Hadith 7. Sedekah Tidak Kurangkan Harta

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

“Sadaqah tidak mengurangkan harta.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2588 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini adalah sebahagian daripada teks penuh hadith dengan tambahan anjuran bersikap pemaaf dan tawadhu’. Tentang sadaqah, kita ketahui bahawa konsepnya sangat luas seperti dijelaskan dalam Hadith 1. Sadaqah meliputi material dan spiritual; material umpama sedekah wajib (seperti zakat), sedekah sunat (derma infaq), sedekah jariyah (wakaf) sementara sadaqah spiritual umpama amal kebajikan, mencegah kemungkaran, menyelesaikan kesulitan di jalan dan sebagainya. Al-Nawawi menyebutkan dua tafsiran bagi teks hadith ini, iaitu (i) Harta yang disedekah akan diberkati dan dapat menghilangkan kemudaratan (hidup kerana) kekurangan harta akan diganti dalam bentuk keberkatan tersembunyi; dan (ii) Walaupun kekurangan jumlah (harta), namun kekurangannya diganti dengan pahala yang banyak serta berlipat kali ganda (al-Minhaj, 16/141).

2. Justeru, umat Islam sama ada kaya atau papa dianjurkan bersedekah secara ikhlas. Si Papa bersedekah ikut kemampuan dan tidak menyusahkan diri serta keluarga. Si Kaya silalah menunaikan zakat, wakaf dan infaq kerana sikap pemurah tidak menjadikan mereka fakir miskin. Usah ditakuti dengan janji syaitan tentang kepapaan (al-Baqarah, 268) kerana tidak pernah tercatat dalam sejarah manusia atau dilaporkan media, ‘Si Kaya menjadi papa kedana kerana suka bersedekah’. Sebaliknya, sedekah ada keajaibannya. Sedekah bukan untuk merugikan sesiapa, sebaliknya untuk menyubur dan memberkati harta serta memperoleh keuntungan harta dan pahala yang digandakan (al-Baqarah, 261; al-Hadid, 18). Dalam hadith lain, disebutkan (عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ) – ‘Ke atas setiap Muslim (ada tanggungjawab) bersadaqah’ (al-Bukhari, 1445, 6022 & Muslim, 1008). Jom! mulakan langkah pagi ini dengan ‘banyak bersadaqah walaupun nampak sedikit’.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

7 Ramadhan 1441

Hadith 6. Kezaliman Menuju Kegelapan

الظُّلْمُ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Kezaliman (akibatnya) kegelapan (pada) hari kiamat.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 2447 dan Muslim no. 2579 daripada Abdullah bin Umar RA. Hadith ini adalah amaran daripada melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada semua makhluk, jiwa dan harta. Dalam teks hadith lain, Rasulullah SAW menyeru umat supaya menjauhi sifat zalim dan kedekut kerana sifat tersebut telah menghancurkan umat terdahulu yang saling berbunuhan dan melakukan perkara haram (Muslim, 2578). Zalim adalah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya, merangkumi penganiayaan, penindasan, kekejaman dan tidak berperikemanusiaan. Zalim adalah syirik dan kegelapan. Lawannya adil, tauhid dan cahaya hidayah. Sejahat-jahat sifat zalim adalah mensyirikkan Allah SWT, mengamalkan maksiat dan meninggalkan syariat. Sebaik-baik sifat adil adalah mengesakan Allah SWT, melakukan kebajikan dan ketaatan (surah al-Nahl, 90).

