Hadith 13. Dunia Penjara Bagi Mukmin

الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ

“Dunia (adalah) penjara bagi Mukmin dan syurga bagi kafir.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2956 daripada Abu Hurayrah RA. Al-Nawawi mengulas hadith ini dengan menyatakan maksudnya setiap Mukmin dipenjara diri dan dilarang di dunia ini daripada perkara syahwat yang haram dan makruh (serta) dituntut melakukan ketaatan (walaupun) payah. Namun, apabila meninggal dunia, dia berehat daripada semua ini, lalu berubah (mendapat) apa dijanjikan oleh Allah SWT kepadanya daripada nikmat-nikmat yang kekal dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa kekurangan. Sementara orang kafir, (mereka) mendapat apa dilakukan di dunia dalam keadaan sedikit dan kehidupan yang tidak sempurna. Apabila meninggal dunia, akan mendapat azab selama-lamanya dan derita yang abadi (al-Minhaj, 18/93). Ini bererti kehidupan orang beriman di dunia seolah-olah berada dipenjara jika dibandingkan dengan nikmat syurga kekal yang dijanjikan Allah SWT. Si kafir pula seolah-olah berada di syurga sementara jika dibandingkan dengan azab yang menimpa di akhirat kelak. Pada masa yang sama, dunia bukannya syurga bagi orang yang beriman untuk bebas berbuat apa sahaja tanpa larangan.

2. Hadith ini menjelaskan hidup sementara di dunia adalah ujian dan tempat beramal bagi setiap Mukmin. Mereka seumpama hidup di penjara, iaitu tempat tahanan yang ada peraturan yang perlu dipatuhi. Seperti di penjara, kita hidup di dunia ada pantang larangnya. Justeru, kita dilarang daripada melakukan maksiat dan apa yang diharamkan Allah SWT. Ini adalah ujian kesabaran dan menahan diri sementara sebelum mendapat rahmat dan balasan nikmat di syurga yang kekal abadi. Amalan Mukmin berbeza dengan orang kafir yang bebas tanpa sempadan melakukan apa sahaja seolah-olah berada di syurga. Walaupun begitu, umat Islam perlu mengambil manfaat hidup di dunia seperti memajukan ekonomi dan kekayaan, dengan syarat beramal solih dan bertakwa. Begitu juga, seorang Mukmin perlu hidup harmoni dan menjalin hubungan sosial dengan orang lain termasuklah yang bukan Islam.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

12 Ramadhan 1441

Hadith 12. Pengasih Nescaya Dikasihi

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

“Sesiapa yang tidak mengasihi, (dia) tidak dikasihi (Allah SWT).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5997 & 6013 dan Muslim no. 2318 daripada Jarir bin ‘Abdullah dan Abu Hurayrah RA. Istilah (لاَ يَرْحَمُ) maksudnya ‘tidak mengasihi makhluk’ sementara (لاَ يُرْحَمُ) bermaksud ‘Tidak dikasihi Allah SWT’. Ini dijelaskan dalam teks hadith al-Bukhari no. 7376 , iaitu (لاَ يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ) – ‘Allah tidak mengasihi sesiapa yang tidak mengasihi manusia’ dan Muslim no. 2318, iaitu (مَنْ لَا يَرْحَمِ النَّاسَ، لَا يَرْحَمْهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ) – ‘Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, (dia) tidak dikasihi Allah Azzawajalla’. Teks ini muncul ketika Rasulullah SAW mencium cucu al-Hasan bin ‘Ali dan di situ terdapat Sahabat, al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi yang sedang duduk. Lalu al-Aqra’ menyebutkan bahawa beliau mempunyai 10 orang anak, namun beliau belum pernah mencium seorang pun. Rasulullah SAW memandang beliau seraya bersabda hadith di atas. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan pelbagai tafsir ulama bagi maksud hadith ini, antaranya: ‘Tiada ihsan bagi orang lain, maka ia tidak memperolehi pahala’, ‘Tiada rahmat iman di dunia, maka tiada dikasih di akhirat’ dan ‘Tiada amal laksana perintah Allah dan tinggal larangan-Nya, maka tiada balasan pahala’.

