Sunan al-Darimi pengganti Sunan Ibn Majah dalam Kutub al-Sittah?

Adakah Sunan al-Darimi layak sebagai pelengkap Kutub al-Sittah? Mengapa tidak jika al-Darimi sendiri adalah guru kepada al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidhi. Malah, sanad thulathiyat Sunan al-Darimi lebih banyak daripada thulathiyat Sahih al-Bukhari yang berjumlah 22 sanad itu. Justeru, sesetengah ulama’ hadith tidak meletakkan Sunan Ibn Majah sebagai kitab keenam dalam Kutub al-Sittah tetapi meletakkan Sunan al-Darimi atau al-Muwatto’ Imam Malik sebagai gantinya.

Hakikatnya, kurun ketiga hijrah dan keempat hijrah telah melahirkan ratusan karya-karya hadith. Ketika itu tidak wujud karya-karya utama hadith lagi walaupun sebahagiannya lebih terkenal daripada sebahagian karya lain. Namun, proses kajian serta penghasilan karya oleh ulama’ selepas itu telah melahirkan karya-karya utama hadith, antaranya istilah Kutub al-Sittah.

Namun, pada peringkat awal ahli hadith menjadikan sumber rujukan utama hadith adalah Kutub al-Khamsah tanpa Sunan Ibn Majah. Ulama’ hadith yang mula-mula meletakkan Ibn Majah sebagai pelengkap Kutub al-Sittah ialah Abu al-Fadhl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi (m.507) melalui karya beliau Atraf al-Kutub al-Sittah dan Syurut al-A’immah al-Sittah.

Walaupun al-Muwatto’ dianggap sebagai karya pertama menghimpunkan banyak hadith sahih, namun Sunan Ibn Majah lebih dahulu disenaraikan sebagai Kutub al-Sittah. Ini kerana dalam Sunan Ibn Majah terdapat manfaat dari aspek bab feqah di samping lebih banyak hadith tambahan kepada Kutub al-Khamsah. Walaupun hadith-hadith dalam al-Muwatto’ lebih sahih daripada Sunan Ibn Majah, namun kebanyakkan hadithnya telah terdapat dalam Kutub al-Khamsah, iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi dan Sunan al-Nasa’ie. Walaupun begitu, terdapat di kalangan ulama’ hadith seperti Ahmad bin Razin al-Abdari as-Sarqisti (m.535H) dan Ibn al-Athir al-Jazairi (m.606H) yang memilih Muwatto’ imam Malik sebagai kitab keenam tersebut dan bukannya Sunan Ibn Majah atau al-Darimi.

Langkah menjadikan Ibn Majah sebagai pelengkap Kutub al-Sittah ini diteruskan oleh Abdul Ghani bin Abd al-Wahid al-Maqdisi (m.600H) yang menghasilkan karya al-Kamal fi Asma’ al-Rijal. Karya beliau ini mengumpulkan biografi semua nama perawi yang terdapat dalam Kutub al-Sittah. Karya al-Kamal ini ini kemudian menjadi induk dan asas pedoman oleh pengkarya lain dalam biografi perawi Kutub al-Sittah lantas meletakkan Sunan Ibn Majah sebagai antara enam karya utama hadith. Antara mereka ialah al-Mizzi (m.742H) (Tahdhib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal), al-Dhahabi (m.748H) (Tahdhib al-Tahdhib dan Al-Kashif fi Asma’ Rijal al-Kutub al-Sittah ), Ibn Kathir, al-Mughlata’i (m.762H) (Ikmal Tahdhib al-Kamal), Ibn Hajar (m.852H) Tahdhib al-Tahdhib dan Taqrib al-Tahdhib) dan al-Khazraji (m.923H) (Khulasah al-Tahdhib).

Perlu juga diketahui bahawa anggapan memasuk atau mengeluarkan sesuatu karya daripada gabungan karya utama tidak langsung mencacatkan kehebatan karya tersebut dan pengarangnya. Justeru, al-Nawawi (m.675H) dan Ibn Hajar (m.852H) menganggap Sunan al-Darimi lebih sesuai bersama Usul al-Khamsah bagi mengantikan Sunan Ibn Majah. Ini kerana Sunan al-Darimi dianggap lebih sahih walaupun terdapat hadith-hadith mursal dan mauquf yang sebenarnya ada turuq (jalan sanad) lain yang menguatkannya.

