Hadith 7. Sedekah Tidak Kurangkan Harta

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

“Sadaqah tidak mengurangkan harta.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2588 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini adalah sebahagian daripada teks penuh hadith dengan tambahan anjuran bersikap pemaaf dan tawadhu’. Tentang sadaqah, kita ketahui bahawa konsepnya sangat luas seperti dijelaskan dalam Hadith 1. Sadaqah meliputi material dan spiritual; material umpama sedekah wajib (seperti zakat), sedekah sunat (derma infaq), sedekah jariyah (wakaf) sementara sadaqah spiritual umpama amal kebajikan, mencegah kemungkaran, menyelesaikan kesulitan di jalan dan sebagainya. Al-Nawawi menyebutkan dua tafsiran bagi teks hadith ini, iaitu (i) Harta yang disedekah akan diberkati dan dapat menghilangkan kemudaratan (hidup kerana) kekurangan harta akan diganti dalam bentuk keberkatan tersembunyi; dan (ii) Walaupun kekurangan jumlah (harta), namun kekurangannya diganti dengan pahala yang banyak serta berlipat kali ganda (al-Minhaj, 16/141).

2. Justeru, umat Islam sama ada kaya atau papa dianjurkan bersedekah secara ikhlas. Si Papa bersedekah ikut kemampuan dan tidak menyusahkan diri serta keluarga. Si Kaya silalah menunaikan zakat, wakaf dan infaq kerana sikap pemurah tidak menjadikan mereka fakir miskin. Usah ditakuti dengan janji syaitan tentang kepapaan (al-Baqarah, 268) kerana tidak pernah tercatat dalam sejarah manusia atau dilaporkan media, ‘Si Kaya menjadi papa kedana kerana suka bersedekah’. Sebaliknya, sedekah ada keajaibannya. Sedekah bukan untuk merugikan sesiapa, sebaliknya untuk menyubur dan memberkati harta serta memperoleh keuntungan harta dan pahala yang digandakan (al-Baqarah, 261; al-Hadid, 18). Dalam hadith lain, disebutkan (عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ) – ‘Ke atas setiap Muslim (ada tanggungjawab) bersadaqah’ (al-Bukhari, 1445, 6022 & Muslim, 1008). Jom! mulakan langkah pagi ini dengan ‘banyak bersadaqah walaupun nampak sedikit’.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

7 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share