2. Allah SWT yang Maha Pengasih dengan keluasan rahmat-Nya menurunkan Islam sebagai agama kasih sayang ke seantero dunia. Walaupun teks hadith berkaitan kasih sayang Rasulullah SAW kepada anak cucu dan keluarga, namun mesejnya kepada seluruh makhluk, termasuklah manusia, haiwan dan alam. Ini dijelaskan oleh Ibn Battal al-Maliki, ‘(Hadis ini) menggalakkan aplikasi rahmat (kasih) kepada semua makhluk termasuklah orang Mukmin, kafir, haiwan yang dimiliki atau tidak, serta rahmat itu termasuklah sentiasa memberi (haiwan) makan, minum, meringankan bebanan dan tidak melakukan kekerasan dengan pukulan.’ (al-Minhaj, 15/77; Fath al-Bari, 10/440). Kasih sayang ini boleh diamalkan dalam pelbagai cara merangkumi kepada kanak-kanak dan orang tua, lelaki mahupun wanita, insan mahupun haiwan, orang bukan Islam serta alam sekitar. Jauhi sifat benci. Kasihilah mereka di bumi, insya Allah kita dikasihi oleh yang di langit.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

12 Ramadhan 1441

Episod 8: Ibrah Antara Badr al-Ula dan Badr al-Sughra

Kenapa sirah sebut Badar Kubra (Besar)? Ada ke Badar Kecil? Mampu menang ke bertempur ketika berpuasa?

Ikuti penjelasan 3 minit dalam Tazkirah 3 Minit ACIS, UiTM Sempena Ramadhan 1441H..

Jangan lupa kongsikan video ini kepada semua! semoga apa yang disampaikan memberi manfaat.

Hadith 11. Riba Berlaku Bila Tangguh

الرِّبَا فِي النَّسِيئَةِ

“Riba (berlaku) dalam (bayaran) bertangguh.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 1596 daripada Usamah bin Zayd RA. Riba adalah lebihan atau pertambahan terhadap transaksi barangan ribawi (al-buyu’) atau hutang (al-duyun) melibatkan pertambahan kuantiti (berat/jumlah) atau penangguhan tempoh. Ini berlaku dalam dua keadaan: iaitu (i) Pertambahan daripada pertukaran atau jual beli dua barangan ribawi kerana kuantiti berat yang tak sama serta pertukaran dilakukan secara bertangguh; dan (ii) Pertambahan daripada bayaran balik hutang kerana faedah (interest) daripada jumlah pinjaman pokok serta faedah daripada penangguhan tempoh bayaran. Hadith ini mengkhususkan tentang al-nasi’ah, iaitu pertambahan disebabkan penangguhan pertukaran barangan ribawi (iaitu riba al-nasa’) atau penangguhan tempoh bayaran balik hutang (iaitu riba al-jahiliyah). Sebagai contoh, jual beli emas 999 (transaksi wang dengan emas) dengan bayaran ansuran atau faedah yang dikenakan kerana dipanjangkan tempoh bayaran balik sesuatu hutang. Ijma’ ulama menyebutkan riba adalah haram dan berdosa besar. Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba (al-Baqarah, 275). Malah, pemakan riba diisytiharkan berperang dengan Allah SWT dan Rasul-Nya (al-Baqarah, 278).

2. Hadith ini mengajak umat Islam untuk terlibat dengan sistem kontrak Islam dan menjauhi najis riba walaupun saki-baki yang sedikit. Riba kontemporari wujud dalam pelbagai urusniaga konvensional seperti hutang kad kredit, deposit tetap, insurans, pajak gadai, online forex, simpanan dan sebagainya. Namun, kita di Malaysia beruntung kerana mempunyai sistem ekonomi, kewangan dan perbankan Islam yang kukuh. Sistem kontrak berasaskan riba digantikan dengan kontrak Islam berasaskan transaksi sewa beli, kedermaan, perkongsian dan jaminan. Justeru, kita wajib memilih instrumen berasaskan Islam lantas tiada alasan untuk ‘beriman’ dengan sistem konvensional yang berasaskan faedah riba. Kemudahan simpanan, pembiayaan, pelaburan, risiko takaful, pasaran modal, wang, ekuiti dan pelbagai fasiliti sudah banyak yang patuh syariah. Produk pembiayaan kewangan peribadi, kenderaan atau perumahan pula ditawarkan di hampir keseluruhan institusi kewangan. Terpulanglah kepada kita untuk memilih yang terbaik untuk dunia dan akhirat. Tepuk dada, tanya iman kita!.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

