Pelaburan internet dibenarkan selagi patuhi syarak

Najahudin Lateh, Berita Harian, 27 Julai 2009: Ramai di kalangan kita teruja dengan pelbagai promosi dan bisnes dalam internet. Semua mahu kaya lebih-lebih lagi dengan cara mudah. Lebih cepat kaya, lebih ramai peminatnya. ‘Klik dapat duit’, ‘Jana pendapatan’, ‘Letak duit dan terima ‘durian runtuh’ beribu-ribu dalam akaun’ dan pelbagai slogan lagi begitu mengasyikkan pelayar internet. Cuma, dalam keghairahan mengejar kekayaan seperti ini, kita sering alpa dengan garis halal haram yang ditetapkan dalam mumalat Islam.

Hakikatnya, dari aspek Islam kemunculan internet sebagai medium penting dalam teknologi perniagaan seperti di atas sangat dialu-alukan. Walaupun begitu, Islam ada garis panduannya. Sesuatu teknologi yang baik akan diterima. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang menyalahi syarak, ia tetap tidak dibenarkan. Dalam ilmu perubatan contohnya, umat Islam diizinkan melakukan pengklonan, namun pengklonan terhadap manusia tidak dibenarkan. Begitu juga diizinkan memakan buah anggur, namun anggur yang telah diproses menjadi arak tidak dibenarkan. Dalam internet, banyak manfaat kepada Islam namun pada masa yang sama terdapat perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan diharamkan. Justeru, terpulanglah kepada kita untuk menggunakannya mengikut lunas yang dibenarkan oleh Islam dan undang-undang negara.

Begitu juga dalam proses mencari kekayaan. Umat Islam boleh mencari kekayaan melalui cara konvensional dengan bertemu pelanggan. Begitu juga boleh mencari kekayaan melalui internet tanpa perlu bertemu pelanggan. Islam membenarkan semuanya dengan syarat mengikut sistem muamalat Islam. Kontrak (akad) mesti betul. Semua syarat dalam urusniaga mencari kekayaan mesti dipenuhi. Kaedah feqah ada menyebut, “Hukum asal dalam semua perkara adalah harus, kecuali terdapat dalil yang menunjukkan haram.” Jelasnya, hukum mencari kekayaan melalui internet adalah harus, kecuali terdapat unsur-unsur dalam transaksinya menyalahi syarak yang menyebabkan ia menjadi haram.

Terdapat pelbagai cara untuk mencari duit melalui internet. Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu melalui perniagaan internet, program internet dan melalui pelaburan internet. Ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Dari aspek hukum, sesuatu urusniaga adalah harus dalam Islam, kecuali terdapat unsur-unsur yang menjadikannya haram dan menyalahi syarak. Antara unsur atau elemen yang menjadi asas perbezaan kepada wujudnya hukum halal atau haram dalam urusniaga internet terdapat dalam tiga perkara, iaitu riba, gharar atau ketidakpastian dan judi.

Dalam urusniaga internet, riba boleh berlaku dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh, dalam jual-beli produk melalui internet, jika si pembeli membayar dengan menggunakan kad kredit konvensional, ia terdedah kepada riba. Ini berlaku jika si pembeli tidak membayar hutang kepada pengeluar kad tersebut dalam tempoh yang ditetapkan kerana ia akan dikenakan faedah atau riba. Begitu juga riba yang diharamkan akan wujud jika jual-beli di internet melibatkan emas, perak atau mata wang. Ini kerana barangan tersebut yang dikenali sebagai barangan ribawi disyaratkan mesti diserah dan diterima ‘on the spot’ atau pada satu masa (yadan bi yadin). Jika ia tidak dapat diserahkan pada masa itu juga seperti pada kebanyakkan transaksi dalam internet, ia adalah riba. Antara contoh gharar dalam transaksi internet pula adalah seperti maklumat produk jualan yang kabur seperti tidak diketahui bentuk, jenis, berat, kuantiti dan sebagainya. Dalam pelaburan internet, gharar berlaku apabila pelabur tidak mengetahui secara jelas terma perjanjian termasuk pembahagian untung rugi, bidang pelaburan dan sebagainya. Malah, gharar juga wujud apabila skim cepat kaya menjanjikan jaminan keuntungan dan pulangan yang pasti tanpa perlu melakukan sebarang usaha atau menghadapi sebarang risiko.

Transaksi dalam internet juga haram jika melibatkan unsur perjudian. Sebagai contohnya, dalam kebanyakkan program piramid dan pelaburan internet, peserta akan meletakkan sejumlah wang untuk mendapat wang segera yang lebih besar jumlahnya. Ini jelas suatu pertaruhan atau judi yang diharamkan. Secara umum, pelaburan internet sebegini merupakan skim cepat kaya alaf baru yang mengharapkan kepada nasib untuk mencari rezeki. Hanya goyang kaki tanpa ada sebarang usaha. Malah, ia bertentangan dengan konsep pelaburan dalam Islam yang terbuka kepada konsep untung dan rugi. Modus operandinya mudah, letak duit melalui online, goyang kaki, lepas tu duit akan ‘membesar’ dengan segera dan ‘beranak-pinak’ dalam akaun bank peserta. Biasanya pelaburan ini tidak mempunyai nama pemilik, tiada alamat atau alamat tidak benar, tidak mempunyai lesen dan tidak berdaftar dengan kerajaan. Ramai orang menyangka mereka akan kaya setelah menerima bayaran pertama dalam akaun. Namun, mereka tidak terfikir mereka akan papa kedana jika bayaran seterusnya tidak diberikan atau lebih malang jika laman web itu sendiri ditutup atau tidak beroperasi. Ketika itu, mulalah tepuk dahi kerana kepada siapa perlu diadukan. Alamat pejabat tidak diketahui. Penganjur pula tidak dikenali.

Walaupun begitu, tidak semua pelaburan internet ini haram. Ada juga yang halal, mempunyai lesen serta memenuhi piawai syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Malah, kini terdapat beberapa institusi kewangan sah yang menyediakan kemudahan pelaburan melalui laman web masing-masing. Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih pelaburan halal yang disediakan. Oleh itu, semua pelayan internet disyorkan berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi dalam internet. Mereka perlu menyelidik dahulu kesahan sesuatu urusniaga tersebut sama ada memenuhi syarat dalam muamalat Islam atau tidak. Begitu juga penelitian perlu dilakukan terhadap laman web berkaitan. Dalam pelaburan internet sebagai khusus, semakan terhadap kesahihan pihak penganjur sama ada mempunyai lesen menjalankan transaksi kewangan atau tidak perlu dilakukan. Bagi orang awam, mereka perlu bertanya kepada mereka yang pakar atau sentiasa merujuk kepada pihak-pihak berautoriti dalam urusniaga. Paling mudah, mereka boleh menyemak senarai pelaburan yang diizinkan dan senarai pelaburan, termasuk pelaburan internet yang tidak dibenarkan melalui laman web Suruhanjaya Sekuriti sendiri di alamat www.sc.com.my.

Justeru, berhati-hatilah dalam urusniaga tersebut. Internet adalah medium yang baik dan memang sah kontrak dengannya. Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah adalah kandungan, bentuk, terma serta syarat urusniaga. Jika dipenuhi segala prasyaratnya, sahlah urusniaga itu. Begitu juga sebaliknya. Oleh itu, umat Islam perlu terus mencari ilmu pengetahuan berkaitan muamalat Islam, termasuklah urusniaga melalui internet.

Oleh:

Najahudin Lateh

Pensyarah Centre for Islamic Thought & Understanding (CITU)

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

najahudin@uitm.edu.my