Malah, dalam Sunan al-Darimi terdapat sedikit perawi daif, jarang terdapat hadith munkar dan syaz berbanding dengan Sunan Ibn Majah. Selain itu, Syeikh Abd al-Haq al-Dahlawi menyebutkan Sunan al-Darimi lebih sesuai dimasukkan dalam Kutub al-Sittah kerana sanad hadithnya lebih tinggi serta sanad thulathiyatnya lebih banyak berbanding dengan Sahih al-Bukhari sendiri.

Walaupun disusun mengikut bab fiqah hingga dipanggil Sunan al-Darimi, ia juga dikenali sebagai musnad kerana sanad hadith-hadithnya kebiasaannya bersambung kepada Nabi SAW. Ini berbeza dengan perawi Sunan Ibn Majah yang terdapat mereka yang ditohmah sebagai pendusta (hadith munkar). Menurut Azami, Ibn Majah tidak memberi klasifikasi  atau komentar terhadap hadith-hadith daif dalam karyanya ini seperti yang dilakukan oleh Abu Dawud dan al-Tirmidhi. Ini menyebabkan perbincangan berlaku di kalangan ulama karya mana yang lebih layak di masukkan dalam Kutub al-Sittah.

Sunan al-Darimi dihasilkan oleh Abu Muhammad Abdullah bin Abdul Rahman bin al-Fadhl bin Bahram bin Abdul Samad al-Tamimi al-Darimi al-Samarkandi. Menurut al-Kattani dalam Risalah, al-Darimi adalah nisbah panggilan kepada Bani Darim bin Malik, iaitu satu rumpun besar dari Bani Tamin. Beliau dilahirkan di Samarkand, Uzbekistan pada tahun 181 hijrah, iaitu tahun ulama’ hadith awal Ibn al-Mubarak meninggal dunia. Ketika berumur 74 tahun, beliau dipanggil Ilahi  iaitu pada hari Tarwiyah 255 hijrah dan dikebumikan pada hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat.

Kehebatan ilmu al-Darimi tergambar dengan watak beliau sebagai guru kepada ramai tokoh-tokoh hadith utama seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Abdullah bin Ahmad ibn Hanbal dan sebagainya. Namun, Ibn Hajar menyebutkan dalam Tahzib bahawa al-Bukhari tidak meriwayatkan daripadanya hadith dalam al-Jami’ al-Sahih, namun Muslim meriwayatkan daripadanya 73 hadith.

Banyak pujian dan ulasan tentang kewarakan dan keilmuan beliau oleh para ulama’. Cukuplah dengan kalam Khatib al-Baghdadi (m.463H) dalam Tarikhnya, ‘Beliau salah seorang pengembara mencari hadith dan mempunyai kekuatan hafalan dan menghimpunnya secara tertib serta seorang yang siqah, baik, warak dan zuhud” serta kata-kata Muhammad bin Ibrahim al-Syairazi, ‘Beliau memiliki akal yang tajam dan teguh beragama, tiada seorang pun yang serupa pada kecerdikan, ilmu dirayah, hafalan, ibadah dan kezuhudannya, beliau mempopularkan ilmu hadith dan athar di Samarqand serta membanteras para pendusta, seorang ahli tafsir dan fiqh.” (Siyar A’lam al-Nubala’ & Tahzib)

Selain Sunan, al-Dhahabi menyebutkan dalam Tadhkirah bahawa al-Darimi juga menghasilkan karya al-Tafsir dan al-Jami’. Al-Suyuthi (m.911H) menyatakan kemungkinan yang masih wujud adalah Sunan dan al-Jami’ sahaja.

Kitab Sunan al-Darimi lebih mashyur di kalangan ahli hadith sebagai Musnad. Ada pula di kalangan mereka yang menamakannya sebagai al-Sahih. Namun menurut al-Sayuthi, Musnad al-Darimi bukanlah musnad kerana disusun mengikut bab. Perlu diketahui bahawa maksud kitab musnad adalah karya hadith yang disusun mengikut nama Sahabat, sama ada mengikut abjad, siapa masuk dahulu Islam, kabilah dan sebagainya. Sunan pula bermaksud karya hadith yang disusun mengikut bab-bab feqah seperti bab iman, bersuci, solat dan seterusnya.

