Hadith 26. Makan Minum Beradab

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

“Sebut basmallah dan makanlah apa yang dekat denganmu.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5376 & 5378 dan Muslim no. 2022 daripada ‘Umar bin Abi Salamah RA. Hadith ini menjelaskan dua adab makan iaitu memulakan dengan menyebut nama Allah SWT – basmallah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) dan makan makanan yang berdekatan. Dalam riwayat lain ditambah satu lagi adab iaitu (وَكُلْ بِيَمِينِكَ) – ‘Dan makanlah dengan tangan kananmu’ di tengah-tengah teks dua adab tersebut. Hadith ini adalah pesanan Rasulullah SAW kepada budak asuhan baginda, ‘Umar bin Abi Salamah RA yang juga perawi hadith ini. Beliau ketika itu masih kanak-kanak dan tangannya merayap-rayap sekitar hidangan ketika hendak makan, lalu Baginda SAW memulakan teks hadith dengan sabda (يَا غُلاَمُ) – ‘Wahai anak kecil’. Terdapat dalam hadith lain Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki – dikatakan Basar bin al-Asyja’i yang makan menggunakan tangan kiri (Muslim, 2021). Ini kerana ada hadith menyebutkan makan dan minum dengan tangan kiri menyerupai perlakuan syaitan (Muslim, 2019 & 2020). Selain itu, terdapat pelbagai adab makan lain dalam al-Qur’an dan hadith antaranya mengambil makanan halal dan berkhasiat (al-Baqarah, 168), menjauhi pembaziran dan berlebih-lebihan (al-A’raf, 31), tidak mencela makanan, membasuh tangan serta berdoa sebelum dan selepas makan.

2. Hadith ini adalah siri teladan didikan Rasulullah SAW terhadap anak-anak tentang adab dengan tunjuk ajar lembut tanpa memarahinya. Hadith ini juga menjelaskan adab Rasulullah SAW yang wajar diikuti oleh umat Islam dalam kehidupan seharian. Semua gerak-geri kita mengikut sunnah akan mendapat pahala, termasuklah ketika makan minum. Justeru, sesuatu perkara ibadah atau amal kebaikan perlu dimulakan dengan basmallah serta niat kerana Allah SWT untuk mendapat pahala dan keberkatan. Ketika makan, sunat menggunakan tangan kanan, sementelah jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafi’i berpandangan adalah makruh menggunakan tangan kiri tanpa keuzuran. Jika hidangan memerlukan dua tangan seperti sudu dan garfu, tiada masalah untuk menggunakannya, namun suapkanlah ke mulut dengan tangan kanan. Malah, Rasulullah SAW turut menyukai mendahulukan bahagian kanan dalam urusan kebaikan harian seperti memakai kasut, menyikat rambut dan mandi atau wudhu’ (al-Bukhari, 168). Selain itu, hadith ini turut memberi contoh adab makan berjamaah dengan mengambil makanan berdekatan terutama ketika mula makan. Ini secara langsung menjauhi sikap berebut-rebut makanan atau berlaga tangan untuk mengambil juadah yang sedap terlebih dahulu. Semua ini adalah sunnah kecil dan mudah diikuti, namun berpahala besar dan mudah diperolehi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

