Hadith 24. Jangan Jadi Batu Api

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ

“Tidak masuk syurga (tanpa hisab) pengadu domba.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6056 dan Muslim no. 105 daripada Huzaifah bin Yaman RA. Teks hadith ini diriwayatkan oleh Huzaifah RA apabila terdapat seorang lelaki di Masjid Nabawi yang menyampaikan satu berita kepada ‘Uthman bin Affan RA sedangkan ia tidak benar. Teks riwayat lain menyebut (لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ) – ‘Tidak masuk syurga (tanpa hisab) si penghasut’ (Muslim, 105). Kedua-dua istilah mempunyai maksud yang sama. Ada ulama membezakannya, namun secara umum kedua-duanya bermaksud sebaran sesuatu bertujuan merosakkan hubungan orang lain. Terdapat berapa istilah lain yang mempunyai maksud hampir sama dan merupakan larangan Rasulullah SAW, antaranya (عَضْهُ) dan (غِيبَة). Menurut al-Nawawi, نَمَّامٌ, غِيبَة dan lain-lain diharuskan jika dilakukan atas masalah syariah seperti mencegah kezaliman, mengubah kemungkaran dan sebagainya dengan syarat tertentu (al-Minhaj, 16/142).

2. Hadith ini memaparkan larangan keras kepada kita seperti Hadith 5 tentang pemutus silaturrahim. Namun ini merujuk kepada perkataan dan perbuatan adu domba, fitnah, hasutan atau menjadi batu api yang membawa kepada permusuhan. Mereka tidak masuk syurga bersama golongan terawal jika masih ada iman, sebaliknya akan di azab atas kejahatan tersebut. Justeru, kita jangan cuba menjadi si penfitnah atau si batu api. Malah, kita yang hidup pada zaman Whatsapp, Twitter dan Facebook ini perlu berhati-hati dengan segala hantaran dan perkongsian yang dibuat. Semak dan tabayyun dahulu sebelum sebar (al-Hujurat, 6). Tanya dulu IMAN (Istighfar, Manfaat ada, Asal sumber/sandaran dan Niat kerana Allah) sebelum hantar. Telinga yang peka, lidah yang petah berkata-kata dan jari yang tangkas menaip bicara semuanya di akhirat akan ditanya. Janganlah menjadi penyambung lidah fitnah kelak kita disentuh bara panas batu dan kayu neraka. Semak. Tabayyun.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

24 Ramadhan 1441

Hadith 21. Jangan Marah!

لاَ تَغْضَبْ

“Jangan marah!.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6116 daripada Abu Hurayrah RA. Hadith ini tentang amarah, iaitu emosi semulajadi yang wujud pada setiap insan. Hadith ini muncul bila seorang Sahabat – dikatakan Jariyah bin Qudamah RA yang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW lalu dinasihati ‘Janganlah engkau marah!’ Dalam riwayat lain diminta nasihat supaya mudah diingati, sementara riwayat lain meminta suatu amalan mudah ke syurga. Permintaan tersebut diajukan berulang kali, namun jawapan Baginda SAW tetap sama. Ada riwayat menyebut diajukan sebanyak tiga kali. Menurut al-Nawawi, ulangan jawapan yang sama menunjukkan kemusnahan besar yang wujud daripada sifat marah (al-Minhaj, 16/163). Menurut al-Khattabi, maksud hadith ini adalah ‘menjauhi daripada sebab-sebab amarah.’ Ada ulama menyebut maksudnya ‘jangan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan’. Ini kerana hakikat amarah tidaklah dilarang kerana ia adalah perkara tabi’i yang tidak akan hilang daripada tabiat manusia (Fath al-Bari, 10/520). Malah, marah dibenarkan dalam keadaan tertentu seperti ketika Islam dan syariat dihina, marah terhadap maksiat dan kezaliman dengan syarat dikawal supaya tidak melampau atau mengikut hawa nafsu. Menahan atau mengawal sifat marah adalah suatu kebaikan yang disukai Allah SWT (Ali Imran, 134), malah Nabi SAW menilai kekuatan sebenar seseorang bukan kerana handal berlawan, tetapi kerana dapat mengawal diri semasa marah (al-Bukhari, 6114 & Muslim, 2609).

