Hadith 21. Jangan Marah!

لاَ تَغْضَبْ

“Jangan marah!.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 6116 daripada Abu Hurayrah RA. Hadith ini tentang amarah, iaitu emosi semulajadi yang wujud pada setiap insan. Hadith ini muncul bila seorang Sahabat – dikatakan Jariyah bin Qudamah RA yang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW lalu dinasihati ‘Janganlah engkau marah!’ Dalam riwayat lain diminta nasihat supaya mudah diingati, sementara riwayat lain meminta suatu amalan mudah ke syurga. Permintaan tersebut diajukan berulang kali, namun jawapan Baginda SAW tetap sama. Ada riwayat menyebut diajukan sebanyak tiga kali. Menurut al-Nawawi, ulangan jawapan yang sama menunjukkan kemusnahan besar yang wujud daripada sifat marah (al-Minhaj, 16/163). Menurut al-Khattabi, maksud hadith ini adalah ‘menjauhi daripada sebab-sebab amarah.’ Ada ulama menyebut maksudnya ‘jangan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan’. Ini kerana hakikat amarah tidaklah dilarang kerana ia adalah perkara tabi’i yang tidak akan hilang daripada tabiat manusia (Fath al-Bari, 10/520). Malah, marah dibenarkan dalam keadaan tertentu seperti ketika Islam dan syariat dihina, marah terhadap maksiat dan kezaliman dengan syarat dikawal supaya tidak melampau atau mengikut hawa nafsu. Menahan atau mengawal sifat marah adalah suatu kebaikan yang disukai Allah SWT (Ali Imran, 134), malah Nabi SAW menilai kekuatan sebenar seseorang bukan kerana handal berlawan, tetapi kerana dapat mengawal diri semasa marah (al-Bukhari, 6114 & Muslim, 2609).

2. Hadith ini menganjurkan sifat nasihat-menasihati serta membuktikan Sahabat adalah mereka yang suka mendapatkan nasihat yang baik dan bermanfaat untuk amalan yang boleh kita contohi. Kandungan utama hadith ini adalah mengesa umat Islam supaya mengawal kemarahan, lantas memupuk diri dengan sifat sabar, pemaaf, tawadhu’ serta akhlak mulia lain. Amarah boleh dikawal dengan amalan tertentu yang turut dijelaskan Rasulullah SAW dalam banyak hadith yang lain. Antaranya, berdoa berlindung daripada hasutan syaitan dengan mengucapkan (أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ), bertenang, mengambil wudhuk, diam atau mengucapkan kalimah yang baik, mengubah posisi dengan duduk atau baring ketika sedang marah. Marah juga perlu diluah dan dibincang dengan orang lain, bukan dipendam lama-lama yang akan meletus dan mungkin menimbulkan masalah psikologi kepada individu. Marilah kita mengawal amarah, simpanlah amarah itu untuk bertempat seperti membela syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

21 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share