2. Hadith ini mengingatkan perbuatan zalim di dunia membawa kesengsaraan dan kepanasan di akhirat tanpa naungan Allah SWT. Di dunia mungkin kita gagah menganiaya, iri dengki dan mengambil hak orang kerana kegelapan hati. Kita buta hati melihat kejahatan sebagai perkara biasa, kebaikan pula seolah-olah tiada apa-apa. Namun di akhirat, kita serba susah dan lemah dengan kegelapan yang berlipat kali ganda. Pahala amalan yang sedikit pula ‘dirampas’ lalu diberikan kepada orang yang kita zalimi. Itulah kegelapan hakiki yang kita alami atas kezaliman semasa di dunia. Justeru, hadith mengajak umat Islam melakukan keadilan dan kebajikan untuk menempah tiket ke pintu syurga. Tidak terlewat zikir dan doa, memohon maaf daripada insan teraniaya serta keampunan daripada yana Maha Memberi Hisab.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

6 Ramadhan 1441

http://najahudin.net/blog

Hadith 5. Amaran Kepada Pemutus Silaturrahim

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ

“Tidak masuk syurga (tanpa hisab) pemutus (silaturrahim).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5984 dan Muslim no. 2556 daripada Jubayr bin Mut’im RA. Hadith ini menjelaskan kepentingan menjalin silaturrahim dan amaran keras kepada mereka yang memutuskannya. Ulama mendefinisikan silarurrahim sebagai menjaga dan menjalin hubungan baik dengan kaum keluarga terdekat, namun ada yang menghadkannya kepada mahram, hubungan nasab dan pewaris harta. Ada ulama pula yang meluaskan maksud silaturrahim kepada menyampaikan kebaikan dan menolak kejahatan sedaya mungkin. Dalam hadith lain, pemutus silaturrahim dikaitkan dengan mereka yang tidak sempurna beriman dengan Allah SWT dan Hari Akhirat (al-Bukhari, 760 & Muslim, 47).

2. Memutuskan silaturrahim merupakan antara dosa-dosa besar seperti amaran hadith di atas. “Tidak masuk syurga” merujuk kepada mereka yang tidak masuk syurga bersama golongan terawal jika mereka masih mempunyai iman. Ia juga merujuk kepada mereka yang menganggap perbuatan memutuskan silaturrahim sebagai halal sedangkan mengetahuinya sebagai haram. Al-Nawawi memberi contoh pelakuan silaturrahim seperti memberi sedekah, khidmat bantuan, ziarah, menjaga keselamatan dan sebagainya (Syarh Muslim, 2/201). Hadith lain secara umum menjelaskan bentuk silaturrahim yang juga hak terhadap saudara Muslim yang lain, iaitu memberi salam, memenuhi undangan, memberi nasihat, mendoakan orang bersin, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah (Muslim, 2162). Itu semua contoh kebaikan yang boleh diamalkan untuk bakal calon pemegang anak kunci syurga.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

5 Ramadhan 1441

Hadith 4. Istiqamahlah Lepas Beriman

قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ، فَاسْتَقِمْ

“Katakanlah: ‘Aku beriman dengan Allah’, lalu istiqamahlah.”

Hadith riwayat Muslim no. 38 daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi RA, iaitu satu-satunya hadith riwayat beliau dalam Sahih Muslim. Hadith ini adalah jawapan Rasulullah SAW kepada pertanyaan Sufyan RA tentang perkara penting dalam Islam yang beliau tidak perlu bertanya lagi kepada orang lain. Terdapat pertambahan teks dalam riwayat lain (al-Tirmidhi, al-Nasa’i & Ibn Majah), iaitu Baginda SAW menunjukkan ke hujung lidah Baginda tentang perkara yang dikhuathiri berlaku pada beliau (Sufyan RA), iaitu pada bab penjagaan lidah percakapan. Teks ini selari dengan suruhan ayat al-Qur’an untuk mengesakan Allah SAW dan beristiqamah (surah Fussilat, 30; Ahqaf, 13) serta jangan melampaui batasan syariat yang ditetapkan (surah Hud, 112).