2. Hadith ini menganjurkan sifat nasihat-menasihati serta membuktikan Sahabat adalah mereka yang suka mendapatkan nasihat yang baik dan bermanfaat untuk amalan yang boleh kita contohi. Kandungan utama hadith ini adalah mengesa umat Islam supaya mengawal kemarahan, lantas memupuk diri dengan sifat sabar, pemaaf, tawadhu’ serta akhlak mulia lain. Amarah boleh dikawal dengan amalan tertentu yang turut dijelaskan Rasulullah SAW dalam banyak hadith yang lain. Antaranya, berdoa berlindung daripada hasutan syaitan dengan mengucapkan (أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ), bertenang, mengambil wudhuk, diam atau mengucapkan kalimah yang baik, mengubah posisi dengan duduk atau baring ketika sedang marah. Marah juga perlu diluah dan dibincang dengan orang lain, bukan dipendam lama-lama yang akan meletus dan mungkin menimbulkan masalah psikologi kepada individu. Marilah kita mengawal amarah, simpanlah amarah itu untuk bertempat seperti membela syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

21 Ramadhan 1441

Hadith 17. Umat al-Qur’an Terbaik

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5027 & 5028 daripada ‘Uthman bin Affan RA. Al-Quran adalah firman Allah SWT bersifat mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang tertulis dalam mashaf, disampaikan secara mutawatir dan berpahala ibadah apabila membacanya. Al-Quran juga adalah sumber utama hukum syariat Islam serta panduan hidup yang mengandungi keterangan petunjuk serta penjelasan yang benar dan salah (al-Baqarah, 185). Ibn Kathir menjelaskan hadith ini bertujuan menjelaskan sifat-sifat orang Mukmin yang meneladani para rasul untuk memberikan manfaat kepada diri mereka dan melebar manfaatnya kepada orang lain yang mengikutinya (Fadail al-Qur’an, 1/126). Hal ini turut dijelaskan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa orang yang belajar al-Qur’an mendapat kebaikan walaupun tidak mengajarkannya. Namun, orang yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain mendapat kebaikan lebih banyak kerana mendapat manfaat sebagai (guru) yang diikuti (Fath al-Bari, 9/76). Hadith-hadith lain banyak menjelaskan kelebihan ahli al-Qur’an, antaranya diangkat darjat di sisi Allah SWT serta pemberi syafaat pada hari akhirat kelak.

2. Hadith ini menjelaskan kemuliaan dan kelebihan bagi mereka yang mempelajari al-Qur’an. Hadith ini turut menjelaskan fasa pembelajaran, iaitu mereka yang telah mampu kemudian dituntut mengajarkannya pula kepada orang lain. Belajar al-Qur’an adalah dengan maksud mempelajari cara bacaan terutama secara musyafahah, memperbetulkan sifat huruf dan makhraj serta bertajwid bagi mencapai bacaan yang tartil (al-Muzammil, 4). Mereka yang tidak tahu membaca al-Qur’an, wajib mempelajarinya walaupun sudah berusia tanpa rasa malu. Setelah berilmu, dituntut pula menjadi guru al-Qur’an kerana banyak ganjaran pahala bagi ilmu yang dimanfaatkan, lebih-lebih lagi ilmu al-Qur’an yang sentiasa dibaca oleh murid. Kita juga dituntut bertadabbur dengan merenungi ayat al-Qur’an, memahami dan mengamalkan isi kandungannya. Jika mempunyai kemampuan, hafaz dan belajarlah ilmu-ilmu al-Qur’an, antaranya tafsir, asbab al-nuzul, nasikh mansukh dan sebagainya. Al-Qur’an adalah kitab bermotivasi, justeru jangan biarkan sebagai hiasan rak rumah dan masjid sahaja. Bergeraklah kita menjadi umat Muhammad yang terbaik di muka bumi ini.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

17 Ramadhan 1441

Tiga sumber pastikan sahih hadis

Najahudin Lateh, Berita Harian, 24 Ogos 2011: KITA sering mendengar dan membaca teks hadis Rasulullah SAW sama ada di surau, masjid serta media massa. Penyampaian itu sama ada secara teks asal atau terjemahan sangat baik dan digalakkan.

