Shariah Compliant Multi Level Marketing: Issues And Recommendations

Abstract: Multi Level Marketing (MLM) is a new concept in Islamic transaction. However, from the aspect of consumerism, various issues have arisen. Hence, there is a need of requiring correct approaches and immediate solutions to resolve these issues. Be that as it may, Islam as a comprehensive religion has the solution on all aspects of life, including matters of MLM. This paper will focus on controversial syariah issues regarding MLM such as having two akads in one transaction, excessive pricing, bonus and others. It would also provide guidelines on contemporary Islamic muamalat system, thus assisting future Muslim consumers in differentiating, as well as choosing MLM products that are shariah compliant. Recommendations of a Shariah compliant MLM model would also be included in this paper.

(more…)

Isu-Isu Berkaitan Kewangan Islam Dalam Perundangan Negara

Abstrak: Kerangka perundangan sistem kewangan Islam di Malaysia masih lagi tertakluk kepada undang-undang sivil. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan yang membahagikan bidang kuasa negeri dan pusat telah meletakkan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes pertikaian berkaitan kewangan islam. Perkara ini menyebabkan banyak tafsiran mahkamah sivil yang berkaitan kontrak dan aplikasi kewangan islam bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah kerana ia masih tertakluk kepada undang-undang sivil. Justeru, kajian ini akan membicarakan persoalan-persoalan ini dengan memberi tumpuan kepada keputusan-keputusan dan tafsiran-tafsiran mahkamah sivil dalam kes-kes kewangan dan perbankan Islam. Seterusnya, penulis akan mencadangkan beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan untuk memperkasakan undang-undang Islam yang berkaitan kewangan islam dan peranan Mahkamah Syariah.

(more…)

Kepenggunaan Patuh Syariah Dalam Multi Level Marketing (MLM)

Abstrak: Multi Level Marketing (MLM) adalah suatu konsep baru dalam muamalat Islam. Namun dari aspek kepenggunaan, pelbagai masalah, isu dan persoalan muncul dalam konsep ini yang memerlukan jawapan segera dan segar. Walaupun begitu, Islam sebagai  nur Ilahi pasti mempunyai jawapan dan penyelesaian terhadap semua masalah termasuk dalam MLM. Justeru, kertas kerja ini akan menumpukan fokus kepada perbahasan tentang aplikasi MLM meliputi perbincangan tentang isu-isu syariah berkaitan seperti dua akad dalam satu, harga tinggi, bonus dan sebagainya. Kertas ini juga memuatkan beberapa cadangan berkaitan MLM yang patuh syariah. Adalah diharapkan kertas ini memperkayakan rujukan tentang sistem muamalat kontemporari dan memberi manfaat kepada para pengguna dalam memilih serta menggunakan produk MLM secara syariah. Secara langsung, kertas ini boleh membantu pengguna, syarikat, pengusaha, agen jualan, pelajar dan orang awam untuk membezakan transaksi MLM yang sah patuh syariah atau sebaliknya di samping mampu mencapai sasaran kita untuk mewujudkan sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan.

(more…)

Islamisasi Hotel Melalui Pendekatan Hadith Ahkam

Abstrak: Kertas ini menghimpun dan menganalisis hadith-hadith ahkam (hukum fiqh) berkaitan untuk menonjolkan konsep hotel dan rumah penginapan yang bercirikan Islam. Ia merangkumi gambaran reka bentuk ruang, organisasi dan pekerja serta pelanggan hotel berasaskan panduan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW. Kertas ini lebih berbentuk cadangan atau syor tentang beberapa asas kepada pembentukan dan pengurusan sebuah hotel atau rumah penginapan Islam berpandukan neraca hadith sahih. Kertas ringkas ini dirasakan bermanfaat kepada semua pengkaji, pelajar dan pengusaha hotel, homestay, rumah tumpangan atau penginapan supaya dapat mereka bentuk atau mengubah premis sedia ada supaya selari dengan syariah.

(more…)

Pusat Fi Dhilal Al-Qur’an Dan Sumbangannya Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Kota Belud, Sabah

Abstrak: Pusat Pendidikan Islam Fi Dhilal al-Qur’an merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang terletak di Kampung Bugaron, Rosok, Kota Belud, Sabah. Didirikan di kawasan tanah seluas 6 ekar yang diwakafkan oleh sebuah keluarga muallaf pada Julai 1991 dan beroperasi mulai 1992 setelah mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Pusat ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana pelajarnya adalah terdiri daripada golongan miskin, muallaf serta anak yatim. Selain itu, seluruh kos pengajiannya, termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah percuma hasil sumbangan orang ramai serta individu prihatin. Justeru, kertas ini membentangkan perkembangan dan sumbangan pusat ini kepada perkembangan pendidikan Islam di Sabah, khususnya kepada penduduk sekitar Kota Belud. Ramai yang mendapat pendidikan Islam di situ dan ada yang telah menyambung pelajaran di luar, khususnya di beberapa institusi pondok di Semenanjung. Selain itu, pusat ini juga berpengaruh terhadap penduduk setempat melalui kegiatan keilmuan, kebajikan dan kemasyarakatan. Penelitian juga dibuat kepada kesungguhan pendiri pusat sebagai seorang muallaf untuk menyebarkan Islam, di samping cabaran yang dihadapi daripada pihak luar dan penduduk setempat pada peringkat awal. Selain itu, penglibatan sahabat-sahabat daripada Semenanjung, sama ada sebagai jawatankuasa pentadbir atau pengajar tanpa ganjaran di pusat ini juga suatu keistimewaan yang menarik dalam konteks solidariti memartabatkan pendidikan Islam di Borneo.

