Penghasilan Karya Hadith Dalam Tulisan Jawi Tumpuan Kepada Sumbangan Ulama Acheh Dalam Manuskrip MS 1042 Dan MSS 2068

Abstrak: Pelbagai karya Islam tulisan jawi yang juga dipanggil kitab kuning dalam pelbagai disiplin ilmu telah dihasilkan oleh ulama-ulama besar di Alam Melayu sejak zaman berzaman. Karya-karya penulisan tersebut dikesan wujud sejak kurun ke-17 dan biasanya meliputi bidang akidah, fiqh dan tasauf. Walaupun begitu, karya dalam ilmu-ilmu lain termasuklah ilmu hadith juga telah dihasilkan oleh mereka sama ada dalam bentuk karya asal, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada juga karya dalam bentuk terjemahan. Acheh sebagai bumi Islam yang digelar Dar al-Salam dan Serambi Mekah juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama besar yang telah menghasilkan karya-karya hadith. Kertas ini akan meneliti apa dan bagaimanakah bentuk penghasilan karya-karya hadith dalam tulisan jawi kurun ke-17 hinggalah akhir kurun ke-20. Penumpuan akan diberikan kepada dua naskah manuskrip dalam bidang hadith yang terdapat di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Al-Fawaid al-Bahiyyah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah (MS 1042) oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m.1658) dan Sharh Latif ala Arba’in Hadith li al-Imam al-Nawawi (MSS 2068) oleh Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri (m.1693). Penelitian bersifat kualitatif diskriptif ini ditumpukan kepada karya-karya hadith dalam tulisan jawi, metodologi penulisan kedua-dua tokoh ulama Acheh tersebut selain sedikit catatan tentang rupa bentuk fizikal kedua-dua manuskrip tersebut.

(more…)

Islamisasi Hotel Melalui Pendekatan Hadith Ahkam

Abstrak: Kertas ini menghimpun dan menganalisis hadith-hadith ahkam (hukum fiqh) berkaitan untuk menonjolkan konsep hotel dan rumah penginapan yang bercirikan Islam. Ia merangkumi gambaran reka bentuk ruang, organisasi dan pekerja serta pelanggan hotel berasaskan panduan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW. Kertas ini lebih berbentuk cadangan atau syor tentang beberapa asas kepada pembentukan dan pengurusan sebuah hotel atau rumah penginapan Islam berpandukan neraca hadith sahih. Kertas ringkas ini dirasakan bermanfaat kepada semua pengkaji, pelajar dan pengusaha hotel, homestay, rumah tumpangan atau penginapan supaya dapat mereka bentuk atau mengubah premis sedia ada supaya selari dengan syariah.

(more…)

Metodologi Syeikh Idris Al-Marbawi Dalam Karya Terjemah Bulugh Al-Maram

Abstrak: Karya ulamak di Alam Melayu meliputi pelbagai bentuk seperti tulisan asli, salinan tulisan orang lain, ulasan terhadap teks dan ada yang berbentuk terjemahan. Dalam karya hadith, antara ulamak besar yang mewakafkan diri untuk melakukan amal tersebut ialah Syeikh Idris al-Marbawi. Beliau yang merupakan tokoh terbilang negara telah menghasilkan pelbagai karya tersohor seperti Kamus al-Marbawi dan Bahr al-Mazi. Antara karya hadith lain yang diterjemahkan oleh beliau ialah Bulugh al-Maram. Ketika menterjemah, beberapa metodologi dan pendekatan tersendiri telah digarap untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar memberi penjelasan kepada karya asal tersebut. Justeru, kertas ini akan membicarakan metodologi yang digunakan oleh beliau ketika membuat terjemahan tersebut. Selain itu, kertas ini juga akan menyenaraikan karya hadith yang pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu di Nusantara. Kajian ini boleh membantu para pelajar, ahli akademik dan orang ramai untuk memahami metodologi terjemahan ulamak silam dan sebagai sumber rujukan karya terjemahan hadith. Di samping itu kita semua dalam meneliti kehebatan seorang anak Melayu dalam membedah dan menghuraikan sebuah karya agung dalam hadith, iaitu Bulugh al-Maram untuk dinikmati oleh kita semua, terutama yang tidak fasih Bahasa Arab.

(more…)
Follow by Email
LinkedIn
Share