26 Ramadhan 1441

Hadith 25. Raih Rahmat dengan Salawat

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا

“Sesiapa yang bersalawat ke atasku dengan satu salawat, Allah akan bersalawat (memberi rahmat) ke atasnya dengan sepuluh salawat.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 408 daripada Abu Hurayrah RA dan no. 384 daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As RA. Salawat dalam kamus Bahasa Arab maksudnya doa, rahmat (kasih sayang), istighfar (mohon keampunan) dan takzim (penghormatan). Salawat daripada Allah SWT bermaksud rahmat-Nya. Ini turut dinyatakan dalam Surah al-Ahzab, 56 bahawa Allah SWT dan malaikat-Nya bersalawat kepada Rasulullah SAW. Al-Bukhari (6/120) menukilkan kata-kata Abu al-‘Aliyah dan Ibn ‘Abbas bahawa ‘Allah bersalawat’ maksudnya pujian terhadap Nabi Muhammad SAW di hadapan malaikat, sementara ‘Malaikat bersalawat’ maksudnya malaikat berdoa dan memohon berkat bagi Baginda SAW. Ulama tafsir menyebutkan Allah SWT bersalawat dengan melimpahkan segala rahmat, keberkatan dan keampunan sebagai bentuk kemuliaan dan penghormatan kepada Baginda SAW. Malaikat pula bersalawat dengan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT. Lalu orang-orang yang beriman diseru bersalawat dan mengucapkan salam sejahtera di samping memuliakan Rasulullah SAW dengan mengikuti sunnah serta syariat yang dibawa. Ulama juga menyebutkan maksud kita bersalawat adalah kita menyanjung dan memuliakan Rasulullah SAW di samping mendoakan supaya Allah meninggikan darjat kemuliaan Baginda SAW.

2. Hadith ini dan hadith-hadith lain serta ayat al-Qur’an jelas menganjurkan kita sentiasa bersalawat kepada Rasulullah SAW sebagai suatu ibadah dan amalan lisan harian. Amalan ini sangat mudah, tetapi mempunyai nilai yang tinggi dan pahala yang besar. Selain rahmat Allah SWT, salawat sekali sahaja memberi manfaat besar ke atas kita seperti disebut dalam banyak hadith lain, antaranya dihapuskan dosa-dosa kecil, ditinggikan darjat dan berdekatan dengan Baginda SAW pada hari akhirat kelak. Marilah kita istiqamah bersalawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW setiap masa dan setiap kali nama baginda disebut. Ada hadith sahih menyebut orang yang tidak bersalawat apabila nama Rasulullah SAW disebut di sisinya adalah seorang yang bakhil (al-Tirmidhi, 3546). Marilah kita menjadi pencinta Baginda SAW. Marilah kita bersalawat: (اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ) (al-Bukhari, 3370 & Muslim, 406).

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

25 Ramadhan 1441

Hadith 24. Jangan Jadi Batu Api

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ

“Tidak masuk syurga (tanpa hisab) pengadu domba.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6056 dan Muslim no. 105 daripada Huzaifah bin Yaman RA. Teks hadith ini diriwayatkan oleh Huzaifah RA apabila terdapat seorang lelaki di Masjid Nabawi yang menyampaikan satu berita kepada ‘Uthman bin Affan RA sedangkan ia tidak benar. Teks riwayat lain menyebut (لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ) – ‘Tidak masuk syurga (tanpa hisab) si penghasut’ (Muslim, 105). Kedua-dua istilah mempunyai maksud yang sama. Ada ulama membezakannya, namun secara umum kedua-duanya bermaksud sebaran sesuatu bertujuan merosakkan hubungan orang lain. Terdapat berapa istilah lain yang mempunyai maksud hampir sama dan merupakan larangan Rasulullah SAW, antaranya (عَضْهُ) dan (غِيبَة). Menurut al-Nawawi, نَمَّامٌ, غِيبَة dan lain-lain diharuskan jika dilakukan atas masalah syariah seperti mencegah kezaliman, mengubah kemungkaran dan sebagainya dengan syarat tertentu (al-Minhaj, 16/142).

2. Hadith ini memaparkan larangan keras kepada kita seperti Hadith 5 tentang pemutus silaturrahim. Namun ini merujuk kepada perkataan dan perbuatan adu domba, fitnah, hasutan atau menjadi batu api yang membawa kepada permusuhan. Mereka tidak masuk syurga bersama golongan terawal jika masih ada iman, sebaliknya akan di azab atas kejahatan tersebut. Justeru, kita jangan cuba menjadi si penfitnah atau si batu api. Malah, kita yang hidup pada zaman Whatsapp, Twitter dan Facebook ini perlu berhati-hati dengan segala hantaran dan perkongsian yang dibuat. Semak dan tabayyun dahulu sebelum sebar (al-Hujurat, 6). Tanya dulu IMAN (Istighfar, Manfaat ada, Asal sumber/sandaran dan Niat kerana Allah) sebelum hantar. Telinga yang peka, lidah yang petah berkata-kata dan jari yang tangkas menaip bicara semuanya di akhirat akan ditanya. Janganlah menjadi penyambung lidah fitnah kelak kita disentuh bara panas batu dan kayu neraka. Semak. Tabayyun.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