Namun, suatu perkara yang selalu diambil ringan dalam proses penyampaian sesuatu hadis adalah berkaitan sumber dan kesahihannya daripada Nabi SAW. Oleh itu, sewajarnya penceramah, penulis atau pengkhutbah Islam berhati-hati dalam memilih dan menyebarkan hadis Rasulullah SAW.

Usaha menjadikan hadis sebagai sumber sandaran hujah amat dialu-alukan tetapi ada beberapa disiplin ilmu hadis diabaikan oleh mereka yang menggunakan hadis. Antaranya memastikan hukum hadis itu sahih atau tidak.

(more…)

Hadith 14. Mudahkan Usah Menyusah

يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا، وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا

“Permudahkan dan jangan menyusah, khabarkan kegembiraan dan jangan buat orang lari (menjauh diri).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 69 & 6125 dan Muslim no. 1734 daripada Anas bin Malik RA. Teks di atas daripada hadith al-Bukhari, 69 sementara hujung dua riwayat lain menggunakan teks (وَسَكِّنُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا) – ‘berilah ketenangan dan jangan buat orang lari’. Kalimah (تُعَسِّرُوا) dan (تُنَفِّرُوا) adalah penegasan kepada kalimah sebelumnya kerana memudahkan urusan orang perlu dilakukan seiring dengan tidak menyukarkan orang lain. Kalimah (بَشِّرُوا)- ‘khabar gembira’ didahului daripada khabar buruk untuk menjadikan sesuatu pengajaran atau dakwah diambil peduli. Sikap keras dan khabar menakutkan akan menyebabkan orang atau mad’u menjauhkan diri. Hadith ini turut menjadi asas dalam kaedah induk qawaid fiqh, iaitu (اَلْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ اْلتَيْسِيْرَ) – ‘Kepayahan (akan) mendatangkan kemudahan’ serta pelbagai kaedah cabang lain.

2. Hadith ini menjelaskan Islam adalah ajaran yang mudah, menggesa memudahkan segala urusan diri dan orang lain. Jangan terlalu memberatkan diri dengan perkara yang tidak mampu dalam ibadat dan pendapat. Sebab itulah dalam syariat Islam ada rukhsah (keringanan), darurah, jama’ qasar dan sebagainya. Tujuannya untuk memudahkan, bukan membebankan. Naluri manusia mahukan yang mudah dan melaksanakan sesuatu dengan gembira. Justeru, Islam mengajar kita tentang kesederhanaan dalam hidup serta melarang keras sikap melampau dalam beragama. Selain itu, hadith di atas juga mengajar kita tentang kaedah penyampaian pendidikan dan dakwah nahi munkar iaitu dengan hikmah dan lemah lembut. Sikap sebegini mudah diterima, memberi ketenangan dan menggembirakan orang untuk beramal. Sikap keras dan kasar akan membuatkan orang jauh daripada dakwah serta merugikan kebaikan yang nak disampaikan (Ali Imran, 159). Kaedah penyampaian perlu disusun secara bertahap supaya dapat menarik dan memikat hati audien untuk beramal. Mulakan yang mudah, usah ditonjol-tonjolkan yang payah.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