Justeru, karya beliau ini lebih tepat dipanggil Sunan daripada dipanggil musnad. Walaupun begitu, kadang-kadang istilah musnad juga digunakan kepada karya yang disusun mengikut bab atau huruf dan bukannya mengikut Sahabat sahaja. Ini kerana hadith-hadith tersebut bersanad dan marfu’ kepada Nabi SAW. Menurut al-Iraqi (m.806H), karya beliau mashyur dengan nama musnad kerana sanadnya bersambung hingga kepada Nabi SAW. Ini seperti al-Bukhari yang menamakan karyanya sebagai Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih. Walaupun begitu, Sunan al-Darimi juga memuatkan hadith-hadith yang mursal, mu’dhal, munqati’ dan maqtu’.

Seperti yang disebutkan di atas selain hadith sahih, Sunan al-Darimi juga memuatkan hadith Syaz dan munkar namun dalam hanyalah sedikit. Begitu juga hadith yang tidak bersambung seperti mursal dan mauquf dalam sunannya mempunyai turuq sanad lain yang menguatkannya.

Sunan al-Darimi telah dicetak dalam beberapa naskah. Penulis tidak pernah bertemu dengan karya syarahnya secara terperinci. Naskah yang ada pada penulis dicetak oleh Dar al-Rayyan li Turath, Kaherah yang ditahqiq dan ditakhrij oleh Fawwaz Ahmad Zamarli dan Khalid al-Sab’i al-‘Alami bertarikh 1407H.

Naskhah ini mempunyai 2 jilid, 23 kitab yang terdiri daripada 3503 hadith dan athar. Sunan al-Darimi dimulakan dengan Muqaddimah yang mengandungi 57 bab terdiri daripada 654 hadith tentang manusia sebelum Islam, sunnah Nabi SAW, keutamaan ilmu dan yang bersangkutan dengannya. Kemudian sistematika penyusunannya mengikut perbahasan fiqh, iaitu sebanyak 23 kitab dimulai dengan Kitab al-Thaharah dan diakhiri dengan Kitab Fadail al-Quran.

Sunan al-Darimi kekal sebagai sebuah karya yang mendapat perhatian pengkaji hadith. Ia kemudiaanya dikategorikan sebagai Kutub al-Tis’ah bersekali dengan Kutub al-Sittah, al-Muwatto’ Malik dan Musnad Ahmad. Karya al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi oleh Arent Jan Wensinck (m.1939M) merupakan salah sebuah karya terkenal yang memuatkan Kutub al-Tis’ah sebagai sumber carian hadith.

Najahudin Lateh

Shah Alam

Simbol @ Rumuz dalam Karya Hadith

Seorang pencinta ilmu hadith mesti memahami simbol atau rumuz hadithiah. Ia merupakan suatu metodologi penulisan yang menarik, terutama bagi karya-karya yang menghimpunkan hadith daripada karya-karya utama hadith. Simbol bagi karya hadith biasanya berbentuk singkatan satu, dua atau beberapa huruf daripada nama penulis atau nama karya itu sendiri.

Simbol (rumuz) kepada sesebuah karya atau penulis juga suatu keistimewaan dalam tradisi kutub khanah Islam. Ia memberi perlambangan bahawa banyaknya karya ulama’ Islam dalam pelbagai bidang yang memerlukan suatu simbol untuk mengenalinya. Ia juga mencabar minda dan pengetahuan para pelajar untuk mengenali simbol tersebut dan seterusnya bertemu dengan siapa ulama’ yang dimaksudkan dan sandaran karya sebenar.

Bidang hadith dan fiqh merupakan dua bidang Islam yang sangat banyak menggunakan simbol bagai melambangkan seseorang tokoh atau karya. Sebagai contohnya ketika anda membaca karya fiqh al-Syafie, anda bertemu dengan simbol ‘حج’ dan ‘خط’. Jika anda tidak faham bahawa ia merujuk kepada ‘Syeikh Ibn Hajar al-Haithami’ dan ‘Syeikh al-Khatib al-Syirbini’, anda tentu tidak dapat mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan simbol tersebut.

Begitu juga dalam bidang hadith. Banyak tulisan ulama’ hadith menggunakan simbol bagi menggambarkan karya seseorang tokoh pengumpul hadith. Anda tentu pernah bertemu dengan istilah ‘Diriwayatkan oleh al-Sittah, al-Tis’ah, al-Muttafaq Alaih’ dan sebagainya. Justeru, kalau anda tidak memahami simbol tersebut, anda tentu tertanya-tanya siapakah dan karya manakah yang meriwayatkan hadith tersebut.

