Awasi Riba dalam Pembelian Emas

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 19 Mei 2011: Akhir-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam dalam negara kita untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya. Situasi ini menyebabkan kadang-kadang wujud di kalangan mereka yang lupa batas-batas syariah berkaitan pembeliannya, terutama terjebak dengan amalan riba yang diharam dan dikutuk dalam Islam.

Malah Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman : “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Baqarah’ : 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam transaksi sesuatu barangan riba atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

(more…)

Labur Emas Mengikut Syariah

Najahudin Lateh, Utusan Malaysia, 2 Februari 2012: Emas pada sepanjang zaman dianggap sebagai simbol kekayaan, kemashyuran dan kecantikan. Dalam sejarah ekonomi Islam, emas merupakan matawang dan aset simpanan yang baik.

Teks al-Quran dan hadith banyak menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Emas dirujuk sebagai matawang dinar dalam firman-Nya : “Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya”. (Ali Imran : 75)

(more…)

Dapatan Kajian Pembangunan Instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah Di Malaysia

Abstrak: Kertas ini menjelaskan dapatan daripada kajian pembangunan instrumen Pelaburan Emas Patuh Syariah (iPEPS) yang disepakati pakar dan mempunyai tahap kualiti tinggi berasaskan senario transaksi di Malaysia. Kajian ini menggabungkan kaedah kualitatif dan kuantitatif dengan pendekatan kajian Reka bentuk dan Pembangunan oleh Richey & Klein (2007) yang diubah suai melalui tiga fasa; analisis, reka bentuk dan penilaian. Dapatan data Fasa Analisis menunjukkan semua (100 peratus) pelabur dan pakar bersetuju bahawa panduan pelaburan emas dalam bentuk instrumen sangat diperlukan. Semua responden pakar juga bersetuju bahawa panduan tersebut perlu mempunyai tiga dimensi, iaitu (i) pelabur dan institusi pelaburan; (ii) barang dan harga; dan (iii) akad tawaran. Kriteria bagi panduan tersebut adalah berdasarkan dua teori transaksi emas, iaitu kriteria umum dalam syarat al-bay’ dan kriteria khusus dalam bay’al-sarf. Dapatan data pada Fasa Reka Bentuk pula menunjukkan semua (100 peratus) pakar Delphi bersetuju dengan ketiga-tiga dimensi tersebut. Dapatan fasa ini juga menunjukkan kesepakatan yang tinggi dalam kalangan mereka untuk bersetuju menerima 33 item dengan skor median adalah 4 dan JAK antara 0.00 hingga 1.00. Skor ini disokong oleh analisis FDM yang menunjukkan nilai threshold (d ≤ 0.2) serta peratusan kesepakatan pakar ( ≥75%). Dapatan data pada Fasa Penilaian menunjukkan terdapat satu item telah digugurkan pada kajian rintis kerana tidak sepadan (misfit) dengan nilai PTMEA CORR negatif (-0.17logit) dan berada di luar sempadan yang ditetapkan (outfitz-std=2.9). Kajian tinjauan sebenar telah mengekalkan 32 item kerana mempunyai ciri kesahan yang baik bagi setiap item dan person (nilai kebolehpercayaan item: 0.94; kebolehpercayaan person: 0.94; PTMEA CORR item yang positif; infit MNSQ item=0.44-1.66logit; and z-std > -/+2). Profil pelaburan emas menunjukkan majoriti institusi pelaburan emas tidak patuh syariah dengan hanya 7.5 peratus yang mempunyai komitmen tinggi untuk mematuhi kriterianya dan terdapat dua item (6.25%) yang sukar dipatuhi kerana berada di atas mean person. Akhirnya, kajian ini berjaya menghasilkan panduan pelaburan emas secara syariah berkualiti tinggi serta memberi implikasi penambahbaikan kepada Parameter Pelaburan Emas yang telah diperakui pihak kerajaan dan rujukan masyarakat.

