MLM mesti menepati syariah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 9 Jun 2011: Suatu isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam adalah berkaitan Multi Level Marketing (MLM). Ini kerana reka bentuk MLM yang boleh pada asalnya selari dengan syariah seringkali dilencongkan hingga menjadikannya suatu yang diharamkan.

Ironinya, pemain MLM itu sendiri sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran mereka menjadi tidak serasi dengan hukum Islam. Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisyen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat.

(more…)

Labur Emas Mengikut Syariah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 2 Februari 2012: Emas pada sepanjang zaman dianggap sebagai simbol kekayaan, kemashyuran dan kecantikan. Dalam sejarah ekonomi Islam, emas merupakan matawang dan aset simpanan yang baik.

Teks al-Quran dan hadith banyak menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Emas dirujuk sebagai matawang dinar dalam firman-Nya : “Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya”. (Ali Imran : 75)

(more…)

Dapatan Kajian Pembangunan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah Di Malaysia

Abstrak: Kertas ini menjelaskan dapatan daripada kajian pembangunan instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) yang disepakati pakar dan mempunyai tahap kualiti tinggi berasaskan senario transaksi di Malaysia. Kajian ini menggabungkan kaedah kualitatif dan kuantitatif dengan pendekatan kajian Reka bentuk dan Pembangunan oleh Richey & Klein (2007) yang diubah suai melalui tiga fasa; analisis, reka bentuk dan penilaian. Dapatan data Fasa Analisis menunjukkan semua (100 peratus) pelabur dan pakar bersetuju bahawa panduan pelaburan emas dalam bentuk instrumen sangat diperlukan. Semua responden pakar juga bersetuju bahawa panduan tersebut perlu mempunyai tiga dimensi, iaitu (i) pelabur dan institusi pelaburan; (ii) barang dan harga; dan (iii) akad tawaran. Kriteria bagi panduan tersebut adalah berdasarkan dua teori transaksi emas, iaitu kriteria umum dalam syarat al-bay’ dan kriteria khusus dalam bay’al-sarf. Dapatan data pada Fasa Reka Bentuk pula menunjukkan semua (100 peratus) pakar Delphi bersetuju dengan ketiga-tiga dimensi tersebut. Dapatan fasa ini juga menunjukkan kesepakatan yang tinggi dalam kalangan mereka untuk bersetuju menerima 33 item dengan skor median adalah 4 dan JAK antara 0.00 hingga 1.00. Skor ini disokong oleh analisis FDM yang menunjukkan nilai threshold (d ≤ 0.2) serta peratusan kesepakatan pakar ( ≥75%). Dapatan data pada Fasa Penilaian menunjukkan terdapat satu item telah digugurkan pada kajian rintis kerana tidak sepadan (misfit) dengan nilai PTMEA CORR negatif (-0.17logit) dan berada di luar sempadan yang ditetapkan (outfitz-std=2.9). Kajian tinjauan sebenar telah mengekalkan 32 item kerana mempunyai ciri kesahan yang baik bagi setiap item dan person (nilai kebolehpercayaan item: 0.94; kebolehpercayaan person: 0.94; PTMEA CORR item yang positif; infit MNSQ item=0.44-1.66logit; and z-std > -/+2). Profil pelaburan emas menunjukkan majoriti institusi pelaburan emas tidak patuh syariah dengan hanya 7.5 peratus yang mempunyai komitmen tinggi untuk mematuhi kriterianya dan terdapat dua item (6.25%) yang sukar dipatuhi kerana berada di atas mean person. Akhirnya, kajian ini berjaya menghasilkan panduan pelaburan emas secara syariah berkualiti tinggi serta memberi implikasi penambahbaikan kepada Parameter Pelaburan Emas yang telah diperakui pihak kerajaan dan rujukan masyarakat.