Namun, kadang-kadang maksud simbol untuk ulama’ fiqh dan hadith adalah berbeza. Sebagai contohnya, simbol ‘الشيخان’ dalam fiqh al-Syafie ialah Imam al-Rafie dan Imam al-Nawawi sedangkan dalam hadith bermaksud diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Kita juga perlu memahami ulama’-ulama’ hadith menggunakan simbol yang berbeza dalam karya mereka. Walaupun begitu, kebanyakkannya adalah sama kecuali terdapat sedikit perbezaan bagi karya-karya tertentu. Untuk memudahkan anda, saya akan menyebutkan simbol-simbol karya hadith terutamanya yang digunakan oleh al-Suyuthi dalam al-Jami’ al-Saghir dan al-Jami’ al-Kabir, al-Munawi dalam Kunuz al-Haqaiq dan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Bulugh al-Maram.

Untuk hadith yang diriwayatkan oleh lebih seorang pungumpul hadith, simbol yang digunakan adalah seperti berikut :

  1. ‘المتفق عليه’ / Al-Muttafaq Alaih (al-Bukhari dan Muslim)
  2. ‘الثلاثة’ / Al-Thalasah atau no (3) (Abu Dawud, al-Tirmidhi dan al-Nasaie)
  3. ‘الأربعة’ / Al-Arba’ah  atau no (4) (Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
  4. ‘اصحاب السنن’ / Ashab al-Sunan (Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
  5. ‘الخمسة’ / Al-Khamsah (Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Imam Ahmad)
  6. ‘الستة’ / Al-Sittah (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
  7. ‘السبعة’ / Al-Sab’ah (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Imam Ahmad)
  8. ‘التسعة’ / Al-Tis’ah (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie, Ibn Majah, Imam Ahmad, Imam Malik dan al-Darimi)

Karya yang dirujuk dengan simbol tokoh hadith di atas adalah al-Bukhari (maksudnya dalam Sahih al-Bukhari), Muslim (maksudnya dalam Sahih Muslim), Abu Dawud (maksudnya dalam Sunan Abi Dawud), al-Tirmidhi (maksudnya dalam Sunan al-Tirmidhi), al-Nasaie (maksudnya dalam Sunan al-Nasaie), Ibn Majah (maksudnya dalam Sunan Ibn Majah), Imam Ahmad (maksudnya dalam Musnad Imam Ahmad), Imam Malik (maksudnya dalam al-Muwatto’) dan al-Darimi (maksudnya dalam Sunan al-Darimi)

Simbol untuk hadith yang diriwayat dan dikumpulkan dalam karya seseorang tokoh hadith pula adalah seperti berikut :

  1. ‘خ’ – (al-Bukhari dalam sahihnya)
  2. ‘م’ – (Muslim dalam sahihnya)
  3. ‘ق’ – (al-Bukhari dan Muslim dalam sahih)
  4. ‘ق’ – (al-Bukhari dan Muslim dalam sahih)
  5. ‘حب’ – (Ibn Hibban dalam sahihnya)
  6. ‘ك’ – (al-Hakim dalam Mustadrak)
  7. ‘ض’ – (Diya’ al-Maqdisi dalam al-Muqtarah), kadang-kadang digunakan ‘ضا’
  8. ‘د’ – (Abu Dawud dalam sunannya)
  9. ‘ت’ – (al-Tirmidhi dalam sunannya)
  10. ‘ن’ – (al-Nasaie dalam sunannya)
  11. ‘ه’ – (Ibn Majah dalam sunannya)
  12. ‘حم’ – (Imam Ahmad dalam musnadnya)
  13. ‘عم’ – (Abdullah ibn Imam Ahmad dalam Ziwadad musnad Ahmad)
  14. ‘ما’ – (Imam Malik dalam al-Muwatto’)
  15. ‘مى’ – (al-Darimi dalam sunannya)
  16. ‘ط’ – (Abu Dawud al-Tialisi dalam musnadnya), kadang-kadang digunakan ‘طيا’
  17. ‘عب’ – (Abd al-Razak dalam musannafnya)
  18. ‘ص’ – (Saad bin Mansur dalam sunannya)
  19. ‘ش’ – (Ibn Abi Syaibah dalam musannafnya)
  20. ‘ع’ – (Abu Yu’la dalam musnadnya)
  21. ‘قط’ – (al-Daruqutni dalam sunannya)
  22. ‘حل’ – (Abu Nu’aim dalam al-Hulliyah)
  23. ‘ق’ – (Al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra), kadang-kadang digunakan ‘هق’
  24. ‘عق’ – (‘Uqayli dalam al-Duafa’)
  25. ‘عد’ – (Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Duafa’)
  26. ‘خط’ – (al-Khatib dalam Tarikh Baghdad)
  27. ‘كر’ – (Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damsyik)
  28. ‘فر’ – (al-Daylimi dalam Musnad Firdaus)

