Simbol @ Rumuz dalam Karya Hadith

Seorang pencinta ilmu hadith mesti memahami simbol atau rumuz hadithiah. Ia merupakan suatu metodologi penulisan yang menarik, terutama bagi karya-karya yang menghimpunkan hadith daripada karya-karya utama hadith. Simbol bagi karya hadith biasanya berbentuk singkatan satu, dua atau beberapa huruf daripada nama penulis atau nama karya itu sendiri.

Simbol (rumuz) kepada sesebuah karya atau penulis juga suatu keistimewaan dalam tradisi kutub khanah Islam. Ia memberi perlambangan bahawa banyaknya karya ulama’ Islam dalam pelbagai bidang yang memerlukan suatu simbol untuk mengenalinya. Ia juga mencabar minda dan pengetahuan para pelajar untuk mengenali simbol tersebut dan seterusnya bertemu dengan siapa ulama’ yang dimaksudkan dan sandaran karya sebenar.

Bidang hadith dan fiqh merupakan dua bidang Islam yang sangat banyak menggunakan simbol bagai melambangkan seseorang tokoh atau karya. Sebagai contohnya ketika anda membaca karya fiqh al-Syafie, anda bertemu dengan simbol ‘حج’ dan ‘خط’. Jika anda tidak faham bahawa ia merujuk kepada ‘Syeikh Ibn Hajar al-Haithami’ dan ‘Syeikh al-Khatib al-Syirbini’, anda tentu tidak dapat mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan simbol tersebut.

Begitu juga dalam bidang hadith. Banyak tulisan ulama’ hadith menggunakan simbol bagi menggambarkan karya seseorang tokoh pengumpul hadith. Anda tentu pernah bertemu dengan istilah ‘Diriwayatkan oleh al-Sittah, al-Tis’ah, al-Muttafaq Alaih’ dan sebagainya. Justeru, kalau anda tidak memahami simbol tersebut, anda tentu tertanya-tanya siapakah dan karya manakah yang meriwayatkan hadith tersebut.

Namun, kadang-kadang maksud simbol untuk ulama’ fiqh dan hadith adalah berbeza. Sebagai contohnya, simbol ‘الشيخان’ dalam fiqh al-Syafie ialah Imam al-Rafie dan Imam al-Nawawi sedangkan dalam hadith bermaksud diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Kita juga perlu memahami ulama’-ulama’ hadith menggunakan simbol yang berbeza dalam karya mereka. Walaupun begitu, kebanyakkannya adalah sama kecuali terdapat sedikit perbezaan bagi karya-karya tertentu. Untuk memudahkan anda, saya akan menyebutkan simbol-simbol karya hadith terutamanya yang digunakan oleh al-Suyuthi dalam al-Jami’ al-Saghir dan al-Jami’ al-Kabir, al-Munawi dalam Kunuz al-Haqaiq dan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Bulugh al-Maram.

Untuk hadith yang diriwayatkan oleh lebih seorang pungumpul hadith, simbol yang digunakan adalah seperti berikut :

  1. ‘المتفق عليه’ / Al-Muttafaq Alaih (al-Bukhari dan Muslim)
  2. ‘الثلاثة’ / Al-Thalasah atau no (3) (Abu Dawud, al-Tirmidhi dan al-Nasaie)
  3. ‘الأربعة’ / Al-Arba’ah  atau no (4) (Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
  4. ‘اصحاب السنن’ / Ashab al-Sunan (Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
  5. ‘الخمسة’ / Al-Khamsah (Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Imam Ahmad)
  6. ‘الستة’ / Al-Sittah (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
  7. ‘السبعة’ / Al-Sab’ah (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Imam Ahmad)
  8. ‘التسعة’ / Al-Tis’ah (al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasaie, Ibn Majah, Imam Ahmad, Imam Malik dan al-Darimi)

Karya yang dirujuk dengan simbol tokoh hadith di atas adalah al-Bukhari (maksudnya dalam Sahih al-Bukhari), Muslim (maksudnya dalam Sahih Muslim), Abu Dawud (maksudnya dalam Sunan Abi Dawud), al-Tirmidhi (maksudnya dalam Sunan al-Tirmidhi), al-Nasaie (maksudnya dalam Sunan al-Nasaie), Ibn Majah (maksudnya dalam Sunan Ibn Majah), Imam Ahmad (maksudnya dalam Musnad Imam Ahmad), Imam Malik (maksudnya dalam al-Muwatto’) dan al-Darimi (maksudnya dalam Sunan al-Darimi)