14 Ramadhan 1441

Hadith 12. Pengasih Nescaya Dikasihi

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

“Sesiapa yang tidak mengasihi, (dia) tidak dikasihi (Allah SWT).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5997 & 6013 dan Muslim no. 2318 daripada Jarir bin ‘Abdullah dan Abu Hurayrah RA. Istilah (لاَ يَرْحَمُ) maksudnya ‘tidak mengasihi makhluk’ sementara (لاَ يُرْحَمُ) bermaksud ‘Tidak dikasihi Allah SWT’. Ini dijelaskan dalam teks hadith al-Bukhari no. 7376 , iaitu (لاَ يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ) – ‘Allah tidak mengasihi sesiapa yang tidak mengasihi manusia’ dan Muslim no. 2318, iaitu (مَنْ لَا يَرْحَمِ النَّاسَ، لَا يَرْحَمْهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ) – ‘Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, (dia) tidak dikasihi Allah Azzawajalla’. Teks ini muncul ketika Rasulullah SAW mencium cucu al-Hasan bin ‘Ali dan di situ terdapat Sahabat, al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi yang sedang duduk. Lalu al-Aqra’ menyebutkan bahawa beliau mempunyai 10 orang anak, namun beliau belum pernah mencium seorang pun. Rasulullah SAW memandang beliau seraya bersabda hadith di atas. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan pelbagai tafsir ulama bagi maksud hadith ini, antaranya: ‘Tiada ihsan bagi orang lain, maka ia tidak memperolehi pahala’, ‘Tiada rahmat iman di dunia, maka tiada dikasih di akhirat’ dan ‘Tiada amal laksana perintah Allah dan tinggal larangan-Nya, maka tiada balasan pahala’.

2. Allah SWT yang Maha Pengasih dengan keluasan rahmat-Nya menurunkan Islam sebagai agama kasih sayang ke seantero dunia. Walaupun teks hadith berkaitan kasih sayang Rasulullah SAW kepada anak cucu dan keluarga, namun mesejnya kepada seluruh makhluk, termasuklah manusia, haiwan dan alam. Ini dijelaskan oleh Ibn Battal al-Maliki, ‘(Hadis ini) menggalakkan aplikasi rahmat (kasih) kepada semua makhluk termasuklah orang Mukmin, kafir, haiwan yang dimiliki atau tidak, serta rahmat itu termasuklah sentiasa memberi (haiwan) makan, minum, meringankan bebanan dan tidak melakukan kekerasan dengan pukulan.’ (al-Minhaj, 15/77; Fath al-Bari, 10/440). Kasih sayang ini boleh diamalkan dalam pelbagai cara merangkumi kepada kanak-kanak dan orang tua, lelaki mahupun wanita, insan mahupun haiwan, orang bukan Islam serta alam sekitar. Jauhi sifat benci. Kasihilah mereka di bumi, insya Allah kita dikasihi oleh yang di langit.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

12 Ramadhan 1441

Hadith 11. Riba Berlaku Bila Tangguh

الرِّبَا فِي النَّسِيئَةِ

“Riba (berlaku) dalam (bayaran) bertangguh.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 1596 daripada Usamah bin Zayd RA. Riba adalah lebihan atau pertambahan terhadap transaksi barangan ribawi (al-buyu’) atau hutang (al-duyun) melibatkan pertambahan kuantiti (berat/jumlah) atau penangguhan tempoh. Ini berlaku dalam dua keadaan: iaitu (i) Pertambahan daripada pertukaran atau jual beli dua barangan ribawi kerana kuantiti berat yang tak sama serta pertukaran dilakukan secara bertangguh; dan (ii) Pertambahan daripada bayaran balik hutang kerana faedah (interest) daripada jumlah pinjaman pokok serta faedah daripada penangguhan tempoh bayaran. Hadith ini mengkhususkan tentang al-nasi’ah, iaitu pertambahan disebabkan penangguhan pertukaran barangan ribawi (iaitu riba al-nasa’) atau penangguhan tempoh bayaran balik hutang (iaitu riba al-jahiliyah). Sebagai contoh, jual beli emas 999 (transaksi wang dengan emas) dengan bayaran ansuran atau faedah yang dikenakan kerana dipanjangkan tempoh bayaran balik sesuatu hutang. Ijma’ ulama menyebutkan riba adalah haram dan berdosa besar. Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba (al-Baqarah, 275). Malah, pemakan riba diisytiharkan berperang dengan Allah SWT dan Rasul-Nya (al-Baqarah, 278).

