Hadith 19. Luruskan Saf Solat!

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ

“Luruskan saf (solat) kamu!.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 723 dan Muslim no. 433 daripada Anas bin Malik RA. Teks hadith ini sebahagian daripada teks penuh dengan tambahan dihujungnya (فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ) – ‘Sesungguhnya meluruskan saf daripada (kesempurnaan) mendirikan solat’. Hadith ini merupakan arahan Rasulullah SAW supaya meluruskan saf sebelum menunaikan solat berjamaah. Dalam riwayat lain Sahabat seperti ‘Umar bin al-Khattab RA tidak memulakan solat sebelum dimaklumkan saf telah lurus serta Bilal bin Rabah RA membantu meluruskan saf dengan mengetuk kaki makmum. Hukum meluruskan saf adalah sunnah menurut pandangan majoriti empat mazhab untuk kesempurnaan solat. Walaupun begitu, kita sewajarnya mengambil berat tentang tuntutan ini kerana terdapat pandangan seperti Ibn Taymiyah dan al-Bukhari yang mewajibkannya. Al-Bukhari meletakkan tajuk khas (بَابُ إِثْمِ مَنْ لَمْ يُتِمَّ الصُّفُوفَ) – ‘Bab Dosa Seseorang yang Tidak Menyempurnakan Saf’ selepas hadith ini (al-Bukhari, 1/146). Menurut al-Nawawi (al-Minhaj, 4/154), hadith ini adalah hujah bagi pandangan mazhab al-Syafi’i dan jumhur ulama tentang harus bercakap-cakap antara iqamah dan memulai solat, sama ada melibatkan urusan solat atau bukan.

2. Hadith ini menjelaskan sunat dan kepentingan meluruskan saf sebelum solat. Imam, wakil atau ahli jamaah sendiri perlu memainkan peranan tersebut sama ada menggunakan teks hadith atau lafaz lain yang mencapai maksud meluruskan saf. Terdapat pelbagai cara untuk meluruskan saf seperti tercatat dalam banyak hadith. Secara umum, saf perlu lurus dan rapat tanpa sebarang ruang celahan kosong, antaranya dengan menyamakan antara bahu dan tumit kaki jamaah di kiri kanan ketika berdiri memulakan solat. Banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan tuntutan ini. Antaranya menimbulkan khusuk tanpa gangguan syaitan, mendapat rahmat Allah SWT, membina perpaduan jamaah dan menonjolkan nilai Islam yang tersusun. Selain itu, hadith ini juga secara tidak langsung menunjukkan kepentingan solat berjemaah yang 27 kali ganda lebih baik daripada solat bersendirian (al-Bukhari, 645 & Muslim, 650).

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

19 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share