Hadith 30. Puasa Adalah Perisai

الصِّيَامُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1894 dan Muslim no. 1151 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini daripada Sahih Muslim sementara teks al-Bukhari terdapat penambahan selepasnya (فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ) – “Maka (orang berpuasa) janganlah berkata keji dan janganlah bertindak jahil. Jika seseorang hendak bergaduh atau memakinya, maka katakan: ‘Aku berpuasa’ diulangi dua kali.” Istilah (يَرْفُثْ) maksudnya ‘perkataan keji’ seperti menghina atau mencaci, sementara (يَجْهَلْ) bermaksud jangan melakukan perbuatan orang jahil seperti memekik-mekik, melaung dan sebagainya (Fath al-Bari, 4/104). Menurut al-Nawawi, puasa adalah perisai yang menegahnya daripada perkataan keji (يَرْفُثْ), melindunginya daripada dosa-dosa dan api neraka (al-Minhaj, 8/30). Ini turut dijelaskan dalam riwayat lain bahawa puasa adalah perisai yang melindungi daripada api neraka (al-Nasa’i, 2234) seumpama perisai yang melindungi seseorang dalam peperangan (al-Nasa’i, 2230; Ibn Majah, 1639). Ibn Rajab menjelaskan maksud hadith ini bahawa ‘puasa melindungi orang berpuasa daripada pelbagai maksiat ketika di dunia, maka puasa juga akan melindunginya daripada azab neraka di akhirat. (Sebaliknya) puasa yang gagal melindunginya daripada maksiat di dunia, maka puasa juga tidak dapat melindunginya daripada azab neraka akhirat kelak (Jami’ al-Ulum, 2/139).

2. Hadith ini menjelaskan fadilat berpuasa yang dapat mencegah daripada nafsu syahwat, perbuatan keji dan gejala maksiat. Bersetubuh siang hari, berzina, berkunjung ke tempat maksiat, memaki, mengumpat dan bercakap kotor adalah contoh maksiat. Pelakuan sebegitu tidak layak bagi ibadah puasa serta boleh membatal puasa atau mengurangkan pahalanya. Maksiat ini turut menimbunkan dosa yang boleh mengheret kita kepada pembalasan azab akhirat kelak. Menurut al-Qurtubi, hal ini tidak bermaksud perbuatan tersebut diharuskan ketika tidak berpuasa, tetapi bermaksud larangannya lebih kuat ketika berpuasa (Fath al-Bari, 4/104). Ulama menyebutkan puasa yang dimaksudkan meliputi puasa wajib Ramadhan dan puasa sunat seperti puasa enam hari Syawal, puasa setiap Isnin dan Khamis, puasa tiga hari setiap bulan, puasa Arafah dan puasa ‘Asyura. Puasa sebenar bukan setakat meninggalkan makan minum untuk perut, namun berpuasa daripada perbuatan yang diharamkan seperti bertelingkah, mencaci orang, berbohong dan sebagainya. Jika ada orang yang berbuat jahat, bersabarlah dan usah membalas perbuatannya. Sebaliknya, beritahu diri sendiri dan kepada orang itu secara baik bahawa anda sedang berpuasa. Ingatlah, orang berpuasa lisannya baik, perbuatannya baik, amalannya juga baik. Lepas berlalu bulan puasa, amal hariannya juga sama. Berjamaah, bertiwalah dan bersedekah. Tidak berubah. Tidak berubah tanda mencapai sasaran berpuasa Ramadhan ‘orang bertakwa’ (al-Baqarah, 183).

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

30 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share