2. Hadith ini mengajak umat Islam untuk terlibat dengan sistem kontrak Islam dan menjauhi najis riba walaupun saki-baki yang sedikit. Riba kontemporari wujud dalam pelbagai urusniaga konvensional seperti hutang kad kredit, deposit tetap, insurans, pajak gadai, online forex, simpanan dan sebagainya. Namun, kita di Malaysia beruntung kerana mempunyai sistem ekonomi, kewangan dan perbankan Islam yang kukuh. Sistem kontrak berasaskan riba digantikan dengan kontrak Islam berasaskan transaksi sewa beli, kedermaan, perkongsian dan jaminan. Justeru, kita wajib memilih instrumen berasaskan Islam lantas tiada alasan untuk ‘beriman’ dengan sistem konvensional yang berasaskan faedah riba. Kemudahan simpanan, pembiayaan, pelaburan, risiko takaful, pasaran modal, wang, ekuiti dan pelbagai fasiliti sudah banyak yang patuh syariah. Produk pembiayaan kewangan peribadi, kenderaan atau perumahan pula ditawarkan di hampir keseluruhan institusi kewangan. Terpulanglah kepada kita untuk memilih yang terbaik untuk dunia dan akhirat. Tepuk dada, tanya iman kita!.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

11 Ramadhan 1441

Hadith 10. Perang adalah Strategi

الحَرْبُ خَدْعَةٌ

“Perang (adalah strategi) muslihat.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 3030 dan Muslim no. 1739 & no. 1740 daripada Jabir bin ‘Abdullah RA dan Abu Hurayrah RA. Istilah (خَدْعَةٌ) atau (خُدَعَةٌ) mempunyai pelbagai maksud dalam Bahasa Arab antaranya ‘tipudaya ahli perang’ dan ‘ahli perang adalah penipudaya’. Al-Tabari berpandangan hadith ini digunakan dengan maksud kiasan dan bukan ‘tipudaya’ sebenar. Al-Waqidi dalam al-Maghazi (2/487) menyebut Rasulullah SAW bersabda teks di atas semasa Perang Uhud dan Khandaq (Ahzab). Semasa perang Ahzab, Nu’aim bin Mas’ud yang telah masuk Islam secara senyap-senyap memainkan peranan memecahkan kesatuan pihak Quraisy, Yahudi Bani Quraizah dan suku beliau, Ghatfan. Secara umum helah, muslihat atau tipudaya dalam peperangan menentang kuffar adalah harus, kecuali melibatkan hukum-hakam dalam perang dan bukan melibatkan sesama Muslim. Menurut al-Nawawi, ulama bersepakat mengharuskannya melainkan tipudaya yang boleh mengkhianati perjanjian dan (jaminan) keamanan. Hadith ini juga merupakan peringatan kepada umat Islam supaya berwaspada dengan tipu helah musuh dalam peperangan (al-Minhaj, 12/45; Fath Bari, 6/158).

2. Zaman langit terbuka kini kita berhadapan dengan serangan perang pemikiran (ghazwatul fikr), iaitu penjajahan tidak berlaku melalui penguasaan tanahair tetapi penguasaan musuh melalui minda dan pemikiran umat Islam. Gejala liberalisme, pluralisme beragama dan LBGT adalah contoh-contoh kecil proses memperdaya umat Islam yang perlu dihadapi. Strategi dan helah muslihat terbaik adalah dengan mempunyai perancangan untuk menghadapi peperangan mental ini. Kekuatan yang utama tentulah iman dan akidah yang sahih, disulami dengan ilmu dan pemahaman Islam yang sebenar. Anak-anak perlu dididik dan dibajai dengan acuan Islam sejak kecil supaya ibu bapa tidak ‘terlalu letih’ bila mereka sudah dewasa. Kita tidak tahu bagaimana rupa dunia 50 atau 100 tahun ke hadapan. Justeru, bersedialah dengan segala ‘senjata’ peperangan.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