11 Ramadhan 1441

Hadith 10. Perang adalah Strategi

الحَرْبُ خَدْعَةٌ

“Perang (adalah strategi) muslihat.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 3030 dan Muslim no. 1739 & no. 1740 daripada Jabir bin ‘Abdullah RA dan Abu Hurayrah RA. Istilah (خَدْعَةٌ) atau (خُدَعَةٌ) mempunyai pelbagai maksud dalam Bahasa Arab antaranya ‘tipudaya ahli perang’ dan ‘ahli perang adalah penipudaya’. Al-Tabari berpandangan hadith ini digunakan dengan maksud kiasan dan bukan ‘tipudaya’ sebenar. Al-Waqidi dalam al-Maghazi (2/487) menyebut Rasulullah SAW bersabda teks di atas semasa Perang Uhud dan Khandaq (Ahzab). Semasa perang Ahzab, Nu’aim bin Mas’ud yang telah masuk Islam secara senyap-senyap memainkan peranan memecahkan kesatuan pihak Quraisy, Yahudi Bani Quraizah dan suku beliau, Ghatfan. Secara umum helah, muslihat atau tipudaya dalam peperangan menentang kuffar adalah harus, kecuali melibatkan hukum-hakam dalam perang dan bukan melibatkan sesama Muslim. Menurut al-Nawawi, ulama bersepakat mengharuskannya melainkan tipudaya yang boleh mengkhianati perjanjian dan (jaminan) keamanan. Hadith ini juga merupakan peringatan kepada umat Islam supaya berwaspada dengan tipu helah musuh dalam peperangan (al-Minhaj, 12/45; Fath Bari, 6/158).

2. Zaman langit terbuka kini kita berhadapan dengan serangan perang pemikiran (ghazwatul fikr), iaitu penjajahan tidak berlaku melalui penguasaan tanahair tetapi penguasaan musuh melalui minda dan pemikiran umat Islam. Gejala liberalisme, pluralisme beragama dan LBGT adalah contoh-contoh kecil proses memperdaya umat Islam yang perlu dihadapi. Strategi dan helah muslihat terbaik adalah dengan mempunyai perancangan untuk menghadapi peperangan mental ini. Kekuatan yang utama tentulah iman dan akidah yang sahih, disulami dengan ilmu dan pemahaman Islam yang sebenar. Anak-anak perlu dididik dan dibajai dengan acuan Islam sejak kecil supaya ibu bapa tidak ‘terlalu letih’ bila mereka sudah dewasa. Kita tidak tahu bagaimana rupa dunia 50 atau 100 tahun ke hadapan. Justeru, bersedialah dengan segala ‘senjata’ peperangan.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

10 Ramadhan 1441

Hadith 9. Bagimu Seperti Diharapkan

إِنَّ لَكَ مَا احْتَسَبْتَ

“Sesungguhnya bagimu apa yang engkau harapkan.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 663 daripada Ubay bin Ka’ab RA yang menceritakan tentang seorang lelaki Ansar yang tidak pernah tertinggal solat jamaah di Masjid Nabawi sedangkan lokasi rumahnya paling jauh. Para Sahabat merasa kasihan lalu mencadangkan beliau membeli kenderaan kaldai namun ditolaknya kerana inginkan setiap langkah pergi balik ke masjid mendapat pahala. Apabila diketahui, Baginda SAW menyebutkan teks hadith di atas. Dalam riwayat lain dinyatakan keinginan lelaki tersebut untuk mendapat pahala telah dimakbulkan oleh Allah SAW. Perkara ini disokong dalam hadith lain – Rasulullah SAW bersabda kepada penduduk Bani Salimah bahawa pahala dicatat dan darjat diangkat berdasarkan langkah kaki mereka dari rumah ke masjid (al-Bukhari, 1887 & Muslim, 665).

