Hadith 22. Tangan Di Atas Lebih Baik

اليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى

“Tangan di atas (pemberi) lebih baik daripada tangan di bawah (penerima).”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1427, 1428, 1429 & 1472 dan Muslim no. 1033, 1034, 1035 dan 1036 daripada Hakim bin Hizam RA, Abu Hurayrah RA, ‘Abdullah bin ‘Umar RA dan Abu Umamah RA dengan penambahan teks di awal dan akhir yang pelbagai. Maksud hadith ini dijelaskan dalam teks penuh riwayat Ibn ‘Umar RA iaitu dengan penambahan (وَالْيَدُ الْعُلْيَا الْمُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى السَّائِلَةُ) – ‘tangan di atas adalah pemberi sadaqah, tangan di atas adalah peminta’. Tangan di bawah juga bermaksud ‘penerima sadaqah’. Riwayat Ibn ‘Umar RA juga menyebutkan teks hadith ini disabda oleh Rasulullah SAW di atas mimbar ketika berbicara tentang sadaqah dan menahan diri daripada meminta-minta. Hakim bin Hizam RA dalam riwayatnya menjelaskan beliau meminta sadaqah kepada Rasulullah SAW beberapa kali (riwayat lain menyebutkan tiga kali) lalu diberikan kepadanya setiap kali permintaan. Setelah memberi beberapa kali, Baginda SAW mengingatkannya jangan meminta dengan nafsu supaya harta diberi itu berkat seumpama orang makan yang tidak kenyang-kenyang, lalu disabdakan teks hadith di atas. Hakim RA kemudian berkata beliau tidak meminta-minta lagi pada sesiapa dan ini dilaksanakan termasuk menolak pemberian pada zaman Abu Bakar RA dan Umar RA sehingga beliau wafat walaupun beliau layak sebagai penerima.

2. Hadith ini mengajak kita menjadi dermawan terutama kepada keluarga tanggungan sendiri serta kelebihan orang yang memberi sesuatu kepada orang yang memerlukannya. Orang yang memberi sadaqah atau apa-apa keperluan= orang lain dengan ikhlas mempunyai kelebihan berbanding penerima atau berbanding orang yang meminta-minta. Walaupun begitu, hadith ini tidak melarang kita menerima pemberian orang lain. Si penerima kadang-kadang memberikan ruang amal pahala kepada si pemberi. Meminta-minta pula bukanlah suatu kesalahan bagi mereka yang terpaksa dan memerlukannya. Jika kita punya kelebihan, berilah bantuan dan kegembiraan kepada mereka. Mungkin sedikit yang kita berikan itu adalah penolong kita di kampung akhirat kelak. Jika tiada apa-apa, tidak mengapa. Orang yang meminta jangan pula diherdik atau dihina [al-Dhuha, 10]. Namun, meminta-minta bukan kerana keperluan sebaliknya untuk memperkayakan diri adalah haram dan seolah-olah meminta bara neraka (Muslim, 1041). Dari aspek lain, pemberian atau sadaqah luas maksudnya termasuklah dengan wang ringgit, amar ma’ruf nahi munkar, bercakap baik dan pelbagai kebaikan lagi (Muslim, 1006). Kita hidup bukan nafsi-nafsi, tetapi berkongsi. Apa yang kita beri, sebenarnya kita memberi untuk diri sendiri. Allah SWT jualah Maha Pemberi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

22 Ramadhan 1441

Hadith 7. Sedekah Tidak Kurangkan Harta

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

“Sadaqah tidak mengurangkan harta.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2588 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini adalah sebahagian daripada teks penuh hadith dengan tambahan anjuran bersikap pemaaf dan tawadhu’. Tentang sadaqah, kita ketahui bahawa konsepnya sangat luas seperti dijelaskan dalam Hadith 1. Sadaqah meliputi material dan spiritual; material umpama sedekah wajib (seperti zakat), sedekah sunat (derma infaq), sedekah jariyah (wakaf) sementara sadaqah spiritual umpama amal kebajikan, mencegah kemungkaran, menyelesaikan kesulitan di jalan dan sebagainya. Al-Nawawi menyebutkan dua tafsiran bagi teks hadith ini, iaitu (i) Harta yang disedekah akan diberkati dan dapat menghilangkan kemudaratan (hidup kerana) kekurangan harta akan diganti dalam bentuk keberkatan tersembunyi; dan (ii) Walaupun kekurangan jumlah (harta), namun kekurangannya diganti dengan pahala yang banyak serta berlipat kali ganda (al-Minhaj, 16/141).

2. Justeru, umat Islam sama ada kaya atau papa dianjurkan bersedekah secara ikhlas. Si Papa bersedekah ikut kemampuan dan tidak menyusahkan diri serta keluarga. Si Kaya silalah menunaikan zakat, wakaf dan infaq kerana sikap pemurah tidak menjadikan mereka fakir miskin. Usah ditakuti dengan janji syaitan tentang kepapaan (al-Baqarah, 268) kerana tidak pernah tercatat dalam sejarah manusia atau dilaporkan media, ‘Si Kaya menjadi papa kedana kerana suka bersedekah’. Sebaliknya, sedekah ada keajaibannya. Sedekah bukan untuk merugikan sesiapa, sebaliknya untuk menyubur dan memberkati harta serta memperoleh keuntungan harta dan pahala yang digandakan (al-Baqarah, 261; al-Hadid, 18). Dalam hadith lain, disebutkan (عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ) – ‘Ke atas setiap Muslim (ada tanggungjawab) bersadaqah’ (al-Bukhari, 1445, 6022 & Muslim, 1008). Jom! mulakan langkah pagi ini dengan ‘banyak bersadaqah walaupun nampak sedikit’.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

7 Ramadhan 1441

Hadith 1. Kebaikan adalah Sedekah

كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ

“Setiap kebaikan (berpahala) sedekah.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6021 dan Muslim no. 1005 daripada Jabir bin Abdullah RA. (مَعْرُوفٍ) adalah lafaz umum yang bermaksud segala perkara ketaatan yang disuruh syarak serta segala perkara buruk yang perlu ditinggalkan dengan niat mencapai redha Allah SAW. Hadith ini mengajak umat Islam untuk melaksanakan amalan kebaikan yang banyak manfaatnya kepada diri sendiri serta orang lain. Kepada pelaku kebaikan, Rasulullah SAW memberi khabar tentang ganjarannya seperti pahala bersedekah. Malah, semua amalan yang dianggap baik dan berkebajikan memperolehi pahala. Dalam hadith sahih lain, Baginda SAW menjelaskan setiap lafaz zikir, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah (Muslim, 1006), juga bercakap baik, langkah untuk solat dan membuang benda mengganggu jalan juga adalah (berpahala) sedekah (al-Bukhari, 2989 & Muslim, 1009).

2. Justeru, marilah sama-sama kita melakukan amal kebajikan, mencegah maksiat, melepaskan kesulitan orang sama ada secara personal, melalui kesukarelawan, aktiviti NGO atau apa-apa medium. Ini sesuai dengan ajakan supaya setiap Muslim berlumba-lumba melakukan kebaikan (al-Baqarah, 148) dan bersegera mencari keampunan Allah SWT (Ali Imran, 133). Kebaikan bukan terhad kepada orang Islam sahaja, tetapi kepada seluruh manusia termasuk makhluk lain, sama ada insan, haiwan atau alam.

Sebut teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

1 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share