Hadith 29. Bina Rumah Tepi Neraka?

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesiapa berdusta atas (nama)ku dengan sengaja, maka dia menyediakan tempatnya dalam neraka.”

1. Hadith riwayat ramai, antaranya dalam al-Bukhari no. 3461 dan Muslim no. 3 daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA, Abu Hurayrah RA serta lebih daripada 70 Sahabat. Hadith ini adalah mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh bilangan (perawi) yang ramai yang secara kebiasaannya mustahil mereka berpakat untuk berdusta (al-Tahhan, Taysir, 19) dan merupakan kategori hadith paling sahih. Teks ini adalah hadith pertama dalam karya Sahih Muslim (3), sementara teks al-Bukhari (3461) terdapat penambahan pada awal hadith (بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ) – “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan ceritakanlah (yang didengari) daripada Bani Israil dan itu tiada apa-apa (dosa).” Hadith ini menggalakkan periwayatan dan penyebaran ilmu daripada hadith Rasulullah SAW serta mengharuskan riwayat atau mengambil hadith daripada Bani Israil. Namun, hadith dan kisah Bani Israil (atau Israiliyyat) mestilah sahih bersumberkan Baginda SAW. Kisah Israiliyyat ada yang benar bersumberkan al-Quran dan sanad hadith sahih, namun kebanyakkannya tidak benar. Pendustaan terhadap Rasulullah SAW bermaksud menyandarkan sesuatu penyataan kepada Baginda SAW sedangkan baginda tidak mengatakannya. Pelaku demikian digambarkan dalam hadith sedang membina sendiri tempat tinggalnya di neraka.

2. Hadith mutawatir ini melarang keras berdusta atau menyandarkan sesuatu yang bukan hadith kepada Rasulullah SAW secara sengaja, malah perkara ini adalah haram dan berdosa besar. Ini termasuk mereka-reka hadith mawdu’ (palsu) sama ada dalam perkara hukum-hakam atau dalam bentuk nasihat dan fadilat amal. Mereka yang menyedari kepalsuan sesuatu hadith, namun tetap menyebarkannya kepada umum tanpa penjelasan juga termasuk dalam amaran keras hadith ini. Malah, ulama mengkufurkan pelaku tersebut jika berniat menghalalkan perbuatan pendustaan atas nama Baginda SAW. Hadith ini secara tidak langsung menyeru umat Islam supaya memastikan sumber rujukan, perawi dan klasifikasi kesahihan sesebuah hadith atau kisah Israiliyyat sebelum menyebarkannya dalam ucapan, tulisan atau ilustrasi. Hari ini kita melihat khalayak umum suka berkongsi teks dan makna hadith dalam media sosial seperti facebook, twitter ataupun whatsapp tanpa sebarang semakan atau sumber rujukan. Sepatutnya gunakanlah manfaat dunia internet yang turut menyediakan ruang luas untuk semakan hadith dalam Bahasa Melayu atau Arab. Laman web seperti carihadis.com atau sigir.uitm.edu.my/webhadis boleh digunakan, sementara yang boleh berbahasa Arab semaklah di dorar.net/hadith, islamweb.net/ar/library, sunnah.com atau paling kurang tanyalah si lebai google. Software atau mobile apps seperti Semak Hadis, المكتبة الشامله dan الموسوعة الحديثية juga boleh dimanfaatkan. Marilah kita menjadi umat Muhammad yang tidak mengetuk memaku untuk mendirikan rumah di tepi jurang api neraka.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

29 Ramadhan 1441