Hadith 15. Mukmin Seumpama Binaan

المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

“Mukmin dengan mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2585 daripada Abu Musa Abdullah bin Qays RA dan pada riwayat al-Bukhari no. 481, 2446, 6026 dengan penambahan teks (وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ), iaitu (Rasulullah SAW) ‘tasybik jari-jemarinya’ (menggenggam sambil menyilang jari dengan bertemu telapak tangan kanan dan kiri) sebagai tanda saling menguatkan. Teks ini antara hadith perumpamaan yang disabda oleh Baginda SAW di samping gerak jari, tangan atau tubuh badan bagi mengukuhkan pemahaman. Hadith ini memberi perumpamaan keadaan seorang Mukmin yang membantu Mukmin lain laksana bangunan yang teguh saling lengkap melengkapi. Sebuah bangunan adalah gabungan acuan pasir, simen, batu, besi dan sebagainya. Naik tiang sebagai pasak memerlukan dinding untuk teguh, lantai dan bumbung sebagai pelengkap. Dengan bangunan berdiri kukuh, tentu lebih bermanfaat dan selamat untuk menumpang teduh. Begitu juga hubungan sesama Mukmin – yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing, yang berilmu memberi nasihat, yang jahil sama beramal – yang akhirnya membantu menguatkan Islam. Hadith lain memperumpamakan orang mukmin yang berkasih sayang dan bantu membantu laksana jasad yang terasa demam dan tidak dapat tidur apabila satu anggota lain berasa sakit (al-Bukhari, 6011 & Muslim 2586).

2. Hadith ini mengajak kita menggunakan kaedah penyampaian yang berkesan dalam pendidikan dan dakwah. Ini bagi memudahkan pemahaman serta meraikan kadar pemikiran audien. Teknologi moden pula boleh digunakan sebagai alat bantu. Pokok isi hadith ini mengiktiraf hak seorang Muslim serta menjelaskan kepentingan ukhwah dan bantu-membantu antara satu sama lain. Itulah nilai kerjasama hidup berjamaah. Ini tentunya meraikan hidup manusia yang secara fitrah tidak boleh bersendirian, sebaliknya memerlukan orang lain sebagai komunikasi sosial dan berkongsi hidup di dunia. Bantuan dalam perkara kebaikan mendapat pahala dan begitulah sebaliknya. Saling hormat menghormati serta kasih mengasihi memberi kekuatan kepada ummah, lantas memberi kekuatan juga kepada Islam daripada diganggu-gugat. Sebatang lidi boleh dipatahkan dengan mudah, segenggam lidi boleh tergeliat jari yang cuba mematahkannya.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

15 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share