24 Ramadhan 1441

Awasi Riba dalam Pembelian Emas

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 19 Mei 2011: Akhir-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam dalam negara kita untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya. Situasi ini menyebabkan kadang-kadang wujud di kalangan mereka yang lupa batas-batas syariah berkaitan pembeliannya, terutama terjebak dengan amalan riba yang diharam dan dikutuk dalam Islam.

Malah Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman : “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Baqarah’ : 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam transaksi sesuatu barangan riba atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

(more…)

Hadith 23. Guru dan Tafaqquh Fiddin

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka ia diberi faham dalam agama.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 71, 3116 & 7312 dan Muslim no. 1037 daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA yang berkhutbah di mimbar. Istilah (يُفَقِّهْهُ) atau faqih bermaksud (الْفَهْمُ) – faham. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan ‘faham’ merujuk kepada kefahaman tentang hukum-hukum syarak. Istilah ‘kehendaki kebaikan’ dalam hadith ini menjelaskan secara jelas tentang keutamaan ulama / orang yang berilmu berbanding orang-orang lain serta keutamaan belajar memahami agama berbanding ilmu-ilmu lain. Hadith ini boleh difahami bahawa sesiapa yang tidak memahami agama, iaitu belajar asas-asas Islam serta yang bersangkutan dengannya tidak memperolehi kebaikan dan rahmat Allah SWT (Fath al-Bari 1/161 & 164). Ilmu agama termasuklah berkaitan al-Qur’an, hadith, akidah, fiqh, akhlak dan sebagainya.  Menurut al-Nawawi, hadith ini mengandungi keutamaan ilmu, memahami ilmu agama serta galakan menuntut ilmu. Ini kerana ilmu agama adalah pintu utama menuju takwa Allah SWT (al-Minhaj, 7/128). Oleh itu, salah satu ciri mendapat kebaikan yang sempurna dan petunjuk Allah SWT di dunia akhirat hendaklah mempelajari dan memahami ilmu agama, iaitu ilmu yang mewariskan amal solih kepada penuntutnya.

2. Hadith ini menjelaskan kedudukan ilmu dan keutamaan mereka yang mempelajari ilmu agama. Setiap percakapan dan amalan agama perlu mempunyai ilmu, malah mengenal Allah SWT juga perlu dengan ilmu (surah Muhammad, 19). Orang yang mempelajari ilmu adalah umat terbaik (al-Bukhari, 3383) berbeza dengan orang jahil (surah Zumar, 9) kerana sentiasa dinaungi Allah dan dipayung Malaikat-Nya (Abu Dawud, 3641). Pemahaman ilmu agama yang benar pula perlu dipelajari secara langsung daripada pewaris ilmu para nabi, iaitu ulama (al-Tirmidhi, 2682). Justeru, kita hendaklah menjadi ahli ilmu dengan belajar, menyelidik dan memahami sesuatu perkara. Ilmu agama terutamanya fardhu ain adalah kewajipan, namun ilmu-ilmu alat lain seperti sains, matematik, bahasa, teknologi dan sebagainya juga penting jangan ditinggalkan. Walaupun begitu, ilmu yang diperolehi perlu diamalkan kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak berguna laksana pohon yang tidak berbuah. Pada masa yang sama, kita perlu mengenang semua guru yang mendidik, mewariskan kebaikan kepada kita sejak kecil, termasuklah kedua ibu bapa dan guru di tadika, sekolah, kolej mahupun di universiti. Jasa mereka tidak bertepian. 16 Mei 2020 – “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”. Selamat Hari Guru, cikgu!.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

23 Ramadhan 1441

Adakah Riwayat Perawi Bid’ah Diterima?

