Hadith 26. Makan Minum Beradab

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

“Sebut basmallah dan makanlah apa yang dekat denganmu.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 5376 & 5378 dan Muslim no. 2022 daripada ‘Umar bin Abi Salamah RA. Hadith ini menjelaskan dua adab makan iaitu memulakan dengan menyebut nama Allah SWT – basmallah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) dan makan makanan yang berdekatan. Dalam riwayat lain ditambah satu lagi adab iaitu (وَكُلْ بِيَمِينِكَ) – ‘Dan makanlah dengan tangan kananmu’ di tengah-tengah teks dua adab tersebut. Hadith ini adalah pesanan Rasulullah SAW kepada budak asuhan baginda, ‘Umar bin Abi Salamah RA yang juga perawi hadith ini. Beliau ketika itu masih kanak-kanak dan tangannya merayap-rayap sekitar hidangan ketika hendak makan, lalu Baginda SAW memulakan teks hadith dengan sabda (يَا غُلاَمُ) – ‘Wahai anak kecil’. Terdapat dalam hadith lain Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki – dikatakan Basar bin al-Asyja’i yang makan menggunakan tangan kiri (Muslim, 2021). Ini kerana ada hadith menyebutkan makan dan minum dengan tangan kiri menyerupai perlakuan syaitan (Muslim, 2019 & 2020). Selain itu, terdapat pelbagai adab makan lain dalam al-Qur’an dan hadith antaranya mengambil makanan halal dan berkhasiat (al-Baqarah, 168), menjauhi pembaziran dan berlebih-lebihan (al-A’raf, 31), tidak mencela makanan, membasuh tangan serta berdoa sebelum dan selepas makan.

2. Hadith ini adalah siri teladan didikan Rasulullah SAW terhadap anak-anak tentang adab dengan tunjuk ajar lembut tanpa memarahinya. Hadith ini juga menjelaskan adab Rasulullah SAW yang wajar diikuti oleh umat Islam dalam kehidupan seharian. Semua gerak-geri kita mengikut sunnah akan mendapat pahala, termasuklah ketika makan minum. Justeru, sesuatu perkara ibadah atau amal kebaikan perlu dimulakan dengan basmallah serta niat kerana Allah SWT untuk mendapat pahala dan keberkatan. Ketika makan, sunat menggunakan tangan kanan, sementelah jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafi’i berpandangan adalah makruh menggunakan tangan kiri tanpa keuzuran. Jika hidangan memerlukan dua tangan seperti sudu dan garfu, tiada masalah untuk menggunakannya, namun suapkanlah ke mulut dengan tangan kanan. Malah, Rasulullah SAW turut menyukai mendahulukan bahagian kanan dalam urusan kebaikan harian seperti memakai kasut, menyikat rambut dan mandi atau wudhu’ (al-Bukhari, 168). Selain itu, hadith ini turut memberi contoh adab makan berjamaah dengan mengambil makanan berdekatan terutama ketika mula makan. Ini secara langsung menjauhi sikap berebut-rebut makanan atau berlaga tangan untuk mengambil juadah yang sedap terlebih dahulu. Semua ini adalah sunnah kecil dan mudah diikuti, namun berpahala besar dan mudah diperolehi.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

26 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share