(more…)

Fiqh Emas dalam Karya Ulama Nusantara Sorotan melalui Kitab al-Sirat al-Mustaqim, Furu’ al-Masail dan Bahr al-Madhi

Abstrak: Ulama Nusantara khasnya di Tanah Melayu, Fatani dan Acheh menghasilkan pelbagai penulisan terutama dalam ilmu akidah, fiqh dan tasauf. Penulisan karya jawi mereka meliputi pelbagai bentuk sama ada tulisan sendiri, terjemahan teks Arab ke bahasa Melayu ataupun dalam bentuk ulasan terhadap teks karya lain. Kertas ini bertujuan meneliti tiga buah karya agung fiqh yang setiap satu dihasilkan dan diwakili oleh ulama dari tiga tempat yang berbeza, pada waktu yang berbeza dan karya dalam bentuk yang berbeza. Namun, kertas ini hanya meneliti tema perbahasan mereka berkaitan fiqh emas sahaja. Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dari Acheh diteliti melalui karya fiqh beliau sendiri, Al-Sirat al-Mustaqim, Shaykh Daud al-Fathani (m.1847), dari Fatani melalui karya terjemahan beliau, Furu’ al-Masail sementara Shaykh Idris al-Marbawi (m.1989), ulama di Tanah Melayu dengan karya terjemahan berserta ulasan hadith, Bahr al-Madhi. Metodologi penelitian yang digunakan bersifat kualitatif diskriptif melalui observasi dan analisis komparatif ketiga-tiga karya tersebut bagi mencapai objektif meneliti isu-isu berkaitan tema emas dalam karya-karya ulama silam di Alam Melayu. Kajian ini mendapati terdapat beberapa tema berkaitan emas yang telah digunakan dalam penyataan hukum antaranya berkaitan perkakasan, perhiasan, cincin, pakaian, anggota badan, pembayaran zakat, jual-beli dan sebagainya.

(more…)

Pembentukan Model Penggunaan Emas Sebagai Kontrak Takaful

Abstract: Kontrak takaful di seantero dunia termasuk di Malaysia biasanya berasaskan model mudharabah dan wakalah atau gabungan antaranya. Namun, muamalat Islam sejak zaman Rasulullah SAW telah menyenaraikan pelbagai kontrak lain yang direkabentuk oleh ulama’ Islam dalam karya-karya fiqh mereka. Antara kontrak yang boleh diimplimentasikan dalam pasaran kontemporari adalah berkaitan penggunaan emas. Ini sejajar dengan nilai emas yang sentiasa meningkat saban tahun antara 20 hingga 30  peratus sedangkan ringgit mengalami penyusutan nilai akibat inflasi yang meningkat antara tiga hingga lima peratus di negara kita. Ini memberi kesan besar dalam jangka masa panjang terhadap simpanan pencarum dalam organisasi kewangan. Objektif kajian ini akan menonjolkan satu model baru berasaskan penggunaan emas yang boleh diaplikasikan dalam industri takaful. Model yang dicadangkan ini dijangka boleh mengatasi masalah penyusutan nilai sumbangan peserta di samping membantu syarikat takaful berhadapan dengan instrumen pelaburan syariah yang terhad. Kertas ini adalah kajian kualitatif diskriptif dengan data dikumpulkan melalui metod dokumentasi, historis dan observasi terhadap karya, kajian lalu serta sistem operasi takaful sedia ada dan kemudiannya dianalisis secara ‘content analysis’. Kertas ini akan membincangkan kontrak-kontrak berkaitan takaful pada zaman awal Islam, kontrak kontemporari, fiqh emas dan pembentukan model takaful yang dicadangkan. Kajian ini bukan setakat membantu syarikat takaful, malah dijangkakan boleh memberi idea kepada institusi kewangan lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (LTH), Permodalan Nasional Berhad (PNB), ahli akademik dan orang ramai dalam mencari mekanisme penggunaan emas sebagai alternatif kepada simpanan dan pelaburan mereka.

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share