2. Hadith ini sangat penting kerana menegaskan dua perkara pokok serta menyeluruh dalam Islam, iaitu iman dan amal istiqamah. Al-Nawawi dalam Syarh Muslim (2/8) meletakkan hadith ini di bawah bab ‘Himpunan Sifat-sifat Islam’ kerana mengandungi sifat zahir dan batin, amalan hati (iman) dan amalan anggota badan (istiqamah). Iman berkaitan keyakinan hati kepada Allah SWT, sementara istiqamah berkaitan ketaatan berdasarkan keimanan tersebut. Iman melahirkan amalan yang ikhlas, sementara istiqamah melahirkan konsisten ke jalan yang lurus dalam melaksana amalan perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Justeru, marilah kita teguh pendirian dalam pelaksanaan Islam dan ketaatan kepada-Nya sebagai tanda keimanan yang benar serta tidak menyimpang daripada jalan yang dibawa Rasulullah SAW. Kejayaan dua perkara ini digambarkan oleh Allah SWT dalam surah Fussilat, 30 dengan perkhabaran gembira iaitu ganjaran syurga.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

4 Ramadhan 1441

Hadith 3. Bersama Orang Dikasihi

المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

“Seseorang (akan) bersama orang yang dikasihi.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6168, no. 6169 & 6170 dan Muslim no. 165 daripada Abdullah bin Mas’ud RA. Teks hadith ini adalah jawapan Rasulullah SAW kepada soalan lelaki yang datang bertanya tentang bagaimanakah kedudukan seseorang yang kasihkan kaumnya tetapi dia tidak bertemu dan beramal kebaikan seperti mereka. Lalu Baginda SAW menyatakan dia akan bersama-sama mereka yang dikasihinya di dunia pada akhirat kelak. Dalam riwayat Anas bin Malik RA, seorang lelaki Arab Badwi bertanya tentang tarikh kiamat, lalu Rasulullah SAW bertanya apakah bekalan yang beliau sediakan. Lalu lelaki itu berkata bahawa dia kasihkan Allah dan Rasul-Nya. Baginda SAW bersabda, “Engkau akan bersama mereka yang engkau kasih.” (al-Bukhari, 6171 & Muslim 161.

2. Hadith ini menjelaskan ciri berkasih sayang, cinta dan adab berkawan yang perlu direalisasikan oleh kita di dunia. Kasih kepada seseorang akan menyebabkannya meneladani perlakuan orang yang dikasihi. Justeru, carilah pasangan dan kawan yang boleh membawa kita ke syurga Allah SWT. Kecintaan atas ketaatan orang dicintai adalah keyakinan kepada ganjaran pahala daripada-Nya. Jangan bersama mereka yang mendekatkan kita dengan maksiat serta menjauhkan daripada kasih sayang Allah SWT. Biarlah kita bersama-sama dengan orang-orang yang baik di dunia, mudah-mudah kelak kita dekat dengan bau para nabi, syuhada’ dan salihin di syurga-Nya.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

3 Ramadhan 1441

Hadith 2. Malu Kesempurnaan Iman

الْحَيَاءُ مِنَ الْإِيمَانِ

“Malu sebahagian (kesempurnaan) iman.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 24 & no. 6118 dan Muslim no. 36 daripada Abdullah bin Umar RA. Hadith ini menjelaskan saranan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki daripada Ansar supaya tidak mengganggu saudaranya yang sangat pemalu. Ini berlaku ketika Baginda SAW terserempak dengan lelaki tersebut yang sedang menasihati serta melarang saudaranya daripada bersifat malu. Ini kerana sifat malu adalah terpuji, malah ia tanda kesempurnaan keimanan seseorang. Imam Muslim meletakkan hadith ini di bawah tajuk tentang cabang-cabang iman dan memuatkan hadith seterusnya bahawa ‘Malu tidak berada kecuali bersama kebaikan.” (Muslim, 37).