Simbol untuk hadith yang diriwayat dan dikumpulkan dalam karya seseorang tokoh hadith pula adalah seperti berikut :

  1. ‘خ’ – (al-Bukhari dalam sahihnya)
  2. ‘م’ – (Muslim dalam sahihnya)
  3. ‘ق’ – (al-Bukhari dan Muslim dalam sahih)
  4. ‘ق’ – (al-Bukhari dan Muslim dalam sahih)
  5. ‘حب’ – (Ibn Hibban dalam sahihnya)
  6. ‘ك’ – (al-Hakim dalam Mustadrak)
  7. ‘ض’ – (Diya’ al-Maqdisi dalam al-Muqtarah), kadang-kadang digunakan ‘ضا’
  8. ‘د’ – (Abu Dawud dalam sunannya)
  9. ‘ت’ – (al-Tirmidhi dalam sunannya)
  10. ‘ن’ – (al-Nasaie dalam sunannya)
  11. ‘ه’ – (Ibn Majah dalam sunannya)
  12. ‘حم’ – (Imam Ahmad dalam musnadnya)
  13. ‘عم’ – (Abdullah ibn Imam Ahmad dalam Ziwadad musnad Ahmad)
  14. ‘ما’ – (Imam Malik dalam al-Muwatto’)
  15. ‘مى’ – (al-Darimi dalam sunannya)
  16. ‘ط’ – (Abu Dawud al-Tialisi dalam musnadnya), kadang-kadang digunakan ‘طيا’
  17. ‘عب’ – (Abd al-Razak dalam musannafnya)
  18. ‘ص’ – (Saad bin Mansur dalam sunannya)
  19. ‘ش’ – (Ibn Abi Syaibah dalam musannafnya)
  20. ‘ع’ – (Abu Yu’la dalam musnadnya)
  21. ‘قط’ – (al-Daruqutni dalam sunannya)
  22. ‘حل’ – (Abu Nu’aim dalam al-Hulliyah)
  23. ‘ق’ – (Al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra), kadang-kadang digunakan ‘هق’
  24. ‘عق’ – (‘Uqayli dalam al-Duafa’)
  25. ‘عد’ – (Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Duafa’)
  26. ‘خط’ – (al-Khatib dalam Tarikh Baghdad)
  27. ‘كر’ – (Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damsyik)
  28. ‘فر’ – (al-Daylimi dalam Musnad Firdaus)

Bagi seorang pengumpul hadith yang mempunyai karya yang berlainan, simbol berlainan digunakan :

  1. ‘خد’ – (al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)
  2. ‘تخ’ – (al-Bukhari dalam al-Tarikh)
  3. ‘طب’ – (Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir)
  4. ‘طس’ – (Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Ausat)
  5. ‘طص’ – (Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Saghir)
  6. ‘هب’ – (Al-Bayhaqi dalam Su’b al-Iman)

Kadang-kadang terdapat satu simbol yang digunakan untuk karya yang berlainan, contohnya :

  1. ‘ق’ – merujuk kepada al-Bukhari dan Muslim dan kadang-kadang al-Bayhaqi
  2. ‘ط’ – merujuk kepada Abu Dawud al-Tialisi, kadang-kadang al-Tabrani secara umum dan sesetengah karya menggunakannya untuk Muwatta’ Imam Malik
  3. ‘ش’ – merujuk kepada Ibn Abi Syaibah dan kadang-kadang Ibn al-Sunni

Perlu disebutkan simbol yang disebutkan di atas kebanyakkannya terdapat dalam kitab Jami’ al-Saghir dan al-Jami’ al-Kabir oleh al-Suyuthi dan kebanyakan karya lain. Namun, terdapat beberapa perbezaan simbol yang digunakan oleh tokoh hadith yang lain dalam karya mereka. Contohnya dalam kitab al-Mu’jam al-Mufahris li al-Alfaz al-Hadith menggunakan simbol  ‘جه’ bagi Sunan Ibn Majah dan ‘دى’ bagi Sunan al-Darimi. ‘ط’ untuk Muwatto’ Imam Malik. Ini juga berlaku dalam karya-karya lain. Justeru setiap pelajar dan pengkaji hendaklah membaca muqaddimah penulis untuk mengetahui metodologi penulisan yang digunakan oleh mereka.

Najahudin Lateh

26 September 2012