(more…)

Pembentukan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) Menggunakan Teknik Delphi

Abstrak: Teknik Delphi adalah suatu kaedah untuk mendapatkan kesepakatan pakar dalam sesuatu isu. Ia telah digunakan secara meluas dan diterima dalam pelbagai disiplin ilmu seperti perancangan, penentuan, penilaian sesuatu program atau dasar. Teknik ini direka sebagai suatu usaha dalam bentuk komunikasi di kalangan sekumpulan panel pakar bagi memudahkan pembentukan keputusan secara bersama untuk menyelesaikan masalah. Kertas ini akan membentuk instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (PEPS) dengan menggunakan teknik ini. Seramai 13 orang pakar muamalat Islam telah dipilih sebagai peserta dan dua pusingan telah digunakan untuk mendapatkan kesepakatan mereka. Metod soal selidik 4-point Likert Scale digunakan pada kedua-dua pusingan Teknik Delphi untuk mendapatkan data. Analisis soal selidik tersebut dibuat pada setiap pusingan dan kesepakatan pakar diperolehi pada pusingan kedua apabila item mencapai sasaran tahap persetujuan melebihi 70 peratus ataupun median taburan frekuensi sekurang-kurangnya 3.25. Hasilnya, kajian ini telah memperolehi 33 item iPEPS yang terangkum dalam tiga dimensi, iaitu (i) pelabur dan institusi pelaburan; (ii) barang dan harga; dan (iii) akad tawaran. Semua item menunjukkan kesepakatan yang tinggi untuk diterima oleh panel pakar (IQR=0.00 or 1.00; mdn=4.00). Kajian ini berjaya membentuk iPEPS yang boleh digunapakai oleh institusi kewangan Islam untuk mewujudkan produk baru atau audit syariah pelaburan emas sedia ada bagi mematuhi kehendak muamalat Islam.

(more…)

Pembangunan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) Melalui Teknik Delphi Klasik dan Fuzzy Delphi (FDM)

Abstrak: Objektif kajian ini untuk menjelaskan proses reka bentuk instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) dengan menggunakan Teknik Delphi Klasik (TDK) dan Metod Fuzzy Delphi (FDM). TDK merupakan suatu kaedah untuk mendapatkan kesepakatan pakar dalam sesuatu isu sementara FDM adalah teknik analisis kombinasi antara aplikasi TDK dan teori set fuzzy. Instrumen kajian ini berbentuk soal selidik skala Likert 4-poin yang terdiri daripada tiga dimensi serta 34 item. Seramai 13 orang pakar muamalat Islam telah dipilih sebagai peserta TD dan dua pusingan telah digunakan untuk mendapatkan kesepakatan mereka. Dapatan kajian menunjukkan kesepakatan yang tinggi di kalangan peserta pakar dengan skor IQR=0.00 hingga 1.00; Mdn=4.00 untuk menerima ketiga-tiga dimensi, 32 item asal dan satu item baru (C11) serta menolak dua item asal (B05;B15). Skor penerimaan ini turut disokong dengan bukti empirikal daripada analisis FDM yang menunjukkan nilai d threshold konstruk dan semua item adalah d≤ 0.2 serta peratusan kesepakatan pakar adalah ≥75%. Hasilnya, kajian ini berjaya membentuk iPEPS yang terdiri daripada tiga dimensi dan 33 item yang mempunyai kesahan yang baik. Instrumen ini boleh digunapakai oleh institusi kewangan Islam untuk mewujudkan produk baru atau audit syariah pelaburan emas sedia ada supaya mematuhi kehendak muamalat Islam.

(more…)

Kepenggunaan Patuh Syariah Dalam Multi Level Marketing (MLM)

Abstrak: Multi Level Marketing (MLM) adalah suatu konsep baru dalam muamalat Islam. Namun dari aspek kepenggunaan, pelbagai masalah, isu dan persoalan muncul dalam konsep ini yang memerlukan jawapan segera dan segar. Walaupun begitu, Islam sebagai  nur Ilahi pasti mempunyai jawapan dan penyelesaian terhadap semua masalah termasuk dalam MLM. Justeru, kertas kerja ini akan menumpukan fokus kepada perbahasan tentang aplikasi MLM meliputi perbincangan tentang isu-isu syariah berkaitan seperti dua akad dalam satu, harga tinggi, bonus dan sebagainya. Kertas ini juga memuatkan beberapa cadangan berkaitan MLM yang patuh syariah. Adalah diharapkan kertas ini memperkayakan rujukan tentang sistem muamalat kontemporari dan memberi manfaat kepada para pengguna dalam memilih serta menggunakan produk MLM secara syariah. Secara langsung, kertas ini boleh membantu pengguna, syarikat, pengusaha, agen jualan, pelajar dan orang awam untuk membezakan transaksi MLM yang sah patuh syariah atau sebaliknya di samping mampu mencapai sasaran kita untuk mewujudkan sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan.

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share