2. Sifat malu pada diri seseorang mendorongnya melakukan perkara mulia dan meninggalkan perkara keburukan. Mereka yang tiada sifat malu akan hilang harga diri dengan berani melakukan kejahatan di depan awam. Kadang-kadang perkara aib, kelakukan maksiat dan gambar peribadi sensitif dikongsikan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp tanpa malu segan silu. Walaupun begitu, sifat malu tidak boleh dijadikan penghalang kepada kita untuk belajar, memahami sesuatu dan bertanya perkara yang tidak difahami. Tabi’in terkenal, Mujahid menyebut, “Ilmu tidak diperolehi oleh orang yang malu dan bongkak.” (al-Adab al-Syar’iyah al-Maqdisi, j.2 h.68).

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

2 Ramadhan 1441

Hadith 1. Kebaikan adalah Sedekah

كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ

“Setiap kebaikan (berpahala) sedekah.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6021 dan Muslim no. 1005 daripada Jabir bin Abdullah RA. (مَعْرُوفٍ) adalah lafaz umum yang bermaksud segala perkara ketaatan yang disuruh syarak serta segala perkara buruk yang perlu ditinggalkan dengan niat mencapai redha Allah SAW. Hadith ini mengajak umat Islam untuk melaksanakan amalan kebaikan yang banyak manfaatnya kepada diri sendiri serta orang lain. Kepada pelaku kebaikan, Rasulullah SAW memberi khabar tentang ganjarannya seperti pahala bersedekah. Malah, semua amalan yang dianggap baik dan berkebajikan memperolehi pahala. Dalam hadith sahih lain, Baginda SAW menjelaskan setiap lafaz zikir, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah (Muslim, 1006), juga bercakap baik, langkah untuk solat dan membuang benda mengganggu jalan juga adalah (berpahala) sedekah (al-Bukhari, 2989 & Muslim, 1009).

2. Justeru, marilah sama-sama kita melakukan amal kebajikan, mencegah maksiat, melepaskan kesulitan orang sama ada secara personal, melalui kesukarelawan, aktiviti NGO atau apa-apa medium. Ini sesuai dengan ajakan supaya setiap Muslim berlumba-lumba melakukan kebaikan (al-Baqarah, 148) dan bersegera mencari keampunan Allah SWT (Ali Imran, 133). Kebaikan bukan terhad kepada orang Islam sahaja, tetapi kepada seluruh manusia termasuk makhluk lain, sama ada insan, haiwan atau alam.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

1 Ramadhan 1441

Metodologi Syeikh Idris Al-Marbawi Dalam Karya Terjemah Bulugh Al-Maram

Abstrak: Karya ulamak di Alam Melayu meliputi pelbagai bentuk seperti tulisan asli, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada yang berbentuk terjemahan. Dalam karya hadith, antara ulamak besar yang mewakafkan diri untuk melakukan amal tersebut ialah Syeikh Idris al-Marbawi. Beliau yang merupakan tokoh terbilang negara telah menghasilkan pelbagai karya tersohor seperti Kamus al-Marbawi dan Bahr al-Mazi. Antara karya hadith lain yang diterjemahkan oleh beliau ialah Bulugh al-Maram. Ketika menterjemah, beberapa metodologi dan pendekatan tersendiri telah digarap untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar memberi penjelasan kepada karya asal tersebut. Justeru, kertas ini akan membicarakan metodologi yang digunakan oleh beliau ketika membuat terjemahan tersebut. Selain itu, kertas ini juga akan menyenaraikan karya hadith yang pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu di Nusantara. Kajian ini boleh membantu para pelajar, ahli akademik dan orang ramai untuk memahami metodologi terjemahan ulamak silam dan sebagai sumber rujukan karya terjemahan hadith. Di samping itu kita semua dalam meneliti kehebatan seorang anak Melayu dalam membedah dan menghuraikan sebuah karya agung dalam hadith, iaitu Bulugh al-Maram untuk dinikmati oleh kita semua, terutama yang tidak fasih Bahasa Arab.

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share