2. Hadith ini menjelaskan setiap amalan diberi pahala dan dibalas atas niat serta keazaman yang dilakukan. Jika berusaha mendapatkan kebaikan, maka pahala kebaikan akan diberi kepadanya. Jika berusaha mengelakkan kejahatan, maka dosa kejahatan akan terhindar. Setiap amalan pasti akan diberi ganjaran seperti yang diniatkan. Puasa Ramadhan contohnya, jika dilakukan atas dasar iman dan niat mengharap (احْتِسَابًا) keampunan-Nya, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu (al-Bukhari, 2014 & Muslim, 760). Sesungguhnya kita akan mendapat apa yang kita niat dan harapkan kerana Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Pemberi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

9 Ramadhan 1441

Hadith 8. Sabar Awal Musibah

الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى

“Sabar (adalah) ketika kejutan (musibah) mula-mula (menimpa).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1302 dan Muslim no. 926 daripada Anas bin Malik RA. Teks ini muncul apabila Rasulullah SAW melewati seorang perempuan yang sedang menangis di kubur, lalu menasihatinya bertakwa (tinggalkan tangisan kecewa) dan bersabar. Beliau yang tidak mengenali Baginda SAW minta beliau dibiarkan kerana musibah tersebut tidak menimpa orang lain seperti menimpa dirinya. Apabila diberitahu yang menasihatinya adalah Rasulullah SAW, beliau datang menemui Baginda SAW yang kemudian bersabda seperti dalam teks hadith. Hadith ini menjelaskan sifat sabar yang dituntut dan sempurna pahalanya. Ibn Hajar al-Asqalani menyebut maksud hadith ini, ‘Apabila ada thabat diri (tetap terima) ketika mula-mula berlaku sesuatu yang menikam hati serta mengandungi rasa kecewa, itulah kesabaran yang sempurna yang memberinya pahala (besar)’ (Fath al-Bari, 3/149).

2. Musibah kematian, kehilangan, kesusahan, banjir, kebakaran dan sebagainya adalah fitrah serta ujian ke atas kenikmatan insan di dunia. Oleh itu, sifat sabar ditagih pada setiap saat tersebut. Namun, sabar yang sebenar adalah kesabaran seseorang saat pertama kali ditimpa sesuatu musibah. Ia serta-merta meredhai segala musibah yang berlaku serta menerima qada qadar Allah SWT tanpa persoalan, keluhan atau kekesalan. Ini kerana saat mula-mula ditimpa musibah boleh membuatkan seseorang hilang akal pertimbangan, malah melupai Tuhan kerana terkejut, dalam kesusahan atau tidak menerima ketentuan apa yang berlaku. Kesabaran menjadi biasa jika musibah ditabahi dan diterima kemudian kerana hati telah terpujuk setelah berlalu beberapa hari.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

8 Ramadhan 1441

Hadith 7. Sedekah Tidak Kurangkan Harta

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

“Sadaqah tidak mengurangkan harta.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2588 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini adalah sebahagian daripada teks penuh hadith dengan tambahan anjuran bersikap pemaaf dan tawadhu’. Tentang sadaqah, kita ketahui bahawa konsepnya sangat luas seperti dijelaskan dalam Hadith 1. Sadaqah meliputi material dan spiritual; material umpama sedekah wajib (seperti zakat), sedekah sunat (derma infaq), sedekah jariyah (wakaf) sementara sadaqah spiritual umpama amal kebajikan, mencegah kemungkaran, menyelesaikan kesulitan di jalan dan sebagainya. Al-Nawawi menyebutkan dua tafsiran bagi teks hadith ini, iaitu (i) Harta yang disedekah akan diberkati dan dapat menghilangkan kemudaratan (hidup kerana) kekurangan harta akan diganti dalam bentuk keberkatan tersembunyi; dan (ii) Walaupun kekurangan jumlah (harta), namun kekurangannya diganti dengan pahala yang banyak serta berlipat kali ganda (al-Minhaj, 16/141).

2. Justeru, umat Islam sama ada kaya atau papa dianjurkan bersedekah secara ikhlas. Si Papa bersedekah ikut kemampuan dan tidak menyusahkan diri serta keluarga. Si Kaya silalah menunaikan zakat, wakaf dan infaq kerana sikap pemurah tidak menjadikan mereka fakir miskin. Usah ditakuti dengan janji syaitan tentang kepapaan (al-Baqarah, 268) kerana tidak pernah tercatat dalam sejarah manusia atau dilaporkan media, ‘Si Kaya menjadi papa kedana kerana suka bersedekah’. Sebaliknya, sedekah ada keajaibannya. Sedekah bukan untuk merugikan sesiapa, sebaliknya untuk menyubur dan memberkati harta serta memperoleh keuntungan harta dan pahala yang digandakan (al-Baqarah, 261; al-Hadid, 18). Dalam hadith lain, disebutkan (عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ) – ‘Ke atas setiap Muslim (ada tanggungjawab) bersadaqah’ (al-Bukhari, 1445, 6022 & Muslim, 1008). Jom! mulakan langkah pagi ini dengan ‘banyak bersadaqah walaupun nampak sedikit’.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