1. Lanjutan artikel semalam, ada sahabat bertanya tentang *‘pelaku bid’ah dari sudut muhadithin’*. Tajuk tentang bid’ah dan perawi bid’ah berjela-jela. Boleh didapati dalam karya-karya mustalah hadith. Pelaku bid’ah atau ahli ahwa’ (hawa nafsu) secara umumnya ramai yang mereka-reka hadith maudhu’ (palsu) antaranya golongan Syiah Rafidhah, zindiq jahat, penglipur lara, penjilat pemerintah, pendukung politik, fiqh dan ilmu kalam lain seperti Khawarij, Muktazilah, Qadariyah, Jabariah, Murji’ah dan lainnya (al-Siba’i, al-Sunnah, 82-90).

2. Untuk itu, saya suka berkongsi kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m.852) dalam matan Nukhbah al-Fikar fi Mustalah Ahl al-Athar, “Adapun bid’ah, (iaitu perawi) kufur atau fasiq. Maka yang pertama (perawi kufur) tidak diterima oleh jumhur. Sementara yang kedua (perawi fasiq), boleh diterima mereka yang tidak menyebarkan (fahaman bid’ahnya) menurut pandangan yang sahih. Melainkan jika diriwayat untuk menguatkan bid’ahnya, maka (riwayatnya) ditolak.”

3. Itulah pandangan jumhur muhadithin seperti penyataan Ibn Taymiyyah (w.728), “Konvensyen bagi ulama hadith tidak meriwayatkan riwayat dan (menerima) penyaksian daripada mereka yang mempromosikan bid’ah. Oleh itu, tidak terdapat dalam karya-karya utama mereka seperti Sahih, Sunan dan Musnad riwayat-riwayat orang yang terkenal mempromosikan bid’ah.” (al-Minhaj, 62-63).

4. Secara ringkas, penerimaan perawi bid’ah bergantung kepada pelakunya, sama ada kufur atau fasiq; sama ada bid’ah yang melampau atau tidak; sama ada menghalalkan pembohongan atau tidak; sama ada mempromosikan bid’ahnya atau tidak.

5. Rumusannya, *Perawi pelaku bid’ah yang diterima hanyalah mereka yang tidak kufur, tidak melampau, tidak menghalalkan pembohongan serta tidak mempromosikan fahaman bid’ah mereka. Itupun bergantung kepada kewujudan sifat integriti dan kredibiliti nya (‘adil dan dabit) seperti syarat-syarat penerimaan perawi hadith.*

Dr. Najahudin Lateh

22 Ramadhan 1441

ITCS, ACIS UiTM

Hadith 22. Tangan Di Atas Lebih Baik

اليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى

“Tangan di atas (pemberi) lebih baik daripada tangan di bawah (penerima).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1427, 1428, 1429 & 1472 dan Muslim no. 1033, 1034, 1035 dan 1036 daripada Hakim bin Hizam RA, Abu Hurayrah RA, ‘Abdullah bin ‘Umar RA dan Abu Umamah RA dengan penambahan teks di awal dan akhir yang pelbagai. Maksud hadith ini dijelaskan dalam teks penuh riwayat Ibn ‘Umar RA iaitu dengan penambahan (وَالْيَدُ الْعُلْيَا الْمُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى السَّائِلَةُ) – ‘tangan di atas adalah pemberi sadaqah, tangan di atas adalah peminta’. Tangan di bawah juga bermaksud ‘penerima sadaqah’. Riwayat Ibn ‘Umar RA juga menyebutkan teks hadith ini disabda oleh Rasulullah SAW di atas mimbar ketika berbicara tentang sadaqah dan menahan diri daripada meminta-minta. Hakim bin Hizam RA dalam riwayatnya menjelaskan beliau meminta sadaqah kepada Rasulullah SAW beberapa kali (riwayat lain menyebutkan tiga kali) lalu diberikan kepadanya setiap kali permintaan. Setelah memberi beberapa kali, Baginda SAW mengingatkannya jangan meminta dengan nafsu supaya harta diberi itu berkat seumpama orang makan yang tidak kenyang-kenyang, lalu disabdakan teks hadith di atas. Hakim RA kemudian berkata beliau tidak meminta-minta lagi pada sesiapa dan ini dilaksanakan termasuk menolak pemberian pada zaman Abu Bakar RA dan Umar RA sehingga beliau wafat walaupun beliau layak sebagai penerima.

