Hadith 16. Tiada Hijrah Lepas al-Fath

لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ

“Tiada lagi hijrah selepas Fath Makkah, tetapi (masih ada) jihad dan niat.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1834, 2783, 2825, 3077 & 3189 dan Muslim no. 1353 & 1864 daripada Ibn ‘Abbas RA dan ‘Aisyah RA serta athar daripada ‘Abdullah bin ‘Umar  RA. Terdapat penambahan teks (وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا) – ‘Apabila kamu diperintah (pemerintah berjihad), maka berangkatlah’ di hujung hadith ini. Riwayat menyebut teks ini diucapkan oleh Rasulullah SAW semasa Fath Makkah. Hijrah secara umum adalah berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Ulama mendefinisikan hijrah sebagai meninggalkan negara kufur menuju ke negara Islam dan tuntutan ini kekal hingga hari kiamat. Maksud hijrah secara khusus merujuk kepada perpindahan Nabi SAW dan Sahabat dari Makkah ke Madinah. Hijrah ini adalah suatu jihad dengan niat mendaulatkan Islam serta meninggikan kalimah tauhid. Ketika awal Islam, hijrah adalah wajib untuk menjaga akidah serta membebaskan umat Islam yang sedikit daripada azab dan  kezaliman. Namun keistimewaan, kelebihan dan tuntutan hijrah tersebut berakhir dengan peristiwa Fath Makkah. Hijrah secara fizikal ini tidak diwajibkan lagi setelah Islam telah kuat serta Makkah telah menjadi tempat berdaulatnya Islam. Begitu juga kini tiada lagi kewajipan hijrah daripada negara yang bebas mengamalkan syiar Islam. Malah menurut al-Mawardi, jika (seseorang) mampu menzahirkan agama (Islam) di negara bukan Islam, maka tinggal di situ lebih baik daripada meninggalkannya kerana diharap orang lain masuk Islam (dengan keberadaannya) (Fath al-Bari, 7/229).

2. Hadith ini menjelaskan cara untuk mendapat pahala seperti pahala kelebihan hijrah masih ada dan berterusan hingga kiamat. Cara itu adalah melalui amal jihad dan niat yang baik dalam sebarang perkara, termasuklah melalui jihad nafsu, pendidikan, harta, ekonomi, politik dan sebagainya. Jihad maksudnya berusaha bersungguh-sungguh serta niat yang ikhlas ke arah perubahan diri, keluarga, masyarakat dan ummat. Ini termasuklah hijrah dengan berubah daripada akhlak buruk kepada kebaikan, bertaubat daripada pro maksiat kepada ahli ibadat serta memajukan negara mundur kepada sejahtera. Ini dijelaskan dalam hadith lain bahawa mereka yang berhijrah adalah sesiapa yang meninggalkan larangan Allah SWT (al-Bukhari, 10). Ringkasnya, jihad dan niat mendaulatkan Islam tetap wujud sampai bila-bila, di mana-mana sahaja dan dalam apa-apa bidang sahaja.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

16 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share