(more…)

Metodologi Syeikh Idris Al-Marbawi Dalam Karya Terjemah Bulugh Al-Maram

Abstrak: Karya ulamak di Alam Melayu meliputi pelbagai bentuk seperti tulisan asli, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada yang berbentuk terjemahan. Dalam karya hadith, antara ulamak besar yang mewakafkan diri untuk melakukan amal tersebut ialah Syeikh Idris al-Marbawi. Beliau yang merupakan tokoh terbilang negara telah menghasilkan pelbagai karya tersohor seperti Kamus al-Marbawi dan Bahr al-Mazi. Antara karya hadith lain yang diterjemahkan oleh beliau ialah Bulugh al-Maram. Ketika menterjemah, beberapa metodologi dan pendekatan tersendiri telah digarap untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar memberi penjelasan kepada karya asal tersebut. Justeru, kertas ini akan membicarakan metodologi yang digunakan oleh beliau ketika membuat terjemahan tersebut. Selain itu, kertas ini juga akan menyenaraikan karya hadith yang pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu di Nusantara. Kajian ini boleh membantu para pelajar, ahli akademik dan orang ramai untuk memahami metodologi terjemahan ulamak silam dan sebagai sumber rujukan karya terjemahan hadith. Di samping itu kita semua dalam meneliti kehebatan seorang anak Melayu dalam membedah dan menghuraikan sebuah karya agung dalam hadith, iaitu Bulugh al-Maram untuk dinikmati oleh kita semua, terutama yang tidak fasih Bahasa Arab.

(more…)

Dakwah Online dan Kajian Awal ke Arah Ensiklopedia Domainnya dalam Bahasa Melayu

Abstrak: Dakwah online melalui internet merupakan suatu medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia. Aplikasi internet seperti laman web, portal, blog, email, SMS internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-dai’e secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia. Tulisan ini akan memfokuskan kepada dakwah online dengan melihat kepada bentuk dan aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah dan pelayar internet. Di samping itu, tulisan ini juga menyenaraikan seberapa banyak domain dakwah dalam bahasa Melayu yang wujud di alam maya. Adalah diharapkan koleksi yang dipaparkan boleh dijadikan catatan awal ke arah kewujudan ensiklopedia domain dakwah untuk dimanfaatkan oleh semua.

(more…)

Organisasi Bantuan Dan Khidmat Sukarela: Pengalaman Amal Malaysia

Abstrak: Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang berdaftar secara sah telah ditubuhkan pada 30 Mei 2001. Berbekalkan semangat dan slogan ‘Berkhidmat Untuk Kemanusiaan dan Beramal Kerana Allah’, ia bergerak ke pelusuk negara dan dunia bagi menabur bakti kepada umat manusia yang ditimpa musibah. Suatu yang menarik, Amal Malaysia bergerak atas paksi Islam dengan menampilkan imej baik kepada agama dan menyumbang nama baik kepada negara khususnya dan di peringkat antarabangsa umumnya. Justeru, ia bukan bergerak atas nama amal kebajikan semata-mata tetapi juga sebagai pendakwah. Ini kerana melalui amal kebajikan, anggota Amal Malaysia berhadapan terus dengan ahli masyarakat dan kesempatan itu diambil peluang untuk menggunakan kemahiran berdakwah secara personaliti serta amalan. Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji bagi menonjolkan kesyumulan dan keluasan Islam. Secara jelas, kebaktiannya diterima oleh masyarakat setempat dan antarabangsa tanpa sebarang prejudis. Ini kerana Amal Malaysia tidak terikat dengan keterbatasan ruang lingkup yang sempit serta tidak dibatasi oleh sempadan geografi dan juga keterikatan bangsa dan agama. Gerak kerjanya termasuklah misi bantuan, perubatan, pendidikan dan dakwah, latihan, penyelidikan, pembangunan remaja, penerbitan dan hubungan luar. Skop amalnya di dalam dan luar negara. Penglibatan dalam negara terbukti ketika membantu mangsa Tsunami di Kedah dan Pulau Pinang, menggerakkan pasukan bantuan mangsa banjir di Johor, Kedah dan negeri-negeri lain serta bantuan penduduk miskin dan ditimpa musibah di Sabah, Sarawak dan seluruh negara. Begitu juga bantuan kemanusiaan di luar negara seperti di Acheh, Jogjakarta, Mindanao, Kemboja, Kashmir, Pakistan, Sri Lanka, Iran, Lubnan, Palestin dan sebagainya. Pengalamannya banyak. Pengalaman ini memberi makna yang besar kepada kita. Termasuk juga untuk terlibat sama.

(more…)

Integrasi Web Mediaku

Tahun lepas aku kehilangan laman web peribadi dan blog yang beroperasi sejak 20 tahun lepas. Beratus-ratus artikel akademik dan gambar hilang begitu sahaja. Kini aku kembali dengan website baru di domain najahudin.net menggantikan dot com yang lenyap itu. Agak menarik kerana kini aku cuba integrasi laman web dan blog baruku ini dengan semua media sosialku yang ada (FB, Twitter, IG dll). Maksudnya post sekali untuk semua. Mudah-mudah ada manfaatnya.

Follow by Email
LinkedIn
Share