Bagi seorang pengumpul hadith yang mempunyai karya yang berlainan, simbol berlainan digunakan :

  1. ‘خد’ – (al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)
  2. ‘تخ’ – (al-Bukhari dalam al-Tarikh)
  3. ‘طب’ – (Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir)
  4. ‘طس’ – (Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Ausat)
  5. ‘طص’ – (Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Saghir)
  6. ‘هب’ – (Al-Bayhaqi dalam Su’b al-Iman)

Kadang-kadang terdapat satu simbol yang digunakan untuk karya yang berlainan, contohnya :

  1. ‘ق’ – merujuk kepada al-Bukhari dan Muslim dan kadang-kadang al-Bayhaqi
  2. ‘ط’ – merujuk kepada Abu Dawud al-Tialisi, kadang-kadang al-Tabrani secara umum dan sesetengah karya menggunakannya untuk Muwatta’ Imam Malik
  3. ‘ش’ – merujuk kepada Ibn Abi Syaibah dan kadang-kadang Ibn al-Sunni

Perlu disebutkan simbol yang disebutkan di atas kebanyakkannya terdapat dalam kitab Jami’ al-Saghir dan al-Jami’ al-Kabir oleh al-Suyuthi dan kebanyakan karya lain. Namun, terdapat beberapa perbezaan simbol yang digunakan oleh tokoh hadith yang lain dalam karya mereka. Contohnya dalam kitab al-Mu’jam al-Mufahris li al-Alfaz al-Hadith menggunakan simbol  ‘جه’ bagi Sunan Ibn Majah dan ‘دى’ bagi Sunan al-Darimi. ‘ط’ untuk Muwatto’ Imam Malik. Ini juga berlaku dalam karya-karya lain. Justeru setiap pelajar dan pengkaji hendaklah membaca muqaddimah penulis untuk mengetahui metodologi penulisan yang digunakan oleh mereka.

Najahudin Lateh

26 September 2012

Penghasilan Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi Tumpuan Kepada Sumbangan Ulama Acheh Dalam Manuskrip MS 1042 Dan MSS 2068

Abstrak: Pelbagai karya Islam tulisan jawi yang juga dipanggil kitab kuning dalam pelbagai disiplin ilmu telah dihasilkan oleh ulama-ulama besar di Alam Melayu sejak zaman berzaman. Karya-karya penulisan tersebut dikesan wujud sejak kurun ke-17 dan biasanya meliputi bidang akidah, fiqh dan tasauf. Walaupun begitu, karya dalam ilmu-ilmu lain termasuklah ilmu hadith juga telah dihasilkan oleh mereka sama ada dalam bentuk karya asal, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada juga karya dalam bentuk terjemahan. Acheh sebagai bumi Islam yang digelar Dar al-Salam dan Serambi Mekah juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama besar yang telah menghasilkan karya-karya hadith. Kertas ini akan meneliti apa dan bagaimanakah bentuk penghasilan karya-karya hadith dalam tulisan jawi kurun ke-17 hinggalah akhir kurun ke-20. Penumpuan akan diberikan kepada dua naskah manuskrip dalam bidang hadith yang terdapat di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah (MS 1042) oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dan Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi (MSS 2068) oleh Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (m.1693). Penelitian bersifat kualitatif diskriptif ini ditumpukan kepada karya-karya hadith dalam tulisan jawi, metodologi penulisan kedua-dua tokoh ulama Acheh tersebut selain sedikit catatan tentang rupa bentuk fizikal kedua-dua manuskrip tersebut.

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share