Hadith 27. Pembayar Hutang Terbaik

خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik membayar hutang.”

1. Hadith riwayat al-Bukhari no. 2305, 2390 & 2606 dan Muslim no. 1601 daripada Abu Hurayrah RA, selain turut diriwayatkan oleh ‘Irbadh bin Sariyah RA dan Abu Rafi’ al-Qibti, iaitu budak asuhan Rasulullah SAW. Hadith ini berkaitan hutang, iaitu transaksi yang diharuskan dalam Islam. Rasulullah SAW berhutang seekor unta muda dengan seorang lelaki yang dikatakan Arab Badwi.  Lelaki itu datang menuntut hutang unta tersebut, lalu Baginda SAW menyuruh Abu Rafi’ membayarnya. Namun, Abu Rafi’ mendapati unta yang ada untuk dibayar hanyalah seekor unta yang lebih tua (lebih besar dan mahal). Rasulullah SAW meminta beliau membeli unta lebih tua itu dan membayar hutang tersebut. Lelaki itu berdoa moga Allah memberi balasan baik kepada Rasulullah SAW kerana menunaikan janji membayar hutang, lalu Baginda SAW bersabda seperti teks di atas. Contoh Rasulullah SAW sebagai penghutang yang baik turut terdapat dalam hadith yang lain, antaranya berhutang dengan ‘Irbadh bin Sariyah RA, Jabir bin Abdullah RA dan Yahudi Madinah yang dikatakan bernama Abu Syahm.

2. Hadith ini menunjukkan akhlak muamalah Rasulullah SAW serta hutang yang wajib dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan. Sebab itu al-Qur’an dalam ayat terpanjang adalah tentang hutang yang disaran ditulis butirannya termasuk tempoh pembayaran balik supaya tidak timbul masalah (al-Baqarah, 282). Hadith ini turut mengharuskan pembayaran hutang dalam bentuk yang lebih baik dengan syarat inisiatif itu daripada penghutang dan bukan ditetapkan semasa kontrak. Jika ada penambahan daripada pemiutang atau disyaratkan semasa kontrak itu adalah riba yang diharamkan. Ini kerana hutang berasaskan kontrak qardh al-hasan yang tidak boleh ada sebarang penambahan oleh pemiutang atas jumlah hutang. Walaupun begitu, umat Islam disaran menggunakan kontrak lain untuk mendapatkan pembiayaan seperti jual beli (al-bai’) dan al-rahn (gadaian). Elakkan diri terperangkap dengan belenggu hutang. Rasulullah SAW mengajar Abu Umamah RA yang berdukacita kerana masalah hutang agar berdoa pagi dan petang (وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ) – ‘Dan aku berlindung kepada Engkau daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.’ (Abu Dawud, 1555). Jika berhutang, jadilah penghutang yang baik!.

Ulang teks hadith 40 kali, anda mampu menghafalnya!

Dr. Najahudin Lateh

27 Ramadhan 1441

Follow by Email
LinkedIn
Share