10 Ramadhan 1441

Hadith 9. Bagimu Seperti Diharapkan

إِنَّ لَكَ مَا احْتَسَبْتَ

“Sesungguhnya bagimu apa yang engkau harapkan.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 663 daripada Ubay bin Ka’ab RA yang menceritakan tentang seorang lelaki Ansar yang tidak pernah tertinggal solat jamaah di Masjid Nabawi sedangkan lokasi rumahnya paling jauh. Para Sahabat merasa kasihan lalu mencadangkan beliau membeli kenderaan kaldai namun ditolaknya kerana inginkan setiap langkah pergi balik ke masjid mendapat pahala. Apabila diketahui, Baginda SAW menyebutkan teks hadith di atas. Dalam riwayat lain dinyatakan keinginan lelaki tersebut untuk mendapat pahala telah dimakbulkan oleh Allah SAW. Perkara ini disokong dalam hadith lain – Rasulullah SAW bersabda kepada penduduk Bani Salimah bahawa pahala dicatat dan darjat diangkat berdasarkan langkah kaki mereka dari rumah ke masjid (al-Bukhari, 1887 & Muslim, 665).

2. Hadith ini menjelaskan setiap amalan diberi pahala dan dibalas atas niat serta keazaman yang dilakukan. Jika berusaha mendapatkan kebaikan, maka pahala kebaikan akan diberi kepadanya. Jika berusaha mengelakkan kejahatan, maka dosa kejahatan akan terhindar. Setiap amalan pasti akan diberi ganjaran seperti yang diniatkan. Puasa Ramadhan contohnya, jika dilakukan atas dasar iman dan niat mengharap (احْتِسَابًا) keampunan-Nya, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu (al-Bukhari, 2014 & Muslim, 760). Sesungguhnya kita akan mendapat apa yang kita niat dan harapkan kerana Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Pemberi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

9 Ramadhan 1441

Hadith 8. Sabar Awal Musibah

الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى

“Sabar (adalah) ketika kejutan (musibah) mula-mula (menimpa).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1302 dan Muslim no. 926 daripada Anas bin Malik RA. Teks ini muncul apabila Rasulullah SAW melewati seorang perempuan yang sedang menangis di kubur, lalu menasihatinya bertakwa (tinggalkan tangisan kecewa) dan bersabar. Beliau yang tidak mengenali Baginda SAW minta beliau dibiarkan kerana musibah tersebut tidak menimpa orang lain seperti menimpa dirinya. Apabila diberitahu yang menasihatinya adalah Rasulullah SAW, beliau datang menemui Baginda SAW yang kemudian bersabda seperti dalam teks hadith. Hadith ini menjelaskan sifat sabar yang dituntut dan sempurna pahalanya. Ibn Hajar al-Asqalani menyebut maksud hadith ini, ‘Apabila ada thabat diri (tetap terima) ketika mula-mula berlaku sesuatu yang menikam hati serta mengandungi rasa kecewa, itulah kesabaran yang sempurna yang memberinya pahala (besar)’ (Fath al-Bari, 3/149).

2. Musibah kematian, kehilangan, kesusahan, banjir, kebakaran dan sebagainya adalah fitrah serta ujian ke atas kenikmatan insan di dunia. Oleh itu, sifat sabar ditagih pada setiap saat tersebut. Namun, sabar yang sebenar adalah kesabaran seseorang saat pertama kali ditimpa sesuatu musibah. Ia serta-merta meredhai segala musibah yang berlaku serta menerima qada qadar Allah SWT tanpa persoalan, keluhan atau kekesalan. Ini kerana saat mula-mula ditimpa musibah boleh membuatkan seseorang hilang akal pertimbangan, malah melupai Tuhan kerana terkejut, dalam kesusahan atau tidak menerima ketentuan apa yang berlaku. Kesabaran menjadi biasa jika musibah ditabahi dan diterima kemudian kerana hati telah terpujuk setelah berlalu beberapa hari.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

8 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share