7 Ramadhan 1441

Hadith 6. Kezaliman Menuju Kegelapan

الظُّلْمُ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Kezaliman (akibatnya) kegelapan (pada) hari kiamat.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 2447 dan Muslim no. 2579 daripada Abdullah bin Umar RA. Hadith ini adalah amaran daripada melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada semua makhluk, jiwa dan harta. Dalam teks hadith lain, Rasulullah SAW menyeru umat supaya menjauhi sifat zalim dan kedekut kerana sifat tersebut telah menghancurkan umat terdahulu yang saling berbunuhan dan melakukan perkara haram (Muslim, 2578). Zalim adalah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya, merangkumi penganiayaan, penindasan, kekejaman dan tidak berperikemanusiaan. Zalim adalah syirik dan kegelapan. Lawannya adil, tauhid dan cahaya hidayah. Sejahat-jahat sifat zalim adalah mensyirikkan Allah SWT, mengamalkan maksiat dan meninggalkan syariat. Sebaik-baik sifat adil adalah mengesakan Allah SWT, melakukan kebajikan dan ketaatan (surah al-Nahl, 90).

2. Hadith ini mengingatkan perbuatan zalim di dunia membawa kesengsaraan dan kepanasan di akhirat tanpa naungan Allah SWT. Di dunia mungkin kita gagah menganiaya, iri dengki dan mengambil hak orang kerana kegelapan hati. Kita buta hati melihat kejahatan sebagai perkara biasa, kebaikan pula seolah-olah tiada apa-apa. Namun di akhirat, kita serba susah dan lemah dengan kegelapan yang berlipat kali ganda. Pahala amalan yang sedikit pula ‘dirampas’ lalu diberikan kepada orang yang kita zalimi. Itulah kegelapan hakiki yang kita alami atas kezaliman semasa di dunia. Justeru, hadith mengajak umat Islam melakukan keadilan dan kebajikan untuk menempah tiket ke pintu syurga. Tidak terlewat zikir dan doa, memohon maaf daripada insan teraniaya serta keampunan daripada yana Maha Memberi Hisab.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

6 Ramadhan 1441

http://najahudin.net/blog

Hadith 5. Amaran Kepada Pemutus Silaturrahim

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ

“Tidak masuk syurga (tanpa hisab) pemutus (silaturrahim).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5984 dan Muslim no. 2556 daripada Jubayr bin Mut’im RA. Hadith ini menjelaskan kepentingan menjalin silaturrahim dan amaran keras kepada mereka yang memutuskannya. Ulama mendefinisikan silarurrahim sebagai menjaga dan menjalin hubungan baik dengan kaum keluarga terdekat, namun ada yang menghadkannya kepada mahram, hubungan nasab dan pewaris harta. Ada ulama pula yang meluaskan maksud silaturrahim kepada menyampaikan kebaikan dan menolak kejahatan sedaya mungkin. Dalam hadith lain, pemutus silaturrahim dikaitkan dengan mereka yang tidak sempurna beriman dengan Allah SWT dan Hari Akhirat (al-Bukhari, 760 & Muslim, 47).

2. Memutuskan silaturrahim merupakan antara dosa-dosa besar seperti amaran hadith di atas. “Tidak masuk syurga” merujuk kepada mereka yang tidak masuk syurga bersama golongan terawal jika mereka masih mempunyai iman. Ia juga merujuk kepada mereka yang menganggap perbuatan memutuskan silaturrahim sebagai halal sedangkan mengetahuinya sebagai haram. Al-Nawawi memberi contoh pelakuan silaturrahim seperti memberi sedekah, khidmat bantuan, ziarah, menjaga keselamatan dan sebagainya (Syarh Muslim, 2/201). Hadith lain secara umum menjelaskan bentuk silaturrahim yang juga hak terhadap saudara Muslim yang lain, iaitu memberi salam, memenuhi undangan, memberi nasihat, mendoakan orang bersin, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah (Muslim, 2162). Itu semua contoh kebaikan yang boleh diamalkan untuk bakal calon pemegang anak kunci syurga.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

5 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share