Meneladani Pengumpulan 40 Hadith dan Fadilat Menghafalnya

1. Assalamualaikum. Terima kasih kepada yang mengikuti siri *Hafal Hadith Pendek dalam 1 Minit* dan telah menghafal 30 hadith pendek daripada Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim sepanjang Ramadhan 1441 ini.

2. Hadith ke-30 semalam asalnya adalah hadith terakhir, namun atas faktor ingin mencontohi teladan ulama-ulama salaf dan kontemporari untuk mengumpulkan 40 hadith dalam sesuatu perkara agama, saya berhasrat menyambung 10 lagi hadith pendek untuk hafalan kita sepanjang Syawal 1441.

3. Pengumpulan 40 hadith ini juga merupakan metod yang saya gunakan dalam buku pertama saya 20 tahun lepas, iaitu “40 Hadith Sahih Tentang Ilmu’ yang kemudian diteruskan dengan buku “40 Hadith Jom Jejaki Jannah’, buku “40 Kisah daripada Hadith Sahih” serta tiga buku hadiah Pusat Zakat UiTM yang saya sunting, iaitu “40 Hadith Memuliakan Sesama Muslim” oleh Ibn Hajar al-Asqalani, “40 Hadith Anjuran Berbuat Baik” oleh al-Munziri dan “40 Hadith Fadhilat al-Qur’an” oleh ‘Ali al-Qari.

4. Tokoh ilmuan hadith terkenal khasnya di Malaysia dan Nusantara tentang pengumpulan 40 hadith tentunya Imam al-Nawawi melalui karya teks “Hadith 40” tentang prinsip-prinsip agama. Dalam muqaddimah karya tersebut, al-Nawawi menukilkan:

“Maka sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib, ‘Abdullah bin Mas’ud, Mu’az bin Jabal, Abu al-Darda’, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Anas bin Malik, Abu Hurayrah dan Abu Sa’id al-Khudri Ra daripada jalur (sanad) yang banyak dengan riwayat yang pelbagai bahawa Rasulullah SAW bersabda: *“Sesiapa yang menghafal kerana umatku 40 hadith tentang urusan agamanya, nescaya Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat bersama golongan fuqaha’ dan ulama.”* Dalam riwayat lain, *“Allah akan membangkitkannya sebagai golongan faqih dan ‘alim.”* Dalam riwayat Abu al-Darda’, *“Dan aku (Rasulullah SAW) pada hari kiamat pemberi syafaat dan saksi kepadanya.”* Dalam riwayat Ibn Mas’ud, *“Dikatakan kepadanya (penghafal 40 hadith), masuklah mana-mana pintu syurga yang engkau mahu.”* Dalam riwayat Ibn ‘Umar, *“Ditulis sebagai golongan ulama dan dikumpulkan sebagai golongan syuhada’.”* Para ulama penghafal hadith telah bersepakat bahawa ia (semua hadith ini) adalah hadis daif walaupun jalur (sanad)nya banyak.

Para ulama RA telah mengarang karya tentang hal ini (40 hadith) yang tidak terhitung banyaknya. Orang terawal yang aku ketahui mengarangnya ialah ‘Abdullah bin al-Mubarak, kemudian Muhammad bin Aslam al-Tusi seorang alim juga pendidik, kemudian al-Hasan bin Sufyan al-Nasa’i, Abu Bakar al-Ajri, Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim al-Asfahani, al-Daraqutni, al-Hakim, Abu Nu‘aym, Abu Abdul Rahman al-Salmi, Abu Sa‘id al-Malini, Abu ‘Uthman al-Sabuni, Abdullah bin Muhammad al-Ansari, Abu Bakar al-Bayhaqi dan ramai lagi ulama terdahulu dan terkemudian yang tidak terkira banyaknya.”

5. Walaupun status hadith daif, amalan penghafalan 40 hadith tentu mempunyai banyak fadilat di bawah naungan rahsia Allah SWT. Justeru, pengumpulan hadith-hadith pendek untuk hafalan serta ulasannya akan diteruskan hingga cukup 40 hadith. Mudah-mudah saya dan saudara-saudari hafal dan amalkan semua hadith ini untuk manfaat bersama insya Allah. Mudah-mudahan Allah SWT memberi pertolongan dan rahmat-Nya kepada kita semua. Aamin.

Selamat menyambut Eidul Fitr. Maaf atas salah silap.

Dr. Najahudin Lateh

1 Syawal 1441

Ikuti 40 Siri *Hafal Hadith Pendek dalam 1 Minit* di:

https://www.facebook.com/najahudin