Hadith 30. Puasa Adalah Perisai

الصِّيَامُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 1894 dan Muslim no. 1151 daripada Abu Hurayrah RA. Teks ini daripada Sahih Muslim sementara teks al-Bukhari terdapat penambahan selepasnya (فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ) – “Maka (orang berpuasa) janganlah berkata keji dan janganlah bertindak jahil. Jika seseorang hendak bergaduh atau memakinya, maka katakan: ‘Aku berpuasa’ diulangi dua kali.” Istilah (يَرْفُثْ) maksudnya ‘perkataan keji’ seperti menghina atau mencaci, sementara (يَجْهَلْ) bermaksud jangan melakukan perbuatan orang jahil seperti memekik-mekik, melaung dan sebagainya (Fath al-Bari, 4/104). Menurut al-Nawawi, puasa adalah perisai yang menegahnya daripada perkataan keji (يَرْفُثْ), melindunginya daripada dosa-dosa dan api neraka (al-Minhaj, 8/30). Ini turut dijelaskan dalam riwayat lain bahawa puasa adalah perisai yang melindungi daripada api neraka (al-Nasa’i, 2234) seumpama perisai yang melindungi seseorang dalam peperangan (al-Nasa’i, 2230; Ibn Majah, 1639). Ibn Rajab menjelaskan maksud hadith ini bahawa ‘puasa melindungi orang berpuasa daripada pelbagai maksiat ketika di dunia, maka puasa juga akan melindunginya daripada azab neraka di akhirat. (Sebaliknya) puasa yang gagal melindunginya daripada maksiat di dunia, maka puasa juga tidak dapat melindunginya daripada azab neraka akhirat kelak (Jami’ al-Ulum, 2/139).

2. Hadith ini menjelaskan fadilat berpuasa yang dapat mencegah daripada nafsu syahwat, perbuatan keji dan gejala maksiat. Bersetubuh siang hari, berzina, berkunjung ke tempat maksiat, memaki, mengumpat dan bercakap kotor adalah contoh maksiat. Pelakuan sebegitu tidak layak bagi ibadah puasa serta boleh membatal puasa atau mengurangkan pahalanya. Maksiat ini turut menimbunkan dosa yang boleh mengheret kita kepada pembalasan azab akhirat kelak. Menurut al-Qurtubi, hal ini tidak bermaksud perbuatan tersebut diharuskan ketika tidak berpuasa, tetapi bermaksud larangannya lebih kuat ketika berpuasa (Fath al-Bari, 4/104). Ulama menyebutkan puasa yang dimaksudkan meliputi puasa wajib Ramadhan dan puasa sunat seperti puasa enam hari Syawal, puasa setiap Isnin dan Khamis, puasa tiga hari setiap bulan, puasa Arafah dan puasa ‘Asyura. Puasa sebenar bukan setakat meninggalkan makan minum untuk perut, namun berpuasa daripada perbuatan yang diharamkan seperti bertelingkah, mencaci orang, berbohong dan sebagainya. Jika ada orang yang berbuat jahat, bersabarlah dan usah membalas perbuatannya. Sebaliknya, beritahu diri sendiri dan kepada orang itu secara baik bahawa anda sedang berpuasa. Ingatlah, orang berpuasa lisannya baik, perbuatannya baik, amalannya juga baik. Lepas berlalu bulan puasa, amal hariannya juga sama. Berjamaah, bertiwalah dan bersedekah. Tidak berubah. Tidak berubah tanda mencapai sasaran berpuasa Ramadhan ‘orang bertakwa’ (al-Baqarah, 183).

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

30 Ramadhan 1441

Hayati madrasah tarbiah Ramadan

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 9 Ogos 2011: RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

(more…)

Marhaban Ya Ramadhan! Ahlan “Hafal Hadith Pendek dalam 1 Minit”!

Hafal Hadith Pendek dalam 1 Minit

Assalamualaikum. Marhaban Ya Ramadhan. Insya Allah sepanjang Ramadhan 1441 akan disiarkan 30 siri *Hafal Hadith Pendek dalam 1 Minit * (Hadith Sahih al-Bukhari dan Muslim) seperti berikut:

1. Teks hadith pendek antara 3 hingga 10 patah perkataan.

2. Hadith daripada Sahih al-Bukhari dan/atau Sahih Muslim.

3. Diletakkan nama perawi a’la (tertinggi) daripada kalangan Sahabat.

4. Penjelasan sebab musabab atau riwayat hadith lain yang berkaitan.

5. Penjelasan pengajaran yang boleh diperolehi daripada hadith.

Follow by Email
LinkedIn
Share