadith wa Ulumuh. (CD).

Azyumardi Azra (1995). Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII: Melacak Akar-Akar Pembaruan Pemikiran Islam di Indonesia. Bandung: Penerbitan al-Mizan.

Fairuzah Basri, et.all. (2011). Manuskrip ‘Umdat al-Muhtajin: Sumber Biografi Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Singkili. Dlm. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara. Ed. Azmul Fahimi, et.all, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Faisal Ahmad Shah (2007). Metodologi penulisan Mohamed Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Madhi. Thesis (Ph.D.), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Fauzi Deraman (1997). Kedudukan Hadith dalam Kitab Jawi : Satu kajian terhadap karya-karya Shaykh Dawud bin Abdullah Al-Fataniy. Thesis (Ph.D.), Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

_________, (2008). Pengajian Hadith di Malaysia : Satu Tinjauan (h. ii – xv). Dlm. Prosiding Seminar Warisan al-Quran & al-Hadith Nusantara Jilid II Pengajian al-Hadith. Ed: Fauzi Deraman, Mustaffa Abdullah & Faisal Ahmad Shah, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

H. M. Zainuddin (1957M), Tarich Atjeh dan Nusantara, Medan: Penerbit Pustaka Iskandar

H. Ramli Abdul Wahid (2008). Sejarah Pengajian Hadith di Indonesia. Dlm. Prosiding Seminar Warisan al-Quran & al-Hadith Nusantara Jilid II Pengajian al-Hadith. Ed: Fauzi Deraman, Mustaffa Abdullah & Faisal Ahmad Shah, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Mahayudin Yahya (1994). Naskhah Jawi Sejarah dan Teks, Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Lazim Lawee (2008). Perkembangan Pengajian al-Quran dan al-Hadith di Thailand. Dlm. Prosiding Seminar Warisan al-Quran & al-Hadith Nusantara Jilid II Pengajian al-Hadith. Ed: Fauzi Deraman, Mustaffa Abdullah & Faisal Ahmad Shah, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Mohd. Muhiden Abd. Rahman (2006). Riwayat Hidup Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Sumbangannya kepada Pengajian Hadith. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

_________, (2004). Syeikh Nuruddin al-Raniri dan sumbangannya kepada pengajian al-Hadith: Kajian terhadap Kitab al-Fawa`id al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah. Thesis (Ph.D.) Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Noresah Baharom (2007), Kamus Dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nur al-Din al-Raniri. Al-Fawa`id al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah. Dlm. Daud al-Fathani (t.t). Jam’ al-Fawa’id wa Jawahir al-Qala’id. Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Auladih.

_________. Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib [manuskrip]. Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. MS 1042.

_________. Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib [manuskrip]. Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. MSS 2258.

Perpustakaan Negara Malaysia (1990) Katalog Manuskrip Melayu – Kegemilangan Tamadun Melayu No. 6, Pusat Manuskrip Melayu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia

T. Iskandar (1966). Nuruddin ar-Raniri Bustanus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Martin Van Bruinessen (1999). Kitab Kuning. Bandung: Penerbitan al-Mizan.

Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah (1990). Khazanah Karya Pusaka Asia Tengara Jilid 1. Kuala Lumpur:  Khazanah Fathaniyah.

_________, (1991). Khazanah Karya Pusaka Asia Tengara Jilid 2. Kuala Lumpur:  Khazanah Fathaniyah.

_________, (1995). Perkembangan Penulisan Hadith Ulama Asia Tenggara. Kertas kerja Seminar Antarabangsa Pengajian Islam di Asia Tenggara, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Brunei Darussalam, 20-23 November 1995.

_________, (2000). Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara Jilid 1 dan 3. Kuala Lumpur:  Khazanah Fathaniyah.


[1] Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013 pada 25 Februari 2013 di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry, Banda Acheh, anjuran bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan IAIN Ar-Raniry, Banda Acheh.

[2] Mastika Hadith Jilid Pertama (1974) mengandungi 183 hadith; Mastika Hadith Jilid Kedua (1984) mengandungi 260 hadith; Mastika Hadith Jilid Ketiga (1995)

[3] Jumlah bab menurut Wan Mohd Shaghir adalah 46 bab (Shaghir, 2000), maklumat katalog Pusat Manuskrip Melayu PNM merekodkan 54 bab, sementara penelitian Mohd Muhiden mencatatkan 53 bab (Muhiden, 2006).