Hadith 18. Dipatuk di Lubang Sama

لاَ يُلْدَغُ المُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ

“Mukmin tidak dipatuk dua kali pada lubang yang sama.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998 daripada Abu Hurayrah RA. Kalimah (يلدغ) boleh dibaca (يُلْدَغُ) atau (يُلْدَغِ). Bacaan pertama (pilihan majoriti) adalah khabar (berita) dengan maksud arahan, iaitu ‘seorang Mukmin jadilah teguh pendirian dengan tidak lalai’. Bacaan kedua adalah larangan dengan maksud ‘seorang mukmin janganlah lalai’. Ramai ulama termasuk antara perawi hadith ini, al-Zuhri menjelaskan maksud hadith di atas adalah tidak sepatutnya bagi seseorang yang beriman yang telah ditimpa suatu musibah ia kembali mengulanginya. Dalam Sunan al-Baihaqi (18029) dan Maqazi al-Waqidi (1/111) terdapat riwayat daripada Sa’id bin Musayyib tentang faktor kemunculan teks hadith ini. Ia disebabkan seorang ahli syair Quraisy Makkah, Abu ‘Azzah al-Jumahi telah ditawan dalam Perang Badar, lalu dia dibebaskan kerana rayuan kemiskinan dan keluarganya dengan syarat tidak memerangi Rasulullah SAW dan Islam lagi. Namun, apabila dia pulang kepada kaumnya, dia kembali memusuhi Islam hingga ditawan kali kedua dalam Perang Uhud. Dia meminta pembebasannya, lalu Rasulullah SAW bersabda seperti teks di atas (al-Minhaj, 18/125; Fath al-Bari, 10/529).

2. Hadith ini menonjolkan pepatah bahasa indah tentang adab yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umat supaya berhati-hati dan tidak lalai hingga melakukan kesilapan sama yang membawa akibat buruk. Maksud Mukmin dalam hadith tersebut adalah orang yang sempurna beriman dengan mengetahui sesuatu perkara tersirat hingga berwaspada terhadap musibah yang berlaku, sedangkan Mukmin yang lalai akan mengulangi kesilapan sama berulang kali. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, seseorang muslim perlu berwaspada jangan lalai sama ada dalam urusan agama ataupun dunia, walaupun urusan agama yang perlu diutamakan. Justeru, jika melakukan sesuatu dosa, bertaubatlah dan jangan diiulangi dosa itu lagi. Umat Islam juga perlu cerdas dan bijaksana dalam memahami hal ehwal yang berlaku disekeliling. Risiko masalah, musibah dan kerosakan perlu dielakkan terutama jika telah mengalaminya buat kali pertama. Kita perlu belajar daripada pengalaman dan mengambil hikmah serta ibrah daripada apa yang telah berlaku. Ambilah pengajaran seperti pisang yang tak berbuah dua kali daripada pokok yang sama.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

18 Ramadhan 1441

Hadith 15. Mukmin Seumpama Binaan

المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

“Mukmin dengan mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain.”

1. Hadith riwayat Muslim no. 2585 daripada Abu Musa Abdullah bin Qays RA dan pada riwayat al-Bukhari no. 481, 2446, 6026 dengan penambahan teks (وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ), iaitu (Rasulullah SAW) ‘tasybik jari-jemarinya’ (menggenggam sambil menyilang jari dengan bertemu telapak tangan kanan dan kiri) sebagai tanda saling menguatkan. Teks ini antara hadith perumpamaan yang disabda oleh Baginda SAW di samping gerak jari, tangan atau tubuh badan bagi mengukuhkan pemahaman. Hadith ini memberi perumpamaan keadaan seorang Mukmin yang membantu Mukmin lain laksana bangunan yang teguh saling lengkap melengkapi. Sebuah bangunan adalah gabungan acuan pasir, simen, batu, besi dan sebagainya. Naik tiang sebagai pasak memerlukan dinding untuk teguh, lantai dan bumbung sebagai pelengkap. Dengan bangunan berdiri kukuh, tentu lebih bermanfaat dan selamat untuk menumpang teduh. Begitu juga hubungan sesama Mukmin – yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing, yang berilmu memberi nasihat, yang jahil sama beramal – yang akhirnya membantu menguatkan Islam. Hadith lain memperumpamakan orang mukmin yang berkasih sayang dan bantu membantu laksana jasad yang terasa demam dan tidak dapat tidur apabila satu anggota lain berasa sakit (al-Bukhari, 6011 & Muslim 2586).

2. Hadith ini mengajak kita menggunakan kaedah penyampaian yang berkesan dalam pendidikan dan dakwah. Ini bagi memudahkan pemahaman serta meraikan kadar pemikiran audien. Teknologi moden pula boleh digunakan sebagai alat bantu. Pokok isi hadith ini mengiktiraf hak seorang Muslim serta menjelaskan kepentingan ukhwah dan bantu-membantu antara satu sama lain. Itulah nilai kerjasama hidup berjamaah. Ini tentunya meraikan hidup manusia yang secara fitrah tidak boleh bersendirian, sebaliknya memerlukan orang lain sebagai komunikasi sosial dan berkongsi hidup di dunia. Bantuan dalam perkara kebaikan mendapat pahala dan begitulah sebaliknya. Saling hormat menghormati serta kasih mengasihi memberi kekuatan kepada ummah, lantas memberi kekuatan juga kepada Islam daripada diganggu-gugat. Sebatang lidi boleh dipatahkan dengan mudah, segenggam lidi boleh tergeliat jari yang cuba mematahkannya.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

15 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share