2. Hadith ini mengajak kita menjadi dermawan terutama kepada keluarga tanggungan sendiri serta kelebihan orang yang memberi sesuatu kepada orang yang memerlukannya. Orang yang memberi sadaqah atau apa-apa keperluan= orang lain dengan ikhlas mempunyai kelebihan berbanding penerima atau berbanding orang yang meminta-minta. Walaupun begitu, hadith ini tidak melarang kita menerima pemberian orang lain. Si penerima kadang-kadang memberikan ruang amal pahala kepada si pemberi. Meminta-minta pula bukanlah suatu kesalahan bagi mereka yang terpaksa dan memerlukannya. Jika kita punya kelebihan, berilah bantuan dan kegembiraan kepada mereka. Mungkin sedikit yang kita berikan itu adalah penolong kita di kampung akhirat kelak. Jika tiada apa-apa, tidak mengapa. Orang yang meminta jangan pula diherdik atau dihina [al-Dhuha, 10]. Namun, meminta-minta bukan kerana keperluan sebaliknya untuk memperkayakan diri adalah haram dan seolah-olah meminta bara neraka (Muslim, 1041). Dari aspek lain, pemberian atau sadaqah luas maksudnya termasuklah dengan wang ringgit, amar ma’ruf nahi munkar, bercakap baik dan pelbagai kebaikan lagi (Muslim, 1006). Kita hidup bukan nafsi-nafsi, tetapi berkongsi. Apa yang kita beri, sebenarnya kita memberi untuk diri sendiri. Allah SWT jualah Maha Pemberi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

22 Ramadhan 1441

Perawi Syiah dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim?

1. Semalam saya ada bertanya di dalam ‘posting’ facebook, “mgapa syiah ekstrem ada dlm senarai perawi alsyaikhan”. Jawapan kepada persoalan ini penting untuk diketahui awam kerana isu ini sering dimuat naik oleh pengikut atau simpatisan Syiah dalam media sosial.

2. Soal mereka, “Kenapa kita tidak terima Syiah sedangkan ulama hadith sunni menerima mereka sebagai perawi yang dipercayai.” Soal mereka lagi, “Kenapa anda anti Syiah dan ada yang kata sesat, sedangkan al-Bukhari (m.256) dan Muslim (m.261) pun riwayat hadith daripada orang Syiah!?”

3. Ini bagi mereka kontradiksi dengan ulama Ahli Sunnah wa Jamaah yang sepakat menyatakan Sahih al-Bukhari dan Muslim adalah kitab paling sahih selepas al-Qur’an (al-Minhaj, 1/14). Lantas, ini menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat awam lebih-lebih lagi globalisasi membawa arus maklumat tanpa kawalan.

4. Saya tidak berhasrat untuk menjawabnya kerana perkara ini sudah selesai disentuh oleh ulama silam dan ditambah huraiannya oleh ulama hadith kontemporari. Justeru, di sini saya titipkan kata-kata ulama silam yang secara langsung menjawab persoalan di atas.

5. Ibn Hajar al-`Asqalani (m.852) dalam muqaddimah syarah Sahih al-Bukhari turut memuatkan nama-nama perawi yang dikatakan Syiah dalam karya tersebut. Penjelasan beliau kemudian memberi pencerahan bahawa *istilah Syiah yang difahami dan diterima perawinya dalam karya hadith berbeza dengan istilah Syiah yang kita fahami dalam dunia moden.*

(more…)

Awas transaksi haram di internet

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 13 Oktober 2011: Dunia teknologi internet begitu pantas berkembang. Arusnya cukup laju dan kuat hingga boleh merubah bentuk serta sistem kehidupan manusia. Penggunaannya kini bukan setakat sebagai perpustakan terbesar di dunia, malah sudah menjadi pasaraya mega. Fungsinya bukan setakat mengantikan surat dan pejabat pos, tetapi sudah menjadi bank transaksi perniagaan dan tempat mencari kekayaan secara maya.

Realiti ini menyebabkan terlalu ramai di kalangan masyarakat kita yang begitu teruja untuk kaya hingga tidak memikirkan bala bahaya yang mungkin menimpa. Perangkap untuk menipu dan memanipulasi wang sentiasa wujud tanpa disedari, terutama melalui program dan pelaburan-pelaburan berbentuk mesin duit di internet.

Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu melalui perniagaan internet, melalui program internet dan melalui pelaburan internet. Dari aspek hukum syariah, ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Ia bergantung kepada akad kontrak dan elemen yang wujud dalam transaksi tersebut.

(more…)

Hadith 21. Jangan Marah!

لاَ تَغْضَبْ

“Jangan marah!.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6116 daripada Abu Hurayrah RA. Hadith ini tentang amarah, iaitu emosi semulajadi yang wujud pada setiap insan. Hadith ini muncul bila seorang Sahabat – dikatakan Jariyah bin Qudamah RA yang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW lalu dinasihati ‘Janganlah engkau marah!’ Dalam riwayat lain diminta nasihat supaya mudah diingati, sementara riwayat lain meminta suatu amalan mudah ke syurga. Permintaan tersebut diajukan berulang kali, namun jawapan Baginda SAW tetap sama. Ada riwayat menyebut diajukan sebanyak tiga kali. Menurut al-Nawawi, ulangan jawapan yang sama menunjukkan kemusnahan besar yang wujud daripada sifat marah (al-Minhaj, 16/163). Menurut al-Khattabi, maksud hadith ini adalah ‘menjauhi daripada sebab-sebab amarah.’ Ada ulama menyebut maksudnya ‘jangan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan’. Ini kerana hakikat amarah tidaklah dilarang kerana ia adalah perkara tabi’i yang tidak akan hilang daripada tabiat manusia (Fath al-Bari, 10/520). Malah, marah dibenarkan dalam keadaan tertentu seperti ketika Islam dan syariat dihina, marah terhadap maksiat dan kezaliman dengan syarat dikawal supaya tidak melampau atau mengikut hawa nafsu. Menahan atau mengawal sifat marah adalah suatu kebaikan yang disukai Allah SWT (Ali Imran, 134), malah Nabi SAW menilai kekuatan sebenar seseorang bukan kerana handal berlawan, tetapi kerana dapat mengawal diri semasa marah (al-Bukhari, 6114 & Muslim, 2609).

2. Hadith ini menganjurkan sifat nasihat-menasihati serta membuktikan Sahabat adalah mereka yang suka mendapatkan nasihat yang baik dan bermanfaat untuk amalan yang boleh kita contohi. Kandungan utama hadith ini adalah mengesa umat Islam supaya mengawal kemarahan, lantas memupuk diri dengan sifat sabar, pemaaf, tawadhu’ serta akhlak mulia lain. Amarah boleh dikawal dengan amalan tertentu yang turut dijelaskan Rasulullah SAW dalam banyak hadith yang lain. Antaranya, berdoa berlindung daripada hasutan syaitan dengan mengucapkan (أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ), bertenang, mengambil wudhuk, diam atau mengucapkan kalimah yang baik, mengubah posisi dengan duduk atau baring ketika sedang marah. Marah juga perlu diluah dan dibincang dengan orang lain, bukan dipendam lama-lama yang akan meletus dan mungkin menimbulkan masalah psikologi kepada individu. Marilah kita mengawal amarah, simpanlah amarah itu untuk bertempat seperti membela syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

21 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share